POLIS menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta di sini bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah dan tanpa suntikan, pada Isnin hingga semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata enam wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun termasuk lima pembeli itu ditahan berasingan selepas polis menerima laporan mengenai kegiatan tersebut daripada pemilik klinik pada 10.53 malam, Ahad lepas.
Beliau berkata pihaknya kini sedang memburu 30 individu yang telah membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan temasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang.
“Kegiatan penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin.
“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil itu perlu membayar antara RM300 hingga RM650 manakala orang tengah yang bertindak mencari pelanggan pula akan menerima komisen RM125 bagi setiap sijil digital yang diperoleh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata dua pekerja klinik terbabit direman empat hari hingga Jumaat ini manakala pihaknya akan memohon reman ke atas seorang lagi pekerja hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan siasatan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru individu yang telah membeli sijil digital vaksin tanpa suntikan supaya tampil dan menyerah diri di balai polis berhampiran.
MALANG tidak berbau bagi seorang pengantin baharu yang hanya sempat menikmati alam rumah tangga dalam masa beberapa minggu sahaja sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya malam tadi.
Memetik laporan Sinar Harian, Anwarie Azim Rozi, 23, maut dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 196.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira pukul 8.15 malam.
Pengantin baharu itu yang menunggang motosikal Yamaha Y15Z dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka dari tempat kerja di Seremban.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah sama dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa.
“Akibat rempuhan itu mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya.
Beliau menambah, pemandu kereta terbabit diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ATLET-atlet yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari ini dinasihatkan tidak bercakap atau menyentuh apa-apa berhubung hak asasi manusia di negara republik tersebut.
Nasihat itu diberikan oleh panel dalam seminar Human Right Watch di negara berkenaan demi keselamatan mereka.
Keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memilih China sebagai tuan rumah bagi sukan tersebut telah dipertikaikan oleh pejuang-pejuang kemanusiaan berikutan penderaan yang dilakukan oleh kerajaan kerajaan negara itu ke atas rakyat Uyghur.
“Sebenarnya, tidak banyak perlindungan yang boleh kami berikan kepada olahragawan. Kami menasihatkan para olahragawan untuk tidak bercakap tentang perkara ini. Kami ingin mereka bertanding dan bersuara ketika mereka pulang,’’ kata Rob Koehler, Pengarah Global Athlete Group dalam seminar tersebut.
Peraturan Ke-50 Undang-Undang Olimpik tidak membenarkan sebarang demonstrasi atau agenda politik, keagamaan atau perkauman di mana-mana gelanggang Olimpik.
“Undang-undang China berkaitan jenayah-jenayah yang boleh mendakwa kebebasan bersuara adalah tidak jelas,” kata penyelidik Human Rights Watch Yaqiu Wang.
Noah Hoffman, yang pernah mewakili Amerika Syarikat untuk acara ski pada 2014 dan 2018 berkata bahawa pasukan beliau dilindungi daripada soalan-soalan berkaitan hak kemanusiaan.
“Saya risau terhadap rakan sepasukan saya yang ke China. Saya tahu rakan-rakan saya dilindungi daripada soalan-soalan berkaitan isu-isu tersebut demi keselamatan mereka sendiri,” kata Hoffman.
Sukan Olimpik Beijing akan bermula pada 4 Februari. Beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan juga Australia telah mengumumkan memboikot secara diplomatik disebabkan dakwaan perlanggaran hak kemanusiaan di Cina.
ABDUL Latif Abdul Rahim berjaya mendapatkan pembebasan penuh daripada mahkamah hari ini atas tuduhan bersubahat dengan adiknya yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerima rasuah yang dikaitkan dengan projek lebuh raya di Perak dan Kedah.
Memetik laporan Malaysiakini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini membenarkan permohonan semakan ahli perniagaan berkenaan untuk menggantikan keputusan membebas tanpa melepaskan (DNAA) daripada dua pertuduhan bersubahat rasuah.
Pada 8 Februari tahun lalu, pihak pendakwaan berjaya dalam permohonannya agar Abdul Latif diberikan DNAA sebagai balasan untuk kerelaannya memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap adiknya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Permohonan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Menurut undang-undang jenayah di Malaysia, tertuduh yang diberikan DNAA secara teorinya boleh didakwa sekali lagi atas kesalahan sama, manakala pembebasan penuh akan menghalang pihak pendakwaan daripada menghadapkannya semula ke mahkamah untuk jenayah sama.
Semasa prosiding petang ini, hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa permohonan semakan itu mempunyai merit.
Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal memberikan alasan kukuh mengapa mahkamah rendah harus memberikan DNAA dan bukannya pembebasan penuh.
“Tiada merit dalam kes oleh responden (pendakwaan). Trend kes menunjukkan bahawa melainkan alasan yang kukuh ditunjukkan, perintah itu sepatutnya dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.
Jelas Colin, alasan diberikan pihak pendakwaan untuk DNAA dalam kes itu – iaitu Abdul Latif akan memberi keterangan terhadap Abdul Azeez – sebaliknya akan membuka kemungkinan dia diugut untuk memberi keterangan yang baik bagi pihak pendakwaan.
Beliau menambah, ini kerana sebarang keterangan oleh Abdul Latif terhadap adiknya selepas ini boleh dipertikaikan dan dianggap sebagai tercemar.
“Alasan pihak pendakwaan – bahawa perkembangan dalam keterangan boleh menyebabkan penyambungan semula kes terhadap pemohon (Latif) – bukanlah alasan yang baik untuk DNAA.
“Ini sama dengan menyerahkan pemohon ke masa depan yang tidak pasti dan tidak dapat ditentukan,” katanya.
Peguam bela Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Abdul Latif. Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab Razak pula hadir bagi pihak pendakwaan yang menjadi responden dalam kes hari ini.
Sementara itu, perbicaraan kes Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kini ditangguhkan sementara menunggu rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu di Mahkamah Rayuan.
Ia dibuat bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun lalu yang menolak permohonan Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.
Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.
Beliau didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Lembah Klang, antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.
Sebelum ini Abdul Latif, 63, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez untuk mendapatkan rasuah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai habuan membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya melalui tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.
Projek itu melibatkan Projek Lebuhraya Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Lekir di Perak) bernilai RM644,480,000.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan bersubahat di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah sebuah syarikat bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya bagi proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.
Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, suspek telah mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan tersebut, sepanjang tahun 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, bagi mendapatkan permohonan reman.
JABATAN Bomba dan Penyelamat (JPBM) menggunakan kaedah pemadaman pengeboman air atau water bombing bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Kaedah pemadaman dari udara itu bermula kira-kira pukul 11 pagi ini dan dijangka berterusan sehingga petang ini.
Ketua JPBM Zon Perai, Nor Hairulddin Noraidin berkata, operasi itu dijalankan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang melibatkan lapan anggota.
Menurut beliau, proses pemadaman kebakaran akan tertumpu di titik panas berdasarkan imej termal yang diberi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Jelasnya, setiap bom air boleh menyediakan sehingga 1,600 liter air dan operasi akan diteruskan sehingga keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu bertambah baik.
“Sehubungan itu, kita menasihati semua agensi atau orang awam supaya tidak menerbangkan dron semasa operasi sedang dijalankan di kawasan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingin,” katanya kepada pemberita semasa operasi itu hari ini.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan Rabu lalu melibatkan keluasan kira-kira tujuh hektar daripada keseluruhan keluasan 16.5 hektar dan masih gagal dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar.
Sementara itu hanya 44 penduduk menetap di dua pusat pemindahan sementara (PPS), selebihnya memilih untuk tinggal dengan saudara-mara selain masih terdapat beberapa buah keluarga yang enggan berpindah.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, seramai 36 individu daripada lapan keluarga tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala lapan orang daripada dua keluarga ditempatkan di SK Bakap Indah.
“Tiada pertambahan keluarga yang berpindah ke PPS hari ini dan keadaan di dua PPS itu juga adalah terkawal,” katanya kepada pemberita hari ini.
WALAUPUN tidak sekuat parti Pas dan UMNO yang telah lama bertapak kukuh di negara ini, namun parti Bersatu Terengganu kini semakin mendapat tempat di hati rakyat.
Sejak mula diperkenalkan lima tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Bersatu Terengganu berjaya memberi impak.
Bermula dengan keahlian awal hanya 800 orang, kini parti tersebut berjaya memiliki lebih 20,000 ahli terdiri daripada pelbagai golongan termasuk profesional, bekas calon, ahli agama, peguam dan juga generasi muda.
Dalam wawancara 5 SOALAN bersama Wartawan WartaRakyat, MOHD LAZIM ENDUT di Kuala Terengganu, Pengerusi Bersatu Terengganu, SENATOR DATUK RAZALI IDRIS yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memberi pandangan beliau berhubung perkembangan parti itu di negeri tersebut.
Bagaimana penerimaan rakyat Terengganu terhadap parti Bersatu sehingga ini.?
DATUK RAZALI: Setelah lima tahun Bersatu wujud, iaitu sebelum PRU14, perkembangan kini sangat menggalakan. Pada awalnya keahlian kita di Terengganu hanya sekitar 800 orang sahaja, tetapi sekarang telah melebihi 20,000.
Kalau dilihat dari segi keahlian memang orang akan mengatakan kita tidak kuat, tetapi sebagai parti baharu, janganlah dibandingkan dengan parti yang telah lama bertapak seperti Pas dan UMNO.
Untuk jangka masa panjang, kita percaya Bersatu akan menjadi sebuah parti pilihan baharu atau alternatif kepada rakyat.
Pada jangkaan Datuk, di manakah kedudukan parti Bersatu selepas ini?
DATUK RAZALI: Saya amat berkeyakinan bahawa Bersatu Terengganu boleh bertindak sebagai King Maker untuk membantu parti-parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada PRU-15 nanti seterusnya membentuk kerajaan, kalau kita bertanding secara solo atau bersendirian, itu payahlah…
Sehingga ini golongan mana yang dilihat paling ramai menyertai Bersatu di Terengganu dan kawasan parlimen mana pula menjadi pilihan?
DATUK RAZALI: Kalau kita lihat keahlian Bersatu sekarang ini, ia sebenarnya tidak lagi menjurus kepada orang UMNO. Pada peringkat awal penubuhan dahulu, iaitu ketika berada di kelompok 10,000 ahli ketika itu, 70 peratus ahli adalah terdiri daripada orang UMN0, tetapi pada penghujung pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diikuti era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) fenomena itu telah berubah.
Hal ini kerana, kita mendapati kebanyakan keahlian baharu yang menyertai Bersatu di Terengganu terdiri daripada golongan yang masih ‘fresh’, iaitu mereka yang tidak terikat dan tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik termasuk golongan profesional serta orang muda berusia 18, 19 dan 20 tahun.
Apa yang membanggakan kita, Bersatu kini seolah-olah menjadi sebuah parti pilihan baharu atau alternatif kepada rakyat.
Dalam tempoh beberapa hari pada awal tahun 2022 ini, hampir 1,000 golongan anak muda telah mendaftar sebagai ahli Bersatu, bagi kita perkembangan ini berlaku agak cepat.
Kawasan parlimen paling ramai menjadi ahli Bersatu setakat ini ialah Besut diikuti Dungun, Kuala Nerus dan Setiu yang melibatkan rekod keahlian masing-masing sekitar 4,000 orang, tidak jauh beza.
Sebelum ini Datuk ada mengatakan akan menuntut dua kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) daripada Pas bagi meletakkan calon yang akan mewakili Bersatu Terengganu bertanding pada PRU 15 nanti, apakah ia telah dimuktamadkan?
DATUK RAZALI: Sebenarnya ia bukan tuntutan kerusi, sebaliknya ia adalah cadangan kita sekiranya UMNO tetap dengan pendirian tidak mahu terlibat dengan PN, maka itulah sasaran kita untuk meletakkan calon dan bertanding di semua kerusi yang dimenangi UMNO sewaktu PRU14 sebelum ini, iaitu dua Parlimen dan 10 DUN.
Tetapi sekiranya UMNO bersedia untuk bersama PN, mungkin lain pula ceritanya. Kita tidak mendesak, tidak desak mengatakan ‘aku nak kerusi banyak ini’, itu bukan perkara pokok, sebab kita tahu ukuran saiz baju kita L, M, atau S.
Perkara pokoknya pada saya ialah kita nak tengok Bersatu, Pas dan UMNO bersekali bersama kita, sebab kita rasa kalau perpecahan terus berlaku, laba akan dapat kepada orang lain, bukan laba dapat kepada kita, tidak akan ada jaminan untuk UMNO untuk memerintah dan tidak ada jaminan juga untuk PN berbuat demikian jika bertanding secara bersendirian.
Jadi, apakah harapan Datuk bagi menghadapi PRU 15 nanti?
DATUK RAZALI: Dalam bersiap siaga, kita masih berharap untuk bekerjasama melibatkan tiga parti Melayu ini pada PRU 15 nanti.
Sebenarnya kita sudah pun membuat persediaan awal kearah usaha tersebut (meletak calon di kerusi dimenangi UMN0 pada PRU 14) , tetapi kalau UMNO bersedia bersama PN, maka kita akan bincangkan semula perkara berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini Bersatu dan Pas belum mengadakan perbincangan secara rasmi membabitkan agihan kerusi pada PRU 15 kerana kedua dua parti ini masih mengharapkan kesediaan UMNO untuk bersama kita.
Dalam konteks negeri Terengganu, kita menjangkakan Pas bersama PN bakal memenangi PRU-15 nanti, sebab masih tidak nampak ‘turning point’ bagi UMNO nak buat ‘swing’ sepertimana PRU pada tahun 2004 dahulu. Kita juga tidak nampak isu-isu besar boleh dijadikan ‘senjata’ kecuali hanya masalah secara dalaman sahaja.
Bagi Bersatu pula, kita memiliki cukup calon mewakili pelbagai latar belakang yang bagus dan berkarisma, ada doktor, peguam, ahli agama, bekas exco, jurutera dan orang muda, cuma kita masih tidak tahu di mana kerusi dan tempat untuk bertanding.
Jadi, perkara itulah yang perlu kita berbincang dan mengadakan musyawarah bersama Pas pada penghujung nanti, iaitu sebelum PRU15 diadakan.
ANALISIS data, pemantauan semasa dan kajian dalam usaha menambah baik penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua laluan lebuh raya adalah langkah-langkah yang diambil oleh PLUS Malaysia Berhad.
PLUS dalam kenyataan hari ini berkata, langkah-langkah terbabit diambil bagi memastikan pelanggan yang menggunakan RFID di laluan lebuh rayanya menerima pengalaman yang terbaik dan perjalanan yang mudah serta lancar.
“Pembayaran tol menggunakan sistem RFID yang sudah dilaksanakan di seluruh rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan baru-baru ini, menerima pelbagai maklum balas, sama ada yang menyambut baik usaha ini dan ada juga yang memberi pandangan untuk penambahbaikan.
“Pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS bersiap siaga terutama sekali di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk membantu pelanggan yang menggunakan lorong RFID untuk mencapai pengalaman perjalanan yang lebih baik,” jelas PLUS dalam ciapan Twitter hari ini.
Pagi tadi ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.
Antara plaza tol yang dilaporkan mengalamani masalah tersebut adalah Sungai Besi dan Senawang.
Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.
Semalam, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.
Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kelmarin memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.
SIASATAN berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.
“Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.
Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.
Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik.
POLIS Belanda menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki warga Belgium di sebuah pulau selepas diculik oleh penjaganya 5 hari lalu.
Mayat Dean Verberckmoes, 4, ditemukan di Neeltje Jans, sebuah pulau di timur Dutch Zeeland berhampiran dengan taman tema Delta.
Penculiknya, Dave De Kock, 34 ditahan di Meerkerk semalam dan kemudiannya membawa polis kepada mayat kanak-kanak tersebut.
Polis memulakan pemburuan selepas ibu Dean, Elke Verberckmoes melaporkan kepada mereka bahawa De Kock tidak memulangkan anaknya ke rumah mereka di Belgium.
Pihak pendakwaraya Belgium mendedahkan bahawa penculik Dean mempunyai rekod dipenjara 10 tahun atas kesalahan cuai dan mendera sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun mati pada tahun 2008.
Elke berkata De Kock sudah biasa menjaga Dean dan adik perempuannya kerana dia sedang melalui rawatan untuk kemurungan dan memerlukan bantuan untuk menjaga anak-anaknya.
De Kock sepatutnya menghantar Dean ke rumah datuk neneknya pada hari Khamis minggu lepas namun tidak berbuat demikian. Elke kemudiannya membuat laporan polis tentang kehilangan anak lelakinya.
Pihak polis memulakan pencarian kerana risau akan rekod jenayahnya dan kemungkinan De Kock membawa Dean merentas sempadan Belgium.
Dave De Kock
De Kock juga mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan ketika ditahan semalam, mabuk teruk, menurut polis.
Lelaki berumur 34 tahun itu kemudian turut bekerjasama dengan polis Belanda dengan menunjukkan lokasi mayat Dean pada petang itu.
“Pada sekitar pukul 10 malam, kami menemui mayat seorang kanak-kanak. Kami berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu kami dan mengucapkan takziah kepada keluarganya,” kata polis.
Kes tersebut telah mencetuskan kerisauan ke atas bagaimana De Kock diberikan kebenaran untuk menjadi penjaga kanak-kanak walaupun mempunyai rekod jenayah.