Category: Semasa

  • Pekerja kedai runcit warga Pakistan ditembak senapang patah

    Pekerja kedai runcit warga Pakistan ditembak senapang patah

    HANYA kerana rasa tidak puas hati, seorang pekerja kedai runcit nyaris maut terkena beberapa das tembakan senapang patah pada bahagian badan yang dilepaskan oleh seorang lelaki dalam kejadian di Pokok Tumpang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun berkenaan dilaporkan cedera pada dada kanan dan tangan kanan selepas terkena tembakan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 33 tahun  dikatakan pergi ke kedai runcit milik seorang wanita warga tempatan itu sambil membawa selaras senapang patah milik bapanya sebelum menembak mangsa.

    “Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospita Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan manakala suspek berjaya ditangkap selepas itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca ekoran suspek yang sebelum ini kerap ke kedai runcit itu tidak berpuas hati terhadap mangsa.

    Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan punca perasaan tidak hati hati tersebut.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

  • Umat Islam wajib jauhi rasuah, tinggalkan perbuatan terkutuk

    Umat Islam wajib jauhi rasuah, tinggalkan perbuatan terkutuk

    MUFTI Pulau Pinang menasihatkan umat Islam menjauhi perbuatan rasuah dan mereka yang melakukannya segera meninggalkan perbuatan terkutuk tersebut.

    Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang pernah melakukan perbuatan itu perlu memohon maaf kepada golongan yang teraniaya selama ini disebabkan mereka telah menceroboh hak-hak orang lain melalui rasuah.

    Ujar beliau, setiap warga Malaysia tentu berasa risau dan cemas mengikuti  berita kebelakangan ini tentang kejadian-kejadian rasuah yang melanda negara.

    Jelasnya, perbuatan itu seakan-akan sudah membarah di dalam negara membabitkan pelbagai sektor termasuk golongan pemimpin yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan rakyat di dalam jabatan kerajaan mahupun di dalam syarikat tertentu yang ada kaitan dengan kerajaan.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor

    Selaku Mufti jelasnya, beliau terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan isu itu, setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan dan nasihat kepada masyarakat Islam dari sudut hukum syarak.

    “Perlu dinyatakan kecenderungan kepada pemilikan harta benda merupakan satu naluri semula jadi manusia.

    Agama Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memang mengiktiraf kebebasan setiap individu untuk memiliki harta kekayaan sebagai salah satu hak asasi kemanusiaan.

    “Bagaimanapun sebagaimana di dalam bidang-bidang lain, kebebasan yang diberikan kepada individu adalah disyaratkan ia tidak memudaratkan kepentingan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, walaupun Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan, namun Islam juga mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan harta benda yang dimiliki sehingga terlupa kepada mengingati Allah dan menjaga hukum yang ditetapkan di dalam agama-Nya.

    “Mungkin  juga kerana kesibukan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup, ada yang terlalai tentang sifat sementara kehidupan dunia ini.

    “Ingatlah keinginan yang melampau kepada harta dunia sering mendorong seseorang kepada mengambil hak orang lain secara batil yang dilarang oleh syariat Islam,” katanya.

    Tambah Wan Salim, perbuatan memberi dan menerima rasuah dikutuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

    Pelaku rasuah katanya, dipandang hina oleh masyarakat di dunia ini lagi manakala di akhirat akan dihumban ke dalam seksaan neraka yang tidak terperi dahsyatnya.

    “Dosa kepada Allah mungkin diampun dengan taubat, namun dosa kepada manusia termasuk mengambil hak mereka secara batil tidak akan terampun,” katanya.

  • Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    KEPUTUSAN sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), akan diketahui esok.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada pukul 9.30 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 68, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 6 Dis lepas Hakim Sequerah menetapkan 24 Jan (esok) sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

    Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

    Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly. Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan April 2018.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, yang menjadikan beliau berdepan dengan sejumlah 87 pertuduhan semuanya. – BERNAMA

  • 41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    POLIS menahan 40 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin, pada Jumaat lepas dan semalam.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 65 tahun ditahan di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.

    “Polis turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati 12 daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

    Katanya, kesemua mereka kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – BERNAMA

  • Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    TIMBALAN Ketua MIC Bahagian Tapah, D Sivabalan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Km 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira 12.45 tengah malam dan menyebabkan Sivabalan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa (Sivabalan) yang memandu kereta jenis Proton Iswara memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

    “Kereta mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke arah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

  • PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PAS akan berunding serta berbincang dengan UMNO, Bersatu dan rakan lain berhubung penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

    Beliau berkata perbincangan itu akan menentukan sama ada PAS menyertai PRN Johor secara kerjasama dengan rakan parti lain atau sebaliknya.

    “Bentuk macam mana kita nak memasuki PRN ini belum dimuktamadkan lagi. Malah sebagai sebuah parti senior di negara ini, kita tidak pernah tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri. 

    “Sama ada sedikit atau banyak (kerusi), PAS tetap menyertai, jadi saya kira untuk PRN Johor sekiranya benar-benar berlaku, saya memberi jaminan PAS akan menyertainya,” katanya kepada pemberita semasa hadir pada majlis pemberian sagu hati kepada Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu dan penghulu tanpa mukim kaum Tiong Hua di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata rundingan antara PAS dengan parti lain mampu memberikan satu pilihan yang baik buat pilihan raya.

    ”Bagi PAS, pilihan raya adalah proses untuk memilih kepimpinan sama ada di peringkat negara ataupun negeri.

    “Hasil pemilihan berkenaan akan mewujudkan kestabilan dalam negara dan juga dalam negeri kerana sekiranya berlaku ketidakstabilan politik, ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada negara, negeri dan juga rakyat,” katanya.

    Beliau berkata PAS mahu suasana politik yang stabil sekali gus akan menstabilkan ekonomi dan aspek sosial.

    Takiyuddin turut mengingatkan setiap kepimpinan di peringkat tinggi mahupun ahli agar menjaga kerahsiaan dan nama baik PAS serta tidak melakukan perkara yang merugikan kepentingan parti. 

    “Jadi semua pihak perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara termasuk mengeluarkan kenyataan… adakah ia memberi kebaikan kepada parti atau sebaliknya,” kata beliau.

    — BERNAMA

  • PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram ganja bernilai RM4.4 juta dalam satu operasi di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Stesen Kereta Api, Padang Besar, Perlis semalam.

    Timbalan Komander Briged Utara ACP Mohd Noh Khamis berkata ganja terbabit dirampas pada 9.08 malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan di kawasan itu.

    “Sebelum itu, anggota PGA berjaya mengesan dua suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan yang keluar masuk pagar berduri sempadan Malaysia-Thailand di kawasan tersebut namun tidak dapat dipastikan apa yang dibawa oleh mereka kerana keadaan gelap.

    “Setelah 30 minit intipan, kami dapati tiada pergerakan orang di situ dan anggota telah melakukan pemeriksaan, hasilnya kita menemukan tujuh plastik hitam berisi 88 ketulan ganja mampat yang ditinggalkan di situ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

    Beliau berkata ganja terbabit kemudian diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya PGA akan terus meningkatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan dan mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.

    — BERNAMA

  • Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    POLIS berjaya menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata dalam serbuan Isnin lepas, sembilan suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu turut ditahan manakala sebuah kenderaan mewah dirampas.

    Beliau berkata serbuan dibuat susulan laporan seorang remaja wanita warga tempatan pada 12.20 tengah hari bahawa pekerja ibunya, iaitu seorang remaja warga asing, telah dilarikan oleh dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

    Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pengadu bersama mangsa yang ketika itu berada di kawasan Damansara Utama turut mendakwa ditarik suspek ke dalam kenderaan berkenaan sambil mulut kedua-duanya ditekup namun beliau kemudian dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian. 

    Bertindak atas risikan, Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada 5.30 petang hari yang sama.

    Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat wanita dan seorang lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit di pangsapuri perkhidmatan di  sebuah hotel terkemuka di sini.

    Beliau berkata kesemua mangsa dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing yang kemudian ditahan di premis itu serta direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. 

    “Siasatan awal ke atas semua mangsa yang diselamatkan mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja warga asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji,” katanya. 

    Mohamad Fakhruddin berkata kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta dipukul sehingga cedera dan ada antara mereka yang dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan. 

    — BERNAMA 

  • UMNO Kelantan putus hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional berkuatkuasa serta-merta

    UMNO Kelantan putus hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional berkuatkuasa serta-merta

    UMNO Kelantan membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan Pas negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata UMNO membuat keputusan itu berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berita Harian melaporkan, beliau berkata, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

    “Pendirian ini dibuat dengan rasa yang sedih kerana kita akan mengharungi jalan berliku secara solo. Terus terang di sini, pihak pimpinan Pas Kelantan meminta kita untuk menangguhkan dulu keputusan yang dibuat ini, tetapi saya selaku pemimpin UMNO di Kelantan mengambil risiko dengan membuat keputusan ini.

    “Saya menganggap ini bukan saja keputusan badan perhubungan, tetapi ia juga keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kelantan yang sudah sekian lama melihat dan memerhatikan kedudukan politik UMNO, Pas dan lain-lain parti di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri hari ini.

    Beliau turut menegaskan, selagi Pas di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

    “Demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu, biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

    “Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan Pas, namun UMNO akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan. Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan, termasuk berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita (UMNO Kelantan) boleh duduk bersama (Pas),” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan berkata, UMNO negeri juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.

    “Saya berharap pada PRU-15 nanti rakyat akan memberi kepercayaan, peluang dan mandat kepada UMNO untuk mengemudi Kelantan bagi membuktikan apa yang mereka boleh lakukan,” katanya.

  • Tun Mahathir berada dalam stabil, beri respon baik kepada rawatan – Marina

    Tun Mahathir berada dalam stabil, beri respon baik kepada rawatan – Marina

    BEKAS  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke unit rawatan koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN), menurut anak perempuannya, Datin Paduka Marina.

    “Keadaan beliau kini stabil dan memberikan respon yang baik kepada rawatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas petang ini.

    Marina berkata bapanya telah menjalani rawatan di IJN sejak dua hari lalu.

    Bagi pihak ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan keluarga mereka, Marina meminta orang ramai mendoakan bapanya agar segera sembuh.

    Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Dr Mahathir pada pukul 5.35 petang.

    Melalui  Twitternya,  sebaik sahaja selesai melawat Dr Mahathir, Ismail Sabri mendoakan keluarga bekas Perdana Menteri itu kekal tabah.