Category: Semasa

  • Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

    POLIS Melaka menahan 73 individu berumur antara 23 hingga 64 tahun dalam satu operasi selama tiga hari bagi membersih dan membanteras penyalahgunaan dadah di Melaka Tengah dan Alor Gajah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Melaka Superintenda Zulkiflee Rashid berkata, operasi tiga hari itu dijalankan pada Jumaat lepas hingga semalam di Pot Krubong, Melaka Tengah dan Pot Apache, Alor Gajah yang disyaki menjadi tumpuan penagih dadah di kedua-dua daerah.

    “Dalam serbuan itu, sebanyak 953.03 gram (g) heroin, 73.3 g syabu dan 13.60 g ganja dirampas dianggarkan bernilai RM41,366.

    “Seramai enam pengedar dadah juga ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkiflee berkata, JSJ Narkotik Melaka akan terus berusaha membersihkan sarang penagihan dadah di kedua-dua daerah tersebut walaupun masih ada penagih yang berdegil melepaskan gian di lokasi tersebut.- Bernama

  • PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    PDRM siap siaga untuk PRN Johor – Timbalan Ketua Polis Negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan dan menambah anggota polis daripada negeri lain, dalam membantu kelancaran proses pilihan raya negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi tujuan itu, dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri. 

    “Apabila dimaklumkan bubar sahaja (Dewan Undangan Negeri Johor), saya sendiri bercakap dengan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengenai persediaan, bukan sahaja dari sudut keanggotaan yang mencukupi.

    “Sekiranya keanggotaan di daerah atau kontinjen (masih) tidak mencukupi, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan turut membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh, Selangor, hari ini. 

    Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.  

    Sementara itu mengenai Op Selamat 17 Razarudin berkata polis mengadakannya kembali, selepas kira-kira dua tahun ia dihentikan berikutan pandemik COVID-19. 

    Beliau berkata operasi itu mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, dan akan bermula pada 28 Jan hingga 6 Feb depan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

    Menurutnya selain operasi penguatkuasaan biasa, pihaknya pada masa sama akan mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi dengan menggunakan alat kamera pengesanan had laju ‘In CarRadar‘ di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan ditetapkan. 

    “Begitu juga dengan penggunaan alat Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah seperti kenderaan curi mahupun klon,” katanya.- Bernama

  • SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    SPRM tahan reman bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bekas pengarah penguatkuasa agensi kerajaan direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja-kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta di utara tanah air.

    Perintah reman sehingga 30 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan pagi ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Sumber memaklumkan, tertuduh dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan dari Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan.

  • Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    Pinda dasar dan amalan lapuk dalam agensi KPLB

    BEBERAPA dasar di peringkat agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang tidak lagi sesuai dengan situasi masa kini perlu dipinda.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pindaan itu perlu bagi mempercepatkan proses kerja dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Macam yang saya katakan dalam ucapan saya, yang utama adalah untuk kesejahteraan rakyat dari segi pembangunan ekonomi keluarga, dari segi pembangunan keusahawanan dan dari segi perniagaan dalam komuniti.

    “Kita semua memikirkan bahawa untuk seterusnya dasar dan pembangunan wilayah perlulah disesuaikan dengan zaman IR 4.0 iaitu zaman digital, ada beberapa perkara nak ditambahbaik dasar agensi yang ada di bawah KPLB,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di Dewan Datuk Ariffin Said di Gua Musang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri 2 KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi KESEDAR, Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KESEDAR sebelum itu, Mahdzir menyebut agensi di bawah KPLB perlu meminda dasar lapuk yang menghalang pelaksanaan sesuatu gerak kerja sehingga menyukarkan penyelesaian masalah rakyat.

    Tegas beliau, dasar dan amalan lapuk itu sama ada perlu diganti atau dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

    Mengenai pencapaian KESEDAR sepanjang 40 tahun penubuhannya, Mahdzir berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan program pembangunan yang dilaksanakan.

    “Lebih kurang 40 tahun KESEDAR membangunkan masyarakat di sini, ada kejayaan besar yang telah KESEDAR lakukan.

    “Yang penting bagaimana kita hendak menentukan sejauhmana dua mandat KESEDAR iaitu Mandat Keusahawanan dan Mandat Kesejahteraan Rakyat dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” jelas Mahdzir.

    Pada majlis ini, Mahdzir turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan KESEDAR 2021-2025 dan menyampaikan Sijil Penghargaan Sukarelawan Banjir KESEDAR seramai 150 orang.

  • Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    Guru, pelajar SK Assumption disurai ke sekolah lain

    KEMENTERIAN Pendidikan membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Seberang Perai Utara ke sekolah lain yang berhampiran memandangkan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

    Menurut kementerian, sekolah-sekolah tersebut adalah SK Kuala Perai, Butterworth yang terletak 350 meter dari situ serta SK Kuala Nyior (1.7 km), SK St Mark, Butterworth (2.1 km), SK Khir Johari, Perai (5.5 km) dan SK St Mark, Perai (5.8 km).

    Jelas Kementerian Pendidikan, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

    “Ketetapan itu diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.

    “Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

    “Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km,” jelas Kementerian Pendidikan dalam kenyataan media, hari ini.

    Kementerian Pendidikan merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yang merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Sri Avenue sejak 2008.

    Pada 3 November 2021, Sri Avenue telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.

    Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya Kementerian Pendidikan mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin.

    Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, Kementerian Pendidikan telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.

    “Kementerian Pengangkutan akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023,” jelasnya.

  • Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus pemasaran bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan bayaran hasil buah tandan segar sawit berjumlah lebih RM85,000.

    Suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pukul 12.30 tengahari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2018 hingga 2019, suspek yang bertugas sebagai pengurus pemasaran telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang bayaran bagi hasil jualan buah tandan segar sawit tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri.

    Azmi Alias

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Ketua Polis Johor sembah taklimat persediaan, keselamatan PRN

    Ketua Polis Johor sembah taklimat persediaan, keselamatan PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di Istana Flinstones, di Mersing hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

    Dalam pertemuan tersebut, Kamarul Zaman mempersembahkan taklimat mengenai keselamatan serta persediaan pasukan polis Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kelmarin, Sultan Johor berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

  • Buruh binaan didakwa rompak dua mangsa bersenjatakan parang

    Buruh binaan didakwa rompak dua mangsa bersenjatakan parang

    SEORANG buruh binaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap dua mangsa pada Selasa lalu.

    Abdul Muhaimin Alias, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak dengan bersenjata sebilah parang terhadap seorang lelaki dan rakannya sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM5,000.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah kongsi Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, pada 3 pagi 18 Januari lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mengaku salah dan memohon satu tarikh untuk fakta kes serta jatuh hukuman.

    Mahkamah kemudian menetapkan Rabu ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

  • Ahli geng bertempur, kanak-kanak terbunuh terkena tembakan sasar

    Ahli geng bertempur, kanak-kanak terbunuh terkena tembakan sasar

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas ditembak di bahagian kepala di Little Village, Chicago pada Sabtu lalu, kata pihak polis.

    Melissa Ortega, 8, baru sahaja berpindah dari Mexico ke Chicago. Ketika berjalan-jalan bersama penjaganya, suspek melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki berumur 26 tahun yang sedang keluar dari sebuah kedai runcit.

    Melissa dan penjaganya berlari masuk ke sebuah bank selepas mendengar bunyi tembakan namun penjaganya menyedari Melissa terkena tembakan.

    Melissa Otega

    Menurut pihak polis, lelaki yang keluar dari kedai runcit itu adalah sasaran sebenar, bagaimanapun Melissa terkena tembakan yang tersasar. Walaupun penjaganya tidak tercedera, Melissa disahkan mati ketika tiba di Hospital Stroger.

    Jurucakap balai polis Chicago, Michelle Tanehill berkata lelaki tersebut yang cedera di bahagian belakang kepala kini dalam keadaan kritikal di hospital Mount Sinai sejak Ahad lalu.

    Suspek sehingga kini belum dapat ditahan dan David Brown, Superintenden Balai Polis Chicago berkata mereka akan teruskan usaha untuk mencari suspek.

    “Pembunuhan tragis dan tidak berhati perut Melissa telah mengejutkan bandar kami. Tiada apa yang boleh dikatakan apabila nyawa seorang kanak-kanak diambil. Tidak boleh dijelaskan perasaan keluarganya,” kata Brown di laman Twitternya.

    Melissa merupakan pelajar dari akademi Emiliano Zapata, sebuah sekolah rendah di kawasan bandar yang banyak dihuni oleh orang  Mexico. Keluarganya baru berpindah dari Mexico tahun lepas dan kini mereka sedang mengendalikan kutipan derma dalam talian untuk pengebumiannya.

  • Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sepasang suami isteri antara tiga individu yang ditahan dalam dua siri tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Rabu lalu, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, sebanyak lebih tujuh kilogram dadah jenis heroin dan syabu dirampas daripada mereka yang ditahan.

    Katanya, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang individu berusia 22 tahun di bawah rumah flat dekat Mergong, Alor Setar.

    “Pemeriksaan terhadapnya menemukan plastik dalam beg silang yang berisi lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 56.3 gram.

    “Lanjutan daripada tangkapan pertama, siri tangkapan kedua dilakukan melibatkan pasangan suami isteri tersebut yang sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di tepi Jalan Sungai Petani, Simpang Empat dekat Alor Setar. Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan dadah jenis heroin seberat 338.4 gram dalam beg pinggang dipakai oleh si suami,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Tidak berakhir di situ katanya, polis kemudiannya menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Radek, Sik kira-kira pukul 7.15 malam hari sama.

    “Dalam bilik rumah tersebut, polis menemukan satu beg galas berwarna kelabu berisi dadah jenis syabu seberat 5.5kg dan lima peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.6kg.

    “Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM224,852 dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 62,000 penagih,” katanya.

    Menurutnya, pihak polis turut menyita sebuah motosikal 125Z bernilai RM8,000 serta wang tunai RM835.

    “Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara enam hingga lapan bulan lalu. Kesemua mereka direman hingga 26 Januari depan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.