Category: Semasa

  • Saya tiada jawatan dalam 1MDB – Jho Low

    Saya tiada jawatan dalam 1MDB – Jho Low

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah tampil untuk mempertahankan diri dan berkata beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta empat anak syarikatnya.

    Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan oleh peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas berhubung saman sivil oleh 1MDB, Jho Low, 41, mendakwa saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman US$3.7837 bilion terhadap Jho Low, ibu bapanya iaitu Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Jho Low berkata, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif.

    Oleh itu, Jho Low berkata, beliau tidak mempunyai kedudukan perundangan untuk melaksanakan kawalan ke atas plaintif, termasuk tetapi tidak terhad kepada mengarahkan atau menyebabkan pemindahan dan/atau penerimaan dana.

    Jho Low berkata, saman 1MDB terhadapnya adalah lewah kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah mencapai satu penyelesaian yang komprehensif dan global dengan beliau berhubung tindakan sivil badan itu terhadapnya yang mempunyai kaitan dengan 1MDB tanpa sebarang dapatan “kebersalahan, kesalahan, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku.”

    Beliau mendakwa, tindakan sivil 1MDB terhadapnya ketika ini adalah berdasarkan pemfailan DoJ berkaitan dakwaan tertentu, dan mendakwa dana kekayaan negara itu pada masa yang sama mengabaikan resolusi tindakan sivil DoJ terhadapnya.

    Jho Low mendakwa, resolusi tindakan sivil DoJ telah membawa kepada pelucuthakan secara sukarela dan penghantaran balik aset untuk faedah mutlak kerajaan Malaysia, yang pada akhirnya juga untuk faedah plaintif.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, semua plaintif mendakwa mereka telah dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memudah cara penipuan berskala besar serta berjangka panjang yang mengakibatkan berbilion-bilion ringgit telah diseleweng ke dalam akaun peribadi untuk manfaat pelbagai penipu termasuk defendan.

    Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 9 Feb. – BERNAMA

  • Dr Ganja diarah bela diri atas 39 tuduhan kes dadah

    Dr Ganja diarah bela diri atas 39 tuduhan kes dadah

    SEORANG pesara tentera yang digelar ‘Dr Ganja’ diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, atas 39 pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan itu.

    Mahkamah menetapkan tarikh pada 7,8,13 dan 18 April, untuk tertuduh membela diri.

    Mengikut pertuduhan, Amiruddin didakwa atas 16 pertuduhan mengedar ganja dengan anggaran berat 77.48493 kilogram dan 14.647 liter, mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Dia juga dituduh atas 18 pertuduhan menanam pokok ganja mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan.

    Amiruddin turut menghadapi empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

    Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang pada 12.30 tengah hari, 26 Mei 2017.

    Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 8 April 2019.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dan tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani. – BERNAMA

  • 50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    50 PATI diberkas di Pantai Bagan Pasir

    SERAMAI 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 4 Semenyih di pesisir Pantai Bagan Pasir, Kuala Selangor, tengah malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka membabitkan lelaki, wanita dan remaja berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun dicekup ketika rondaan pukul 12.10 tengah malam.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru sahaja memasuki negara ini melalui laluan jalan laut dengan menggunakan bot.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    “Katanya, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus.

    “Kami meminta masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Mahkamah benar permohonan Siti Bainun dapatkan pasport sementara untuk ke Filipina

    Mahkamah benar permohonan Siti Bainun dapatkan pasport sementara untuk ke Filipina

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri program sukarelawan di Filipina.

    Hakim Izralizam Sanusi memberikan pelepasan sementara pasport itu dari hari ini hingga 11 Februari depan selepas mendengar hujahan peguam Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zilfinaz Abbas.

    “Perkara pertama yang dinilai oleh mahkamah ialah sama ada terdapat asas untuk tertuduh melarikan diri. Saya berpendapat tiada risiko untuk pemohon melarikan diri dan berdasarkan rekod, pemohon tidak pernah gagal hadir di mahkamah dan sentiasa memberikan kerjasama.

    “Setelah mempertimbang hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah membenarkan pemulangan sementara pasport bermula hari ini dan pemohon perlu menyerahkannya semula kepada mahkamah sebelum atau pada 11 Februari selain wang jaminan sebelum ini RM17,000 dinaikkan RM3,000 menjadikan keseluruhannya RM20,000,” katanya.

    Terdahulu, Farhan memaklumkan mahkamah bahawa pada 3 Januari lepas, Siti Bainun menerima jemputan daripada Cebu Madinah Mosque di Punta, San Remigio, Filipina untuk menghadiri program pembangunan komuniti selama seminggu dari 3 hingga 9 Februari.

    “Pemohon menyertai program tersebut sejak 2014 dan kebiasaannya akan berkunjung ke sana pada minggu pertama bulan Ramadan setiap tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Perbicaraan kes yang dihadapinya bermula awal Ramadan maka pemohon ingin menghadiri program itu lebih awal daripada biasa.

    “Beliau perlu berada di sana bagi menguruskan wang sumbangan daripada individu di Malaysia. Pihak kami percaya wang sumbangan itu boleh diserahkan menerusi pemindahan wang namun pemohon perlu berada di sana bagi meyakinkan individu yang telah mengamanahkan wang sumbangan kepadanya supaya penerima menerima wang tersebut,” katanya yang turut dibantu peguam M.Yalini.

    Ditanya Hakim Izralizam mengapa permohonan itu difailkan petang semalam sedangkan Siti Bainun menerima jemputan pada 3 Januari lepas, Farhan berkata terdapat kesalahan pada isi kandungan dan anak guamnya menerima surat yang telah dikemas kini pada Rabu lepas.

    Selain itu, beliau berhujah tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri kerana Siti Bainun memiliki segala-galanya di Malaysia seperti keluarga, perniagaan dan pekerjaan hakiki.

    “Tambahan pula kes itu telah mendapat liputan media dan beliau perlu berada di Malaysia untuk menjawab segala pertuduhan serta membersihkan namanya, jadi tiada sebarang risiko untuk Siti Bainun melarikan diri,” katanya.

    Zilfinaz, yang dibantu oleh TPR Noor Shakira Aliana Alias, pula membantah permohonan itu kerana ia dikemukakan pada saat-saat akhir sedangkan Siti Bainun menerima jemputan lebih awal dan ini menunjukkan pemohon mengambil kesempatan untuk meraikan Tahun Baharu Cina sebelum program itu.

    “Pada surat tersebut tidak dinyatakan tarikh tetap dan atur cara program, oleh itu dikhuatiri pemohon akan mengambil kesempatan,” katanya sambil menambah Siti Bainun hanya peserta dan ketidakhadiran beliau tidak menjejaskan program itu.

    Beliau berkata tarikh perbicaraan kes itu semakin hampir dan memandangkan jangkitan COVID-19 di Filipina menyaksikan peningkatan, ia membahayakan pemohon manakala kelancaran prosiding mahkamah akan terjejas sekiranya Siti Bainun dijangkiti wabak tersebut.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama 15 hari mulai 30 Mac dan 34 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan.- Bernama

  • Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

    LIMA lagi lelaki ditahan susulan insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang kelmarin.

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah seramai 10 orang selepas lima lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu.

    Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

    Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dua daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis mankala lapan lagi masih direman selama lima hari sehingga 31 Januari ini.

    “Suspek yang masih ditahan reman berada di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

    Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

    Kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

    Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

    Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).

  • Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    PELUANG sudah semakin tipis untuk menyelamatkan spesies terancam harimau Malaya daripada terus pupus.

    Justeru, Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau) menegaskan usaha pemuliharaan haiwan kebanggaan Malaysia itu tidak seharusnya diserahkan pada pihak kerajaan semata-mata.

    Presidennya, Lara Ariffin berkata, Rimau kini bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menghentikan aktiviti pemburuan haram di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak, bagi menyelamatkan spesies yang hanya ditemui di Semenanjung Malaysia itu yang kini jumlahnya dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

    “Rimau kini terlibat dalam pelbagai usaha sama dengan pihak berkaitan, seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, untuk membanteras kegiatan pemburuan haram haiwan tersebut.

    “Sebagai permulaan, kita mempunyai Unit Patrol Menraq terdiri daripada 30 renjer suku Orang Asli Jahai, yang menumpukan pada pemantauan pemburu haram di Taman Negeri Royal Belum, yang merupakan tempat tinggal suku itu sekian lama,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, semalam, selepas menerima replika cek RM38,888 daripada HABIB bagi menyokong usaha murni itu.

    Lara berkata, unit yang diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) itu, mempunyai fungsi yang terhad iaitu mereka hanya boleh memerhatikan daripada jauh kerana tidak mempunyai kuasa untuk melakukan penahanan.

    Bagaimanapun, hasil kerjasama dengan PTNPk yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, Lara berkata usaha tersebut membantu pihaknya dalam mengekang kegiatan pemburuan haram tersebut.

    Menurut Lara, setiap bahagian tubuh harimau Malaya iaitu dari kepala, tulang, ekor sehinggalah ke kulit, malah misai haiwan itu juga, yang kini digunakan sebagai jarum akupuntur di China, mendapat permintaan tinggi, termasuk di Vietnam.

    “Sangat menyayat hati apabila melihat, bukan sahaja harimau, tetapi juga haiwan liar lain mengalami kecacatan pada anggota badan akibat jerat dan perangkap. Ada yang dilihat berkeliaran dengan hanya tiga kaki ekoran terkena jerat,” kata Lara.

    Ditanya jika Rimau akan melakukan usaha pembiakan bagi menambah bilangan harimau Malaya, Lara meletakkan langkah itu sebagai pilihan terakhir dan bukanlah kaedah yang sesuai dalam pemuliharaan harimau.

    “Pada tahap tertentu, harimau adalah seperti kucing domestik. Mereka memerlukan tiga perkara untuk membiak secara semula jadi dan lancar, iaitu ‘rumah’ yakni hutan; makanan dan perlindungan,” jelasnya.

    Menurut Lara, harimau Malaya kini kehilangan ketiga-tiga perkara itu berikutan peningkatan aktiviti pemusnahan hutan dan pembalakan.

    “Apabila harimau, terutama anak harimau, dihalau dari habitat semula jadinya, haiwan itu terkeluar dari kawasan jajahannya dan anak harimau menghadapi risiko dimakan binatang lain,” katanya.

    Susulan itu, Lara berkata Rimau kini dalam proses memperhebat usaha pemuliharaan dan menyeru orang awam yang berminat untuk bersama-sama persatuan itu menyelamatkan haiwan kesayangan negara ini, memandangkan sudah tidak praktikal dengan hanya ergantung pada agensi kerajaan sahaja.

    Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.rimau.ngo atau platform media sosial persatuan itu di Facebook dan Instagram. – BERNAMA

  • Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    WISMA Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menyediakan 200 bilik penginapan setaraf hotel yang dikhaskan untuk Pegawai Tentera Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM bujang serta PTTK ATM yang berjauhan dengan keluarga.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kemudahan Wisma Bintara disediakan untuk 1,400 PTTK ATM dengan bayaran serendah RM50 sebulan termasuk makan minum.

    (PTTK ATM adalah Pegawai Waran, Sarjan dan Staf Sarjan setaraf.)

    “Selain itu bayaran sebanyak RM30 semalam dikenakan kepada PTTK ATM dari luar kawasan yang menggunakan wisma itu sebagai transit jika mereka mempunyai urusan di ibu kota,” katanya selepas merasmikan wisma itu hari ini.

    wisma bintara ATM
    Ikmal Hisham Abdul Aziz pada majlis perasmian Wisma Bintara ATM di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Beliau berkata, kompleks dengan kos RM30 juta hasil sumbangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera itu, mula dibina pada 3 Julai 2017 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ATM dan siap pada 28 Dis 2020.

    Ikmal Hisham berkata, wisma yang antara lain dilengkapi kemudahan seperti surau, gimnasium, dewan bankuet, gelanggang sukan dan ruang rehat itu, dilihat mampu meningkatkan moral anggota ATM serta menjadi pemangkin ke arah melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan pasukan itu.

    Menurutnya, projek tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kementerian terbabit dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya, seiring Pelan Tindakan 2022. – BERNAMA

  • Agong dibenarkan keluar IJN hari ini

    Agong dibenarkan keluar IJN hari ini

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini. 

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada 11.30 pagi ini setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lepas.

    Pada Ahad, Ahmad Fadil menerusi satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas. 

    Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)  menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.- Bernama

  • Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan hari ini  atas pertuduhan membunuh suaminya yang ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam pada 23 Januari lepas.

    Lau Seck Yan, 55,  yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan syarikat swasta di rumah berkenaan di Jalan TK 6/2 Rasa Kemayan Golf & Country Township, Seremban, antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    “Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu…tidak harus dituduh di bawah akta tersebut,” kata Lau.

    Norzaliza memberitahu tertuduh bahawa dia perlu berbincang dengan peguam yang dilantik sekiranya terdapat perkara yang ingin dimaklumkan kepada mahkamah.

    Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Lau memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan turut memaklumkan kes itu berkaitan hal keluarga. 

    Beliau juga memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital untuk menjalani rawatan psikiatri.

    Mahkamah tidak membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin dan turut menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini serta  menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, pekarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi anggota polis pada 9.30 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

    Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian. – Bernama

  • Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    Polis tahan dua lelaki gaduh di Station 18 

    POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di Station 18, Ipoh, Perak yang tular di media sosial pada Khamis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain kedua-dua lelaki berusia 27 tahun itu, polis juga sedang mengesan suspek yang lain bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

    “Hasil semakan mendapati pihak polis telah pun menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 27 Januari, lebih kurang pukul 11.51 malam berkaitan satu kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di kawasan Station 18, Ipoh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki yang memandu sebuah kereta dan telah dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

    Menurutnya, berikutan daripada tuduhan tersebut, berlaku kejadian kejar-mengejar di antara mangsa dan suspek sehingga kenderaan yang dipandu mangsa melanggar sebuah kereta lain.

    Ia kemudiannya membawa kepada rusuhan dalam kalangan sekumpulan remaja yang dipercayai pekerja perkhidmatan penghantaran makanan.

    Kata Mior Faridalathrash, kenderaan mangsa telah dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik.

    “Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit oleh mangsa tidak dapat dibuktikan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberi keterangan dalam usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat.