Category: Semasa

  • Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    POLIS menahan empat lelaki yang menjadi ejen bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu dengan melintasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram, hari ini.

    Susulan penahanan empat suspek itu, polis menemukan 24 lagi warga Myanmar terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, Pasir Mas, pukul 1.20 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun di Kampung Repek.

    “Pemeriksaan polis mendapati nombor plat kereta berkenaan adalah palsu, manakala nombor casis didapati sudah diganggu.

    “Suspek berusia 24 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin di samping mempunyai lima rekod jenayah.

    “Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertugas sebagai ‘penghantar’ yang mengambil warga Myanmar di pangkalan haram Lubok Gong, Pasir Mas untuk dibawa ke satu destinasi dalam negara.

    “Suspek berusia 24 tahun juga mengaku hanya dia dan seorang adiknya yang mengenali seorang warga Myanmar yang dipanggil ‘Apik’, dalam urusan membawa masuk pendatang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Nasaruddin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus dan berjaya menahan 24 warga Myanmar berusia 20 hingga 40-an,.

    Menurutnya, pukul 2.40 pagi tadi, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang juga adik suspek berusia 24 tahun itu, di sebuah rumah tidak bernombor di Lubok Setol untuk siasatan lanjut.

    “Suspek mengaku sudah 14 kali bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menerima arahan daripada “Apik” bagi mengangkut pendatang haram Myanmar.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak bernombor di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan berjaya menahan suspek warga Myanmar dikenali sebagai ‘Apik’ di luar rumah itu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek warga Myanmar berusia 40-an itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) dan berperanan sebagai ‘ejen’ membawa masuk pendatang Myanmar ke negara ini dengan mengupah penduduk tempatan sebagai penghantar.

    Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

  • Peruntukan RM2.38 juta bantuan persekolahan untuk 14,000 pelajar kurang berkemampuan

    Peruntukan RM2.38 juta bantuan persekolahan untuk 14,000 pelajar kurang berkemampuan

    KERAJAAN menerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM2.38 juta daripada kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk pemberian bantuan persekolahan kepada 14,000 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara tahun ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata bantuan sempena Program Jom Ke Sekolah bernilai RM170 bagi setiap pelajar itu turut disalurkan kepada pelajar bukan islam yang layak menerima bantuan berkenaan.

    “Di Sabah dan Sarawak, bantuan diberikan masing-masing kepada 1,200 pelajar kerana dua kawasan negeri ini luas, ada juga penerima program ini bukan beragama Islam, tapi sebahagian besarnya ialah untuk orang Islam kerana ia dari wang zakat,” katanya. 

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Program Jom Ke Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan serta penutupan Program Dekat Di Hati Anak Malaysia di Desa Kencana Felda Sahabat, Lahad Datu, hari ini. 

    Katanya sumbangan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anysccak pada tahun ini selain menyuntik semangat belajar dan berjaya dalam kalangan pelajar. – Bernama

  • Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

    Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

    LANGKAH untuk tidak menaikkan tarif elektrik membabitkan lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini menunjukkan bahawa kerajaan meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama ketika ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan terkesan melihat rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 yang membawa kepada kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta bencana banjir baru-baru ini yang menjadi kesan tambahan kepada rakyat.

    Beliau berkata bagaimanapun, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah tidak mudah memandangkan subsidi elektrik perlu diteruskan.

    “Ini dilakukan bukan mudah kerana dengan keputusan itu kerajaan perlu meneruskan subsidi, bukan tidak naik bererti tiada kos kepada kerajaan, tidak.

    “Apabila tidak naik ertinya kerajaan perlu ambil satu duit lain, dana lain untuk memberikan subsidi supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal sebagai satu penjana yang ‘viable’. Jangan pula ia mengalami bankrap dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Che Roslan Che Daud.

    Menurut Annuar, selepas TNB membuat pengesyoran untuk menaikkan tarif melibatkan pengguna domestik berikutan kenaikan harga bahan api, Kabinet telah mengadakan enam siri perbincangan yang membawa kepada keputusan pada Rabu lepas bahawa kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik.

    “Kita kena tengok pelbagai sudut, pemegang saham, kedayahidupan TNB itu sendiri. Tetapi setelah berbincang panjang lebar, Jemaah Menteri di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tidak boleh dinaikkan tarif,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Ismail Sabri semalam, mengenai kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

    Ismail Sabri dipetik sebagai berkata subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta juga akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan. – Bernama

  • ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    “Saya hanya sempat mendengar arwah isteri menyebut Allahuakhbar sebelum kami dirempuh kenderaan itu,” demikian diceritakan Mohd Nazri Hamid, 44, mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang petang semalam. 

    Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan kejadian itu menyebabkan guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, maut.

    Mohd Nazri, yang juga seorang guru di sekolah sama berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah di kuarters kediaman guru di sekolah itu pada pukul 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri anak saudara kepada Allahyarham isterinya di Kajang yang akan berlangsung pada hari ini.

    Menurutnya, perjalanan itu turut diiringi abang iparnya yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero bersama dua anaknya lagi Ahda Fasihah, 11, dan Ahmad Awaz, 12, yang terselamat dalam kejadian itu. 

    “Ketika tiba berhampiran lencongan di Sungai Koyan, ada sebuah treler terbalik sekali gus membuatkan perjalanan tergendala sekitar 30 minit. Selepas itu, saya meneruskan perjalanan untuk ke Karak-Kuala Lumpur dan ketika itulah kenderaan yang dipandu saya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

    “Kejadian itu menyebabkan isteri dan tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan…saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan itu di hadapan kereta kami,” ujarnya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Jenazah empat beranak yang maut dalam kejadian itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut pada 9.50 pagi tadi. 

    Terdahulu, jenazah tiba dengan van jenazah pada 8.30 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, Panchor di sini yang diimamkan oleh suami mangsa. – Bernama

  • Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

    Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah di sini akibat sakit tua.

    Perkara itu disahkan oleh menantu Allahyarham, Wan Ibrahim Omar kepada Bernama. 

    Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

    Tun Salahuddin, yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014. 

    Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

    Pada 2000, Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak kerana penyandang jawatan itu Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

    Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000 yang menyaksikan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Feb 2014. – Bernama

  • OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan menerima satu laporan berhubung kematian mengejut, melibatkan seorang lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Marang, Terengganu, hari ini.

    Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada 3 petang tadi.

    Beliau berkata, siasatan berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS.

    “OKT yang berumur 38 tahun itu, ditahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Azri berkata, OKT direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Jan di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. – BERNAMA

  • Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    KES remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, selesai selepas keluarga remaja itu Daniel Iskandar Mohd Nasir dan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah, Kuang di Sungai Buloh memilih untuk berdamai.

    Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai.

    “Mereka juga sepakat untuk tidak mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Masjid Al Islahiah hari ini.

    Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang ke atas Daniel Iskandar, 19, serta menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

    Hakim Datuk Abd Halim Aman, yang menyemak keputusan Mahkamah Majistret, turut menyarankan agar pihak masjid yang merakam dan menularkan video Daniel Iskandar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada remaja itu dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

    Datuk remaja itu, Rosli Sidek, 65, pula berkata dia bersyukur permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara baik dan cucunya kini banyak berubah ke arah positif.

    “Sebelum ini, Daniel ada meminta maaf dengan saya atas segala tingkah lakunya dan saya telah memaafkannya. Dia masih di bawah umur dan salah memilih kawan.

    “Daniel sekarang banyak berubah, dia insaf selepas apa yang berlaku. Saya tabah dan reda dengan segala dugaan Allah,” katanya dengan nada sebak.

    Wakil Masjid Al Islahiah yang juga Ketua Kampung Damai, Kuang Abdul Ghani Abdullah berkata pihaknya bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

    Turut hadir Timbalan Mufti Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili remaja itu.

    Kisah Daniel Iskandar yang tular di media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah serta dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, mendapat perhatian umum.

    Pada 13 Jan lepas, Daniel Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan pada 11.58 malam 8 Jan lepas. – BERNAMA

  • KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited melakukan terbaik bagi merealisasikan pelbagai pendekatan strategik yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha melahirkan golongan belia cemerlang termasuk memajukan sukan negara.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan telah menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

    “Dalam pertemuan tadi, kami bincangkan tentang usaha dan pendekatan untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan murid dan juga kaedah mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan KPM dan KBS.

    “Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM-KBS. Kini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) KPM-KBS antara yang sedang diusahakan,” kata Radzi menerusi hantaran itu, hari ini.

    Beliau berkata, aspek pembangunan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa.

    “Semoga usaha KPM-KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia yang cemerlang serta memajukan sukan dapat direalisasikan sepertimana dirancang,” katanya. – BERNAMA

  • 4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    KEGEMBIRAAN lima beranak untuk menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi selepas empat daripada mereka maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 3.10 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Toyota Vellfire maut di tempat kejadian.

    Mereka ialah suri rumah, Raihan Mohamad, 43, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, tujuh tahun; dan Ahda Imtinan, empat tahun manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    “Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata, impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pacuan empat roda itu rosak di bahagian hadapan.

    Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong pula cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

    Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati dia positif dadah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperolehi dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

    “Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata, individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

    “Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

    Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

    “KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    “Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

    Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

    Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan menyatakan kesemua PPV yang dioperasikan oleh GP dan NGO di bawah ProtectHealth akan melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus di seluruh negara.

    “Individu yang ingin mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus, perlu memastikan bahawa sijil vaksinasi digital mereka di MySejahtera adalah lengkap.

    “Mereka dengan janji temu menerusi MySejahtera akan diberikan keutamaan dan pemberian dos penggalak akan diberikan atas dasar secara siapa cepat dia dapat dahulu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan ProtectHealth juga menyatakan bahawa orang ramai akan terus mendapat janji temu menerusi aplkasi MySejahtera kerana janji temu vaksinasi masih lagi berterusan dan disahkan. – BERNAMA