Category: Semasa

  • 4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    POLIS Pulau Pinang menyita sebanyak 43 buah motosikal dan menahan empat ‘mat rempit’ dalam Op Samseng Jalanan bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 6 pagi ini.

    Operasi di sekitar daerah Barat Daya dan  Seberang Perai Utara (SPU) dilakukan sempena Op Selamat (17) Tahun Baharu Cina dan diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zafri Zolkapli bersama lima pegawai dan 28 anggota.

    Menurut Zafri, operasi iti dijalankan hasil aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan termasuk mat rempit yang sering berlumba dan menunggang motosikal secara bahaya di kawasan terbabit.

    Katanya, menerusi operasi itu sebanyak 37 buah motosikal disita di daerah Barat Daya dan enam lagi di SPU manakala empat lelaki ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

    Selain itu jelas beliau, sebanyak 117 saman tu dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan trafik.

    “Kita mengambil tindakan proaktif dengan mengaturkan pasukan untuk memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Zafri,  tindakan penguatkuasaan akan diambil secara menyeluruh jika terdapat pengguna yang masih lagi enggan mematuhi peraturan di jalan raya terutama kepada pelaku-pelaku samseng jalanan.

  • ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), DCP Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

    “Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata, susulan itu, Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

    Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCom menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati. – BERNAMA

  • PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

    PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

    SERAMAI 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.

    Menurut data yang diwartakan SPR pada 17 Jan lepas, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah seramai 376 orang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Pengundi boleh membuat semakan awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my., aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR menerusi talian 03-88927018.

    Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini.

    — BERNAMA

  • JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    PROGRAM rintis pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai, JKMPay, masih lagi di peringkat kajian sebelum dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, meskipun projek rintis itu telah dilaksanakan hampir setahun melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di dua daerah di Selangor dan Kelantan, namun masih terdapat kajian yang perlu dilaksanakan khususnya berkaitan keberkesanannya.

    “JKMPay ini melibatkan penerima bantuan JKM yang baharu bukan sahaja penerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU). Bila kami buat kajian, kajian utama lebih kepada penerima bantuan…bagaimana pengalaman mereka ketika menggunakannya dan bagaimana kami boleh tambah baik hasil pengalaman yang mereka kongsikan.

    “Bahkan sebelum projek rintis ini dilaksanakan, kami telah adakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh termasuk Majlis OKU. Kami akan adakan libat urus dengan lebih ramai lagi sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas program menyantuni Pusat Jagaan OKU di Petaling Jaya hari ini.

    Beliau berkata, JKMPay dilaksanakan antara lainnya bagi membantu penerima bantuan JKM mengawal perbelanjaan dengan mendapatkan barangan yang benar-benar diperlukan seperti barangan keperluan, makanan, ubat-ubatan dan pampers.

    “Hasrat kami untuk pastikan dari segi kelangsungan hidup mereka untuk beli barangan keperluan itu ada. Dalam masa sama kami nak sokong ekonomi digital, saya tidak mahu sahabat OKU saya tercicir…mereka juga harus turut serta dalam dunia digitalisasi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang caj dikenakan ke atas pengguna JKMPay mahupun kerajaan.

    Sementara itu, Rina berkata, jelajah pendaftaran OKU akan dilaksanakan melalui MyDaftar OKU bagi memastikan lebih ramai golongan itu membuat pendaftaran.

    Beliau berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, pihaknya sudah menerima 13,715 pendaftaran dalam tempoh dua bulan sahaja dan jelajah itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan OKU.

    “Melalui MyDaftar OKU, mereka kini boleh isi borang secara dalam talian dan kami juga sedang usahakan agar pengesahan daripada pengamal perubatan juga dapat dibuat secara dalam talian…ini telah dilaksanakan di pejabat kebajikan daerah,” katanya. – BERNAMA

  • 1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

    Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

    Sementara itu, katanya, dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

    Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. – BERNAMA

  • Pemimpin bahagian Bersatu anggap tindakan dua bekas ADUN langkah politik

    Pemimpin bahagian Bersatu anggap tindakan dua bekas ADUN langkah politik

    TINDAKAN  bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti dipercayai merupakan satu langkah politik.

    Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Kamaruzzaman Abu berkata seharusnya Mazlan mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Beliau berkata Mazlan juga telah berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Jan lepas, untuk persediaan bahagiannya itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sebelum pengumuman PRN.

    “Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang. Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di Johor Bharu, malam tadi, lapor Bernama.

    Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti, serta meletakkan jawatan.

    Beliau berkata hal ini berikutan hanya enam sahaja ahli jawatankuasa yang berbuat demikian, dan setakat ini Bersatu Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli melibatkan sebanyak 17 cawangan.

    Kamaruzzaman berkata meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pimpinan Bersatu Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

    Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

    Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau.

    Sementara itu,  Ketua Bahagian Bersatu Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, tindakan keluar parti oleh dua bekas ADUN dan Exco dari Bersatu Johor tidak sesekali memberikan sebarang kesan terhadap parti keseluruhannya dan tidak menjejaskan pendokong Perikatan Nasional (PN) serta pengundi.

    Ketua Bahagian Bersatu Labis Ahmad Humaizi Uzir berkata, tindakan yang dilakukan kedua-dua bekas ADUn itu juga adalah sekali gus memalukan diri serta penyokong mereka.

    “Tindakan mereka untuk keluar dari parti selepas pembubaran Dewan Negeri Johor juga dilihat seperti bersifat politik dendam dan penakut, berkemungkinan sudah mengetahui diri tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Johor.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencabar mereka bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula,” katanya dalam kenyataan.

  • Beri ruang semua calon PRN Johor berkempen dalam RTM

    Beri ruang semua calon PRN Johor berkempen dalam RTM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN sedia memberi ruang kepada semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk berkempen menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu bagi memberi ruang sama adil kepada semua pihak sama seperti PRN Melaka pada tahun lalu apabila bukan sahaja calon pembangkang tetapi Bebas juga diberikan peluang yang sama.

    “Boleh, termasuk juga calon parti pembangkang selagi mana ianya tidak disalahgunakan dan atas usaha melengkapkan proses demokrasi menjadikan negara kita mengamalkan demokrasi matang.

    “Ini bagi membolehkan rakyat mengenali mereka kerana rakyat berhak tahu siapa calon mereka sebelum membuat keputusan mengikut pilihan sendiri, jadi tidak timbul masalah daripada segi itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program temubual bersama radio Johor.fm di pejabat RTM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Annuar menasihatkan semua pihak yang bertanding termasuk kepimpinan parti masing-masing untuk tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

    Mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PRN Johor diadakan kerana mengikut desakan kluster mahkamah dalam UMNO, beliau berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, kenyataan Hadi itu tidak bersandarkan fakta atau sumber maklumat yang sahih.

    “Kenyataan ini tidak tepat, saya sendiri duduk dengan kepimpinan parti dan kita semua menghormati keputusan dibuat Menteri Besar Johor dan juga menjunjung kasih perkenan Sultan Johor.

    “Menteri Besar Johor tidak buat keputusan itu secara sendirian, beliau sudah membuat perundingan dengan anggota kerajaan di peringkat Pusat dan negeri, saya percaya pertimbangan mendalam telah dibuat,” katanya

    Semalam, Hadi dilaporkan mendakwa PRN Johor yang akan dibuat dalam waktu terdekat ini merupakan agenda kluster mahkamah dalam UMNO.

  • Tular kalimah Allah didakwa dicetak di tikar khemah Decathlon

    Tular kalimah Allah didakwa dicetak di tikar khemah Decathlon

    HANGAT dibincangkan di media sosial apabila tular beberapa keping gambar dan video tikar khemah jenama Decathlon yang menunjukkan cetakan kalimah Allah di atas tikar khemah tersebut.

    Gambar dan video berkenaan cetakan kalimah Allah itu dimuatnaik oleh Pak Lang Botuck di laman Facebook ‘Family Camping Malaysia’ dan segera menjadi satu topik perbincangan hangat di ruangan komen.

    Dalam pada itu, ruangan komen di perkongsian itu dibanjiri netizen yang mengharapkan ada jalan penyelesaian segera daripada pihak yang menjual tikar khemah berkenaan, Decathlon.

    “Decathlon, sila keluarkan kenyataan rasmi dan tarik produk ni,” kata Mohd Huzaifah.

    “Tukar nanti, depa (Decathlon) pergi jual pula dekat lain, kemudian orang pijak juga, kalimah itu kita kena jaga. Kalau pergi tukar jadi tiada beza la jadinya,” soal Arif Azmi.

    Sementara itu, menerusi Facebook Decathlon Malaysia, pihak mereka memohon sedikit ruang bagi melakukan siasatan lanjut dan akan memberikan penjelasan sewajarnya.

    “Berikan sedikit ruang untuk pihak kami melakukan siasatan lanjut dan kami akan memberikan penjelasan yang sewajarnya setelah siasatan selesai,” katanya. – SB

    Pautan aduan pengguna https://www.facebook.com/groups/FamilyCampingMalaysia/permalink/4907543212670934/?sfnsn=mo&ref=share

  • Kapal tangki dari Malabo ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tangki dari Malabo ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK serik-serik. Mungkin itu perumpamaan yang boleh diberikan terhadap kapal-kapal tangki asing yang terus menceroboh perairan negara.

    Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, pukul 10. 55 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki didaftarkan di Malabo itu ditahan pada kedudukan 8.4 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

    “Ketika penahanan kapal tangki sepanjang 39 meter itu dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia yang mempunyai dokumen pendaftaran diri sah berusia dari 25 tahun hingga 58 tahun.

    “Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati, nakhodanya gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    Nakhoda kapal kemudian dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

    Maritim Malaysia Negeri Johor ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas akan dipergiatkan lagi bagi membanteras kapalkapal yang berlabuh secara haram di perairan negeri Johor.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kapal antarabangsa supaya menghormati kedaulatan dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan dalam perairan Malaysia.

    Sekiranya terdapat sebarang aduan, pertanyaan atau laporan mengenai kegiatan di perairan negeri Johor, segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401.

  • Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan serbuan sebuah pusat karaoke di Mont Kiara, Kuala Lumpur pukul 11 malam tadi yang menawarkan wanita warga Korea Selatan yang gebu sebagai peneman berhibur.

    Premis berkenaan menyediakan pakej bilik eksklusif dengan layanan istimewa daripada wanita Korea Selatan itu yang bukan saja dikunjungi pengunjung biasa tetapi juga golongan kenamaan.

    Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan enam wanita warga Korea Selatan yang disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO).

    “Kita turut menahan tiga lelaki terdiri daripada dua warga Korea Selatan dan seorang warga Pakistan turut ditahan ketika serbuan itu.

    “Berdasarkan siasatan awal, premis itu menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 46 tahun sebagai pelayan istimewa dari bilik ke bilik pelanggan.

    “Mereka memperoleh bayaran sebanyak RM500 bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan selain menerima tip daripada pelanggan.

    “Bayaran bagi setiap bilik pula mencecah sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas ekspatriat.

    Dalam serbuan berasingan, Syamsul Badrin berkata, JIM Kuala Lumpur menyerbu tiga pusat urut dan refleksologi di Pandan Indah, Ampang.

    Menurutnya, seramai 23 individu diperiksa dan tujuh daripadanya ditahan membabitkan enam wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam.

    “Bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, pelanggan perlu membayar sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan susulan mengikut Akta Imigresen 1959/63.