Category: Semasa

  • JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji (TH) yang memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pertama Rabu lepas.

    Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

    “Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas di Ipoh hari ini.

    Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.

    Mengenai program hari ini Idris berkata, beberapa keluarga mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh Ahad lepas menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga hari ini, bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.

    “Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – BERNAMA

  • Harga ayam naik lebih RM10 sekilogram kalau kerajaan tak campur tangan

    Harga ayam naik lebih RM10 sekilogram kalau kerajaan tak campur tangan

    LANGKAH intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuat kuasa Sabtu ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan langkah itu, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram susulan peningkatan kos penternakan ayam sebanyak 70 peratus.

    “Dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Jan lepas, mesyuarat telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya.

    “Berikutan peningkatan kos pengeluaran, maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan, selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL.

    Nanta berkata, harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan dibuat berdasarkan lokasi.

    Beliau berkata, harga runcit itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 sekilogram ketika Deepavali lepas, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) (7 hingga 31 Dis lepas) dan RM9.10 ketika (SHMKM) (1 hingga 4 Feb).

    “Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

    Nanta berkata, pihaknya sentiasa menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin dari segi bekalan serta mengelak berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat.

    Katanya, hasil Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan mengenai pelan tindakan jangka panjang berkaitan bekalan makanan yang akan dipengerusikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak lama lagi akan dilaporkan ke Mesyuarat NACCOL akan datang.- BERNAMA

  • Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    LEBIH 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar sejak 12 Jan lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi perkara itu di Facebooknya dan memaklumkan operasi pemadaman di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut telah berjaya dipadamkan semalam.

    Menerusi hantarannya, Reezal Merican berkata, kejayaan itu disempurnakan dengan kerjasama semua pihak dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan serta negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

    “Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

    “Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ketika ini akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut.

    “Selain memantau titik panas, pihak JAS turut membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan tersebut pulang semula ke rumah mereka,” katanya.

    Katanya, ketika ini IPU di situ mencatatkan tahap sederhana namun angkanya semakin baik dari semasa ke semasa iaitu 74 direkodkan pada 7 pagi hari ini manakala pada 10 pagi is mencatatkan bacaan IPU 73. Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan dengan bakinya melibatkan sektor 5 sahaja.

    Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

    Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. – BERNAMA

  • Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

    Beliau berkata, lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

    “Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA

  • Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    BAHAGIAN enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

    “Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

    “Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – BERNAMA

  • JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    JHS rampas 717 batang balak hasil aktiviti pembalakan haram

    KEGIATAN aktif pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau berjaya dihentikan oleh Jabatan Hutan Sarawak semasa melakukan rondaan penguatkuasaan di Sibu semalam.

    Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, Pejabat Hutan Wilayah Sibu merampas kayu-kayu balak tersebut untuk siasatan lanjut serta membuat laporan polis di Balai Polis Selangau.

    “Apabila tiba ke lokasi berkenaan, pasukan penguatkuasaan ini telah menjumpai tujuh longgok kayu balak yang sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz dipercayai telah ditebang secara haram kerana tidak mempunyai tanda Tukul JH, Tukul Hak Milik dan Tag LPI pada kedua hujung kayu balak berkenaan.

    “Satu kertas siasatan berkaitannya akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nilai rampasan keseluruhan kayu balak tersebut belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut berkaitannya dilaksanakan.

    Hamden menegaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan penguatkuasaan tanpa mengira cuti umum atau hujung minggu bagi mematahkan cubaan kegiatan haram ini.

  • MYCC tubuh pasukan khas siasat isu industri ayam dan telur

    MYCC tubuh pasukan khas siasat isu industri ayam dan telur

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat isu persaingan dalam industri berkaitan ayam dan telur ayam.

    Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, MyCC akan mengambil tindakan ke atas sebarang tindakan sabotaj ekonomi terhadap rakyat melalui elemen kartel atau penyalahgunaan kuasa dominan serta monopoli dalam industri ayam serta telur ayam di negara ini.

    “MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas berdasarkan kuasanya di bawah Akta Persaingan 2010 terhadap pihak-pihak berkenaan.

    “Tindakan ini termasuk mengenakan penalti maksimum dan tindakan tegas lain bagi memastikan penindasan ini dihentikan sama sekali demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa itu.

    Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara mengenai Industri Pengeluaran Makanan yang dipengerusikannya memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

    Sementara itu, harga telur ayam untuk semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

    Pelaksanaan kedua-dua harga berkenaan akan bermula dari 5 Februari sehingga 5 Jun ini. -. Bernama

  • 20 ditahan berpesta liar di inap desa

    20 ditahan berpesta liar di inap desa

    POLIS menahan 20 individu yang mengadakan parti liar dalam serbuan di sebuah inap desa di Jalan Presint 1, Darulaman Perdana, Sungai Petani, pukul 3 pagi tadi.

    Semua mereka yang ditahan masing-masing 18 lelaki dan dua wanita dikatakan baru mahu memulakan acara ‘goyang kepala’.

    Difahamkan, mereka berkongsi wang untuk menyewa inap desa terbabit selain turut mengenakan bayaran tertentu kepada setiap peserta yang hadir ke parti liar berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan terbabit semua yang ditahan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dan dikenakan kompaun.

    “Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.

    “Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, enam daripada mereka yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 24 tahun positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

  • Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    BANJIR termenung membuatkan perayaan Tahun Baharu Cina di bandar Marudi, Kuching suram dan hambar, hari ini.

    Ini susulan sebahagian besar jalan raya di pekan berkenaan dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

    Pekan Marudi mula dinaiki air 26 Januari lalu akibat limpahan air Sungai Batang Baram selepas hujan lebat di kawasan hulu sungai.

    Beberapa penempatan penduduk terjejas sehingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Suarah Marudi pada jam 4 petang, Sabtu lalu.

    Ketika ini, seramai 31 penduduk daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Kerbau dan Jalan Wawasan Kampung Cina Marudi, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya terus memantau keadaan banjir di Marudi termasuk membuat tinjauan udara hari ini.

    Tinjauan itu dijalankan Unit Udara Bomba Wilayah Sarawak yang berpangkalan di Miri.

    “Hasil tinjauan pada 12.30 tengah hari tadi mendapati beberapa kawasan sekitar pekan Marudi masih ditenggelami air namun pada aras yang terkawal,” katanya.

  • Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    Gajah liar mati sebelum dipindahkan

    GAJAH yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih, Sabtu lalu didapati mati di kebun getah pada di kampung berkenaan, petang semalam.

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya mendapati gajah berusia lingkungan 15 tahun itu mati kira-kira jam 2.30 petang.

    “Saya menerima berita sedih itu daripada kakitangan yang bertugas di lapangan, dan bedah siasat dilakukan oleh doktor veterinar Perhilitan pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian gajah itu.

    “Setakat ini saya masih menunggu laporan rasmi punca kematian gajah tersebut, manakala bangkai gajah itu ditanam di lokasi ia dirantai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tambah Loo, gajah seberat kira-kira dua tan tersebut sebelum ini dijadual akan dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan dengan bantuan gajah denak pada Rabu.

    Ahad lepas Bernama melaporkan, Perhilitan Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan di Kampung Padang Tapong dekat Kampung Padang Luas, di sini selepas menerima aduan orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran sekitar kampung termasuk menghampiri kawasan taman perumahan.

    Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah tersebut dengan menggunakan kaedah tembak ubat pelali dan haiwan itu dirantai kakinya pada pokok getah sementara menunggu ia dipindahkan. – Bernama