Category: Semasa

  • Jangan bimbang, pergaduhan itu cuma salah faham sesama peniaga

    Jangan bimbang, pergaduhan itu cuma salah faham sesama peniaga

    INSIDEN pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Pulau Pinang yang tular dalam laman sosial Facebook sejak Rabu lalu dikatakan berpunca daripada salah faham antara peniaga di situ.

    Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razali menafikan spekulasi di media sosial yang mengatakan pergaduhan berkenaan membabitkan pelanggan dengan peniaga.

    “Insiden itu berpunca daripada salah faham dan masalah peribadi antara dua peniaga di situ sejak sekian lama dan ia sudah diselesaikan dengan baik.

    “Ia tidak membabitkan kerosakan harta benda, kecederaan antara peniaga atau pelanggan dan perbalahan itu hanya berlaku sebentar saja,” katanya memetik Harian Metro.

    Asmadi berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 11 malam pada Selasa ketika kebanyakkan peniaga sedang mula mengemas barangan untuk menutup premis masing-masing pada pukul 12 malam.

    “Memang ada pelanggan yang masih menikmati makanan pada ketika itu namun tidak ramai,” ujarnya.

    Rakaman insiden yang tular sejak semalam itu memaparkan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu membaling kerusi dan beberapa barangan lain ketika pengunjung sedang menikmati hidangan mereka.

    Video berdurasi 1 minit 12 saat itu mendapat perhatian netizen sehingga ramai mendakwa pergaduhan itu berlaku kerana berebut pelanggan.

    Ekoran itu, Asmadi memohon orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga mencemarkan imej kompleks makanan berkenaan.

    Pada masa sama, pihaknya turut memberikan jaminan kompleks yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung ke Pulau Pinang itu, selamat untuk dikunjungi.

    “Dalam perniagaan, di mana-mana pun boleh berlaku salah faham, dan peniaga lain atau pelanggan tidak perlu bimbang kerana ia sudah diselesaikan dengan baik.

    “Terdapat 32 gerai makanan dan minuman di sini yang menjadi tumpuan pengunjung ketika ke Pulau Pinang bagi menikmati hidangan seperti laksa, pasembor, rojak, jeruk, cendol dan lain-lain lagi,” katanya lagi.

  • PICKids: 15 peratus ibu bapa Sarawak tak setuju

    PICKids: 15 peratus ibu bapa Sarawak tak setuju

    SEBANYAK 15 peratus daripada 40,000 responden dalam kalangan ibu bapa di Sarawak tidak bersetuju dengan Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil tinjauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dari 26 hingga 31 Jan itu mendapati sebanyak 59.7 peratus sangat bersetuju manakala 25.3 peratus tidak pasti.

    Beliau berkata, antara sebab utama responden tidak setuju atau tidak pasti adalah kerana kerisauan berkenaan komplikasi yang bakal berlaku selepas mengambil vaksin.

    “Ada juga yang risau berkenaan keselamatan vaksin dan mahu memilih jenis vaksin yang diberikan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kepada pemberita selepas majlis pelancaran PICKids peringkat Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer COVID-19 setakat 1 Feb.

    Menurutnya, angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

    Sementara itu, Uggah berkata, 272,500 orang kanak-kanak berumur 5 hingga kurang 11 tahun di Sarawak yang layak untuk PICKids.

    “Kita menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dan di dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh 2 bulan dari sekarang,” katanya. – BERNAMA

  • Guna perkataan halal palsu, pemilik kedai makan didenda RM10,000

    Guna perkataan halal palsu, pemilik kedai makan didenda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen di Melaka hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM10,000 ke atas pemilik kedai makan selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada buku menu.

    Joanne To Mei Ting, 30, yang berbaju kurung coklat, mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Sinar Harian hari ini.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemilik tunggal Tipsier Bridge Cafe Waronk memperakui bahawa makanan di kafe itu adalah halal dengan ungkapan halal pada lapan buku menu tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis perniagaan Tipsier Bridge Cafe Waronk di Kampung Pantai, Melaka, pada 6.30 petang, 5 Mac tahun lalu, mengikut perintah 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi mencadangkan denda tinggi diberikan kepada tertuduh kerana halal adalah isu sensitif selain mengambil kira lokasi kedai makan itu di kawasan pelancongan.

    Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan perlu menyara anak dan ibu yang sakit.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan tertuduh didapati membayar jumlah denda tersebut.

  • Agong, Raja Permaisuri timang dua cucu selang dua hari

    Agong, Raja Permaisuri timang dua cucu selang dua hari

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permasuri Agong Hajah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan menimang dua orang cucu baru-baru ini.

    Khabar gembira itu dikongsikan menerusi Instagram rasmi Istana Negara sekitar pukul 11 pagi tadi.

    “Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Alllah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan dua cucunda baru-baru ini,” kata hantaran itu pada kapsyen.

    Menariknya, jarak tarikh lahir dua cucu baginda yang masing-masing berjantina lelaki dan perempuan itu hanya selang dua hari.

    Menurut hantaran itu, Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Amir Nasser diputerakan pada 31 Januari lalu, manakala Tengku Aleya Norlini Shah Tengku Abu Bakar Ahmad pada 2 Februari 2022.

    “YM Tengku Nuh Muhammad Shah merupakan anakanda ketiga YAM Tengku Panglima Raja Amir Nasser Ibrahim Shah dan Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

    “Manakala YM Tengku Aleya Norlini Shah pula merupakan anakanda kedua YM Tengku Abu Bakar Ahmad dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan,” kata hantaran itu lagi.

    Menjengah ke ruangan komen, orang ramai memanjatkan rasa syukur dan menzahirkan ucapan tahniah buat baginda sekeluarga.

    “Syukur Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada Tuanku dan keluarga, semoga dilimpahkan banyak rezeki dan kesihatan berterusan Aamin,” tulis @mahmud9018 di ruangan komen.

    “Tahniah Tuanku, patik ingatkan kembar tadi Tuanku…,” ujar @nurhaisahsaikit

    “Selang beberapa hari je, Tahniah Tuanku!” kata @taimshah.

  • Insiden pelanggaran bot: Seorang mangsa masih dirawat di HSNZ

    Insiden pelanggaran bot: Seorang mangsa masih dirawat di HSNZ

    HANYA seorang mangsa insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata individu tersebut bagaimanapun menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik, boleh bernafas sendiri dengan bantuan mesin oksigen dan kini berada di wad biasa.

    “Enam lagi pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah setelah kita berpuas hati dengan tahap kesihatan mereka. Empat orang dibenarkan keluar dari wad HSNZ pada semalam dan dua orang lagi pada hari ini.

    “Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya perlu untuk memastikan kesihatan yang optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pada petang Isnin lepas, sebuah bot pelancong berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut.

    Akibat pelanggaran itu, 29 penumpang serta dua kru bot pelancong serta tiga nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    Kesemua penumpang yang cedera menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut manakala tujuh lagi dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. – Bernama

  • Bicara 22 anggota Geng Sakai mula Mei, tarikh dirahsiakan

    Bicara 22 anggota Geng Sakai mula Mei, tarikh dirahsiakan

    SERAMAI 22 individu yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng Sakai akan bermula Mei ini namun tarikh sebenar tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

    Memetik laporan BH, Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Manaff berkata, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 30 Mei ini sebagai permulaan perbicaraan ketika pengurusan kes hari ini.

    “Mahkamah menetapkan beberapa tarikh pada Mei, Jun, Julai, September, Oktober dan Februari tahun depan untuk perbicaraan.

    “Kita menjangkakan akan memanggil antara 50 hingga 70 saksi untuk perbicaraan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

    Pada 24 September tahun lalu, seramai 22 individu termasuk ketua kumpulan, Rosli Sahak mengaku tidak bersalah menganggotai kumpulan jenayah terancang itu di Flat Sri Selangor dekat Jalan San Peng antara Januari 2015 dan Jun 2021.

    Seramai 21 individu lain terdiri daripada A Ravindran; A Uthayakumar; S Sathiaseelan; T Kumar; A Kumaresan; N Tanasilan; Thirumal Raj; M Darshan; A Dineswaran; S Mohanraj; R Nantha Kumar; S Gobinath; M Ravishankar; M Thinesh; N Tannish; S Sagadevan; Mohamad Faisal Mohamad Sharif; Sukhdave Singh Jesvir Singh; R Logeswaran; R Tannesh dan A Jayaprakash.

    Mereka yang berumur antara 18 hingga 47 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bersalah akan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    Polis menahan ketua Geng Sakai itu bersama 23 anggota kumpulan lain selepas melakukan serbuan di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak.

    Dalam operasi yang diberi nama kod ‘Op Fortress’ itu, polis turut menahan seorang pelajar berusia 14 tahun, dipercayai salah seorang anggota kumpulan yang aktif.

    Kumpulan itu yang aktif sejak 2012 dan dipercayai bertanggungjawab melakukan beberapa jenayah terancang termasuk penjualan dadah, membunuh, merekrut ahli kumpulan samseng, membawa senjata api secara haram serta jenayah kekerasan lain di ibu negara.

    Ia diketuai seorang lelaki berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai dengan di bawahnya ada kira-kira 50 ahli manakala ahli paling muda dalam kumpulan itu setakat ini ialah remaja lelaki berusia 14 tahun.

    Pemeriksaan polis menunjukkan beberapa suspek termasuk ketuanya pernah ditahan dan pernah dijatuhkan hukuman dan bila dibebaskan, mereka kembali aktif.

    Selain dadah, turut dirampas dalam serbuan itu adalah Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda dan wang tunai berjumlah RM21,660 manakala nilai rampasan keseluruhan adalah RM1.73 juta.

    Polis sedang memburu sembilan lagi suspek yang dikaitkan dengan Geng Sakai.

  • Peratusan keluar mengundi rendah, ‘bonus’ untuk UMNO – Wan Saiful

    Peratusan keluar mengundi rendah, ‘bonus’ untuk UMNO – Wan Saiful

    itik patah kaki

    PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, peratusan keluar mengundi yang rendah telah memberi kelebihan kepada UMNO dan sekutunya dan membawa kepada kemenangan Barisan Nasional.

    Keadaan yang sama, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan berlaku di Johor di mana peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya dan bakal berlangsung akan memberikan keuntungan kepada UMNO.

    Jelasnya, keadaan itu boleh dilihat dalam keputusan PRN Melaka yang sekali gus menyaksikan kemenangan selesa UMNO, susulan daripada peratusan pengundi yang rendah.

    “Di Melaka, apabila pengundi luar tidak balik ke negeri sendiri, yang menangnya adalah mereka (UMNO) sebab dia ada orang yang tradisinya (pengundi teras) duduk dalam lokaliti tersebut.

    “Yang atas pagar dan sokong kita serta mahukan perubahan dan pembaikan dalam negara mungkin bekerja di tempat lain dan mereka tidak cukup masa atau mungkin ada sekatan yang menyebabkan mereka tidak dapat nak balik. Jadi, itulah realitinya, apabila peratusan keluar mengundi rendah, yang untungnya UMNO,” katanya pada majlis Jelajah Penerangan Isu-Isu Semasa Negeri Johor di Muar, Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook Bersatu Malaysia, malam tadi.

    Menurut Wan Saiful, mesej yang positif sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu menang dalam PRN tersebut.

    Justeru, katanya, jentera pilihan raya parti perlu berusaha untuk memastikan kepulangan pengundi luar untuk mengundi dalam PRN Johor.

    “Selain dekati pengundi sedia ada, jentera kita mesti pastikan pengundi luar balik untuk mengundi (PRN Johor).

    “Kita kena tarik mereka (pengundi luar), Armada boleh fokus terhadap anak muda Manakala, Srikandi pula pada wanita,” katanya.

    Pada masa sama, Wan Saiful berkata, keputusan yang diperolehi dalam PRN Johor bakal memberikan implikasi di peringkat Persekutuan.

    “Walaupun yang kita hadapi ini adalah PRN Johor tetapi implikasinya adalah di peringkat Persekutuan. Walaupun yang dibubarkan ini DUN Johor tetapi sasaran sebenar (UMNO) adalah Parlimen dan kerajaan di Putrajaya.

    “Sebab itulah kita kena letak keutamaan yang betul dalam diri dan perjuangan kita,” katanya.

  • Tiga lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup

    Tiga lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki terkejut dan tidak sempat melarikan diri apabila diberkas semasa memunggah arak seludup dari sebuah kereta untuk disembunyikan dalam sebuah premis di Jalan Cyber 16, Taman Komersial Senai, Kulai semalam.

    Kedua-duanya tidak menyedari semasa diintip Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika mengangkat kotak berisi arak seludup dari kereta Proton Saga BLM ke dalam premis itu pada pukul 11.30 pagi.

    Difahamkan bekalan minuman keras seludup tersebut baru sampai dan mahu disembunyikan sementara di premis berkenaan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya kemudian membuat serbuan dan berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 44 hingga 47 tahun di luar premis tersebut.

    “Hasil pemeriksaan dalam premis telah menjumpai sejumlah arak pelbagai jenama dipercayai tiada cukai kastam dan menahan seorang lagi lelaki dewasa warganegara asing berumur 36 tahun.

    “Lelaki berkenaan mengaku sebagai penjaga premis tersebut. Hasil serbuan telah berjaya merampas 28 karton arak seludup jenama Carlsberg Special Brew; Skol Super; Istar Extra Strong dan Tiger Beer.

    “Selain itu kita turut merampas tujuh kotak arak seludup jenama MC Dowells’s, Old Durbar dan V Original Vodka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai arak RM11,728 manakala anggaran nilai cukai arak RM27,199 manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kereta dan tiga telefonb bimbit RM55,427.

    Seorang lelaki dewasa warganegara asing berumur 36 tahun ditahan dalam premis tersebut yang dijadikan tempat simpanan sementara arak seludup tersebut

    Jelasnya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Hasil siasatan katanya, mereka menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat simpanan sementara arak seludup.

    Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar daerah ini dan Johor Bahru, katanya.

    “Pihak polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara tanpa mengenal erti kekurangan serta penat lelah demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • PICKids sukarela, tiada sekatan kanak-kanak tidak divaksinasi

    PICKids sukarela, tiada sekatan kanak-kanak tidak divaksinasi

    PEMBERIAN vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.

    Sebahagian daripada kanak-kanak menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 Hingga 12 Tahun di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat.

    “Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur hari ini.

    Khairy berkata, program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesan Long COVID dan kematian.

    Beliau berkata, sejak 1 Jan tahun ini, sebanyak 9,413 kes COVID-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.

    Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

    “Sebenarnya pihak Food and Drug Aministration (FDA) (Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan) di Amerika Syarikat telah pun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

    Beliau berkata, berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius sebaliknya kesan biasa seperti demam.

    Menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, beliau berkata KKM menyasarkan pemberian satu dos kepada 70 peratus kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50 peratus untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

    PICKids dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah di hospital yang merawat mereka.

    Selain itu, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vakinasi melalui tempahan temu janji di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega di Lembah Klang iaitu World Trade Centre (WTC) dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

    Khairy berkata PICKids akan diteruskan ke seluruh negara menerusi klinik kesihatan dan sekolah tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Penyanyi popular 90-an, Aishah dicerai melalui WhatsApp

    Penyanyi popular 90-an, Aishah dicerai melalui WhatsApp

    SETELAH beberapa bulan mengalami krisis rumah tangga bersama suami, penyanyi Datuk Aishah mengesahkan yang dia sudah diceraikan pada penghujung tahun lalu.

    Jelasnya, bekas suaminya itu menghantar WhatsApp pada 25 Disember lalu dan dia diceraikan dengan talak satu.

    “Segala-galanya sudah selesai apabila saya diceraikan talak satu menerusi mesej pada 25 Disember lalu. Bohonglah, jika saya tidak bersedih dengan pengakhiran yang berlaku.

    “Saya menangis sebaik sahaja membaca mesej yang dikirimkan. Namun, saya akur dengan ketentuan takdir. Walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan,” katanya.

    Sebelum ini Aishah ada mendedahkan yang dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan lelaki berkenaan pada November yang lalu.

    Jelasnya, dia hanya mengunggu talak daripada suaminya ketika itu dan dalam masa yang sama tidak mendedahkan apa sebenarnya masalah yang berlaku kepada rumah tangga yang berusia lima tahun itu.

    Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Selanjur Bercinta ini mengakui tidak sukar untuk kembali hidup solo memandangkan dia sudah melaluinya beberapa kali.

    Dia sendiri sudah dikurniakan dua orang anak, Armand Azhari dan Azhad Ahlami dan akan meneruskan kehidupan bersama-sama mereka selepas ini.

    “Sekarang anak-anak sudah dewasa dan menjadi tempat saya bergantung harap. Ini bukan perkara baharu buat saya. Saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini. Masa itu, anak-anak masih kecil lagi.

    “Masih terbayang apabila saya terpaksa mengangkut anak-anak bersama ketika bekerja kerana tiada siapa dapat menjaga mereka,” katanya.