Category: Semasa

  • Tiada SOP khas untuk solat tarawih – Idris

    Tiada SOP khas untuk solat tarawih – Idris

    KERAJAAN tidak akan membuat sebarang prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk solat tarawih, sebaliknya hanya menggunakan garis panduan sedia ada. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata pihaknya juga tidak bercadang membuat sebarang penambahan dalam SOP sedia ada yang sudah disediakan kerajaan sebelum ini. 

    “Tiada SOP khusus untuk solat tarawih, semua solat sama saja seperti yang dilakukan sekarang,” katanya selepas melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

    Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan jarak jemaah antara satu sama lain untuk melaksanakan solat jemaah atau solat Jumaat sejauh satu meter dan wajib memakai pelitup muka. 

    JAKIM turut menetapkan solat jemaah dan solat Jumaat dilakukan antara 10 hingga 15 minit dengan imam digalakkan membaca surah atau ayat pendek. 

    Bagi solat Jumaat, teks khutbah perlu dipendekkan sebaik mungkin dengan menjaga rukun asal. 

    Sementara itu, mengulas mengenai terdapat premis menggunakan perkataan halal yang tidak diperakui, Idris berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan. 

    “Kita sentiasa kerjasama dengan KPDNHEP untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sekiranya menerima laporan berkaitan hal berkenaan. Kita akan ambil tindakan dan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” katanya. 

    Semalam, media melaporkan seorang pemilik premis makanan di Melaka didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada buku menu.

  • Kanak-kanak Pahang divaksin Isnin depan

    Kanak-kanak Pahang divaksin Isnin depan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pahang akan bermula Isnin depan.

    Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan media pada hari ini memberitahu, buat permulaan pemberian vaksin tersebut akan dilaksanakan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

    Katanya, ia disasarkan kepada kumpulan kanak-kanak komorbid yang layak.

    Menurut beliau, jumlah PPV yang dirancang adalah sebanyak 78 melibatkan 11 SPPV, 60 klinik kesihatan dan 7 PPV ‘offsite’.

    Katanya, terdapat juga beberapa PPV jangkau luar sekolah yang sedang diperhalusi untuk dibuka dan jumlah PPV mungkin akan bertambah dari masa ke masa bergantung kepada liputan vaksinasi.

    Buat permulaan ujarnya, hanya satu jenis vaksin sahaja yang ditawarkan iaitu Corminaty (Pfizer-BioNTech) dos kanak-kanak.

    Sementara itu, Dr. Nor Azimi berkata, sehingga Khamis lalu, seramai 27,864 atau 14.1 peratus daripada anggaran 197,700 kanak-kanak di negeri Pahang telah berdaftar melalui MySejahtera secara sukarela.

    “Sehingga ini, seramai 517,107 atau 15 peratus kanak-kanak dalam usia tersebut menyertai PICKids”, tambah beliau.

  • Siasat ajaran ‘wali tujuh’ didakwa miliki ilmu kebal, batin

    Siasat ajaran ‘wali tujuh’ didakwa miliki ilmu kebal, batin

    JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Mufti Sabah sedang menyiasat ajaran kumpulan ‘wali tujuh’ yang didakwa menuntut ilmu kebal dan batin dibimbangi boleh mendatangkan ancaman keselamatan terhadap negeri ini.

    Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pihaknya, JHEAINS dan Pejabat Mufti Sabah masih mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

    “Itu tidak mustahil (mengancam keselamatan) dan sebab itu kita perlukan penjelasan kerana kita tidak mahu nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

    “Biasanya yang bertentangan, yang menyeleweng ini mudah untuk ekstrem, mudah untuk menyelewengkan semangat atau akidah untuk melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini, selepas ditemui pemberita di Surau Al-Abid, Desa Kastam Sepanggar, Kota Kinabalu, malam tadi.

    wali tujuh
    Tiga PATI dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah

    Beliau mengulas berhubung tangkapan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah.

    Diminta mengulas lanjut, pihaknya sedang mendapatkan maklumat sejauh mana penyebaran ajaran berkenaan di seluruh negeri ini dan dijangka maklumat berhubung perkara itu diterima dalam masa terdekat.

    “Kita akan dapatkan maklumat dulu, dalam minggu ini ada data. Kita akan dapatkan juga sumber daripada yang membuat laporan berkenaan.

    “Mufti sedang meneliti perkara berkenaan dan kita boleh rujuk kepada mufti kita,” katanya.

    Tambah beliau lagi, setakat ini bahagian penguat kuasa dan pegawai tadbir JHEAINS daerah telah diarah untuk membuat siasatan mengenainya.

    “Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat mufti untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung ajaran itu.

    “Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Arifin menasihatkan orang ramai yang meragui sesuatu ajaran diminta merujuk atau melaporkan segera kepada JHEAINS di daerah-daerah.

    “Kalau kita di daerah, rujuk kepada JHEAINS, rujuk kepada guru-guru agama kita yang bertauliah dan sekiranya kita ragu-ragu insya-ALLAH kita akan berikan penjelasan.

    “Sebelum ini pun kita sudah mewartakan beberapa ajaran yang menyeleweng dan ini boleh dirujuk daripada warta dan juga kepada irsyad hukum jabatan atau Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya.

  • Kerajaan Selangor anggar kerugian akibat banjir berjumlah RM1.4 bilion

    Kerajaan Selangor anggar kerugian akibat banjir berjumlah RM1.4 bilion

    KERAJAAN Selangor menganggarkan kerugian akibat banjir yang melanda negeri itu pada Disember tahun lepas adalah sekitar RM1.4 bilion termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

    Menteri Besar Datuk Amirudin Shari berkata jumlah itu dikira secara kasar iaitu melibatkan 100,000 rumah atau keluarga yang terjejas dengan anggaran kerosakan paling minimum iaitu RM10,000. 

    “Jika kereta atau rumah mereka rosak mungkin angka (kerugian) lebih besar… Dalam catatan yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), seingat saya adalah RM3 bilion hingga RM4 bilion,” katanya pada sidang media khas di Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Beliau berkata bagaimanapun, jumlah itu adalah anggaran DOSM dengan mengambil kira setiap rumah terjejas mengalami kerugian kira-kira RM14,000.- Bernama

  • Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi – Bukit Aman

    Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi – Bukit Aman

    KEMATIAN seorang tahanan lelaki di Hospital Kuantan, Pahang semalam berpunca daripada penyakit Tuberkulosis (Tibi), kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

    Beliau berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan oleh bahagian forensik hospital berkenaan semalam.

    “Pada 25 Jan lepas, Orang Kena Tahan (OKT) lelaki berusia 38 tahun itu dihantar ke Lokap Berpusat Indera Mahkota Kuantan, Pahang untuk hadir ke perbicaraan pada hari ini mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Pada 28 Jan lepas OKT berkenaan yang mengadu sakit dada dibawa ke Hospital Kuantan untuk menerima rawatan dan pada semalam, pihak hospital memaklumkan OKT meninggal dunia dengan sebab kematian adalah akibat Tibi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan jabatan itu akan menyiasat kes kematian mengejut OKT berkenaan. – Bernama

  • Penganggur ditemukan mati dipercayai terlibat gaduh berkaitan dadah

    Penganggur ditemukan mati dipercayai terlibat gaduh berkaitan dadah

    SEORANG penganggur ditemukan mati, dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan berkaitan dadah, di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan, awal pagi ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu pada pukul 7.20 pagi yang membawa kepada penemuan mayat lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dalam keadaan terbaring di lokasi berkenaan, beberapa minit kemudian.

    “Berpandukan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berdekatan, kejadian berlaku antara 7.15 pagi hingga 7.21 pagi dan menurut dua saksi, mangsa diserang tiga lelaki bersenjatakan dipercayai sebatang rotan selain dipukul di tangan dan kaki.

    “Berdasarkan pemeriksaan awal polis bersama petugas kesihatan dari Hospital Mersing mendapati mangsa disahkan mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Mersing, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

    Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati selepas mangsa dipukul, ketiga-tiga individu itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dan berdasarkan pemeriksaan awal terhadap mayat si mati mendapati ada kesan pukul di belakang leher dan kecederaan pada leher.

    Susulan itu, polis menahan dua buruh berumur 31 dan 32 tahun di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 petang bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah, manakala si mati mempunyai 11 rekod lampau iaitu lapan dadah dan tiga jenayah.

    “Si mati berasal dari Penyabong, baru sebulan bebas dari penjara atas kesalahan jenayah dan terima hukuman tiga bulan penjara. Setelah bebas, dipercayai tidak balik ke kediamannya kerana berdasarkan maklumat daripada keluarga, si mati mahu mencari kerja,” katanya.

    Shahurinain berkata dua lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi esok bagi mendapatkan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Katanya, polis kini giat mencari dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut, boleh menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama

  • Polis reman 3 PATI terlibat ajaran sesat ‘Wali Tujuh’

    Polis reman 3 PATI terlibat ajaran sesat ‘Wali Tujuh’

    POLIS menahan tiga lelaki selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan ajaran sesat dan ilmu kebal ‘Wali Tujuh’ di Ladang Bukit Kertam Kinabatangan ditahan reman 14 hari.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, kesemua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki keterangan diri yang sah.

    “Untuk makluman ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Akta Imigresen yang mana tempoh reman di antara 14 hari.

    “Kita akan bawa kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya bagi proses pendakwaan,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Semalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan tiga lelaki yang terbabit dengan ajaran itu di sebuah rumah pekerja ladang di Kinabatangan.

    Turut dirampas beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit iaitu pisau, senjata, pelbagai jenis tangkal.

  • Sindiket tawar lesen terbang menerusi media sosial

    Sindiket tawar lesen terbang menerusi media sosial

    SATU sindiket dikesan menawarkan lesen memandu tanpa perlu melalui ujian dan kelas memandu dengan membuat iklan dalam media sosial.

    Sindiket berkenaan menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 bagi mendapatkan lesen berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit.

    “Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080.

    “Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon di Semak Mule.

    “Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali.

    “Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Rebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama

    Rebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama

    KEJADIAN pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di Medan Selera Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin berpunca daripada perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua pihak terbabit.

    Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Superintenden V. Saravanan yang turut memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang juga pengadu berusia 36 tahun berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, hasil semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 11.40 malam kelmarin ekoran perselisihan faham antara pengadu serta lima lelaki tempatan sehingga mencetuskan pergaduhan.

    “Dua daripada lelaki tersebut merupakan adik pengadu manakala tiga lagi merupakan sepupu pengadu. Semasa pergaduhan, kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata.

    “Siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan adalah kerana berebut pelanggan dan terdapat dendam lama antara kedua-dua belah pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Awal hari ini, video pergaduhan berdurasi 44 saat itu tular di laman sosial media Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

    Saravanan berkata, akibat kejadian itu kesemua individu terbabit mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar pada bahagian badan.

    Bagaimanapun tambahnya, kesemua yang terlibat telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian tersebut supaya tampil ke IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • KPLB jalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan Singapura

    KPLB jalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan Singapura

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengorak langkah dengan menjalin kerjasama lebih erat dengan Singapura khususnya dalam bidang pendidikan teknologi dan kreatif.

    Persefahaman kerjasama dua hala itu dicapai hasil perbincangan menerusi kunjungan hormat Menteri Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Masagos Zulkifli ke atas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya hari ini.

    Pertemuan lebih sejam itu berlangsung di Bangunan KPLB hari ini.

    Selain bertukar pandangan dalam hal  pembangunan sosial, turut disentuh Masagos dan delegasinya adalah rancangan untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam  pendidikan keusahawanan, teknologi digital dan teknologi kreatif yang boleh memberi faedah dua hala terutama  kepada masyarakat di luar bandar.

    Masagos Zulkifli yang  juga Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Ugama Islam Singapura mengharapkan sektor pelancongan kedua-dua negara kembali rancak selepas Malaysia membuka sempadan antarabangsa bagi kemasukan pelancong asing terutamanya bagi industri eko dan agro  pelancongan serta pelancongan kesihatan.    
     
    Beliau berada di Malaysia dalam rangka lawatan kerja rasmi selama tiga hari bermula hari ini.

    Lawatan kerja rasmi ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura yang  terjalin sejak 59 tahun yang lalu.