Category: Semasa

  • JPJ Pulau Pinang keluar 181 notis kesalahan jalan raya

    JPJ Pulau Pinang keluar 181 notis kesalahan jalan raya

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 181 notis lagi kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Juru arah utara malam tadi.

    Dalam operasi bermula kira-kira pukul 8 malam itu, kesalahan memandu tanpa lesen dan lesen tamat tempoh antara  paling banyak dikesan dilakukan pengguna jalan raya.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Pulau Pinang, Aedy Fadly Ramli berkata, secara keseluruhan, pihaknya memeriksa sebanyak 895 kenderaan dalam operasi lebih lima jam itu dengan 132 daripadanya telah dikenakan tindakan.

    Katanya, daripada 181 notis yang dikeluarkan pula, sebanyak 69 merupakan kesalahan berkaitan lesen memandu; pelesenan kenderaan (35); cermin gelap (28); nombor pendaftaran (15) dan lain-lain (34).

    “Operasi ini memfokuskan penguatkuasaan kesalahan utama jalan raya membabitkan pemeriksaan berkaitan lesen memandu dan cukai jalan.

    “Kita mahu memastikan pengguna jalan raya yang ingin kembali ke kediaman masing-masing selepas tamat cuti Tahun Baharu Cina tiba dengan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi itu.

    Operasi bersepadu itu yang bermula pada 1 Februari lalu turut mendapat  kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, puhaknya turut memeriksa kenderaan yang menggunakan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi selain lampu High Intensity Discharged (HID) yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa patuh pada peraturan dan undang undang berkuat-kuasa semasa memandu, serta  memandu dengan cermat, berhemah dan berhati-hati semasa memandu ke destinasi dituju,” katanya.

  • Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu, bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan COVID-19.

    “Kita akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

    Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes COVID-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.

    “Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb), daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

    “100 kluster di bawah institusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya.

    Menurutnya, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 kluster membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada institusi berasrama sepenuhnya.

    “Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

    “Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

  • Harga barang dijangka naik hingga 10 peratus – FMM

    Harga barang dijangka naik hingga 10 peratus – FMM

    HARGA barang dijangka meningkat sehingga 10 peratus sekiranya tiada langkah drastik diambil bagi mengawal kos makanan dan bukan makanan.

    Memetik laporan FMT, Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata, unjuran tersebut adalah berdasarkan tinjauan pihaknya tentang kesan kenaikan harga ke atas barangan seperti roti, telur, lampin dan detergen.

    Menurut beliau, sebahagian besar responden bercadang menyalurkan kos kepada pengguna.

    “Lebih dua pertiga daripada syarikat yang ditinjau bercadang menyalurkan peningkatan kos antara 1 hingga 10 peratus kepada pengguna,” katanya.

    Thian Lai menambah, kenaikan harga adalah disebabkan pandemik COVID-19 yang menyaksikan kesesakan rantaian bekalan, kos logistik lebih tinggi, harga komoditi yang melambung, dan kekurangan tenaga dan buruh di peringkat global.

    “Mujur dua pertiga daripada responden telah mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan kos secara dalaman dan beralih kepada input yang lebih murah apabila boleh,” jelasnya,

    Beliau berkata, syarikat multinasional di negara ini juga telah mula menggantikan import dengan membeli produk tempatan.

    “Sebarang kenaikan harga bagi pekilang akan memberi kesan berganda kepada ekonomi,” ujarnya.

    Bulan lalu, Jabatan Perangkaan berkata, kenaikan kos pengangkutan dan harga makanan mendorong inflasi ke paras tertinggi sebanyak 3.2 peratus pada Disember – melepasi kadar inflasi purata 1.9 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2021.

    Kenaikan ini didorong oleh peningkatan sebanyak 7.5 peratus dalam kos pengangkutan dan 3.2 peratus dalam kos makanan dan minuman bukan alkohol, dengan kadar inflasi juga disebabkan oleh kenaikan kadar dalam perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

  • Didakwa fitnah, Jeffrey pertimbang saman Al-Jazeera

    Didakwa fitnah, Jeffrey pertimbang saman Al-Jazeera

    PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita antarabangsa Al-Jazeera.

    Memetik laporan BH, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mendakwa Al-Jazeera telah menerbitkan artikel yang disifatkan memfitnahnya.

    Beliau mendakwa, kandungan artikel berkaitan perjanjian kredit karbon di Sabah dan kisah lama dikaitkan dengan dirinya yang disiarkan oleh portal berkenaan pada 2 Februari lalu adalah satu putar belit selain tidak bertanggungjawab.

    Jeffrey mendakwa, artikel itu ditulis berdasarkan kata-kata pemberi maklumat semata-mata, tanpa membuat semakan dengan kerajaan negeri Sabah yang meluluskan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) berkaitan perdagangan kredit karbon.

    Beliau turut menimbangkan tindakan sama terhadap bekas Ahli Dewan Negara, Senator Adrian Lasimbang yang dipetik dalam artikel Al-Jazeera itu dan individu lain yang menyebarkan maklumat salah kepada awam, khususnya yang memfitnah dirinya.

    “Saya menimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera dan Adrian serta yang lain kerana secara aktif menyebarkan maklumat salah kepada awam, terutama yang memfitnah nama saya,” katanya.

    Jeffrey mengulas artikel disiarkan Al-Jazeera pada 2 Februari lalu yang antara lain membongkar dakwaan kisah di sebalik kelulusan NCA terbabit dan kaitan Jeffrey dengan individu mewakili syarikat dari Singapura yang dilantik mengendalikan perdagangan kredit karbon.

    Artikel itu turut membongkar dakwaan salah laku yang pernah dikaitkan dengan Jeffrey sepanjang tempoh beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah antara 1986 hingga 1993, ketika zaman pentadbiran kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

    Beliau berkata, tindakan Al-Jazeera itu tidak bertanggungjawab kerana apa yang ditulis adalah dakwaan palsu dibuat individu tertentu yang mahu memburukkan NCA terbabit.

    Jeffrey menambah, pemberi maklumat yang sama turut mengelirukan dan mengeksploitasi Adrian berhubung isu berkenaan.

    “Jelas, kedua-dua Al-Jazeera dan Adrian membentuk pendapat mereka sendiri berhubung topik ini berdasarkan pembohongan, maklumat salah diberikan kepada mereka oleh individu tertentu yang bermotif politik dan menghasut komuniti anak negeri dengan memfitnah saya,” jelasnya.

    Beliau mendakwa, Al-Jazeera turut memfitnahnya berdasarkan maklumat disediakan pemberi maklumat tanpa mengambil peduli untuk menyiasat kebenarannya.

  • Bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam bakul pakaian kotor

    Bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam bakul pakaian kotor

    SEORANG bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam bakul pakaian kotor berhampiran sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka hari ini.

    Pihak polis menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan bayi yang masih bertali pusat itu pada pukul 7.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi dan bayi berkenaan ditemui wanita berusia 51 tahun yang juga pekerja am.

    “Wanita terbabit sedang mengutip tin di kawasan berhampiran sebelum terdengar tangisan bayi.

    “Dia kemudian pergi memeriksa dan menemui bayi yang masih hidup di dalam bakul pakaian berwarna krim yang diletakkan di tepi tembok batu di hadapan restoran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, wanita terbabit kemudian ke sebuah klinik berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi menghubungi pihak polis dan ambulans.

    Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan mengesahkan kejadian sebelum menghubungi pihak hospital untuk membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan lanjut.

    “Terdapat tali pusat, uri dan kesan darah pada badan bayi terbabit,” katanya memberitahu bayi itu ini kini dirawat di Hospital Melaka.

    Raiz Mukhliz berkata, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

    “Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

  • APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000

    APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000

    PENGUATKUASAAN Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 30 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai hampir RM150,000 dalam satu Op Khas di perairan Kuala Perlis, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan dibuat hasil risikan pasukan operasi khas APMM yang berjaya mengesan pergerakan masuk sebuah bot fiber dari negara jiran pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis sekitar 1.42 pagi.

    “Menyedari kehadiran bot peronda APMM, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam ke dalam laut sebelum menukar haluan berpatah balik ke negara jiran (Thailand),” katanya kepada pemberita di Kangar, hari ini.

    Mohd. Zawawi berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam tersebut menemukan 30 bungkus ketulan ganja mampat dengan anggaran berat keseluruhan 30kg.

    “Taktik mencampak barang antara yang sering dilakukan oleh kebanyakan sindiket yang melakukan aktiviti penyeludupan bagi memperdaya pihak berkuasa selain untuk memperlahankan bot APMM yang mengejar mereka,” katanya.

    Beliau berkata, daripada maklumat yang diperoleh APMM, sindiket tersebut mengunakan kaedah barter trade atau perdagangan barter iaitu sindiket dari Thailand membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini dan menukarnya dengan daun ketum daripada sindiket tempatan.

    Menurutnya, ini merupakan rampasan kedua dan terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis pada awal tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama
     

  • Lima warga Bangladesh ditahan, sindiket judi online tumpas

    Lima warga Bangladesh ditahan, sindiket judi online tumpas

    POLIS menumpaskan satu sindiket judi online yang berselindung di sebalik kondominium sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas diserbu hari ini.

    Seramai lima lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an dipercayai operator sindiket ditahan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sindiket itu dipercayai mempromosi judi online untuk pasaran Bangladesh di premis yang disewa pada harga RM1,700 sebulan.

    “Setiap pekerja menerima upah sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

    “Sindiket ini telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mampu meraih keuntungan kira-kira RM10,000 sehari.

    “Kita turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama dan komputer riba untuk kegunaan perjudian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Dalam perkembangan berasingan, Habibi berkata, seramai 306 individu ditangkap dalam Op Dadu sejak 1 Januari sehingga 3 Februari lalu.

    “Daripada tangkapan itu, 156 orang telah didakwa di mahkamah, selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut merampas 947 pelbagai rampasan komputer, ko dan telefon bimbit serta wang tunai di rampas RM27,288.

  • MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) telah memulakan siasatan lanjut di MARA Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keseluruhan anak syarikat MARA dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016 dan sentiasa mengutamakan amalan integriti yang tinggi dalam organisasi.

    Azizah juga menafikan wujud salah guna kuasa atau salah urus tadbir susulan dokumen dalaman anak syarikatnya tular dalam media sosial yang mendakwa wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawainya. – BERNAMA

  • Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    KES baharu COVID-19 di dalam negara melonjak kepada 7,234 kes hari ini selepas tiga hari berturut-turut merekodkan angka lebih 5,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 2,895,014 setakat 12 tengah hari tadi manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan pula meningkat kepada 2,799,608 dengan pertambahan 5,254 orang hari ini.

    “Daripada jumlah kes baharu hari ini, 73 melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua. 118 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Beliau juga berkata, sebanyak 21 kluster baharu direkodkan dengan 346 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata, Rt negara berada pada paras 1.11 semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.25 diikuti Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17).

    Sementara itu, menerusi ciapan Twitter, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi di negara ini menyebabkan kurang pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima serta ia menunjukkan bahawa vaksin itu berfungsi.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu berikutan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, ia menyebabkan gejala yang dialami tidak begitu teruk terhadap mereka yang sudah menerima vaksinasi penuh dan suntikan dos penggalak,” katanya. – BERNAMA

  • Buka pintu kerjasama baharu dengan Qatar fokus lawatan kerja Abdul Hadi

    Buka pintu kerjasama baharu dengan Qatar fokus lawatan kerja Abdul Hadi

    MALAYSIA menzahirkan kesediaan membuka pintu kerjasama baharu dengan Qatar khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan, serta bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusiaan.

    Ia adalah antara fokus utama yang dibawa Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika melakukan lawatan kerja empat hari ke Qatar bermula 31 Jan lepas hingga hari ini (4 Feb).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu hari ini, lawatan Abdul Hadi ke Qatar itu mendapat mandat serta persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Tujuan lawatan ini adalah untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang sedia terjalin, serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama negara itu sepanjang lawatannya di Doha.

    Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdulaziz Al Thani, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani; Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

    Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Qatar Fund for Development (QFFD), Khalifa Bin Jassem Al-Kuwari; Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Charity (QC), Yousef bin Ahmed Al-Kuwari; Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr Ahmed Raissouni; dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

    Abdul Hadi turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu, serta bertemu rakyat Malaysia yang menetap di Qatar.

    Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu memaklumkan Abdul Hadi kini menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan. – BERNAMA