Category: Semasa

  • SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    PROSEDUR operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan untuk mengekang penularan Covid-19.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keberkesanan itu dapat dilihat apabila setakat ini tiada kluster masjid yang wujud.

    Katanya, disebabkan itu juga pihaknya mengekalkan SOP berkenaan sehingga ke hari ini termasuk akan mengguna pakai SOP yang sama bagi pelaksanaan solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.

    “Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.

    “Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kolej Uniti di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.  

    Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengulas mengenai trend pasangan menceraikan pasangan menerusi aplikasi WhatsApp, Ahmad Marzuk berkata penceraian itu sah namun ia tidak bagus dari segi akhlak.

    “Dari sudut akhlaknya seorang suami itu tidak boleh sewenang-wenangnya menceraikan isteri dengan cara begitu mudah, Islam mengajar kepada kita, kita ambil cara baik, dan kalau kita nak lepaskan pun kena cara baik.

    “Sebab itu ia terdapat dalam khutbah nikah dan dibaca pada setiap majlis perkahwinan. Malah, bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak mestilah mengikut prosedur penceraian menerusi mahkamah untuk mendapatkan perakuan cerai yang rasmi,” katanya.

    — BERNAMA

  • DAP calonkan Chin Lin pertahan DUN Tangkak buat penggal ketiga

    DAP calonkan Chin Lin pertahan DUN Tangkak buat penggal ketiga

    SELEPAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, DAP hari ini mengumumkan calon parti itu bagi kerusi DUN Tangkak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

    Ee Chin Lin yang telah dua penggal menjadi ADUN di kawasan berkenaan dipilih lagi untuk mempertahankan kerusi itu melalui pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    Portal Malaysiakini melaporkan, Ee pertama kali memenangi kerusi itu dalam PRU 2013 dengan menewaskan penyandang daripada MCA, Goh Tee Tee, dengan majoriti 1,537 undi. Majoritinya pada PRU 2018, juga dengan menewaskan Goh, meningkat kepada 5,077 undi.

    Ee, 40, merupakan Setiausaha Politik Yeo bee Yin ketika beliau menjadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim semasa pentadbiran PH.

    Dalam PRN kali ini, DAP mengadakan jelajah bertujuan memperkenalkan calon mereka satu per satu.

    Dalam jelajah pertama, penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali diumumkan untuk mempertahankan kerusi itu.

    Terdahulu, DAP berdepan beberapa isu domestik berhubung calon dengan spekulas separuh daripada 14 penyandang daripada parti itu mungkin digugurkan.

    Ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan 59 cawangan parti negeri, yang menggesa kepimpinan parti supaya tidak meletakkan calon payung terjun dan sebaliknya mengutamakan pemimpin tempatan, lapor portal itu

    Dua penyandang, Tan Hong Pin (Skudai) dan Ng Yak Howe (Bentayan) juga menyatakan hasrat kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong untuk mempertahankan kerusi mereka.

  • Ku Li dakwa negara dalam krisis, perlukan kepemimpinan luar biasa

    Ku Li dakwa negara dalam krisis, perlukan kepemimpinan luar biasa

    AHLI  Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, negara sedang berdepan kegagalan politik dan ekonomi, dan ia hanya mampu ditangani melalui kepimpinan yang luar biasa.

    Bekas Menteri Kewangan itu yang juga Ahli Parlimen paling lama berkhidmat, menyenaraikan beberapa krisis yang mungkin berlaku dalam masa terdekat dan akan mengakibatkan banyak kesukaran kepada rakyat.

    Portal FMT melaporkan, beliau berkata, antaranya ialah kegagalan kepimpinan dan parti politik, krisis kesihatan yang mengancam nyawa yang memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan dan gangguan rantaian bekalan makanan yang boleh menjejaskan kestabilan keselamatan makanan negara.

    Katanya, sebarang gangguan rantaian bekalan makanan boleh mengakibatkan krisis struktur yang mendalam dalam semua aspek di Malaysia. Salah satu kesan yang mengganggu ini ialah pengangguran yang meluas.

    “Disebabkan gangguan ini, nilai ringgit akan jatuh dan akan berlaku penyusutan rizab dolar AS, menyebabkan inflasi dan krisis bekalan makanan dan keperluan lain,” katanya pada forum di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang hari ini.

    Beliau berkata, Dewan Rakyat berada dalam keadaan tidak berfungsi akibat rasuah politik dan politik yang berpuak-puak.

    “Dewan Rakyat tidak lagi mewakili mandat pengundi. Dalam keadaan sekarang, ia telah hilang keyakinan rakyat kerana kelakuan beberapa Ahli Parlimen.

    “Ia dilihat sebagai satu kegagalan dan tidak mewakili negara kerana wakil rakyat berkelakuan seolah-olah mereka tidak mewakili dan membawa harapan rakyat seperti diharapkan.”

    Tengku Razaleigh berkata, Ahli Parlimen dilihat hanya mewakili puak mereka sendiri di Dewan Rakyat, berusaha untuk mendapat manfaat dari segi kewangan dengan dianugerahkan jawatan politik.

    Beliau menambah, politik Dewan Rakyat menunjukkan kegagalan pemimpin. Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang mengutamakan negara sebelum cita-cita politiknya.

    Tengku Razaleigh berkata, mungkin terdapat banyak lagi krisis yang tidak diketahui akan datang di mana negara tidak bersedia untuk menghadapinya dan adalah satu kesilapan untuk kepimpinan bertindak balas hanya apabila ia sudah parah.

    Katanya, justeru negara sangat memerlukan kepimpinan luar biasa yang akan membantu menghadapi krisis politik, ekonomi, kesihatan dan kewangan akan datang.

  • 10,089 kes hari ini…boleh cecah 20,000 hujung Mac jika Rt kekal 1.2

    10,089 kes hari ini…boleh cecah 20,000 hujung Mac jika Rt kekal 1.2

    JIKA kadar kebolehjangkitan (Rt) virus Covid-19 kekal pada kadar 1.2 kes harian boleh mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan Mac.

    Ketika memaklumkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata unjuran itu berdasarkan model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Bagaimanapun, beliau yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

    “Jika Ro/Rt adalah 1.2, kes harian diunjurkan mengikut kawasan warna beige (dalam grafik model SEIR). Namun, dengan liputan vaksin yang luas dan dos penggalak dapat mengurangkan keparahan kes,” katanya menerusi Twitter.

    Terdahulu, beliau memaklumkan nilai Rt di Malaysia sudah mencecah 1.2 semalam berbanding 1.13 kelmarin, dengan empat negeri merekodkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.

    Perlis mencatat nilai Rt tertinggi semalam dengan 1.49, disusuli Sabah (1.41), Putrajaya (1.29) dan Kedah 1.22.

    Jumlah kes harian Covid-19 kembali melonjak kepada lebih 10,000 kes hari ini, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes sejak pertengahan Disember tahun lalu, dipercayai akibat varian Omicron.

    Pola peningkatan kes harian mula dilihat pada 21 Januari lalu dengan 4,046 kes dicatatkan, sebelum melonjak kepada 5,439 kes pada 27 Januari, 7,234 kes pada 4 Februari, 9,117 kes semalam dan 10,089 kes hari ini.

    Setakat 25 Januari lalu, KKM merekodkan 601 kes varian Omicron yang amat mudah berjangkit di negara ini, dengan 579 daripadanya dikategorikan sebagai kes sporadik.

    Malaysia pertama kali mengesan kes positif Covid-19 varian Omicron pada 2 Disember lalu, membabitkan pelajar warga asing yang tiba ke Malaysia dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November tahun lalu.

  • ‘’Tiada sebarang pertelagahan antara saya dengan Bung Mokhtar’’ – Hajiji Noor

    ‘’Tiada sebarang pertelagahan antara saya dengan Bung Mokhtar’’ – Hajiji Noor

    TIADA  sebarang pertelagahan yang berlaku di antara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tegas Datuk Seri Hajiji Noor.

    Ketua Menteri Sabah itu turut menolak khabar angin mengatakan bahawa hubungannya dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa kepimpinan tertinggi GRS retak.

    Malah, tegas beliau lagi, walaupun mereka terdiri daripada parti-parti berlainan, kerjasama di antara mereka semakin kukuh.

     “Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami.

    “Sebenarnya, hubungan saya dengan Datuk Bung (dan dalam hal ini) Datuk Dr Maximus Ongkili (presiden PBS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (presiden STAR) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat.

    “Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey,” katanya ketika penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat Golf and Marina Resort, di Kudat, hari ini lapor Astro Awani.

    Beliau yang juga Pengerusi GRS turut menyatakan bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Bung mengenai mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS.

    “Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah,” katanya.

    Hajiji yang merupakan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah berkata beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.

    “Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.

    Mengenai pilihan raya kecil DUN Bugaya, Hajiji berkata perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik, setelah perintah darurat pada pilihan raya kecil itu ditarik balik.

    Mengenai isu pendaftaran secara rasmi pakatan GRS, katanya beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

    Tambahnya, beliau percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya.

    “Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi,” katanya lagi.

  • Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    SEORANG  anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Azizi Azizan, 30-an, dikatakan sedang meronda bersama beberapa anggota lain dengan menunggang motosikal di lokasi sekitar tol berkenaan.

    Mangsa dikatakan mengejar penunggang motosikal itu kerana penunggang terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

    Motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

    Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Muhammad Azizi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Muhammad Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    KERAJAAN akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.

    Katanya, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

    “Kami mengetahui, kumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan umrah mengalami kerugian tertentu yang melibatkan perbelanjaan seperti penginapan dan tempahan lain. Oleh itu, kerajaan akan menanggung sebahagian daripada perkara tersebut.

    “Proses ini masih dalam penelitian akhir, barangkali pertengahan bulan ini mengikut apa yang disebutkan oleh TH dengan kerjasama MOTAC dan kumpulan persatuan umrah akan memurnikan (membuat tapisan) senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata pembayaran berkenaan akan dibuat secara terus oleh TH kepada jemaah yang berkenaan.

    Katanya, jemaah perlu ke mana-mana cawangan TH yang terdekat dengan membawa dokumen berkaitan termasuk kad pengenalan diri, visa dan juga butiran terperinci mengenai umrah.

    “Kalau mereka ada akaun TH lagi senang memandangkan pembayaran akan dimasukkan secara terus ke akaun jemaah. TH akan agihkan peruntukan yang disediakan kerajaan, melalui Kementerian Kewangan,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan kepada bakal jemaah yang akan menunaikan umrah pada Selasa ini (8 Feb) agar menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal memakai pelitup muka dan sebagainya.

    “Seperti kita lihat, sehari dua ini berlaku peningkatan kes harian COVID-19 susulan penularan varian Omicron. Jadi saya harap supaya jemaah kekal patuh SOP memandangkan kita mahu memastikan mereka pulang dari umrah nanti agar tidak menyumbangkan kepada peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

    — BERNAMA

  • ‘’…Membalaspun dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? ’’ – Ahmad Fadhli bidas Zahid

    ‘’…Membalaspun dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? ’’ – Ahmad Fadhli bidas Zahid

    PEMIMPIN-pemimpin Pas terus membidas tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang layak menjadi ahli Zoologi.

    Dalam hantaran melalui Facebook, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid memandangkan Abdul Hadi menggunakan istilah ‘itik patah kaki’ ketika membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan Pas cuba mengajar itik berenang.

    ‘’Sewaktu Datuk Seri menulis awal Disember lepas, “Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah…” kami tahu ia ditujukan kepada siapa. Namun kami tidak bingkas membalas kerana kami tahu di dalam UMNO masih terlalu ramai yang sayangkan perpaduan ummah.

    ‘’Bahkan kenyataan-kenyataan UMNO Terengganu dan UMNO Kelantan  sepanjang tahun lepas dan sebelumnya, tidak adapun Pemuda PAS di kedua-dua negeri itu bingkas membalas menyahut dan mencabar, kerana ia hanya akan memanaskan keadaan, kerana masih ramai di kalangan sahabat-sahabat pimpinan UMNO yang tahu menilai erti muafakat.

    ‘’Namun bila Presiden kami membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan PAS cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri, sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi. Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa?, ‘’ tanya Ahmad Fadhli.

    Beliau juga menyindir Ahmad Zahid dengan berkata, ‘’… Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas? Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar?

    ‘’Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itupun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’ (penjara),,’’ katanya.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah menjadi calon bagi mana-mana indivivu yang akan bertanding dalam pilihan raya.

  • Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri bina ekosistem TVET lebih bersepadu

    Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri bina ekosistem TVET lebih bersepadu

    Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih bersepadu.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kewujudan badan perantara itu juga selari dengan agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.

    “Pihak KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang telah memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

    ”Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri membolehkan pihak industri bersama-sama pihak kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Beliau berkata, menerusi Hub Kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat, MARA.

    ”Institusi tersebut adalah Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, UniKL MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah,” katanya.

    Pada masa sama kata Mahdzir, UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, Kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.

    ”Untuk rekod, KPLB mempunyai 279 buah institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri. Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif,” katanya.

    Beliau berkata, kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).

    ”Kolaborasi itu memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.

    “Inisiatif-inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya,” katanya.

  • Pulau Pinang laksana program vaksinasi kanak-kanak bermula esok

    Pulau Pinang laksana program vaksinasi kanak-kanak bermula esok

    PROGRAM vaksinasi melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi di Pulau Pinang akan bermula esok.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, pemberian vaksin itu akan dilaksanakan di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Menurut Norlela, program itu bakal melibatkan kira-kira 160,000 kanak-kanak yang layak menerima suntikan vaksin berkenaan.

    “Bagi kanak-kanak yang tiada penyakit, mereka akan disuntik sama ada di Klinik Kesihatan atau di sekolah.

    “Namun buat permulaan, hanya kanak-kanak yang mempunyai komorbid akan disuntik vaksin dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Norlela berkata, dua lagi kluster pendidikan dilaporkan di Pulau Pinang sehingga semalam menjadikan 12 kluster dari sektor pendidikan setakat ini.

    Jelasnya, dua kluster baharu itu ialah kluster Bandar Putra Bertam iaitu Madrasah Al-Aminiah Bertam Tahfiz Vokasional di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan kluster Jalan Bukit Minyak Dua iaitu Kolej Vokasional Seberang Perai di daerah Seberang Perai Tengah (SPU).