Category: Semasa

  • Isu integriti: SPRM serbu tiga pejabat Mara di Kuala Lumpur

    Isu integriti: SPRM serbu tiga pejabat Mara di Kuala Lumpur

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation dan Pejabat Setiausaha Syarikat kepada Mara Corporation dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Astro Awani melaporkan, difahamkan, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, lebih 10 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya menyerbu pejabat Mara di di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang bagi mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan isu integriti pegawai kanan agensi terbabit.

    Difahamkan, serbuan dilakukan bagi mengumpul dokumen dan mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.

     Sebelum ini, media melaporkan SPRM akan menjalankan siasatan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara bermula 7 Februari ini.

    SPRM turut memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung dakwaan berkaitan perkara tersebut yang tular menerusi satu hantaran di media sosial, baru-baru ini.

    Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

    Pada Jumaat lalu, sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter.

    Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

    Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif MARA Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun.

  • ‘Saya bukan nak ‘jilat’, tiada faedah gantung TMJ’

    ‘Saya bukan nak ‘jilat’, tiada faedah gantung TMJ’

    PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman pelik dengan tindakan menggantung Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan kenyataannya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan kebangsaan baru-baru ini.

    Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyifatkan tiada faedah untuk menggantung pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya kerana memberi pandangan demi kemajuan bola sepak Malaysia.

    “Sekiranya digantung sekali pun, pengurusan kelab tetap akan merujuk kepada Tunku Ismail dalam membuat apa-apa keputusan kerana beliau pemilik kelab yang terbabit dalam urusan skuad Harimau Selatan.

    “Saya selaku pemilik Kelantan FC, saya nak pasukan saya maju. Saya sanggup terima kritikan asalkan ianya konstruktif. Bagus TMJ komen sebab beliau sayang bola. Kalau tak komen itu satu kerugian.

    “Tidak kiralah beliau beli semua pemain dari kelab-kelab lain itu semua sebagai strategi memperkuatkan pasukan JDT hingga kini. Tanpa TMJ tiada JDT, tanpa JDT tiada kemajuan dengan kelab lain yang nak bersaing dengan JDT.

    “Kita dapat slot ACL dan Piala AFC lebih pun sebab JDT. Kalau nak gantung pun, fikir betul-betul logik ke tak. Beliau Tunku Mahkota, kalau nak pergi stadium dekat Johor tengok bola ada sesiapa berani nak tahan?

    “Beliau juga pemilik JDT yang terlibat dalam uruskan pasukan. Ingat TD (Pengarah Teknikal), ‘Sporting Director’, pengurus dan semua dekat sana akan buat keputusan tanpa rujuk kepada TMJ?

    “Jadi apa guna kalau gantung? Memang tiada faedah sebab beliau ada ‘spirit’ dalam kemajuan bola sepak JDT,” kata Zamsaham menerusi Facebook miliknya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Beberapa pihak sebelum ini mempersoal keputusan FAM tidak mengenakan tindakan ke atas Tunku Ismail seperti yang diterima beberapa individu lain akibat daripada mengkritik badan induk itu.

    Selain itu, Zamsaham berkata, semua pihak sepatutnya memikirkan dengan logik dan terima pandangan Tunku Ismail ke arah membawa perubahan dalam sukan bola sepak negara.

    “Saya bukan nak ‘jilat’ sesiapa, sebab komen saya berasas. Hanya orang yang buka mata, terbuka minda akan nampak pengorbanan TMJ dalam industri bola sepak tanah air,” katanya.

  • Lokman Adam telah padam hantaran fitnah terhadap Mohd Na’im di media sosial

    Lokman Adam telah padam hantaran fitnah terhadap Mohd Na’im di media sosial

    DATUK Lokman Noor Adam telah memadam kesemua hantaran berunsur fitnah terhadap Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata Lokman selaku defendan telah memadam hantaran tersebut dalam tempoh 24 jam sepertimana diarahkan oleh mahkamah pada 20 Jan lepas, setelah anak guamnya memperoleh injunksi ex-parte (sebelah pihak).

    Dalam saman fitnah difailkan pada 17 Jan lepas, Mohd Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya Lokman sebagai defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

    Akberdin berkata pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian (Zoom), Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan Mohd Na’im supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya itu dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak) pada 22 Mac ini.

    “Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman memohon tempoh masa untuk memfailkan afidavit jawapan dalam permohonan injunksi itu.

    “Oleh itu, pihak plaintif memohon agar perintah injunksi interim diperoleh anak guam saya dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 22 Mac dan mahkamah membenarkan permohonan itu selain mengarahkan defendan memfailkan afidavit jawapan tersebut sebelum atau pada 11 Feb ini,” katanya dan menambah prosiding hari ini turut disertai peguam Fazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

    Mohd Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

    Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

    — BERNAMA

  • Pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah tipu kontraktor

    Pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah tipu kontraktor

    SEORANG pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang individu kononnya mampu mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu, pada 2018.

    Herisyam Abdul Wahid, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, Herisyam didakwa dengan curang mendorong lelaki berusia 41 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM100,000 dengan mempercayai bahawa dia boleh membantu bagi mendapatkan projek Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite) dari Petronas Gas Berhad.

    Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama, Akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Herisyam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam pada April 2018.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

    Peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim, yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan enam anak termasuk seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

    Mohd. Baharuddin memaklumkan, tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dobi dengan gaji RM30 sehari dan hanya mampu menyediakan RM6,000 wang jaminan.

    Dalam pada itu, pihak pendakwaan turut memohon mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang didakwa pada 20 Januari lalu.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan empat lagi pertuduhan pada 21 Februari ini.

  • Penganggur, petani didakwa edar ganja berdepan hukuman mati

    Penganggur, petani didakwa edar ganja berdepan hukuman mati

    SEORANG penganggur dan seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 266.291 kilogram (kg) di Simpang Empat, Kangar pada 24 Januari lalu.

    Tuan Amiruldin Tuan Ali, 29, yang tidak bekerja dan berasal dari Kuantan, Pahang serta Anas Shakir, 33, seorang petani dari Kuala Perlis, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati mengedar ganja di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lat Seribu, Simpang Empat, Kangar pada 8.40 pagi 24 Januari lalu.

    Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama serta dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia diperolehi.

  • Bersatu akan kekal menyokong Ismail Sabri

    Bersatu akan kekal menyokong Ismail Sabri

    PARTI Bersatu akan kekal pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh seperti mana yang dinyatakan dalam perjanjian.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, parti itu tidak akan goyah dengan serangan yang mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan sekarang.

    “Sebenarnya bukan sahaja Bersatu malah Perikatan Nasional (PN) sedia pertahankan kerajaan Ismail Sabri sehingga ke penghujung seperti mana dalam perjanjian kecuali perjanjian itu dilanggar.

     “Sepatutnya, mereka tidak perlu mendesak Muhyiddin untuk tarik sokongan, mereka sendiri boleh buat. UMNO boleh tarik sokongan apa?

    “UMNO ada berapa kerusi? Kalau mereka rasa betul-betul tidak bersetuju dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri, mereka tidak perlu memulang paku buah keras kepada orang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi kenyataan di Facebooknya berkata Bersatu beberapa kali mengugut mahu menarik sokongan kepada kerajaan.

    “Depa ini tak henti-henti ugut. Hari itu, presiden-presiden parti. Hari ini, giliran penulis manifesto bukan kitab suci. Butangkan ada?” kata Najib.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, Najib yang juga sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) boleh sahaja membuat pakatan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada dan tidak perlu mendesak Bersatu.

    “Walaupun didesak atau diugut, ia (tarik sokongan kerajaan) tidak akan berlaku.

    “Saya boleh cabar Najib, dia tidak payah minta orang lain, sindir dan sebagainya.

    “Dia sendiri boleh tarik sokongan kerana tidak suka dengan Muhyiddin, tidak boleh berkompromi dengan PN dan tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan,” ujarnya.

  • Sebahagian penduduk berdekatan tapak sampah Pulau Burung yang terbakar dibenar pulang

    Sebahagian penduduk berdekatan tapak sampah Pulau Burung yang terbakar dibenar pulang

    SEBAHAGIAN daripada kira-kira 400 penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan terutamanya di Kampung Kebun Baru semakin baik.

    Bagaimanapun tambah kenyataan itu, penduduk di Ladang Byram dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah buat masa ini memandangkan JAS masih perlu melakukan pemantauan lanjut sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.

    “Dalam pada itu, penduduk di sekitar SPS khususnya dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

    “Sekiranya didapati mempunyai gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, mereka dinasihatkan supaya terus mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital berhampiran,” kata kenyataan itu.

    Kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1 Februari lalu iaitu selepas kira-kira 20 hari operasi pemadaman dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

    Tapak pelupusan sampah itu mula dikesan terbakar pukul 5 petang pada 12 Januari lalu sehingga diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.  

    Kejadian itu turut menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa. 

  • Kes saman fitnah Anwar:Mahkamah Rayuan tolak rayuan Khairy

    Kes saman fitnah Anwar:Mahkamah Rayuan tolak rayuan Khairy

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap saman fitnah yang difailkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

    Sinar Harian melaporkan, ia juga merujuk kepada perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini, supaya Ahli Parlimen Rembau itu membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017.

    Panel kemudian menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000.

    Mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau itu adalah komen yang wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.

    Ketika membacakan penghakiman dalam prosiding secara dalam talian, Hakim Darryl berkata, panel mendapati tiada merit dalam rayuan Khairy malah ganti rugi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak berlebihan.

    Sebelum ini, Anwar menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008.

    Beliau mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

    Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

    Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolaknya selepas membenarkan permohonan Anwar.

    Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

  • Banjir Sabah: Tiga PPS dibuka di Pitas, tempatkan 311 mangsa

    Banjir Sabah: Tiga PPS dibuka di Pitas, tempatkan 311 mangsa

    TIGA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pitas bagi menempatkan seramai 311 mangsa daripada 97 keluarga di enam kampung yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.

    Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah, tiga PPS itu ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II yang menempatkan 108 mangsa daripada 41 keluarga; Dewan SK Rukom (135 mangsa daripada 36 keluarga) dan Dewan Kampung Kusilad (68 mangsa daripada 20 keluarga), setakat 8 pagi tadi.

    Semua PPS itu dibuka sejak petang semalam, berikutan paras air yang semakin meningkat di kampung terbabit iaitu Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu dan Kampung Kusilad.- Bernama

  • Dividen Tabung Haji diunjur sekitar 3 peratus

    Dividen Tabung Haji diunjur sekitar 3 peratus

    SELEPAS pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 pada akhir tahun lepas, tumpuan kini terarah kepada agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

    Persoalan yang berlegar dalam kalangan penyimpan ialah sama ada kadar agihan keuntungan selepas zakat kali ini lebih baik atau tidak jauh berbeza dengan 2019 dan 2020, iaitu sekitar 3.0 peratus. 

    “Agihan keuntungan TH sentiasa menjadi tumpuan penyimpan kerana sebelum 2018, TH sentiasa memberikan kadar agihan keuntungan yang tinggi terutama sejak 2007, iaitu 5.0 hingga 8.25 peratus, satu kadar yang jarang dapat ditandingi oleh pelaburan tetap lain kecuali ASB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Rakyat.

    “Namun bermula 2018, peratusan agihan keuntungan hanya sekitar 1.25 dan 3.1 peratus disebabkan isu rosot nilai dan tadbir urus. Bagaimanapun itu tidak menghalang penyimpan daripada berharap agihan keuntungan TH kembali seperti dulu,” kata penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Bernama.

    Selain itu katanya penyimpan tertunggu-tunggu pengumuman tersebut kerana simpanan TH boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan tanpa had, sekali gus dapat membantu pendeposit yang berdepan masalah kewangan pada kadar segera. 

    Jelas beliau, ini berbeza dengan KWSP yang hanya boleh dikeluarkan selepas pencarum bersara sementara pengeluaran ASB pula hanya boleh dibuat pada waktu pejabat, sama ada di pejabat KWSP, bank tertentu atau pejabat pos.  

    Di sebalik keadaan ekonomi semasa yang masih belum memberangsangkan, ada yang percaya TH akan memberikan agihan keuntungan lebih tinggi tahun ini mengambil kira institusi itu tidak menghantar jemaah haji pada musim lepas.

    TERIMA HAKIKAT

    Merungkai persoalan itu, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata pendeposit perlu menerima hakikat bahawa simpanan mereka yang juga berbentuk pelaburan, terdedah kepada persekitaran yang kekal mencabar sepanjang tahun lepas akibat COVID-19.

    “Saya jangka TH akan cuba sedaya upaya untuk mengisytiharkan kadar agihan keuntungan dalam lingkungan tiga peratus berbanding 3.10 pada 2020.

    “Jika kita bernasib baik TH mungkin boleh mengekalkan kadar agihan keuntungan pada 3.10 peratus seperti tahun lepas dan ini boleh dianggap sebagai prestasi terbaik yang boleh dijangkakan.

    “Tetapi saya tidak hairan sekiranya TH hanya berupaya mengisytiharkan kadar agihan keuntungan lebih rendah antara 2.7  dan 2.9 peratus untuk 2021,” katanya.

    Jelas beliau, ini berdasarkan prestasi TH yang mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 2.2 peratus kepada RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, berbanding RM1.25 bilion bagi tempoh sama pada 2020.

    Penurunan keuntungan itu berikutan keadaan pasaran dunia yang mencabar, sekali gus memberikan impak kepada aktiviti pelaburan TH dalam sektor antaranya hartanah, pasaran ekuiti dan perladangan kelapa sawit,  kata beliau, menambah pelaburan dalam hartanah kekal malap akibat COVID-19 dan penutupan ekonomi. 

    Menurut Barjoyai,  sekalipun separuh tahun pertama 2021 menunjukkan persekitaran ekonomi yang baik dengan ekonomi negara tumbuh 6.1 peratus pada Mac, 39.7 peratus pada April dan 19.3 peratus pada Mei,  negara mencatatkan perkembangan negatif bermula Jun.

    “Pertengahan tahun kedua, ekonomi terus menurun dengan mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus pada Julai, -4.7 peratus (Ogos) dan -2.1 peratus (September). Ekonomi dianggarkan meningkat sedikit pada November tetapi turun kembali pada Disember,” katanya.

    Barjoyai berkata secara keseluruhan, persekitaran ekonomi negara pada 2021 adalah lebih mencabar, khususnya pada separuh kedua dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,534 dan 1,543 mata, membayangkan jajaran pasaran yang sempit serta tidak aktif berbanding setengah tahun pertama.

    JIMAT SUBSIDI HAJI?

    Walaupun ramai mengetahui akan kesan pandemik itu, masih ada yang berpendapat TH mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi memandangkan agensi pengurus dana haji rakyat Malaysia tersebut tidak menghantar jemaah mengerjakan haji pada musim 2021 yang lalu.

    Bersandarkan laporan media bahawa TH membelanjakan sekitar RM400 juta setahun dalam bentuk subsidi haji, mereka berhujah TH boleh menggunakan penjimatan untuk 2021 tersebut bagi membayar agihan keuntungan yang lebih baik. 

    “Penjimatan RM400 juta itu sebenarnya merupakan penjimatan kasar berasaskan pada kos melepas. Sebenarnya, TH juga mengalami kerugian disebabkan penangguhan sesi haji untuk  2021 kerana TH sudah membayar komitmen dan deposit untuk persiapan haji bagi tahun berkenaan.

    “Angka kerugian ini adalah besar berbanding dengan kos mengerjakan haji. Katakanlah TH menikmati penjimatan bersih RM200 juta daripada penangguhan musim haji 2021, angka itu hanya akan menyumbang kira-kira 0.24 peratus kepada pendapatan tambahan,” jelas Bardoyai.

    Pandangan serupa turut dinyatakan oleh Ahmed Razman yang berkata sekalipun ada penjimatan subsidi haji, majoriti pelaburan TH adalah dalam pasaran domestik sama ada ekuiti ataupun hartanah.

    Ditambah pula FBM KLCI pada 2021 tidak mencatatkan pertumbuhan positif dan ini sedikit-sebanyak merencatkan pulangan ke atas pelaburan TH, sekali gus memberi kesan terhadap agihan keuntungan, jelas penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu.

    “Saya jangkakan kadar agihan keuntungannya sekitar 3.10 peratus, sama seperti 2020 yang mana TH mungkin memerlukan sekitar RM2.3 bilion bagi tujuan tersebut. Jangkaan ini atas pelbagai faktor seperti kadar simpanan tetap yang merosot pada 2021 hingga bawah dua peratus berbanding purata tiga peratus pada 2020, dan ini memberi impak besar kerana 52 peratus pelaburan TH adalah daripada pendapatan tetap.

    “Selain itu, prestasi pasaran ekuiti yang merudum juga menyebabkan TH menjadi lebih konservatif dalam mencatatkan rosot nilai ke atas asetnya, tertakluk kepada piawaian pelaporan kewangan antarabangsa,” hujah beliau.

    Biarpun TH turut mempunyai pelaburan luar negara yang kebiasaannya memberi pulangan lebih tinggi, Ahmed Razman berkata peratusan pelaburan TH untuk segmen itu hanyalah sekitar lima peratus, sekali gus tidak mampu memberi lonjakan yang tinggi kepada prestasi keseluruhan institusi.

    PELABURAN LEGASI LAMA

    Pemerhati ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut mengunjurkan kadar agihan keuntungan selepas zakat pada 3.10 peratus, iaitu menyamai kadar pada 2020. 

    “Unjuran ini berdasarkan pencapaian pendapatan TH untuk enam bulan pertama 2021 yang sedikit rendah (menguncup 1.4 peratus) berbanding (tempoh sama) 2020.

    “Namun, pembukaan ekonomi pada suku keempat 2021 dan kenaikan harga minyak sawit melebihi RM5,000 satu tan memberikan kesan positif dan boleh memberi suntikan peningkatan kepada TH bagi tempoh enam bulan kedua. Ini dijangka mengimbangi prestasi enam bulan pertama dan kembali ke paras pulangan tahun 2020,” jelas beliau.

    Aimi Zulhazmi juga berkata penjimatan sebanyak RM400 juta daripada penangguhan penghantaran jemaah haji hanyalah jumlah yang kecil, iaitu 0.46 peratus daripada jumlah aset TH, justeru tidak memberi kesan langsung yang besar kepada pulangan aset institusi tersebut.

    Selain itu, beliau juga mendasari unjurannya pada keseluruhan aset TH bernilai RM85.92 bilion, melebihi liabiliti yang bernilai RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021, sementara kos operasi juga hampir sama dengan kos tahun sebelumnya.

    Jelas beliau lagi, sekalipun TH menstrukturkan semula portfolio pelaburannya pada 2018 dengan memindahkan pelaburan tidak memuaskan bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, TH tetap bertanggungjawab terhadap pelaburan legasi lama tersebut.

    FAHAMI TUJUAN ASAL

    Sementara itu, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Ali Muhamad Don berkata masyarakat Islam perlu memahami bahawa tujuan utama penubuhan TH bukanlah sebagai institusi kewangan atau pelaburan.

    Sebaliknya ia bermatlamat menyediakan kemudahan menyimpan wang untuk menunaikan haji, menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji selain melibatkan umat Islam dalam penanaman modal dan penjanaan keuntungan untuk manfaat bersama.

    “Keuntungan pelaburan TH dalam bidang pertanian, hartanah dan lain-lain akan dipulangkan semula kepada pendeposit untuk membiayai sebahagian kos pelaksanaan haji secara muassasah, meliputi kos penerbangan, pengangkutan, penginapan, makanan, kaunter kewangan, perubatan, khemah ibadat masyair, bimbingan haji, petugas haji, mutawif dan perkhidmatan kaunseling di tanah suci Makkah dan Madinah dengan kadar pengurangan berjumlah RM9,980 berbanding jumlah asal RM22,900 untuk yang pertama kali menunaikan haji,” katanya.

    Justeru, beliau berkata amat penting untuk umat Islam memahami tujuan penubuhan TH dan mengikhlaskan niat menyimpan di TH untuk ke Tanah Suci serta tidak mengharapkan keuntungan duniawi semata-mata.

    Katanya pendeposit juga perlu memahami bahawa agihan keuntungan TH bukanlah satu kemestian kerana dalam konteks TH, agihan keuntungan merujuk kepada agihan sebahagian atau keseluruhan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik dana dan merupakan hadiah yang tidak disyaratkan.

    Ini termaktub dalam kontrak simpanan wakalah (perwakilan), iaitu TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan pengurusan haji, sementara keuntungan daripada pelaburan tersebut akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambil kira kos haji, zakat dan kos pengurusan TH.

    “Dengan memahami konsep agihan keuntungan TH, diharapkan pendeposit tidak hanya mengharapkan pulangan berbentuk agihan keuntungan sahaja tetapi lebih daripada itu, iaitu berharap untuk terlibat sama membayar zakat wang simpanan yang akan diagihkan kepada golongan asnaf selain dapat membantu sesama penyimpan untuk ke Tanah Suci.

    “Moga-moga dengan cara ini dapat meningkatkan ekonomi ummah selain menyelesaikan kewajipan Rukun Islam yang kelima,” katanya. – Bernama