Category: Semasa

  • MPN syor buka sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac

    MPN syor buka sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya sempadan Malaysia dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini bagi menyokong pemulihan negara.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, MPN bersetuju supaya sempadan kepada semua negara tanpa keperluan kuarantin wajib.

    Namun, menurut beliau, ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan.

    “Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Putrajaya, hari ini.

    Muhyiddin menambah, maklumat terperinci tentang syarat tertentu termasuk prosedur operasi standard (SOP) akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

    Beliau percaya langkah itu akan mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara khususnya dari segi kemasukan pelabur asing dan pelancong serta merancakkan semula industri penerbangan.

    Muhyiddin berkata, tiada keperluan bagi Malaysia berpatah balik melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun pada masa yang sama perlu dipastikan bahawa SOP sentiasa dipatuhi.

    Sementara itu, beliau berkata, MPN berpandangan bahawa kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui pelbagai agensi pembiaya kerajaan dan sistem perbankan negara.

    “MPN mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan oleh pelbagai pihak ini dapat dilaksanakan secara lebih sistematik oleh pelbagai pihak bagi meningkatkan penggunaan sumber yang lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tiada pertindihan berlaku dan lebih ramai pengusaha yang betul-betul terjejas dapat terus menerima bantuan,” jelasnya.

    Muhyiddin memberitahu, MPN juga mengambil maklum industri pembinaan negara ketika ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan PKP.

    “MPN mengambil maklum industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam proses pemulihan negara

    “MPN menyokong cadangan-cadangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan penyelesaian jangka panjang bagi isu yang lebih struktural,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata mesyuarat MPN hari ini tidak membincangkan tentang PRN Johor.

    Pada sidang media berkenaan, beliau turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN berkuat kuasa 1 Februari lalu.

  • Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    DUA penjawat awam direman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor kerana disyaki meminta wang suapan RM20,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes siasatan berkaitan dokumen palsu. 

    Majistret Sabreena Bakar @ Bahari membenarkan perintah reman sehingga Jumaat selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

    Memetik laporan Berita Harian, sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 tahun dan 37 tahun itu dipercayai meminta wang daripada seorang lelaki atas dakwaan menggunakan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000. 

    Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 4 petang dan 6 petang semalam di sekitar Gombak.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat menjalankan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM28,116 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Kim Chuan, Pelabuhan Klang, Shah Alam, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed, semakan lanjut mendapati lelaki berusia 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    “Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua kenderaan, kita menemui 172 kotak berisi minuman keras disyaki diseludup, kita turut merampas telefon bimbit suspek,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Rizal berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memohon masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • Warga emas maut langgar kerbau

    Warga emas maut langgar kerbau

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang- Tanggol, Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu, pagi semalam.

    Mangsa, Ilias Awang, 76, dari Kampung Kuala Kejir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.06 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk membeli kuih di kedai makan di Kampung Pulau Kudat pada pukul 8.15 pagi.

    Mohd Adli Mat Daud

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5 gagal mengawal motosikal lalu melanggar seekor kerbau yang berada di situ.

    Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ, Kuala Terengganu.

    “Namun, pada pukul 9.06 malam, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

    Menurut Mohd Adli, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 16 individu selamat manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian bot nelayan tempatan karam di kedudukan 5 batu nautika, barat laut Pulau Payar, Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi semalam ketika bot nelayan tempatan kelas ‘A’ (Bot bilis) tersebut sedang menangkap ikan bersama beberapa bot nelayan lain.

    Katanya, bot tersebut dengan nombor pendaftaran KHF 886 dipercayai karam setelah satu daripada hosnya tercabut menyebabkan air memasuki bilik jentera sekali gus menenggelamkan keseluruhan bot dalam masa singkat.

    Sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan dan dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia.

    “Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, 16 daripada 17 kru bot itu yang merupakan warganegara Thailand termasuk tekong berusia antara 27 hingga 57 tahun, telah diselamatkan oleh dua bot nelayan tempatan di sekitar situ.

    “Mereka kemudiannnya dipindahkan ke bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dengan seorang daripadanya cedera ringan di tangan serta dada. Begitu pun seorang kru bot dikenali sebagai Phanu Tarurak, 27, masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, mangsa yang selamat diserahkan kepada majikan manakala individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi untuk rawatan lanjut.

    Seorang daripada nelayan yang diselamatkan dan mengalami kecederaan

    Usaha mengesan dan mencari seorang lagi mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot karam itu diteruskan dengan mendapatkan khidmat penyelam dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Pemilik bot tersebut turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas dalam misi sama selain berusaha melakukan kerja-kerja untuk menimbulkan semula bot tersebut,” katanya.

  • Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    JUMLAH mangsa banjir dipindahkan di daerah Pitas naik mendadak pagi ini kepada 719 mangsa daripada 236 keluarga, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan PPS Dewan Kampung Sinukab menempatkan mangsa teramai iaitu 510 mangsa daripada 170 keluarga.

    Tiga PPS lain ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 81 mangsa daripada 29 keluarga; Dewan SK Rukom (55 mangsa daripada 17 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

    Sebanyak 10 kampung terlibat banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lepas dengan dua kampung terbaharu yang dilanda bencana itu malam tadi ialah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

    Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan.

    Cuaca pagi ini cerah di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai barat Sabah, bagaimanapun hujan di kawasan utara antaranya Paitan, Labuk serta Sugut dan kawasan tengah antaranya Telupid dan Tongod. – Bernama

  • Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    POLIS sekali lagi memburu usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan Muhammad Sajjad yang beralamat terakhir di Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 0182053955,” memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari tahun lalu.

    Sajat turut dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

    Sajat kemudian menghilang dan dikesan melarikan diri ke Thailand, namun pada 8 September lalu, dia ditahan pihak imigresen negara itu kerana memiliki pasport tidak sah.

    Ketika ditahan, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

  • Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    EMPAT pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan kemudiannya terbalik dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di Nilai, hari ini.

    Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

    Beliau berkata, empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

    “Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Katanya, kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan. – Bernama

  • Muhyiddin harap SOP PRN Johor tidak terlalu ketat

    Muhyiddin harap SOP PRN Johor tidak terlalu ketat

    TAN SRI Muhyiddin Yassin berharap SOP Covid-19 yang akan diumumkan tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun menyedari ada kes varian Omicron Covid-19 namun berharap ada sedikit kelonggaran bagi menghadapi pilihan raya.

    “Jangan sampai tidak boleh berkempen. Sebagai contoh, calon tidak boleh jumpa sesiapa, nak tunjuk muka tak boleh, mungkin pakai media sosial sahajalah. Ini tidak memadai, orang kawasan nak lihat calon, nak lihat perwatakan, perawakan, tutur bahasa, itu orang nak menilai, nak pilih wakil rakyat bukan senang.

    “Saya harap ada sedikit pertimbangan, saya sedar ada kes Omicron…Kita harap ada sedikit ruang supaya demokrasi itu dibolehkan untuk menghadapi pilihan raya, jangan sampai tak boleh langsung (berkempen). Nak kenalkan diri tak boleh, itu jadi cabaran besar pada kita, terutama parti-parti yang baharu bertanding,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Pembangunan Dasar Masa (MPDP), di Kuala Lumpur.

    Mengenai pembahagian kerusi dengan komponen PN, beliau berkata, ia dijangka selesai esok berikutan wujud sedikit pertindihan

    Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi untuk Pas dalam PRN Johor telah selesai.

    “Cuma berbaki beberapa pertindihan dengan Gerakan yang tak banyak, dalam dua hingga tiga kerusi. Tetapi pasukan Setiausaha Agung yang mengetuai pasukan rundingan akan cuba selesaikan dan kita akan maklumkan nanti,” katanya.

  • PRN Johor boleh diteruskan – Khairy

    PRN Johor boleh diteruskan – Khairy

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor boleh diteruskan susulan jangkitan varian Omicron COVID-19 terbukti hanya menyebabkan gejala ringan.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata syor bagi prosedur operasi standard (SOP) PRN itu telah dimuktamadkan dan telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Pendirian KKM adalah, memandangkan Omicron, setakat ini tidak menunjukkan kesan teruk seperti (varian) Delta maka pilihan raya negeri boleh diteruskan,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi COVID-19 di Putrajaya hari ini.

    Khairy berkata SOP PRN Johor akan diumumkan kelak.

    Pada 22 Jan lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

    SPR dijangka bermesyuarat dan mengumumkan tarikh PRN Johor Rabu ini.

    Sementara itu, Khairy berkata bagi mengawal penularan mendadak varian Omicron, majikan digalakkan meneruskan dasar bekerja dari rumah bagi pekerja mereka atau melaksanakan sistem penggiliran bekerja.

    Khairy berkata majikan juga disaran membantu pekerja yang bergejala membuat ujian swab dengan menyediakan kit ujian dan pelitup muka berkualiti tinggi.

    “Kita juga rayu majikan dapatkan insentif untuk mengubah suai sistem pengudaraan di tempat kerja yang disediakan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

    Selain itu, Kementerian Kesihatan  juga menyarankan supaya orang ramai mengaktifkan “MySejahtera Trace” di aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak rapat.

    Beliau juga memberi peringatan kepada pemilik premis untuk meningkatkan kawalan kemasukan pelanggan dengan menyemak status risiko dan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera pelanggan.

    — BERNAMA