HARI ini genap tujuh tahun demonstrasi aman anjuran sekumpulan penyokong kepimpinan ulama dalam PAS yang akhirnya membawa kepada penyingkiran kumpulan yang dikatakan ‘pengampu DAP’ yang diberi julukan gerakan Hawaii Five 0.

Peristiwa di hadapan Ibu Pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur itu diimbau kembali oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini:

“8 Februari 2015, genap tujuh tahun, demontrasi aman anjuran RTI mendedahkan gerakan Hawaii Five 0. Peristiwa demontrasi besar-besaran ini mengubah landskap politik PAS yang hampir menjadi sekular bila Islam agenda mula dibelakangkan demi sokongan DAP, institusi kepimpinan ulama mula nak diruntuhkan. Satu misi pendedahan yang boleh dianggap imposible tetapi possible. Tahniah Ustaz Fadhli Ibrahim yang sanggup ke depan demi Islam.

“Demonstrasi ini adalah bagi menyerahkan memorandum kepada PAS Pusat yang bermesyuarat pada hari tersebut bagi di atas 12 laporan disiplin terhadap kumpulan Hawaii Five 0 yang tidak diambil apa-apa tindakan. Akhirnya laporan media dan muktamar penghukum sebenar mereka.

“Adakah move seperti ini akan berlaku lagi?”

Soalan yang dilontarkan oleh Zaharuddin pada perenggan terakhir mencetuskan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi mengambil kira situasi PAS yang kini berada dalam dilema berkaitan hubungan dengan sekutu-sekutu politiknya.

Apakah sedang berlaku gerakan serupa seperti yang dialami PAS pada 2015 dahulu yang didalangi oleh kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang?

Semua pihak maklum tentang nasib kumpulan pro-DAP dalam PAS dahulu yang rata-ratanya terdiri daripada golongan profesional.

Konflik ulama-profesional dalam PAS yang menggegarkan parti itu berakhir apabila Mohamad Sabu dan konco-konconya seperti Mohamed Hanipa Maidin, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih semula dalam barisan kepimpinan parti pada muktamar 2015.

Mereka seterusnya menubuhkan parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) yang sehingga kini masih setia dengan DAP.

Gerakan Hawaii Five 0 kini hanya tinggal sebagai sebahagian daripada sejarah PAS yang panjang dan penuh berliku sebelum kembali menjadi sebahagian anggota kerajaan Pusat semasa era pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Sememangnya menjadi satu rahsia terbuka bahawa PAS sedang mengalami pergeseran dalaman ketika ini gara-gara pembabitannya dalam gabungan PN serta kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Memandangkan UMNO dan Bersatu tidak sebulu, PAS dalam keadaan tersepit di tengah-tengah. Mahu tidak mahu, PAS tidak boleh lagi mengambil sikap berkecuali dalam pendekatan politiknya lebih-lebih lagi dalam menentukan pakatan pilihan raya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PAS telah memilih untuk bersama PN dan begitu juga dengan PRN Johor. Terdapat kemungkinan pendirian serupa akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun pada masa yang sama, segelintir pemimpin PAS masih teguh mahu kerjasama dengan UMNO dalam kerangka MN diteruskan atas alasan demi kelangsungan politik Melayu-Islam di negara ini.

Kita tidak pasti tentang pengaruh kumpulan pro-MN dalam PAS. Adakah mereka mempunyai suara yang kuat serta sokongan daripada akar umbi yang rata-ratanya masih wala’ terhadap Presiden?

Walau apa pun, dilema yang dihadapi PAS kali ini adalah lebih rumit berbanding apa yang berlaku pada 2015 di mana ketika itu mereka berdepan dengan puak pro-DAP yang bersikap cauvinistik dan antihudud.

Pemerhati politik pula berpandangan bahawa PAS perlu membuat pendirian memilih sama ada bersama PN atau MN, bukan kedua-duanya sekali gus.

Sememangnya, PAS tidak lagi boleh bermain dalam dua kolam dan mesti memilih satu sahaja antara kolam UMNO atau Bersatu.

Hanya dengan cara itu, bibit-bibit perpecahan dalam PAS dapat dibendung bagi memantapkan parti agar peristiwa tujuh tahun lalu tidak berulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here