TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mengiklankan tawaran jualan aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di pusat koridor KL Sentral-Bangsar.
Dalam satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan, lapor Berita Harian.
Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.
Bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.
Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.
Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir turut terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.
Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.
Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.
WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.
SERAMAI 91,748 atau 80 peratus murid sekolah rendah dan prasekolah di Kelantan dijangka mengambil suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula Ahad depan.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin (gambar, bawah) berkata, jumlah tersebut adalah daripada 114,685 keseluruhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.
Menurut beliau, PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah-sekolah secara outreach dengan kebenaran ibu atau bapa murid terbabit.
Beliau berkata, JKNK menyasarkan 80 peratus atau 91,748 murid sekolah rendah berusia antara tujuh sehingga 11 tahun akan mengambil suntikan Pfizer menerusi PICKids.
Menurut beliau, pihaknya masih menunggu borang kebenaran daripada ibu bapa yang diedarkan melalui sekolah dan diserahkan kepada JKNK pada minggu ini.
“Selepas borang- borang dikembalikan, barulah kita akan tahu jumlah sebenar kanak-kanak yang bersedia untuk menerima suntikan tersebut,” ujarnya.
Menurut Dr Zaini, bagi kanak-kanak sekolah tadika atau taska yang berusia lima hingga enam tahun serta kanak- kanak berpenyakit kronik atau mengalami masalah perubatan perlu mendapatkan suntikan vaksin Pfizer PICKids di PPV Klinik-klinik Kesihatan sekitar Kelantan.
Bagi murid tercicir persekolahan pula kata beliau, boleh mendapatkan suntikan di PPV Klinik-klinik Kesihatan menerusi 132,000 keseluruhan dos yang diterima JKNK.
Ujar beliau, pengambilan vaksin kanak-kanak berusia lima sehingga 11 tahun adalah secara sukarela dengan kebenaran ibu bapa dan mereka perlu hadir menemani anak-anak semasa menerima suntikan.
Menurut beliau, JKNK berharap para ibu bapa dapat membuat keputusan yang bijak dalam isu pengambilan suntikan demi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun di Kelantan yang lalu mencapai peratusan tinggi iaitu 82.7 atau 174,211 penerima dua dos lengkap vaksin Pfizer.
“Setakat ini, di Kelantan sebanyak 34 kluster pendidikan masih aktif berlaku bermula pada pembukaan sesi persekolahan Januari lalu. Jumlah majoriti itu adalah daripada keseluruhan 43 kluster yang berlaku di negeri ini ketika ini,” katanya.
PERDANA Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin yang positif COVID-19, diberikan kesembuhan.
Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya, Ismail Sabri turut mendoakan semoga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu dan keluarga dilindungi.
“Didoakan agar Allah SWT memberi kesembuhan dan melindungi Tan Sri (Muhyiddin) sekeluarga,” katanya dalam catatannya sambil memuat naik semula status Muhyiddin.
Muhyiddin hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas melakukan ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Menerusi catatan di media sosialnya, bekas perdana menteri itu memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
“Alhamdulillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik,” katanya sambil meminta mereka yang berkemungkinan menjadi kontak rapatnya, untuk mematuhi SOP yang ditetapkan KKM. – BERNAMA
BERMULA hari ini, Arab Saudi mewajibkan jemaah umrah tempatan dan antarabangsa yang ingin menziarahi Tanah Suci untuk mengemukakan keputusan negatif ujian PCR COVID-19.
Menurut jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hesham A. Saeed, hanya jemaah yang terbukti negatif COVID-19 melalui ujian PCR atau RTK (Ag) dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh keberangkatan ke Tanah Suci dibenarkan memasuki Arab Saudi.
Selain itu, jemaah juga masih diwajibkan untuk melengkapkan vaksinasi di negara masing-masing dan berdaftar melalui aplikasi “Tawakkalna” dan “Eatmarna”, katanya dalam temubual dengan Saudia TV.
Hesham menambah pihaknya menerima lebih daripada 282,000 permohonan visa umrah sejak bermulanya musim umrah 1443 Hijrah dan menjangkakan bilangan permohonan akan bertambah terutamanya ketika menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Beliau turut mengingatkan jemaah umrah dan ziarah agar sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan sepanjang masa, demi menjaga maslahat mereka dalam menghadapi varian Omicron COVID-19 ketika berada di Tanah Suci.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mewajibkan rakyatnya yang berumur 16 tahun ke atas untuk mengambil dos penggalak bagi mereka yang telah melepasi tempoh tiga bulan daripada tarikh pengambilan dos kedua, sebelum dibenarkan untuk ke luar negara.
SEORANG ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis sehingga cedera parah dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR), awal bulan ini.
Yap Kah Wai, 29, didakwa melanggar Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, menggunakan kereta di SJR Jalan Besar Seri Kembangan, menghala ke Pekan Seri Kembangan pada 1.50 pagi, pada 5 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat tidak menawarkan jaminan kerana mangsa mengalami cedera parah selain tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau antaranya dadah, samun dan mencuri kenderaan.
Peguam Kailash Sharma memohon jaminan mengambil kira faktor anak guamnya itu belum dibuktikan bersalah, namun Hakim Jamaludin Mat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 5 Feb lepas, Bernama melaporkan seorang anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika bertugas dalam SJR dan akibat kejadian itu, mangsa patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua tangan. – BERNAMA
AGAK kelakar bila Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr.Puad Zarkashi mendakwa Bersatu tidak berani keluar daripada Kerajaan dan takut jika pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.
Paling melucukan apabila Puad yang kalah di Parlimen Batu Pahat pada PRU-13 dan tidak bertanding pada PRU-14 berhujah;
‘’Bersatu sebenarnya takut PRU awal. Apakah tumbangkan kerajaan sendiri (22 bulan) dan langkah Sheraton bukan langkah bodoh yang bunuh rakyat? Maka apakah kamu bertanggungjawab?.’’
Dan sambil merujuk kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, beliau tidak mahu rakyat terkorban dengan langkah bodoh Bersatu keluar daripada kerajaan, Puad yang menjadi Ketua Pengarah JASA ketika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam PRU-14 selepas 61 tahun memerintah berkata;
“Sebenarnya rakyat sudah ramai terkorban kerana PKP (perintah kawalan pergerakan) separuh masak oleh PM ke-8. “Mereka hilang perniagaan, hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan ada yang bunuh diri.’’
Puad berkata, Bersatu sebenarnya tidak akan berani keluar daripada kerajaan.
Pertamanya, kalau Puad bangkitkan persoalan ‘’langkah Sheraton bukankah langkah bodoh yang bunuh rakyat, maka apakah kamu bertanggungjawab’’ , kenapakah UMNO yang cerdik itu boleh ikut terlibat dalam gerakan tersebut, kalau betul ia langkah bodoh?
Kenapakah Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bersedia menandatangani surat bersama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyokong Muhyiddin untuk jadi Perdana Menteri Ke-8.
Kenapa semasa itu tidak ada suara daripada UMNO bertanya ‘bukankah Langkah Sheraton’ itu langkah bodoh yang bunuh rakyat’?
Disebabkan’langkah Sheraton’ yang dianggap bunuh rakyatlah, UMNO kini menjadi Perdana Menteri dan kembali berada dalam kerajaan walaupun ditolak bulat-bulat oleh rakyat dalam PRU-14. Tetapi kenapa sekarang secara tiba-tiba pemimpin UMNO yang bijak pandai baru nak bercakap dan mempersoalkan ‘langkah Sheraton’?
Penulis juga bertanya tidakkah tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Muhyiddin ketika Ahli Parlimen Pagoh itu sedang bertungkus lumus bersama-sama empat menteri kanan daripada UMNO menguruskan Covid-19 dan berusaha memulihkan kehidupan rakyat bukan tindakan bodoh?
Apa yang Muhyiddin tegaskan soal tidak akan menarik diri itu bukan soal ugutan atau tidak apatah lagi berkaitan jawatan menteri adalah talian hayat Bersatu seperti mana hujah dangkal Puad tetapi Muhyiddin dan Perikatan Nasional tidak tergamak ‘melakukan perbuatan bodoh’ menarik sokongan kepada Perdana Menteri ketika rakyat terus diancam pandemik Covid-19.
Seperkara lagi soal ‘lockdown separuh masak’, cuma penulis nak tanya sebagai seorang yang pernah berada dalam satu jawatan strategis dalam kerajaan sebagai Ketua Pengarah JASA, adakah apabila Perdana Menteri hendak membuat keputusan besar apatah lagi melibatkan kehidupan rakyat dan negara, beliau melakukan secara sendirian tanpa berbincang dengan sesiapa?
Bukankah ketika pandemik itu melanda Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengadakan mesyuarat setiap hari ini dan turut berada dalam mesyuarat serta membuat pengumuman keputusan kerajaan ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu adalah Menteri Kanan Pertahanan?
Kenapakah Puad tidak bercakap soal ‘kebertanggungjawab bersama’? Senanglah hidup, kalau bila dapat pujian semua itu disebabkan menteri UMNO, bila ada masalah itu salah Perdana Menteri!
Sekarang kes mencanak naik adakah itu salah Perdana Menteri? Adakah itu kegagalan menteri-menteri UMNO yang bertanggungjawab soal Covid-19? Kenapa Puad tidak bersuara dalam soal ini?
Sebenarnya sejak awal lagi, apabila Covid-19 melanda kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin sudah melakukan langkah yang betul terutama dalam memulihkan ekonomi, membantu rakyat dan melaksanakan Program Imunasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), tetapi malangnya kerajaan ketika itu ‘diserang’ habis-habisan oleh pemimpin UMNO termasuk Puad.
Sekarang kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri meneruskan apa yang sudah dicetuskan oleh Muhyiddin dalam menangani Covid-19, tetapi ramai pemimpin UMNO yang sengaja ‘pekakkan telinga’ dan ‘butakan mata’untuk mengiktiraf apa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
Sebenarnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila Puad ‘menyerang’ atau ‘membidas’ Muhyiddin tidak habis-habis, yang luar biasanya kalau beliau memuji Muhyiddin. Kenapa? Hanya Allah mahu mengetahui cumanya janganlah beremosi sangat.
Lagipun daripada Puad dok tumpu kritik Muhyiddin, lebih baik kukuhkan jentera parti di Parlimen Batu Pahat, selain perlu merampas kembali kerusi itu dalam PRU-15 sebab ‘malu juga’ memandangkan sudah dua penggal kerusi itu terlepas daripada UMNO, pastikan dalam PRN Johor 12 Mac ini, selain DUN Rengit dipertahankan, usahakan merampas DUN Senggarang dan Penggaram. Paling seronok kalau Puad sendiri bertanding di salah satu kerusi DUN itu.
Bukan apa nak ingatkan pesan orang tua-tuan, ‘jangan jadi tin kosong, bunyi kuat isinya tiada….’’
DAKWAAN kononnya ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini akan bersama ADUN UMNO untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, adalah tidak logik.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, ketika ini beliau tidak nampak sebab untuk mana-mana pihak berbuat demikikan ketika Muhammad Sanusi menerajui kerajaan negeri dengan cukup cemerlang.
Justeru katanya, beliau yakin bahawa dakwaan yang tular di media sosial itu tidak lebih daripada sekadar khabar angin semata-mata.
“Kepimpinan Muhammad Sanusi ketika ini seakan berada di kemuncak dan anda boleh lihat berapa banyak pelaburan yang masuk, termasuk diumumkan di Bandar Raya Getah (KRC) kelmarin.
“Jadi kalau kita tarik sokongan, kita hendak cari yang macam mana lagi? Buat masa sekarang saya tak fikir akan ada ADUN Bersatu yang akan melompat,” katanya kepada Warta Rakyat di sini, hari ini.
Ketika ini terdapat khabar mengatakan beberapa ADUN akan menarik sokongan kepada Muhammad Sanusi sekali gus menjadikan Kedah sebagai negeri ketiga yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) selepas Melaka dan Johor.
Suhaimi menambah, walaupun beliau merasakan perkara itu sebagai sesuatu yang tidak logik dan tidak akan berlaku, Bersatu bersama Pas di Kedah tetap bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.
“Kita sudah adakan muzakarah bersama Pas dan kita nekad untuk bersama dalam apa jua keadaan. Kita akan lawan dan selebihnya, kita bertawakal.
“Masing-masing ada strategi, begitu juga dengan Bersatu. Kita percaya dengan kekuatan ahli yang sentiasa bergerak aktif di negeri ini,” katanya.
GARA-GARA terpedaya dengan ugutan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang peniaga lelaki di Kuantan, Pahang kelmarin mengalami kerugian RM45,400.60.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian berlaku apabila peniaga berusia 32 tahun itu menerima panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM52,978, lapor Berita Harian.
Pada mulanya kata beliau, mangsa cuba menafikan dakwaan tersebut, sebelum mangsa disambung pula dengan individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Siva’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.
Menurut beliau, susulan itu mangsa diminta pula mengisi maklumat akaun bank yang disediakan suspek.
Beliau berkata, semalam mangsa terkejut apabila menyedari wang sebanyak RM45,400.60 dalam akaun banknya telah lesap.
Menurut Mohd Wazir, mangsa ke bank untuk membuat semakan dan terbukti berlaku pindahan wang ke akaun individu bernama Ridzuan Ramdan.
Tambah beliau, mangsa yang mengesyaki tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan”, katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19, selepas melakukan ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Menerusi catatan di laman Facebook beliau, bekas perdana menteri itu memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
“Alhamdulillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik,” menurut catatan itu.
Muhyiddin turut meminta mereka yang berkemungkinan menjadi kontak rapatnya, untuk mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.
Beliau juga memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatannya dan keluarga.
KESEMUA penduduk yang terjejas akibat bencana kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.
Mereka merupakan sebahagian daripada 400 penduduk yang terpaksa berpindah akibat kebakaran tapak sampah itu yang tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran pulang ke rumah itu dibuat selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menunjukkan kualiti udara di sekitar kawasan Ladang Byram iaitu lokasi paling hampir bertambah baik dan kembali pulih.
Menurutnya, penutupan PPS itu juga secara tidak langsung menandakan semua operasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah SPS telah ditamatkan.
“Bagaimanapun, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS Pulau Pinang,” katanya.
Pada 1 Februari lalu, kira-kira 11.3 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas usaha-usaha memadamkan kebakaran berlangsung selama kira-kira 20 hari.
Kebakaran yang mula dikesan pukul 5 petang 12 Januari lalu itu menyebabkan kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara di dua PPS iaitu di SK Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.
Kejadian itu juga menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.