GARA-GARA terpedaya dengan ugutan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang peniaga lelaki di Kuantan, Pahang kelmarin mengalami kerugian RM45,400.60.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian berlaku apabila peniaga berusia 32 tahun itu menerima panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM52,978, lapor Berita Harian.

Pada mulanya kata beliau, mangsa cuba menafikan dakwaan tersebut, sebelum mangsa disambung pula dengan individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Siva’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

Menurut beliau, susulan itu mangsa diminta pula mengisi maklumat akaun bank yang disediakan suspek.

Beliau berkata, semalam mangsa terkejut apabila menyedari wang sebanyak RM45,400.60 dalam akaun banknya telah lesap.

Menurut Mohd Wazir, mangsa ke bank untuk membuat semakan dan terbukti berlaku pindahan wang ke akaun individu bernama Ridzuan Ramdan.

Tambah beliau, mangsa yang mengesyaki tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan”, katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here