Category: Semasa

  • Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    HANYA kerana seorang gadis, seorang pelajar senior sanggup memukul kepala seorang pelajar lain dengan sebiji batu sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak.

    Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan itu, seorang pelajar lelaki dipukul pelajar senior sehingga retak tempurung kepala.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada 11.15 pagi Selasa lalu, di mana mangsa, seorang pelajar Tingkatan 4 sekolah itu didatangi lima pelajar tingkatan lima ketika berada di luar kelas.

    Katanya, mangsa terus dipukul oleh mereka pada bahagian badan beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak.

    “Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

    “Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya.

    Choon Foo berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.

    Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.

    “Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya selain memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas tersepit di tayar belakang sebuah lori kontena di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, Sungai Buloh, hari ini.

    Kemalangan tersebut membabitkan lori kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.16 pagi.

    “Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Penunggang motosikal terbabit dikenali Danial Imran Kamarolzama berusia 31 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Norazam berkata, anggota bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan jentera lain.

    “Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Mahkamah tangguh prosiding saman 1MDB AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain

    Mahkamah tangguh prosiding saman 1MDB AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain

    PROSIDING saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) AS$8 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap Datuk Seri Mohd. Najib Razak dan tujuh pihak lain ditangguhkan.

    Penangguhan itu sehingga kes jenayah berkaitan penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai, lapor Sinar Harian.

    Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohd Najib berkata, pihak 1MDB selaku plaintif dan defendan-defendan bersetuju untuk menangguhkan prosiding saman sivil itu.

    “Maka anak guam saya menarik balik permohonan untuk menggantung prosiding berkenaan yang sepatutnya didengar hari ini.

    “Bagaimanapun mahkamah meminta kedua-dua pihak memfailkan pembelaan dan permohonan interlokutori sebagai persediaan sebelum bicara kes saman bermula,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

    Ia turut disahkan oleh peguam Datuk DP Naban yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif.

    Pada Khamis, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan Mohd Najib untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1MDB.

    Namun, permohonan penggantungan itu ditarik balik selepas kedua-dua pihak bersetuju perbicaraan tidak akan dimulakan buat masa ini.

    Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

    Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk bekas Perdana Menteri.

    Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif.

    Selain Mohd Najib, saman itu difailkan terhadap bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

    Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

    Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.

    Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd. Hazem dan Azmi.

  • Maritim rampas 1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000

    Maritim rampas 1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup 1.2 tan daun ketum di muara Kuala Kedah semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan yang telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah .

    Katanya, sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan kira-kira pukul 6 pagi.

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

    Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000

    “Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai RM216,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noor Azreyanti berkata, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand yang mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan RM30 sekilogram menjadikan barangan terlarang itu banyak diseludup ke negara jiran itu.

    Katanya, semua hasil rampasan beserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM276,000 telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

    Sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah sebelum berjaya ditahan

    Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

    Jelas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

    Katanya, pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Tular lelaki buat kecoh, mengamuk di lampu isyarat

    Tular lelaki buat kecoh, mengamuk di lampu isyarat

    PERSIMPANGAN lampu isyarat dekat Jalan Dato Muda Linggi, Seremban, kecoh apabila seorang lelaki menimbulkan kekecohan di atas jalan raya dengan mengamuk dan memaki pengguna jalan raya lain.

    Tindakan lelaki berkenaan dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular dalam Facebook sejak dua hari lalu.

    Tanpa mengetahui punca kejadian tersebut, lelaki yang memandu kenderaan pelbagai (MPV) itu menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya.

    Berdasarkan video berdurasi 1 minit 31 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

    Dia kemudiannya bertindak seperti orang kurang siuman dengan memaki hamun beberapa pengguna jalan raya yang turut berhenti sementara menunggu lampu merah.

    Ekoran video yang tular itu, ramai yang tertanya-tanya mengenai tindakan lelaki dan ada yang mendakwa dia mungkin masalah mental.

    Turut terdengar dalam dirakam pengguna jalan raya lain itu dialog perakam bersama penumpangnya yang risau akan keselamatan lelaki itu sendiri yang berlegar-legar di atas jalan dan keselamatan pengguna jalan lain kerana dibimbangi mencederakan orang lain.

    Bagaimanapun, dia tidak mencederakan mana-mana individu atau merosakkan kenderaan sebelum beredar dengan kenderaan jenis Perodua Alza selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    Video itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang meninggalkan komen di Facebook.

  • SPRM siasat 5 pegawai Mara Corp berkait isu salah guna kuasa hari ini

    SPRM siasat 5 pegawai Mara Corp berkait isu salah guna kuasa hari ini

    LIMA pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa, membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp) akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya, hari ini.

    Sumber SPRM berkata, kelima-lima individu berkenaan merupakan 17 individu yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Selain lima orang pegawai Mara berkenaan, turut akan dipanggil untuk dirakam keterangan adalah empat lagi anggota lembaga pengarah Mara Corp, empat orang pegawai Mara, tiga pegawai bank dan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    “Setakat hari ini, seramai 14 saksi telah dirakam keterangan mereka membabitkan seramai empat orang ahli lembaga pengarah Mara Corp, tujuh individu daripada pengurusan Mara Corp, dua orang pegawai Mara dan seorang kakitangan syarikat setiausaha korporat,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, sumber SPRM memberitahu, dalam serbuan SPRM ke ibu pejabat Mara dan Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas, SPRM telah merampas antaranya dokumen terdiri daripada kertas cadangan dan minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.

    Pada Ahad lepas, kelima-lima individu yang dikaitkan dengan salah laku berkenaan telah membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Dang Wangi dan menafikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan.

    Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu. – Bernama

  • Nurul Izzah sahkan positif Covid-19

    Nurul Izzah sahkan positif Covid-19

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengesahkan dirinya positif Covid-19 setelah menerima laporan ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

    Bagaimanapun beliau hanya mengalami simptom ringan dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah, lapor Sinar Harian.

    “Saya telah menerima laporan ujian PCR yang menunjukkan saya positif Covid-19, namun memandangkan kami sudah menjalankan kuarantin kendiri sejak 6 Februari, kami akan meneruskan home surveillance order (HSO) dan melakukan yang terbaik bagi melindungi Safiyah (anak) daripada terkena jangkitan.

    “Selain daripada simptom ringan biasa (lesu, hidung berair dan sakit otot atau sendi), alhamdulillah kami dalam keadaan baik,” katanya menerusi hantaran menerusi media sosial, hari ini.

    Beliau berkata, Covid-19 bukan situasi yang mudah untuk dilalui walaupun keadaan yang dialami tidak begitu teruk berbanding ketika mengalami demam denggi.

    Katanya, penting untuk semua orang dilindungi dengan vaksinasi.

    “Syukur, kami semua telah berjaya melengkapkan dos vaksinasi dan saya berharap agar kesemua kita dapat diberikan tahap perlindungan yang sama, insya-Allah.

    “Kami juga telah mengemaskini status harian menerusi MySejahtera termasuk video latihan pernafasan dan penggunaan oksimeter yang betul,” katanya.

  • Polis nafi insiden lelaki dibaham harimau di Simpang Pulai

    Polis nafi insiden lelaki dibaham harimau di Simpang Pulai

    POLIS Perak menafikan laporan berhubung dakwaan kononnya seorang lelaki telah dibaham harimau di Simpang Pulai di sini seperti yang tular di laman Facebook baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata semakan dengan Ketua Polis Daerah Ipoh mendapati dakwaan itu tidak benar dan gambar yang tular juga merupakan gambar lama.

    “Saya ingin menafikan perkara ini tidak benar,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Beliau ditanya mengenai gambar tular di laman Facebook menerusi perkongsian oleh ‘Pembalak Kelate’ yang memaparkan satu rangka manusia telah ditemukan di Pos Raya, Jalan Simpang Pulai menuju Cameron Highlands.

    Justeru, Mior Faridalatrash berkata perbuatan yang menggusarkan orang ramai itu perlu dihentikan dan tindakan tegas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia akan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab menyiarkannya. – Bernama

  • Pembukaan sempadan:Cadang tambah jumlah pengembara VTL darat

    Pembukaan sempadan:Cadang tambah jumlah pengembara VTL darat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Johor mencadangkan jumlah pengembara yang menggunakan inisitiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bagi Malaysia-Singapura ditambah apabila sempadan dibuka pada 1 Mac ini.

    Menteri BesarJohor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, seramai 700 pengembara VTL darat dibenarkan dalam masa sehari untuk laluan sehala ketika ini dan jumlahnya dijangka meningkat selepas pembukaan sempadan nanti.

    Beliau berharap, pembukaan sempadan itu juga tidak akan membebankan rakyat Malaysia di republik itu yang pulang hanya untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Selaku Menteri Besar, saya sokong hasrat untuk membenarkan mereka pulang, walaubagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua negara kerana kita tidak mahu menyusahkan rakyat.

    “Kita tidak mahu kebenaran balik itu atas sebab politik tetapi apabila mereka mahu pulang bekerja di Singapura akan timbul isu lama iaitu perlu menanggung kos kuarantin yang tinggi.

    “Saya tidak fikir itu tindakan yang baik melainkan kerajaan buat keputusan sedia untuk membayar kos sekiranya mereka balik semula ke Singapura,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Common Ground Iskandar Space di Bandar Medini, Kota Iskandar, hari ini.

    Kelmarin, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Khamis berkata, keputusan akhir pembukaan semula sempadan akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dibentang dalam mesyuarat jemaah menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19.

    Hishammuddin berkata, isu pembukaan semula sempadan negara itu bukan perkara mudah dan memerlukan pertimbangan menyeluruh dari semua aspek.

    Mengulas lanjut, Hasni berkata, persetujuan membuka sempadan Malaysia-Singapura perlu dibuat secara bilateral, dan bukannya unilateral.

    “Apabila bercakap soal sempadan ini (Malaysia-Singapura), kita perlu ambil pendekatan secara bilateral bukan unilateral, makna persetujuan antara kedua-dua negara perlu menjadi pertimbangan.

    “Sekiranya (rakyat Malaysia di Singapura) perlu kembali bekerja di Singapura tidak menimbulkan masalah kepada pekerja dan kerajaan Singapura juga bersetuju bahawa mereka boleh balik dengan hanya perlu buat ujian seperti inisiatif VTL darat, maka Johor menyokong,” katanya.

  • Ahli perniagaan simbah asid pada 2 wanita dipenjara 16 tahun

    Ahli perniagaan simbah asid pada 2 wanita dipenjara 16 tahun

    SEORANG ahli perniagaan wanita yang menyimbah asid ke atas dua wanita perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas gagal dalam rayuannya supaya hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya berjalan serentak.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Yaacob Md Sam, menolak rayuan Shafiqah Izzati Badrul Hisham selepas memutuskan Mahkamah Tinggi betul dalam memerintahkan dua hukuman penjara, lapan tahun setiap satu secara berturut-turut kerana terdapat dua mangsa.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

    Shafiqah Izzati, 25,  mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menyimbah asid yang menyebabkan kecederaan kepada ibu saudaranya Rafzaliza Rafli, 36, dan Nadia Mohd Khalid, 38, yang merupakan rakan kepada ibu saudaranya.

    Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kencana, Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana, Selangor pada  3.30 petang pada 29 Jan 2019.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Shafiqah Izzati bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan dia menjalani hukuman itu serentak yang bermakna dia hanya menjalani hukuman penjara lapan tahun.

    Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari 30 Jan 2019, hari dia ditangkap.

    Pendakwaan bagaimanapun merayu di Mahkamah Tinggi, yang mengekalkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan Shafiqah Izzati menjalani hukuman itu berturut-turut.

    Dia kemudian memfailkan rayuan terhadap hukumannya kepada Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula perintah Mahkamah Sesyen bahawa dia perlu menjalani hukuman penjara secara serentak.

    Kedua-dua mangsa melecur di muka dan badan.

    Peguam Jay Moy Wei Jiun yang mewakili Shafiqah Izzati manakala Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar bagi pihak pendakwaan. – Bernama