PERSIMPANGAN lampu isyarat dekat Jalan Dato Muda Linggi, Seremban, kecoh apabila seorang lelaki menimbulkan kekecohan di atas jalan raya dengan mengamuk dan memaki pengguna jalan raya lain.

Tindakan lelaki berkenaan dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular dalam Facebook sejak dua hari lalu.

Tanpa mengetahui punca kejadian tersebut, lelaki yang memandu kenderaan pelbagai (MPV) itu menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya.

Berdasarkan video berdurasi 1 minit 31 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

Dia kemudiannya bertindak seperti orang kurang siuman dengan memaki hamun beberapa pengguna jalan raya yang turut berhenti sementara menunggu lampu merah.

Ekoran video yang tular itu, ramai yang tertanya-tanya mengenai tindakan lelaki dan ada yang mendakwa dia mungkin masalah mental.

Turut terdengar dalam dirakam pengguna jalan raya lain itu dialog perakam bersama penumpangnya yang risau akan keselamatan lelaki itu sendiri yang berlegar-legar di atas jalan dan keselamatan pengguna jalan lain kerana dibimbangi mencederakan orang lain.

Bagaimanapun, dia tidak mencederakan mana-mana individu atau merosakkan kenderaan sebelum beredar dengan kenderaan jenis Perodua Alza selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Video itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang meninggalkan komen di Facebook.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here