POLIS Johor berjaya menumpaskan kegiatan lumba haram yang dipercayai didalangi satu sindiket dengan menjadikan lebuh raya di negeri itu sebagai litar untuk berlumba hasil operasi khas yang dilakukan awal pagi ini.
Malah, sindiket tersebut yang menganjurkan perlumbaan jenis ‘drag race’ dipercayai turut menawarkan habuan berupa wanita selain hadiah wang tunai kepada pemenang.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket dan peminat-peminat lumba haram terbabit menjadikan Plaza Tol Skudai sebagai tempat permulaan sebelum berlumba sejauh 500 meter di jalan lurus menghala ke arah selatan.
Beliau berkata, polis melakukan intipan sejak sebulan lalu sebelum menyerbu lokasi perlumbaan terbabit yang menjadikan pukul 1 hingga 4 pagi pada setiap hujung minggu sebagai waktu untuk berlumba.
“Dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 2 pagi itu, seramai 126 orang ditahan dengan tiga daripadanya positif penyalahgunaan dadah selain sebanyak 66 buah kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak enam buah kenderaan pula sedang berlumba ketika serbuan itu dengan mereka yang lain sama ada sedang menunggu giliran ataupun hanya menjadi penonton di tepi jalan. Kita sedang menyiasat secara terperinci termasuk hadiah yang ditawarkan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.
Katanya, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Tambah Kamarul Zaman, tindakan mereka menggunakan kenderaan yang telah diubah suai untuk memecut laju bukan sahaja membahayakan kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain
“Orang ramai khususnya anak-anak muda dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram walaupun hanya menjadi penonton kerana itu juga adalah satu kesalahan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainuddin Abu Bakar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun.
“Seramai enam orang yang berusia antara 22 hingga 25 tahun telah ditahan melibatkan lima kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (1987 dan satu kes di bawah Seksyen 81 akta sama.
“Sementara itu, polis turut mengeluarkan sejumlah 55 keping saman atas pelbagai kesalahan,” jelasnya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu berjumlah kira-kira hampir RM40,000.
Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 30 tahun dan suaminya yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, pada tahun 2020 hingga tahun lalu, wanita tersebut yang bertugas sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan telah menggunakan kedudukannya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan kepada syarikat suaminya.
Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembekalan yang sepatutnya dibuat oleh syarikat tersebut didapati tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kata beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.
KES keganasan rumah tangga dan kes jenayah seksual meningkat di seluruh negara pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bagi kes keganasan rumah tangga mencatatkan 7,468 kes dicatatkan pada 2021 berbanding 5,260 kes pada 2020.
Jelas beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 2,208 kes atau 42 peratus sepanjang pada tahun lalu.
Katanya, turut mencatatkan peningkatan ialah kes jenayah seksual yang merekodkan 3,271 kes pada 2021 berbanding 3,177 kes pada 2020.
“Keadaaan ini didorong perubahan norma baharu kehidupan akibat berlakunya pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana itu memberi impak bukan sahaja pada tingkah laku seseorang bahkan terhadap emosi dan kesihatan mental juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian itu, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff pada Majlis Pelancaran Skuad Waja Johor di Johor Bahru, hari ini.
Katanya, berdasarkan situasi semasa itu pihak kementerian mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Waja (Skuad Wanita Anti Jenayah) yang berperanan sebagai ‘first responder’ dan pendengar yang baik.
Menurutnya, sejak skuad tersebut dilancarkan pada tahun lalu sehingga 3 Februari tahun ini, seramai 123,721 individu di seluruh negara mendaftar sebagai sukarelawan.
Jelasnya, peranan skuad tersebut adalah menyantuni dan membantu komuniti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.
Hasil daripada pelaksanaan skuad tersebut katanya, sebanyak 945 kes telah berjaya dibimbing manakala seramai 6,837 individu berjaya disantuni menerusi program psikososial.
“Saya juga difahamkan bahawa seramai 5,331 individu telah dibantu oleh Skuad Waja dari seluruh negeri menerusi Misi Skuad Waja Santuni Mangsa Banjir,” katanya.
Rina berkata, pelaksanaan skuad itu di Johor mendapat penglibatan seramai 8,886 ahli yang berdaftar melibatkan 8,727 wanita dan 159 lelaki.
Ahli Skuad Waja Johor ujarnya, turut bergiat aktif dengan menyantuni komuniti dan mangsa yang memerlukan dengan seramai 1,113 orang telah dibantu dan disantuni melibatkan 84 program psikososial.
“Sebanyak 52 kes juga telah dilaporkan dan dibantu merangkumi kes keseimbangan, kewangan, kemahiran dan kepimpinan,” katanya.
TINDAKAN seorang wanita yang membuat pengakuan sumpah laknat melibatkan dakwaan kes cabul oleh seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor, tidak menganggu siasatan pihak polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut menjelaskan bahawa, siasatan kes berkenaan juga masih diteruskan.
“Tidak ada (ganggu siasatan)…itu adalah (dakwaan) peribadi dia. (Kes ini) kita akan terus siasat secara adil dan saksama,” katanya selepas Operasi Samseng Jalanan, di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang melakukan pengakuan sumpah laknat berhubung kes cabul melibatkan bekas ADUN berkenaan semalam.
Kamarul Zaman baru-baru ini berkata, kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan bekas ADUN berkenaan terhadap seorang wanita, yang juga ahli sebuah parti politik telah dilengkapkan.
Beliau berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu, termasuk bekas ADUN dan wanita tersebut. – BERNAMA
AKIBAT terpedaya dengan tawaran kerja palsu dalam laman sosial, seorang penganggur terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM22,840 setelah wang simpanannya habis licin ditipu sindiket tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof memberitahu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 33 tahun telah melihat tawaran kerja berkenaan di akaun Facebook lalu menghubungi nombor tertera di laman sosial itu pada pukul 3.30 petang
Menurut beliau ketika itu mangsa sedang berada di rumahnya di Air Putih, Kuantan.
Menurut beliau, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Evon dan menyatakan minatnya untuk melakukan kerja-kerja promosi dan penjualan produk yang ditawarkan.
Katanya, suspek memaklumkan mangsa akan diberikan komisen sebanyak RM600 melalui barangan yang ditempah dan diberikan satu aplikasi ‘Isalebiz’ untuk membuat tempahan 60 barangan dengan menggunakan wangnya sendiri.
“Mangsa turut dimaklumkan wang miliknya akan dikembalikan semula berserta komisen dan keuntungan daripada penjualan produk secara terus ke dalam akaunnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Wazir, penganggur terbabit kemudiannya bersetuju dan membuat pembelian sebanyak RM600 sebagai permulaan.
Ujarnya, hasil daripada penjualan melalui aplikasi Isalebiz itu, mangsa telah memperoleh komisen sebanyak RM182 dan dia mula yakin lalu membuat pembelian berskala besar untuk memperoleh lebih banyak komisen.
Menurut beliau, mangsa kemudian telah memasukkan wang sebanyak RM22,840 ke dalam empat akaun berbeza menerusi lima transaksi secara dalam talian sebelum diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,640 bagi mendapatkan semua wang serta komisen itu.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak membuat sebarang pembayaran kerana sudah kehabisan wang dan suspek memaklumkan jika gagal berbuat demikian wang dan komisen mangsa tidak akan dipulangkan semula.
“Sebaik menyedari merasakan dirinya telah ditipu, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuantan, jelas beliau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendakwa, serangan yang dilancarkan terhadap beliau dipercayai ada kaitan dengan agenda pihak tertentu mahu menjatuhkan suruhanjaya tersebut.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, pihak terbabit didakwa bertindak sedemikian apabila SPRM semakin giat menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi ketika ini.
“Saya menjangka perkara ini tidak akan berakhir di sini malah akan ditimbulkan tohmahan (dan) isu lain terhadap saya di masa yang terdekat.
“Kalau (usaha ini) berjaya, bermakna tiada lagi mana-mana agensi yang boleh dipercayai untuk orang awam rujuk sekiranya terdapat isu- isu yang melibatkan rasuah,” katanya kepada FMT dan beberapa media terpilih, baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, Azam tidak menamakan pihak terbabit yang didakwa melancarkan serangan terhadapnya dan SPRM.
“Pada pandangan peribadi saya, ya… ia (dilakukan) sangat terancang oleh seseorang tetapi saya tak tahu (siapa). Itu sahaja yang saya dapat lihat daripada agenda yang dibangkitkan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen SPRM untuk memerangi rasuah serta menghargai sokongan daripada pegawai-pegawainya.
Azam juga berkongsi tentang pengalaman beliau menerima amaran daripada individu yang tidak dikenali sepanjang 35 tahun berkhidmat dengan SPRM.
“Mesej maki hamun itu biasa…ada juga yang hantar mesej kata hati-hati, keluarga anda akan ditimpa musibah…(sila) hati-hati kalau tak kita akan sihir anda dan anak-anak anda. Mesej sebegitu ada tetapi ancaman bunuh yang betul-betul tiada,” ujarnya.
Berhubung isu pembelian saham syarikat tersenarai oleh adiknya, Nasir menggunakan akaun dagangan Azam, beliau berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dua kali menegaskan tidak ada sebarang salah laku berhubung pembelian saham melibatkan beliau dan tiada percanggahan antara kenyataan badan itu dan penjelasannya sebelum ini.
“Mereka (SC) telah mengeluarkan dua kenyataan…(menyatakan) tiada kesalahan terhadap saya. Jadi, bila mereka sudah terangkan semuanya, isu ini telah pun diperjelaskan,” katanya.
Azam menambah, beliau juga bersedia hadir mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menjawab isu saham melibatkannya, sekiranya sidang itu dipanggil mengikut peraturan yang ditetapkan.
Beliau memberitahu, keengganannya untuk berbuat demikian sebelum ini, antara lain, kerana hanya menerima ‘surat jemputan’ dan bukannya sapina untuk menghadiri mesyuarat itu pada 19 Januari lalu.
“Surat yang saya terima adalah satu surat jemputan sahaja. Jadi, jangan kelirukan orang ramai bahawa saya disapina dan harus hadir untuk menjelaskan semua. Jika saya tidak hadir, seolah-olah saya tidak hormat dan menghina Parlimen.
“Mana boleh begitu? Kalau ini adalah sapina, sudah pasti saya akan hadir dan sebagai pegawai penguatkuasa, sudah pasti saya akan hormat kepada undang-undang yang diperuntukkan,” jelasnya.
SERAMAI lapan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Batu 6, Lukut, Port Dickson malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Limau dan Tahun Baru Cina kira-kira pukul 8.40 malam.
“Sebaik polis tiba di lokasi, dua kumpulan dilihat sedang mengelilingi dua meja dengan meja pertama dikelilingi tiga lelaki dan seorang wanita yang berjudi daun terup manakala empat lelaki berjudi jenis mahjong di meja kedua.
“Polis kemudiannya merampas 152 batu mahjong, kad daun terup (52), dadu (tiga), meja (dua), kerusi (lapan), kertas mahjong (empat) dan wang tunai berjumlah RM728 yang dijadikan pertaruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati dua daripada lapan individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Aidi Sham berkata, susulan itu, kesemua mereka bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA
NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu ketandusan kecerdasan kerana terus menyerang pemimpin yang digelar ‘kluster mahkamah’, sedangkan tiada seorangpun bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kata Khaled yang menjadi Menteri Besar ketika UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya dan tumbang di Johor pada PRU-14;
‘’Saya kasihan benar dengan Presiden Bersatu ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi ‘kluster mahkamah’. Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar.’’
Beliau yang kalah di kerusi DUN Permas dengan majoriti 8,746 undi kepada calon Bersatu dan tewas di Parlimen Pasir Gudang kepada calon PKR dengan majoriti 24,726 undi turut mengingatkan supaya Muhyiddin tidak seharusnya mengheret rakyat negeri itu ke kancah ‘ketidaksukaan’ beliau terhadap tokoh tertentu.
Hujah beliau, ‘’ Yang utama kepada rakyat Johor ialah mencari kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.’’ Dan kata Khaled lagi Muhyiddin berdepan krisis terbesar dalam perjalanan politiknya selepas kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri dan gagal dalam beberapa siri PRN termasuk Melaka dan Sarawak.
Kalau itulah hujah-hujah Khaled yang dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Boustead Holding berhad (BOUSTEAD) pada 1 Mei 2020 (iaitu ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri) dan meletakkan jawatan pada 5 Ogos 2021 (kira-kira 11 hari sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan), penulis tertanya-tanya adakah tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat terus bergantung kepada pemimpin ‘kluster mahkamah’ boleh dianggap ‘kecerdasan’ dan ‘cita-cita segar’?
Khaled kata beliau kasihan kerana Muhyiddin ‘ketandusan kecerdasan’, ‘’Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi ‘kluster mahkamah’.’’
Memang patutlah kalau Muhyiddin berada dalam keadaan tersebut kerana semua orang tahu siapa yang menguasai dan cukup berkuasa dalam UMNO sekarang. Bukankah seorang sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat orang hakim manakala seorang lagi diperintah membela diri atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa.
Muhyiddin mahu memastikan ‘kluster mahkamah’ itu tidak terus berkuasa. Justeru itulah Muhyiddin dalam kenyataannya memberi peringatan mengenai perancangan ‘kluster mahkamah’ apabila berkata;
‘’Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri. Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.
‘’Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor.
‘’Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.
‘’Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.
‘’Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti. Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.’’
Itu yang Muhyiddin bimbang. Kenapa Khaled tak ulas apa yang dikatakan oleh Muhyiddin itu?Benar atau tidak, dakwaan beliau? Kenapa Khaled hanya tertumpu kepada perkataan ‘kluster mahkamah’? Penulis yakin ramai nak tahu betul atau tidak apa yang didakwa oleh Muhyiddin itu?
Benar rakyat Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil tetapi biarlah ia dikuasai oleh sebuah parti yang pimpinan tertingginya di peringkat pusat bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih.
Sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi menteri di peringkat pusat dan terhumban dari kerusi menteri besar sehingga nak jadi ketua pembangkang pun tak dapat kerana kalah dalam PRU, lebih baik Khaled diam.
Dan kalau pun Khaled ‘tidur tak lena’, ‘mandi tak basah’ sebab dok menunggu saja untuk membalas kenyataan Muhyiddin…berhujah biarlah tidak dilihat ‘ketandusan kecerdasan’..bukan apa bimbang nanti satu jari tunjuk kepada orang lain, empat jari menunjuk diri sendiri.
Lagipun Khaled pun tidak bertanding dalam PRN Johor dan BN hilang kuasapun ketika beliau menjadi Menteri Besar, biarlah pemimpin lain menebuskan kegagalan tersebut, lagipun rakyat Johor pasti bijak membuat keputusan terbaik sepertimana mereka pernah lakukan pada tahun 2018.
SEORANG pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler yang merempuh sebuah bas kilang di Jalan Perusahaan Perai, Pulau Pinang pukul 7.21 malam tadi.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd. Fakharurazi Md. Rejab, kejadian itu berlaku ketika treler tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke utara terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Akibat kejadian itu katanya, treler terbabit merempuh sebuah bas kilang yang membawa kira-kira 21 pekerja kilang lelaki di laluan bertentangan.
Jelasnya, turut cedera dalam nahas itu ialah 15 penumpang bas tersebut yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, pasukan bomba terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati berlakunya kalangan antara sebuah bas dan treler.
“Ketika tiba di lokasi kejadian juga, mangsa telah keluar daripada bas yang terbalik,” katanya malam ini.
Menurut beliau, pihaknya mendapati kedua-dua pemandu berada dalam keadaan tersepit dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
Akibat kemalangan itu juga, keadaan lalu-lintas di kawasan terbabit sesak teruk berikutan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja mengalihkan kedua-dua kenderaan itu selesai.
SEORANG lelaki kurang siuman meninggal dunia digilis lori berdekatan lampu isyarat pekan Pantai Remis, Manjung hari ini.
Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa Mohd. Fadil Kamarudin, 45, sebelum itu dikatakan tergelincir dari batu penghadang dan terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa terjatuh di atas jalan utama kemudian digilis tayar pada bahagian belakang kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.
“Kemalangan menyebabkan mangsa yang dipercayai kurang siuman itu cedera di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.