Category: Semasa

  • Buka semula sempadan negara secara terancang-MASA

    Buka semula sempadan negara secara terancang-MASA

    MALAYSIA dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, pembukaan semula sempadan secara terancang yang disyorkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing.

    “Kerajaan perlu mencontohi pendekatan diambil New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektorsektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    “Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

    “Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, dalam hal itu ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal berkuat kuasa 18 Mac ini mampu memainkan peranan membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.

    Pembukaan semula sempadan negara juga katanya, perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    “Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

    “Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

    Justeru katanya, MASA menyokong syor pembukaan semula sempadan negara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

    Pada masa yang sama katanya, MASA menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

  • Filipina tak iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera, 15 penumpang dari Malaysia terkandas

    Filipina tak iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera, 15 penumpang dari Malaysia terkandas

    SERAMAI 15 individu dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila sejak semalam apabila imigresen Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera.

    Memetik laporan The Star, kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport dirampas dan berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke Malaysia esok.

    Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pukul 8.30 pagi semalam.

    Seorang penumpang yang meminta identitinya dirahsiakan berkata, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa imigresen Filipina kerana mereka tidak menerima sijil MySejahtera sebagai bukti vaksinasi yang sah.

    “Penumpang-penumpang dalam penerbangan yang sama tetapi divaksinasi di Singapura atau United Kingdom dibenarkan memasuki negara itu tetapi mereka yang divaksinasi di Malaysia tidak dibenarkan masuk.

    “Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang.

    “Memandangkan tiada hotel yang kosong, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai,” kata penumpang berkenaan.

    Dia menambah, imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu divaksinasi di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Seramai 13 penumpang terbabit merupakan rakyat Malaysia manakala dua lagi dari negara lain.

    Mereka ke Filipina atas tujuan perniagaan, urusan peribadi dan bantuan kemanusiaan.

    Penumpang terbabit memberitahu, Duta Besar Malaysia ke Filipina datang sendiri untuk bertemu dengan mereka.

    Mereka juga amat menghargai usaha beliau sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    “Kami dimaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Filipina telah mengemukakan rayuan untuk pengiktirafan vaksinasi secara timbal balik Khamis lalu (10 Februari) tetapi masih tiada maklum daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Filipina.

    “Mereka berusaha sedaya upaya berunding dengan pihak imigresen bersama dengan pasukan Malaysia Airlines tetapi tidak berjaya dan kini, semua rakyat Malaysia terkandas,” jelasnya.

    Imigresen Filipina juga bertegas bahawa Kedutaan Besar Malaysia mesti menunggu sehingga pagi hari ini untuk berurusan dengan Kementerian Luar Filipina untuk mendapatkan kelulusan.

    “Kami rasa kecewa kerana tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Kami bimbang akan dihantar pulang. Jika itu berlaku, ia akan menjadi sangat mengecewakan kerana kami datang dari jauh.

    “Kami berharap kerajaan Malaysia dapat membantu kami memasuki Filipina,” katanya.

    Filipina mula membuka sempadannya kepada pengembara yang telah menerima vaksinasi penuh sejak 10 Februari lalu.

  • Lelaki maut tertimbus lantai bilik runtuh

    Lelaki maut tertimbus lantai bilik runtuh

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah runtuhan lantai bilik tidurnya di Kuching, petang semalam.

    Kejadian menimpa lelaki berkenaan yang berusia 58 tahun dipercayai sudah berlaku beberapa hari lalu.

    Insiden tersebut disedari abang mangsa setelah beberapa hari gagal menghubunginya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Pihak polis kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak pada pukul 2.56 petang untuk meminta bantuan.

    Menurut jurucakap bomba, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi di Star Garden.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati lantai bilik tidur yang terletak di tingkat satu telah runtuh dan terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun berada di bawah runtuhan berkenaan.

    “Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan tersebut dan berjaya menemui mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lepas.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut setelah operasi selesai pukul 4.28 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Tiga nelayan Myanmar ditahan berhampiran Pulau Terong

    Tiga nelayan Myanmar ditahan berhampiran Pulau Terong

    TINDAKAN sebuah tiga nelayan warga Myanmar menceroboh ke perairan negara ini untuk menangkap ikan membawa padah apabila bot mereka ditahan berhampiran Pulau Terong, Kuala Kurau, malam kelmarin.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau mengesan pergerakan mereka pada kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Terong pukul 8.10 malam lalu menahannya.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, tangkapan dilakukan bot Maritim Malaysia yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 29 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Mohd. Sharenliza berkata, pemeriksaan turut menemukan 150 kilogram ikan campur.

    Ekoran itu, katanya kesemua kru bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan campur dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

  • Dua beradik maut makan sisa makanan dari tong sampah

    Dua beradik maut makan sisa makanan dari tong sampah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua beradik meninggal dunia selepas kedua-duanya dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila bapa k mereka yang dikenali sebagai Jamaludin, 36, ternampak anak-anaknya berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang.

    “Melihat keadaan itu, Jamaludin mengangkat kedua-dua anaknya iaitu Nizambudin, 4, dan Ngei, 2, ke rumah jiran. Ketika itu, mulut kedua-duanya didapati berbuih.

    “Dalam beberapa minit, didapati anak-anaknya sudah tidak bernafas. Sehubungan itu penduduk kampung menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian itu,” katanya.

    Shariman menambah, siasatan awal mendapati Jamaludin yang berasal dari Myanmar bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja-kerja kampung.

    “Mereka tiada rumah tetap dan hanya menumpang di rumah jiran. Kanak-kanak yang meninggal dunia itu dipercayai memakan sisa makanan di tong sampah berhampiran,” katanya.

    Katanya, pengesahan kematian kedua-dua anak Jamaludin dibuat oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM).

    “Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Unit Forensik HSM untuk saringan ujian Covid-19 sebelum dibedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Langgar SOP: Khairy arahkan KKM kompaun Menteri Pertahanan, MB Johor, Presiden MIC

    Langgar SOP: Khairy arahkan KKM kompaun Menteri Pertahanan, MB Johor, Presiden MIC

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai di kementeriannya mengeluarkan kompuan terhadap beberapa pemimpin tertinggi kerajaan kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

    Ia selepas tular video menunjukkan mereka menghadiri majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor hari ini yang penuh sesak dengan kehadiran orang ramai.

    Antara pemimpin yang dilaporkan hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S Vigneswaran.

    “Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

    “@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” kata Khairy menerusi Twitter

    Akta 342 merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 yang memperuntukkan kompaun sehingga RM1,000 bagi individu yang melanggar SOP kesihatan.

    Khairy pada sidang parlimen lalu menggesa kompaun kepada individu dinaikkan kepada RM10,000 namun pindaan Akta 342 ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada blok kerajaan dan pembangkang.

    Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi meminta Kementerian Kesihatan mencari alternatif lain berbanding mengenakan kompaun yang tinggi kerana bimbang ia boleh disalahgunakan.

    Kumpulan perniagaan juga menyatakan kebimbangan bahawa ia boleh memberi laluan kepada gejala rasuah.

    Sekiranya pindaan itu diluluskan, kompaun bagi syarikat akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

    Di sesetengah negara Eropah, sistem “kompaun harian” digunakan di mana kompaun dikeluarkan berdasarkan pendapatan seseorang.

    Saya telah mengarahkan pegawai @ KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342. @KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor. https://t.co/ULngJMCZKS

    — Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) 13 Februari 2022>

  • 21,072 kes baharu COVID-19, turun sedikit hari ini

    21,072 kes baharu COVID-19, turun sedikit hari ini

    KES baharu COVID-19 dalam negara menurun sedikit hari ini kepada 21,072 kes berbanding 22,802 semalam, selepas tujuh hari berturut-turut mencatatkan peningkatan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter berkata, kumulatif kes kini bertambah kepada 3,040,235.

    Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 99.59 peratus atau 20,986 kes berada dalam kategori satu dan dua, manakala 0.41 peratus atau 86 kes adalah bagi kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) pula mencatatkan 1.49 semalam dengan Labuan mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 2.14, diikuti Sarawak (1.67), Sabah (1.66), Perlis (1.47) dan Pulau Pinang (1.46).

    Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian mengenai perkembangan COVID-19 memaklumkan daripada 21,072 kes baharu hari ini, 65 adalah kes import dan 21,007 kes tempatan, manakala 187 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 109 kes memerlukan bantuan pernafasan.

    Beliau berkata sebanyak 5,724 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,852,437.

    Menurutnya, sebanyak 10 kluster baharu turut direkodkan dengan 421 kluster yang masih aktif setakat ini.

    Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. – BERNAMA

  • Tok Bali hab pengeluaran ikan sardin halal Asia

    Tok Bali hab pengeluaran ikan sardin halal Asia

    MALAYSIA bakal menjadi hab pengeluaran ikan sardin halal di rantau Asia, apabila siapnya pembinaan kilang memproses ikan sardin di Tok Bali, Pasir Putih Kelantan.

    Pembinaan kilang tersebut dijangka mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan pada masa hadapan, lapor Sinar Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, projek tersebut dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Beliau berkata, kilang memproses sardin akan dibina bersebelahan kilang ais yang sudah siap dan dijangka boleh memulakan operasi pada bila-bila masa bermula sekarang.

    “Pembinaan kilang itu nanti membolehkan Malaysia menjadi pengeluaran ikan sardin halal di rantau Asia.

    “Ini kerana, Tok Bali merupakan salah satu lokasi terbaik untuk mendaratkan ikan tuna atau ikan sardin apabila kilang itu siap nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian sempena program turun padang meninjau permasalahan dialami oleh nelayan di Kampung Pachakan, Pasir Puteh, hari ini.

    Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, pembinaan kilang sardin itu juga akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus melonjakkan lagi ekonomi mereka.

    Menurut Nik Muhammad Zawawi, kerajaan amat menggalakan pengusaha tempatan menceburi aktiviti tangkapan ikan sardin atau tuna di negara ini.

    Katanya, hasil tinjauan dibuat semasa turun padang ke Pelabuhan Klang sebelum ini mendapati ikan sardin jenis Yellow Pink boleh mencecah sehingga AS$70 sekilogram di negara Jepun.

    Sementara itu beliau memberitahu, beberapa projek lain juga dalam proses untuk dibangunkan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Tok Bali sebagai hab pelabuhan halal di rantau Asia.

    Sebelum ini, Kementerian Kewangan meluluskan insentif cukai khas bagi memacu pelaburan di Kelantan, yang akan memberi manfaat kepada Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus bagi lima tahun berikutnya.

  • KPLB peruntuk RM10 juta PPP Warga Luar Bandar

    KPLB peruntuk RM10 juta PPP Warga Luar Bandar

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, antara programnya termasuk Bantuan Warung Desa@KPLB yang dilaksanakan di Padang Terap, Kedah.

    “Program tersebut merupakan pemberian bantuan peralatan dan latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa, seterusnya membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.

    “Program itu juga bagi membantu usahawan kecil memiliki kios sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka.”

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas majlis penyerahan bantuan Warung Desa@KPLB di Padang Terap, hari ini.

    Jelas Mahdzir, PPP adalah program pemberian bantuan peralatan serta latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa dan seterusnya keluar dari zon kemiskinan.

    Kadar bantuan peralatan maksimum RM10 ribu diberikan kepada setiap peserta.

    Tahun ini KPLB akan meneruskan fokus kepada kaedah mentor mentee bagi meningkatkan kelangsungan aktiviti ekonomi penerima bantuan.

    Tahun lalu, seramai 564 orang terpilih menerima bantuan PPP di seluruh negara.

    Bagi bantuan PPP tahun ini, Mahdzir berkata, ia dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, KEDA di Kedah, dengan sasaran 950 orang peserta.

    Ini termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB yang dianggar melibatkan 300 orang penerima dengan peruntukan RM2 juta.

    Bagi fasa pertama, seramai 15 orang usahawan menerima bantuan Warung Desa@KPLB KEDA dengan nilai bantuan berjumlah RM75 ribu.

    “Program bantuan Warung Desa@KPLB di bawah KEDA ini antara program bantuan yang dilihat mampu memberi impak positif kepada Program Peningkatan Pendapatan.

    Pada tahun ini program Warung Desa@KPLB sedang dilaksanakan di dua daerah iaitu di Padang Terap dan di Sungai Petani sebagai permulaan ” kata Mahdzir.

  • Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    PEMBAYARAN sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Feb ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    Pembayaran sagu hati itu dikreditkan hanya menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah bagi memudahkan urusan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kerajaan Malaysia akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Jan lepas,” katanya.

    Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan wabak COVID-19 varian Omicron.

    Ibadah tersebut bagaimanapun dibenarkan semula pada 8 Feb lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya jemaah umrah diwajibkan menerima dos penggalak.

    Individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

    Menurut Idris, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

    “Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Feb,” katanya.

    Idris berkata, jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik, atau hadir terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran jika mempunyai kesukaran mendaftar secara dalam talian.

    “Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,” katanya. – BERNAMA