KES baharu COVID-19 dalam negara menurun sedikit hari ini kepada 21,072 kes berbanding 22,802 semalam, selepas tujuh hari berturut-turut mencatatkan peningkatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter berkata, kumulatif kes kini bertambah kepada 3,040,235.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 99.59 peratus atau 20,986 kes berada dalam kategori satu dan dua, manakala 0.41 peratus atau 86 kes adalah bagi kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) pula mencatatkan 1.49 semalam dengan Labuan mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 2.14, diikuti Sarawak (1.67), Sabah (1.66), Perlis (1.47) dan Pulau Pinang (1.46).

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian mengenai perkembangan COVID-19 memaklumkan daripada 21,072 kes baharu hari ini, 65 adalah kes import dan 21,007 kes tempatan, manakala 187 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 109 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak 5,724 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,852,437.

Menurutnya, sebanyak 10 kluster baharu turut direkodkan dengan 421 kluster yang masih aktif setakat ini.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here