Category: Semasa

  • Anjur kumpulan kutu di Facebook, peniaga nasi lemak didenda RM50,000

    Anjur kumpulan kutu di Facebook, peniaga nasi lemak didenda RM50,000

    PADAH menganjurkan kumpulan wang kutu menerusi laman sosial Facebook, seorang peniaga nasi lemak wanita mengaku bersalah dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Tertuduh, Nor Jaimah Kamarudin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook pada 2018.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Butterwoth antara Januari hingga Ogos 2018.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Iqbal Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

    Terdahulu Shamser dalam rayuannya memohon mahkamah meringan hukuman kerana ibu kepada tiga cahaya mata lelaki berusia empat hingga lapan tahun itu merupakan seorang peniaga nasi lemak di gerai tepi jalan selain merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    Bagaimanapun, Mohd. Iqbal meminta hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu.

    Kata Mohd. Iqbal, kesalahan itu adalah begitu serius kerana bukan kaedah kutu tradisional sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

    Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut yang mana jika gagal berbuat demikian, mahkamah turut menetapkan dia boleh dikenakan hukuman penjara 12 bulan.

    Sebelum ini, Nor Jaimah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang pada September 2020 sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Butterworth kerana kebanyakan saksi berada di negeri ini.

  • Bantuan kewangan haji diumum selepas Arab Saudi umum kos kerjakan haji – Idris

    Bantuan kewangan haji diumum selepas Arab Saudi umum kos kerjakan haji – Idris

    BANTUAN kewangan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah yang akan mengerjakan ibadah itu pada tahun ini akan diumumkan selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos keseluruhan yang dikehendaki. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu akan diumumkan selepas prosedur operasi standard (SOP) negara itu dimuktamadkan. 

    “Tahun ini Arab Saudi telah naik VAT (Cukai Nilai Ditambah) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan juga bilik hotel dulu boleh duduk enam ke tujuh orang dan kali ini dengan SOP COVID-19 mungkin kurang (boleh menginap),” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Program Mobiliti Tabung Haji di Menara TH, hari ini. 

    Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya boleh memuktamadkan bantuan kewangan haji serta kos keseluruhan mengerjakan haji selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos-kos yang terlibat.

    Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar berkata agihan keuntungan TH dijangka diumumkan hujung bulan ini atau awal bulan depan. 

    “Insya-Allah hujung bulan ini kita akan umum selepas mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Insya-Allah akan ada keuntungan,” katanya. 

    Sementara itu, TH telah menyalurkan sumbangan sebanyak 25 buah kenderaan (van serbaguna) kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih menerusi program Mobiliti TH bernilai RM2.3 juta, hari ini. 

    Program tersebut merupakan antara program zakat TH bertujuan melancarkan urusan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti harian yang akan memanfaatkan seramai 1,582 orang di rumah kebajikan dan persatuan tersebut.  

    Idris berkata sumbangan van serba guna itu bertepatan kerana banyak organisasi dan rumah kebajikan di negara ini yang tidak mempunyai kenderaan selesa dan bersesuaian selain kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri sejak COVID-19 melanda negara. – Bernama

  • Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi membantu siasatan kejadian kes bunuh seorang wanita warga Somalia di sekitar Ampang Point, Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam tadi.

    Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab. Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, suspek warga Iraq itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mohamad Farouk meminta orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

    Semalam, beliau berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12 tengah hari berhubung kejadian seorang wanita warga asing berusia 28 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang.

    Beliau dalam kenyataan berkata maklumat orang ramai mengatakan mangsa pada mulanya dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di hadapan premis itu sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam. – BERNAMA

  • Wisma Putra bantu rakyat Malaysia terkandas di Manila

    Wisma Putra bantu rakyat Malaysia terkandas di Manila

    MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Manila kini sedang membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.

    “Wisma Putra juga sedang berurusan dengan agensi berkaitan bagi memudahkan proses ini berjalan lancar,” kata beliau dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Saifuddin mengulas tentang insiden 15 individu dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila sejak semalam apabila imigresen Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera.

    Memetik laporan The Star, kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport dirampas dan berkemungkinan besar akan dihantar pulang ke Malaysia esok.

    Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pukul 8.30 pagi semalam.

    Seorang penumpang yang meminta identitinya dirahsiakan berkata, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa imigresen Filipina kerana mereka tidak menerima sijil MySejahtera sebagai bukti vaksinasi yang sah.

    Sementara itu, berhubung perkembangan membimbangkan krisis Russia dan Ukraine, beliau memberitahu, Wisma Putra sedang memantau perkembangan semasa di Ukraine, terutamanya mengenai keselamatan 20 warga Malaysia yang berdaftar, termasuk 2 pelajar, 9 kakitangan Kedutaan dan ahli keluarga mereka bagi memastikan keselamatan serta memberikan bantuan konsular jika diperlukan.

    “Wisma Putra menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan masih belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv untuk menghubungi dan berdaftar dengan Kedutaan dengan kadar segera.

    “Semua rakyat Malaysia di Ukraine dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

    Singapura telah mengarahkan rakyatnya keluar dari Ukraine secepat mungkin manakala Jepun mula memindahkan kakitangan diplomatiknya dari negara tersebut.

  • Pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah merogol bekas kekasih

    Pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah merogol bekas kekasih

    SEORANG pembantu klinik haiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan merogol bekas kekasihnya pada September 2015.

    Tertuduh, Mohd Farit Mohd Noor, 35, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Memetik laporan Harian Metro, Mohd Farit didakwa merogol seorang remaja perempuan (ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan) di sebuah rumah kosong di Bukit Marak, Bachok pada pukul 2 petang September 2015.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

    Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya.

    Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 14 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes.

  • Buka sempadan: Rugi  jika cadangan MPN tidak dilaksanakan

    Buka sempadan: Rugi jika cadangan MPN tidak dilaksanakan

    Oleh MOHAMAD AZAM MOHD ATAN

    SEBENARNYA ramai yang berasa lega apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan agar sempadan negara dibuka seawal 1 Mac ini.

    Ini kerana, pembukaan sempadan adalah ‘ibu’ kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    Selain menghidupkan kembali sektor pelancongan yang amat suram, pembukaan sempadan memberi banyak kesan positif kepada sektor lain seperti perdagangan dan perindustrian.

    Pasaran saham juga memberi reaksi positif susulan pengumuman Muhyiddin itu kerana pelabur dalam dan luar negara melihat cadangan itu sebagai satu penanda aras bahawa Malaysia serius ke arah usaha pemulihan ekonomi.

    Saham-saham yang ada hubungkait dengan sektor penerbangan seperti Capital A, AAX, Airport dan Iris turut menunjukkan kenaikan positif susulan syor dikemukakan Muhyiddin itu.

    Negeri-negeri yang paling terkesan dengan penutupan sempadan seperti Johor dan Sarawak contohnya, amat menyokong pembukaan sempadan kerana ekonomi negeri masing-masing amat terkesan apabila tiada kedatangan pihak luar.

    Pakar-pakar ekonomi juga ketika ditanya mengenai pembukaan sempadan Malaysia menyokong syor MPN kerana seiring dengan kadar vaksinasi negara serta impak Omicron yang tidak seteruk varian Delta seperti sebelum ini.

    Malah, berdasarkan angka 21,072 kes Covid-19 yang dicatatkan semalam, hanya 86 kes sahaja dalam golongan serius iaitu kategori 3,4 dan 5.

    Selebihnya iaitu 20,986 kes adalah mereka yang tidak bergejala atau hanya gejala ringan yang tidak berbahaya.

    Cadangan untuk membuka sempadan juga bukan idea Muhyiddin seorang kerana jika dilihat kepada senarai anggota MPN, ia turut dianggotai oleh menteri kanan kerajaan, pemimpin pembangkang, pakar ekonomi, pakar kesihatan dan pihak industri.

    Negara-negara lain seperti Australia, New Zealand, Filipina dan beberapa negara lagi turut membuat langkah sama kerana tidak mahu terus ‘terkurung’ dengan pandemik yang mustahil untuk hilang 100 peratus.

    Bahkan negara-negara seperti Greece, Perancis, Portugal, Sweden dan Norway yang sudah membuka sempadan antarabangsa telah melonggarkan lagi syarat kepada kemasukan orang luar yang sudah divaksinasi.

    Terbaru Kerajaan Thailand bercadang memnuka semula sempadan Thai-Malaysia bulan depan bagi merangsang ekonomi dan sektor pelancongan.

    Oleh itu, agak menghairankan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 Februari lalu ‘menolak’ syor MPN untuk membuka sempadan pada 1 Mac kerana memerlukan penelitian lanjut.

    Kata Perdana Menteri

    Pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata, cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.

    Beliau menegaskan, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.

    Diharapkan kerajaan tidak akan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan, lebih cepat lebih bagus tambahan pula di kala rakyat diminta untuk bersedia hidup dengan Covid-19 dan negara hendak bergerak ke arah endemik, kerajaan Sabri harus yakin dengan dengan keupayaan MPN untuk membawa Malaysia ke arah fasa pemulihan.

    Jika itu tidak dilakukan, kita bimbang orang bertanya apa maknanya kewujudan MPN?

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Hanya 5,000 kanak-kanak Kelantan daftar PICKids

    Hanya 5,000 kanak-kanak Kelantan daftar PICKids

    JUMLAH kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunasi Covid-19 Kebangsaan (PICKids) masih terlalu rendah.

    Malah sehingga kelmarin, hanya 5,000 sahaja golongan tersebut telah berbuat demikian, lapor Harian Metro.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, jumlah itu sangat rendah berbanding keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin adalah lebih 115,000 orang.

    Beliau berkata, pihaknya akan berusaha meyakinkan ibu bapa mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin dalam usaha mencegah pandemik tersebut.

    Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, pihaknya menyasarkan 50 peratus kanak-kanak menerima vaksin jenis Pfizer yang bermula hari ini.

    Namun katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), jumlah kanak-kanak yang bersetuju untuk menerima vaksin hanya 5,000 orang sahaja sehingga kelmarin.

    “Malah, kebanyakan ibu bapa juga dikatakan belum menyerahkan borang pendaftaran suntikan vaksin kepada pihak sekolah dan kita berharap lebih ramai yang bersetuju selepas ini,” katanya.

    Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan PICKids Peringkat Kelantan di Kota Bharu, di sini, hari ini.

    Menurut Dr Zaini, JKNK percaya kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membenarkan anak mereka menerima vaksin.

    Ujarnya, bagi suntikan PICKids, JKNK menyediakan lebih 400 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri termasuk sekolah swasta.

    Bagaimanapun katanya, jumlah PPV berkenaan akan berubah-ubah bergantung kepada sambutan diberikan.

    Tambah beliau, bagi ibu bapa yang pada awalnya tidak bersetuju, namun mengubah keputusan selepas itu, mereka boleh ‘walk-in’ ke mana-mana PPV untuk menerima vaksin.

  • Hampir 170,000 kanak-kanak di Malaysia telah divaksin

    Hampir 170,000 kanak-kanak di Malaysia telah divaksin

    SEBANYAK 169,710 atau 4.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

    PICKids dilancarkan 3 Feb lepas dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

    Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,258,893 atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.

    Sejumlah 22,936,644 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,859 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,795,507 individu atau 89.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,874,510 atau 92.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Vaksinasi harian semalam menyaksikan 118,875 dos vaksin diberikan meliputi 35,441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82,785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,042,686 dos.

    Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 11 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Johor dengan empat kes, manakala satu kes masing-masing direkodkan di Kelantan dan Pahang. – Bernama

  • Polis tahan bapa dua beradik maut makan sisa dari tong sampah

    Polis tahan bapa dua beradik maut makan sisa dari tong sampah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 36 tahun iaitu bapa kepada dua beradik yang maut akibat memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi semalam, ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, bapa kanak-kanak itu yang berasal dari Myanmar ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.

    “Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu dia turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen masuk ke negara ini.

    “Polis turut melakukan ujian urin terhadapnya dan dia didapati positif dadah. Sehubungan itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kematian dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun dipercayai tidak lama selepas mereka menjamah sisa makanan dari tong sampah.

    Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.40 petang dengan kanak-kanak tersebut didakwa ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka dan mulut kedua-duanya berbuih.

    Shariman memaklumkan, mayat dua beradik itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat, hari ini.

  • Sempadan Thailand-Malaysia dibuka Mac ini

    Sempadan Thailand-Malaysia dibuka Mac ini

    KERAJAAN Thailand merancang membuka semula sempadan Thailand-Malaysia bulan depan terutama dalam merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di wilayah selatan.

    Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha sudah mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) serta pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan untuk menggariskan langkah mitigasi pandemik bagi pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan di Songkhla, Yala , Narathiwat dan Satun.

    Memetik laporan Bangkok Post, berikutan dasar kerajaan untuk membuka gelembung perjalanan dengan Malaysia, pelancong dari negara jiran akan dibenarkan masuk di bawah skim ‘Test and Go’ tanpa kuarantin ketika ketibaan.

    Bagaimanapun, pelawat masih perlu lulus dua ujian RT-PCR selepas tiba di Thailand.

    Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata, Perdana menteri yakin Thailand akan kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia walaupun berdepan pandemik.

    “Kerajaan akan menyokong usaha untuk menggiatkan semula pelancongan dengan penekanan pada kesihatan dan keselamatan awam,” kata Rachada memetik laporan Agensi, hari ini.

    Inspektor Jeneral yang bertugas di zon kesihatan awam 12, Dr Suthep Phetmak, berkata situasi COVID-19 di Malaysia dan Thailand adalah sama.

    Pada 12 Februari lalu, terdapat kira-kira 20,000 kes baharu. Agensi kesihatan awam menjangkakan risiko pembukaan semula sempadan adalah rendah.

    Sebelum pembukaan semula, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, ujian, hotel dengan standard SHA+ dan perniagaan dengan Tetapan Bebas COVID, termasuk pengangkutan awam, lokasi pelancongan, restoran dan pusat beli belah, katanya.