Category: Semasa

  • Empat sekawan dituduh bunuh bekas banduan

    Empat sekawan dituduh bunuh bekas banduan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Tinggi, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bekas banduan yang baru dibebaskan, awal bulan ini.

    Tertuduh Muhamad Azrul Othman, 32, Quyum Razi Abdullah, 33, Hardianshah Adnan, 31, dan Syed Mahadi Munap, 42, hanya menggangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap keempat-empat tertuduh itu bagi pendakwaan yang dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Mohd. Rizal Ab. Talib, 39, di tepi Jalan Dato Onn, Mersing Kanan antara pukul 7.19 hingga 7.22 pagi, 3 Februari lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Rashidah turut memerintahkan keempat-empat tertuduh agar melantik peguam sebelum tarikh sebutan semula kes bagi membela diri.

    Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

    Terdahulu media melaporkan hasrat seorang bekas banduan untuk mencari kerja di Mersing selepas baru sebulan keluar daripada penjara berakhir tragedi apabila maut dipukul.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa disyaki dipukul menggunakan rotan oleh tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara, sebelum melarikan diri sejurus selepas kejadian.

    Beliau berkata, kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik penghuni sebuah rumah di lokasi kejadian.

  • Warga emas hilang ditemui tinggal rangka, tengkorak

    Warga emas hilang ditemui tinggal rangka, tengkorak

    KEHILANGAN seorang warga emas yang menjadi misteri pada Januari lalu terjawab apabila tengkorak dan rangka dipercayai milik lelaki itu ditemukan di kawasan semak bersebelahan sebuah hotel di Tengkera, Melaka, Isnin lalu.

    Tengkorak dan rangka manusia itu ditemui seorang pekerja kedai tayar kira-kira pukul 6 petang sebelum memaklumkan kepada polis, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, siasatan awal di lokasi menemui MyKad dalam poket seluar mangsa dan semakan mendapati mangsa merupakan warga emas berusia 78 tahun yang pernah dilaporkan hilang oleh anak buahnya pada 31 Januari lalu.

    “Tengkorak dan rangka manusia yang ditemui dipercayai milik mangsa yang hilang itu.

    “Disyaki sebelum kejadian mangsa berjalan kaki dari rumahnya di Taman Kota Laksamana Seksyen 2, tidak berapa jauh dari tempat kejadian.

    “Mangsa kemungkinan telah terjatuh di kawasan semak samun tersebut dan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Bomoh tua mengaku tidak bersalah cabul wanita

    Bomoh tua mengaku tidak bersalah cabul wanita

    SEORANG bomoh tua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam pada badan mangsa.

    Sinar Harian melaporkan, Mohd. Raba’ai Parman, 66, membaut pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah berkahwin didakwa melakukan cabul dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke badan seorang wanita berusia 41.

    Perbuatan dilakukan kira-kira pukul 9 malam di Taman Rambai Utama pada 11 Januari lalu.

    Mangsa datang ke rumah tertuduh yang dipanggil ‘Atok’ bersama anak dan rakan lelaki untuk menjalankan rawatan selepas mengalami masalah emosi.

    Ketika kejadian mangsa diminta berkemban untuk rawatan mandian sebelum tertuduh menyapu limau nipis ke seluruh badan mangsa sambil meraba sehingga ke bahagian kemaluan.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM4,000 dikenakan.

    Tertuduh diwakili Peguam Santhil Ramu merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit tulang belakang dan kolesterol yang memerlukan rawatan setiap bulan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 berserta syarat tambahan tidak mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

  • Bicara kes rasuah projek solar tangguh, peguam Rosmah positif COVID-19

    Bicara kes rasuah projek solar tangguh, peguam Rosmah positif COVID-19

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif COVID-19.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa, bukan Akberdin sahaja yang dijangkiti COVID-19, malah dua lagi anggota pasukan pembelaan iaitu Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat dengan Akberdin dan mereka perlu dikuarantin.

    Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti COVID-19.

    “Saya difahamkan beliau (Akberdin) telah didiagnosis pada 12 Feb. Malang mendengar perkhabaran itu. Saya doakan beliau sihat,” katanya.

    Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan disambung semula pada 23 Feb.

    Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod juga sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

    Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – BERNAMA

  • Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lepas setelah Yong dan isterinya menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

    Rajpal berkata, Yong yang juga saksi pembelaan utama dan isterinya, Too Choon Looi iaitu saksi pembelaan kedua memaklumkan mereka menjadi kontak rapat adik perempuan isteri Yong yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Feb selepas melakukan ujian PCR dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

    “Aplikasi MySejahtera (status) kedua-duanya telah bertukar sebagai kontak rapat dan berubah menjadi warna oren. Kami terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan utama iaitu tertuduh (Yong) sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini dan esok,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili Rajpal dan Salim Bashir.

    Sementara itu, Azlina berkata, tiada bantahan daripada pihak pendakwaan kerana ia merupakan alasan yang sah berikutan COVID-19 adalah sangat berbahaya.

    Rajpal turut memaklumkan penyataan saksi kedua-dua suami isteri itu telah diserah kepada pihak pendakwaan sejak 31 Jan lepas.

    Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rajpal berkata, Yong yang sudah mendapatkan dos penggalak, perlu menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sehingga esok.

    Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Yong yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, sepatutnya membela diri hari ini. – BERNAMA

  • Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kelantan

    Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kelantan

    BEBERAPA kawasan di Kubang Kerian dan Lundang Kelantan dilanda banjir kilat hari ini, berikutan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

    Antara lokasi dilanda banjir kilat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1 yang dinaiki air sedalam 0.2 meter menyebabkan guru terpaksa mengharungi air untuk memasuki ke kelas masing- masing, lapor Harian Metro.

    Malah, kejadian banjir kilat itu turut tular dalam aplikasi WhatsApp apabila penduduk meminta pihak berkuasa memantau dan menyelesaikan masalah longkang yang didakwa tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa lokasi di Kota Bharu.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie, lokasi berkenaan dinaiki air berikutan longkang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

    Menurut beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada penduduk memandangkan paras air yang tidak tinggi dan kembali surut sebaik hujan berhenti.

    Namun menurut beliau, pihaknya sentiasa membuat pemantauan berikutan keadaan hujan lebat yang berterusan disamping menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Jika lokasi kediaman mereka dinaiki air, kita minta penduduk membuat laporan kepada pihak berkuasa atau berpindah ke lokasi yang lebih tinggi dan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian banjir di negeri ini termasuk dari daerah Jeli dan Kuala Krai.

    “Kita sentiasa bersiap siaga untuk membantu penduduk dan akan terus membuat pemantauan di semua lokasi yang mudah dinaiki air,” ujarnya.

    Sementara portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan kesemua paras air sungai utama di Kelantan sehingga hari ini masih lagi berada di bawah paras normal.

  • Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    LEBIH 50 laluan tikus yang digunakan penyeludup untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia ke negara ini dikenal pasti di sepanjang perairan Selangor hingga ke Perak.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, laluan tikus itu dikenal pasti bermula di sekitar perairan Klang, Sabak Bernam, Selangor sehingga ke perairan Hutan Melintang, Perak.

    Menurut beliau, pihaknya juga mendapati aktiviti penyeludupan PATI itu meningkat kebelakangan ini susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi terutama melibatkan sektor perladangan.

    Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati seorang PATI membayar RM1,500 hingga RM2,000 kepada penyeludup untuk masuk ke negara ini selepas dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan; pembantu rumah dan sebagainya.

    “Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup PATI ini adalah mereka memasuki perairan negara pada waktu malam tanpa menggunakan lampu.

    “Mereka juga menggunakan bot-bot nelayan yang diubah suai sehingga mampu memuatkan antara 100 hingga 200 orang PATI dalam sesebuah bot,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, jarak antara Indonesia dengan kawasan perairan di Selangor yang hanya kira-kira empat hingga lima jam perjalanan juga menyebabkan perairan itu menjadi laluan tumpuan penyeludup.

    Dalam masa sama ujarnya, kawasan yang menjadi laluan tikus itu juga agak jauh daripada pangkalan utama polis.

    “Bagaimanapun, kita sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara terutama melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi ‘hotspot’ laluan tikus ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Shamsol berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menahan seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang merupakan penyeludup serta ahli sindiket penyeludupan.

    Dalam empoh sama tambahnya, seramai 188 PATI warga Indonesia berusia 21 hingga 45 tahun termasuk 42 wanita turut ditahan dalam operasi di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor.

  • Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    EKORAN kegagalan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam atas kenyataan berunsur fitnah berhubung kes gangguan seksual, satu permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta telah difailkan terhadap beliau.

    Permohonan tersebut telah difailkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar setelah Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.

    Memetik laporan Berita Harian hari ini, Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5 peratus sehingga jumlah penghakiman dibayar.

    Menurut laporan-laporan media, permohonan difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran pada Isnin dan perkara ini telah disahkan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir.

    Sebelum ini pada 7 Februari, hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Februari.

    Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

    Dengan mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.

    Pada 19 Januari, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk kes beliau dikatakan berbogel di dalam bilik tidur rumah seorang wanita.

    Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya dalam Facebook dan YouTube.

    Katanya, kenyataan tersebut membayangkan beliau seorang ‘oportunis rohani’, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

    Na’im membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan bergelar ‘Datin’, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya. 

  • Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    POLIS sedang mengesan dua lelaki selepas dipercayai menetak seorang mangsa menggunakan parang di sebuah restoran di Benut, Pontian, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada polis pada pukul 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, berdasarkan siasatan awal, saksi kejadian memaklumkan terdapat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki Toyota Alparhd berwarna putih.

    “Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran kenderaan tersebut palsu. Mangsa berusia 40 tahun telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    “Mangsa mengalami parah di bahagian tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohammad Shofee kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A. Fadzil di talian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut.

  • Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kemaman, Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada minggu lepas.

    Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman antara pukul 7 hingga 9 pagi, 8 Februari lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala remaja terbabit diwakili peguam Nuraine Haziqah Shafii.

    Dalam kejadian pada minggu lepas, polis menemukan mayat bayi dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian dada sejurus dilahirkan di rumah yang didiami remaja berkenaan. – Bernama