Category: Semasa

  • Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    SELEPAS 58 tahun, serangan jerung kembali berlaku di Sydney mengakibatkan seorang perenang maut selepas kecederaan amat serius.

    Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengeluarkan maklumat berhubung mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.35 petang semalam di pantai Buchan Point Malabar di timur Sydney itu.

    “Pegawai dari Eastern Beaches Police Area Command dengan bantuan dari Marine Area Command and Surf Life Saving NSW mengesan mayat mangsa di dalam air,” kata seorang pegawai polis.

    Sementara itu, jurucakap ambulans NSW berkata, petugas kesihatan yang hantar ke tempat kejadian memberitahu mangsa mengalami kesan kecederaan amat serius.

    Media tempatan melaporkan, kali terakhir kejadian seumpama itu berlaku di Sydney ialah pada tahun 1963 mengakibatkan pelakon Marcia Hathaway maut di Sugarloaf Bay.

    Hathaway,32 yang ketika itu berlayar bersama beberapa rakannya pada 28 Januari dipujuk untuk berenang. Namun nasib beliau malang apabila tergelincir dan terjatuh ke dalam mulut seekor jerung.

    Tunangnya, Frederick Knight bergelut dengan ikan tersebut sebelum ia melepaskan peha Hathaway namun kakinya dikatakan “seperti dicincang oleh sebuah jentera berat.”

  • Daftar pemilih tambahan Januari 2022 dibuka untuk semakan

    Daftar pemilih tambahan Januari 2022 dibuka untuk semakan

    3

    DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang telah diperakui dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari, hingga 17 Mac depan.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan iaitu seperti di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan juga di Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

    “DPT BLN1/2022 ini mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Jan 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.

    “Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.

    Menurutnya jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    Katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    “Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.

    “Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

    — BERNAMA

  • Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    Wanita mati, leher putus ditetak dengan parang oleh anak tiri di Gua Musang

    SEORANG wanita ditemukan mati dengan leher putus dipercayai dibunuh oleh anak tirinya menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang tadi.

    Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mayat mangsa berusia 54 tahun ditemui di ruang tamu rumahnya.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata suspek berusia 39 tahun yang juga pesakit mental selain penagih dadah tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian.

    “Suspek hadir di Balai Polis Bertam memaklumkan sudah membunuh ibu tirinya di rumah menggunakan parang. Pemeriksaan di sebuah rumah di lokasi kejadian menemui seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dengan leher putus akibat tetakan menggunakan parang.

    “Suspek seorang penagih dadah selain pesakit mental dan kini ditahan untuk siasatan lanjut. Pihak polis turut menemui parang dipercayai yang digunakan suspek di lokasi kejadian,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada berlaku pergaduhan atau sebaliknya,” katanya.

  • Mahkamah tolak permohonan penghakiman ingkar terhadap Lokman Adam

    Mahkamah tolak permohonan penghakiman ingkar terhadap Lokman Adam

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Datuk Lokman Noor Adam berikutan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memfailkan pernyataan pembelaannya pada 11 Februari lepas.

    Berdasarkan dokumen mahkamah diperoleh Bernama, permohonan penghakiman ingkar itu ditolak oleh Timbalan Pendaftar, Nor Afidah Idris semalam.

    Peguam Logen Eskander, yang mewakili Lokman berkata, permohonan Mohd Na’im ditolak atas alasan anak guamnya telah memfailkan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman Ketua Hakim Syarie itu.

    “Salinan pernyataan pembelaan itu telah dihantar ke pejabat Tetuan Akberdin & Co (firma guaman mewakili  Mohd Na’im) pada hari sama pernyataan pembelaan difailkan (11 Feb) dan wakil daripada firma guaman tersebut menerima dokumen berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Peguam itu berkata, pihaknya juga terkejut dengan laporan media semalam yang menyatakan anak guamnya gagal memfailkan pernyataan pembelaan meskipun diberi lanjutan masa sehingga 11 Feb lepas untuk berbuat demikian selain memaklumkan laporan itu tidak benar.
     
    Pada 14 Februari lepas, Mohd Na’im selaku plaintif memfailkan permohonan penghakiman ingkar menerusi Tetuan Akberdin & Co terhadap Lokman selaku defendan kerana didakwa gagal memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

    Sementara itu, Logen berkata, mahkamah menetapkan 21 Februari ini untuk pengurusan kes saman itu manakala pendengaran injunksi inter parte (kedua-dua pihak) ditetapkan pada 22 Mac depan.

    Pada 20 Januari lepas, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan Lokman supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Mohd. Na’im berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube miliknya, dalam tempoh 24 jam selepas membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im.

    Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Januari lepas, Mohd. Na’im memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

    Mohd Na’im, 54, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin’.
     
    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebooknya, bulan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

    Sementara itu, Lokman dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 11 Feb lepas menafikan hantaran-hantaran yang dimuat naik di laman sosial itu mengandungi perkataan yang memfitnah plaintif selain mendakwa ia merupakan komen berpatutan.

    “Melalui pendedahan, keterangan, dokumentasi dan juga aduan-aduan daripada mangsa menunjukkan terdapatnya perbuatan gangguan seksual yang dibuat oleh plaintif dan berdasarkan kepada segala informasi yang diterima, saya percaya ia benar dari segi fakta. Adalah wajar untuk pihak polis atau pihak berkuasa membuat siasatan dengan segera,” katanya menerusi pernyataan pembelaan itu. – Bernama
     

  • Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

    Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LIMA suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menetak tangan seorang lelaki di sebuah restoran di Bandar Benut, Pontian kelmarin ditahan polis.

    Penahanan kelima-lima suspek lelaki itu berjaya dilakukan dalam tempoh 48 jam di tiga lokasi berasingan di daerah itu dan Batu Pahat.

    Tangkapan pertama melibatkan dua suspek dilakukan di tepi jalan di bandar Pontian pada pukul 10 pagi, semalam bersama kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada pukul 12.15 tengah malam tadi di Pekan Yong Peng, Batu Pahat .

    “Selepas itu, seorang lagi lelaki ditahan di Benut pada pukul 6.30 pagi ini, menjadikan kesemua lima orang terlibat dengan kejadian tersebut berjaya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Tambah Mohammad Shofee, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

    “Turut dirampas tiga bilah pedang yang digunakan dalam kejadian tersebut dan mereka telah ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.” ujarnya.

    Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

    Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di tangan kanan apabila ditetak di sebuah restoran di Bandar Pontian oleh dua lelaki yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih.

    Bagaimanapun ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mewah tersebut adalah palsu.

    Sementara itu, Mohammad Shofee turut menghargai bantuan orang awam serta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut sehingga suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dalam masa singkat.

  • Bersatu gesa lokasi program KPT diubah

    Bersatu gesa lokasi program KPT diubah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LANGKAH Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan mengadakan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat bermula esok dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa.

    Ini kerana, program yang dijangka dihadiri ramai pengunjung itu dibimbangi akan menjadi punca kepada penularan kes Covid-19 yang kini semakin tinggi dan memberi kesan kepada pelajar di situ.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Sulong, Hamidon Aris berkata, mereka menyambut baik usaha menganjurkan karnival itu yang membuka peluang kepada anak muda sekitar Johor dan Melaka.

    “Kami difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan karnival ini pada hari Jumaat ini.

    “Kami juga mendapat tahu, maklumat mengenai karnival ini telah disebar secara meluas melalui institusi pengajian tinggi dan institut pengajian vokasional di sekitar Johor dan Melaka.

    “Tetapi, kami mendapati lokasi karnival ini, iaitu di MRSM Batu Pahat tidak sesuai disebabkan kita sedang berhadapan dengan penambahan kes jangkitan Covid-19, terutama kategori Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengikut hebahan, karnival tersebut akan bermula esok sehingga Sabtu mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dengan perasmian akan dilakukan Perdana Menteri pada Jumaat.

    Kata Hamidon, pada masa sama, pelajar-pelajar yang kini berada di MRSM Batu Pahat juga adalah mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

    “Kami bimbang penganjuran karnival ini berpotensi menyebabkan merebaknya Covid-19 kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

    “Oleh itu, kami mendesak supaya karnival ini dipindahkan ke satu lokasi lain yang tidak menjejaskan anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya.

  • 27,831 kes, rekod tertinggi negara sejak pandemik bermula

    27,831 kes, rekod tertinggi negara sejak pandemik bermula

    KES positif COVID-19 harian hari ini mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat ini 3,111,514 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata, daripada kes yang dilaporkan hari ini 27,734 kes atau 99.65 peratus adalah dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 97 kes atau 0.35 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

    Jumlah kes COVID-19 yang direkodkan pada hari ini menunjukkan peningkatan lebih 5,000 kes berbanding semalam yang mencatatkan 22,133 kes.

    Sebelum ini kes tertinggi yang dicatatkan negara adalah pada 26 Ogos 2021 apabila 24,599 kes dilaporkan.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghadapi cabaran varian Omicron COVID-19 dengan mematuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial termasuk prosedur operasi standard (SOP).

    Beliau menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata, banyak negara di rantau ini menunjukkan trend peningkatan kes COVID-19.

    “Sila dapatkan vaksinasi dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

    Malaysia merekodkan kes COVID-19 harian tertinggi hari ini sejak kes positif pertama dilapor pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan.

    Daripada jumlah itu, 27.33 peratus atau 7,606 kes adalah dalam kategori satu, 72.32 peratus atau 20,128 kes kategori dua, 0.21 peratus atau 59 kes kategori tiga, 0.1 peratus atau 28 kes kategori empat dan 0.04 peratus atau 10 kes kategori lima.

    Dalam satu ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata, walaupun semasa kes diuji dan baharu didiagnosis, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah seperti contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori satu dan dua, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital.

    Menurut beliau, sehingga 5 petang hari ini, kes COVID-19 baharu dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes dan daripada jumlah itu 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

    “Sebanyak 841 kes atau 66.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

    Menurut Dr Noor Hisham, bilangan pesakit COVID-19 di katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat manakala pesakit di PKRC menurun hari ini berbanding semalam.

    Beliau berkata, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor 61 peratus dan Kuala Lumpur 51 peratus.

    Katanya, bagi katil PKRC, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus dengan Melaka mencatatkan kadar 100 peratus diikuti Selangor 82 peratus.

    Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri lain yang mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus ialah Negeri Sembilan (79 peratus), Pahang (71), Kelantan (67), Sabah (64), Johor (63), Kedah (62) dan Perak (56). – BERNAMA

  • Op Benteng:11 PATI warga Indonesia ditahan

    Op Benteng:11 PATI warga Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di pinggir Hutan Tenggaroh, Kota Tinggi, hari ini selepas mendapat maklumat penduduk setempat.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, pada pukul 4.20 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di pinggir hutan itu.

    “Pada jam 5.10 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 11 PATI.

    Kesemua empat PATI yang berusia sekitar 19 hingga 50 tahun telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang

    “Kesemua empat PATI yang berusia sekitar 19 hingga 50 tahun telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi,” jelas kenyataan tersebut.

    Ujian saringan Covid-19 dibuat ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasilnya mendapati semua PATI negatif sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru.

    Semua PATI dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasilnya mendapati semua PATI negatif sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru

    Menurut kenyataan tersebut, laporan kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Sungai Ambat pada pukul 8 pagi.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM413 melibatkan RM208, matawang Indonesia IDR 18,000 (RM 5.27), matawang Vietnam VND1,000 (RM0.18), empat buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM200.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Tikam perut sendiri selepas simbah isteri dengan air panas

    Tikam perut sendiri selepas simbah isteri dengan air panas

    SEORANG lelaki menikam isterinya selepas berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, 11.30 malam Ahad lalu.

    Isterinya yang berusia 40 tahun cedera akibat disimbah air panas oleh suaminya, 41, sebelum bertindak menikam perut sendiri.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, pihaknya menerima laporan yang memaklumkan sepasang suami cedera dan dihantar ke Hospital Quen Elizabeth I oleh orang awam.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mengenai masalah kewangan yang dihadapi pasangan terbabit.

    “Ketika kejadian, mangsa sedang menjerang air di dapur dan berlaku pertengkaran antara keduanya.

    “Pertengkaran semakin buruk apabila mangsa mengungkit perkara lalu dan disebabkan gagal mengawal emosi, suspek mengambil cerek air berkenaan dan menyimbah ke arah mangsa sehingga terkena pada bahagian bahu dan tangan kiri mangsa.

    “Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan menikam perutnya sendiri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    George berkata, hasil siasatan lanjut juga mendapati, mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya dan berkahwin dengan suspek beberapa bulan yang lalu serta tidak mempunyai anak.

    “Pertengkaran mengenai masalah kewangan sering berlaku sebelum ini selepas suspek kehilangan pekerjaan.

    “Selama berkahwin dengan mangsa, suspek juga dikatakan sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai kewangan,” katanya.

    George berkata, mangsa dan suspek kini masih dalam rawatan namun berada dalam keadaan stabil dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 326A dan 309 Kanun Keseksaan.

  • Dua eksekutif IT didenda RM140,000 ubah suai kandungan pelayan komputer tanpa kebenaran

    Dua eksekutif IT didenda RM140,000 ubah suai kandungan pelayan komputer tanpa kebenaran

    DUA eksekutif IT dilepaskan daripada hukuman penjara, namun masing-masing didenda RM140,000, atau penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan Putra hari ini atas dua pertuduhan mengubah suai kandungan pelayan komputer sebuah syarikat minyak tanpa kebenaran pada 2009.

    R. Muralitharan dan R.Pathmanathan masing-masing didenda RM70,000, jika gagal penjara enam bulan, bagi setiap pertuduhan.

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Shell Information Technology International Sdn Bhd, Jalan Usahawan, Century Square, di Cyberjaya, Selangor pada 28 Feb 2009 dan 1 Mac 2009.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai oleh Datuk Suraya Othman, membenarkan kedua-dua lelaki itu membayar denda itu selewat-lewatnya pada 5 petang Jumaat ini dan jika gagal, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.

    Beliau berkata mahkamah mengambil kira hasil daripada tindakan kedua-dua mereka, kos untuk memulihkan pelayan yang rosak serta kos penyiasatan serta proses perundangan lain berjumlah RM5 juta.

    Hakim itu berkata tindakan kedua-dua lelaki tersebut telah menjejaskan rakyat di Malaysia, United Kingdom, Norway dan beberapa bahagian lain di dunia.

    Beliau berkata mahkamah juga mempertimbangkan faktor-faktor diringankan hukuman yang dikemukakan oleh kedua-dua lelaki itu bahawa mereka adalah pesalah pertama dan mempunyai anak untuk dijaga dan mempunyai pekerjaan.

    Suraya yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan menggantikannya dengan denda.

    Muralitharan, 43, dan Pathmanathan, 45, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 2011 atas dua pertuduhan mengubah suai kandungan pelayan syarikat tanpa kebenaran dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan yang akan dijalani secara berturut-turut.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.

    Pada 2014, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, menyebabkan Muralitharan dan Pathmanathan merayu ke Mahkamah Rayuan.

    Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Pathmanathan memberitahu mahkamah bahawa representasi kedua-dua lelaki itu telah diterima pihak pendakwaan yang bersetuju supaya kedua-dua lelaki itu dikenakan denda dengan syarat mereka menarik balik rayuan terhadap sabitan mereka.

    Peguam Geethan Ram dan Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muralitharan memohon mahkamah mengenakan denda RM30,000.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khushairy Ibrahim memohon mahkamah mengenakan denda RM70,000 bagi setiap pertuduhan, atas alasan perbuatan kedua-dua lelaki itu telah menyebabkan 681 pelayan terjejas dan memerlukan kerja pemulihan dijalankan di negara-negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Belanda, Norway, Rusia dan Kazakhstan.

    — BERNAMA