Category: Semasa

  • KKM kemuka cadangan SOP pembukaan sempadan antarabangsa

    KKM kemuka cadangan SOP pembukaan sempadan antarabangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CADANGAN berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan antarabangsa negara dalam masa terdekat sudah dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM)

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketika ini KKM sedang sedang meneliti dan memantau keadaan semasa Covid-19, khususnya melibatkan varian Omicron.

    Katanya, pembukaan sempadan antarabangsa boleh dipertimbangkan kerana Malaysia antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi cemerlang dan program pemulihan negara yang berkesan.

    “KKM akan kemukakan cadangan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat sebelum putuskan tarikh sesuai pembukaan sempadan.

    “Ini kerana apabila sempadan dibuka kita mahu pematuhan terhadap SOP itulah kekal memandang kes baharu masih tinggi, maka kita perlu berhati-hati sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad tentang pembukaan sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil Sederhana (IKS) Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau bagaimanapun berkata, tarikh pembentangan laporan KKM itu masih belum diketahui.

    “Kita juga tidak mahu situasi dimana fasiliti kesihatan awam seperti katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat semula kerana ketika ini penggunaannya rendah, kita mahu kekalkan perkara itu,” ujarnya.

    Sementara itu, berhubung sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura, pihaknya berkata perbincangan yang terjalin antara kedua-dua negara kekal melibatkan inisiatif Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) udara dan darat sahaja.

    “Walaupun sekarang program VTL darat dan udara telah kembali disambung, namun kita juga sedang meneliti sekiranya jumlah yang dibenarkan dapat dipertingkat.

    “Ink kerana hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura amat penting dan pertambahan kuota itu juga sesuatu yang diminta oleh komuniti perniagaan di negeri ini,” jelasnya.

    Pelaksanaan VTL darat menyaksikan seramai 1,440 rakyat kedua-dua negara dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan tanpa perlu menjalani kuarantin di kedua-dua negara.

  • Basikal kepada kanak-kanak hadir solat Subuh berjemaah 40 hari

    Basikal kepada kanak-kanak hadir solat Subuh berjemaah 40 hari

    MASJID Nur As-Sa’adah Kampung Pengkalan Batu di Melaka, menyediakan 40 basikal yang akan dihadiahkan kepada kanak-kanak yang menunaikan solat berjemaah selama 40 hari di masjid itu menerusi Program Istiqamah Subuh 40 Hari.

    Pengerusi masjid Datuk Amzah Osman berkata inisiatif berkenaan yang dijalankan sejak awal bulan ini bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak di dalam kariah itu sebagai usaha  melahirkan generasi berakhlak serta berdisplin, selain menyuburkan nilai-nilai murni.

    “Program ini bertujuan menjadikan tempat ibadah ini mesra kanak-kanak, sekali gus mengimarahkannya. Kami rasa seronok melihat perkembangan positif di masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Melaka, hari ini.

    Beliau berkata pada hari persekolahan, ramai kanak-kanak hadir ke masjid lengkap berpakaian sekolah untuk menunaikan solat Subuh dan setiap mereka diberikan kad yang akan dicop sebagai tanda hadir bersolat jemaah.

    Katanya program itu melibatkan kos sekitar RM20,000, dan sejak dilaksanakan kehadiran generasi muda di Masjid Nur As-Sa’adah dilihat semakin bertambah, terutama pada hujung minggu bagi mengikuti tazkirah, kelas pengajian agama dan ceramah.

    Sementara itu Amzah berkata pihak masjid juga menyediakan Gerobok Rezeki untuk kemudahan  golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan barangan keperluan.

    Menurutnya sehingga kini terdapat 64 penerima setiap bulan yang datang mengambil barangan diperlukan seperti beras, gula, kopi, lampin pakai buang dan sebagainya.

    “Mereka diberi kad untuk memilih 24 barangan yang disediakan di sini secara percuma. Dana bantuan ini juga hasil sumbangan daripada dermawan dan orang perseorangan,” katanya yang berharap usaha itu menjadi ikutan kepada masjid lain.

    — BERNAMA

  • Warisan bertanding di DUN Permas – Shafie

    Warisan bertanding di DUN Permas – Shafie

    PARTI Warisan hari ini mengesahkan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

    Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun belum mengumumkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan.

    “Ya, ini adalah kawasan yang akan (ditandingi), sebab tu saya datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah di Johor Bharu, hari ini.

     Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada DUN Permas antara kawasan yang bakal ditandingi parti itu di PRN berkenaan.

    Menurutnya beliau turun ke kawasan itu untuk berjumpa dengan Ketua Koordinator Warisan Johor bagi berbincang persediaannya berdepan dengan PRN Johor.

    Sementara itu Mohd Shafie berkata beliau akan mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRN itu dalam masa terdekat dengan sebahagian besarnya calon muka baharu tempatan.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ) lalu, Che Zakaria Mohd Salleh dari Bersatu melakukan kejutan apabila memenangi kerusi DUN tersebut dengan majoriti 8,746 menewaskan tiga calon lain termasuk Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

  • Elak ‘fear factor’ KKM tidak umum bilangan kes mulai esok

    Elak ‘fear factor’ KKM tidak umum bilangan kes mulai esok


    BERMULA esok, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi akan mengumumkan bilangan kes harian Covid-19.

    Sebaliknya, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perkembangan kes COVID-19 negara akan dimaklumkan pada jam 10 pagi, hari berikutnya.

    Langkah tersebut, jelas Khairy untuk memastikan keseluruhan data dapat diperincikan dengan lebih menyeluruh.

     “Ia akan dimaklumkan bersama data-data yang lain pada pukul 10 pagi keesokan hari. Ini adalah supaya dapat baca data kes harian bersama dengan data-data lain seperti kemasukan kes hospital dan sebagainya.

    ”Ini untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ kes harian dan ia perubahan budaya. Berhenti melihat kepada (kes harian), tetapi kita melihat bersama dengan semua data,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini lapor Astro Awani.

    Khairy berkata, perincian matrik dan data dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi Covid-19.

    Beliau seterusnya berkata, KKM memberi jaminan bahawa segala persiapan dan persediaaan yang rapi telah dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan gelombang varian Omicron.

    Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes harian Covid-19 dan bilangan kemasukan ke hospital, tetapi vaksin menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.

    “Sebab itulah sehingga hari ini, kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke ICU dan juga kes kematian akibat Covid-19. Bilangan kemasukan ke ICU dan kematian akibat Covid-19 adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun bilangan kes pada ketika ini adalah lebih tinggi,” katanya.

  • PRU-15: Siti Kassim tanding di Parlimen Batu

    PRU-15: Siti Kassim tanding di Parlimen Batu

    Gerak Independent (GERAK) mengumumkan kumpulan pertama calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kawasan akan ditandingi mereka.

    GERAK ialah inisiatif bersama yang diketuai Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU) dengan NGO lain bagi mendesak calon bebas menjadi Ahli Parlimen pada PRU-15. Gerakan itu sebelum ini mengumumkan enam calon bebasnya untuk PRU15.

    Enam calon itu adalah peguam hak asasi manusia dan aktivis Siti Kasim, bekas Ahli Parlimen UMNO di Sungai Benut Tawfik Ismail, bekas wartawan Charles CJ Chow, penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam, aktivis KJ John dan peguam di Sabah Roland Cheng.

    Kawasan akan ditandingi mereka adalah Siti Kasim (Batu), KJ John (Petaling Jaya), Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), Charles CJ Chow (Subang) dan Roland Cheng (Kota Kinabalu), lapor portal Free Malaysia Today.

    Tawfik tidak mengesahkan kerusi mana beliau akan bertanding, tetapi memberi bayangan kemungkinan di Langkawi, Pagoh, Ampang, Mersing dan Simpang Renggam.

    Ditanya kenapa GERAK menyasarkan kerusi dikuasai pembangkang, Siti berkata, gerakan itu mahu bersaing di “tempat kurang berprestasi di mana katak berkembang”.

    Siti berkata, GERAK akan meletakkan kira-kira 10 calon untuk PRU15.

    “Kami sedang mengenal pasti calon lain dan akan mengumumkan nama mereka kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.

    GERAK berkata, ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti lain atau individu “sehaluan” untuk meneruskan perjuangannya, dalam usaha menjadikan negara ini lebih adil kepada semua.

    Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih GERAK (Gerak App), demi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas.

  • Masjid di Terengganu diarah pasang kanopi untuk tambah jemaah

    Masjid di Terengganu diarah pasang kanopi untuk tambah jemaah

    SEMUA masjid di Terengganu diarahkan untuk menyediakan kanopi yang mencukupi di ruang luar, sama ada di kawasan parkir atau mana-mana ruang kosong yang bersesuaian, bagi memberi peluang lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas pada 11 Jan lalu.

    “Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap situasi kehadiran dan sikap segelintir sambil lewa jemaah lelaki ke masjid, terutama pada hari Jumaat.

    “Oleh itu, ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memainkan peranan berterusan, dalam menggalakkan jemaah hadir menunaikan solat Jumaat. Selain parkir, mana-mana masjid yang mempunyai ruangan solat bertingkat, hendaklah dibuka bagi digunakan sepenuhnya untuk ibadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shaikh Harun turut meminta AJK masjid dan surau, agar terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

    “Walaupun penggunaan pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan, namun jemaah diwajibkan merekodkan butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera atau ditulis di dalam buku rekod yang disediakan.

    “Mesyuarat juga bersetuju menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui semua pejabat agama daerah diminta membuat pemantauan kehadiran ahli kariah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya.

    Mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

    — BERNAMA

  • Lelaki terlepas hukuman gantung, dipenjara 12 tahun

    Lelaki terlepas hukuman gantung, dipenjara 12 tahun

    SEORANG lelaki terlepas hukuman gantung apabila ditawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Mohd Fadrul Ilmi Mamat, 42, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine.

    Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa kepada hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 69.33 gram di sebuah bilik sewa di Kampung Durian Burung di sini, jam 6 petang pada 21 Februari tahun lalu.

    Tertuduh sebelum ini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan boleh dihukum mengikutSeksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) kerana memiliki dadah jenis sama seberat 5.36 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Februari tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md. Zain.

  • Keputusan rayuan Abdul Azeez batalkan tuduhan rasuah,pengubahan wang haram Rabu depan

    Keputusan rayuan Abdul Azeez batalkan tuduhan rasuah,pengubahan wang haram Rabu depan

    KEPUTUSAN rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, ditetapkan pada  23 Feb ini.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nik Haslinie Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pihak-pihak terlibat telah menerima surat makluman daripada Mahkamah Rayuan minggu lepas, berhubung tarikh keputusan rayuan itu.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, 55, mengesahkan perkara tersebut.

    Azura menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan status keputusan rayuan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.

    Perbicaraan kes Abdul Azeez yang bermula 19 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan ditangguhkan sementara menunggu  keputusan rayuan itu.

    Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata mahkamah mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

    — BERNAMA

  • Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    JENAYAH  melombong bitcoin haram menunjukkan peningkatan drastik pada tahun lepas apabila 570 kertas siasatan dibuka selain penahanan 528 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM54 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata jumlah itu amat tinggi apabila dibandingkan dengan statistik tahun sebelumnya yang merekodkan 20 kertas siasatan dibuka dan penahanan 26 orang dengan nilai rampasan RM1.26 juta.

    “Majoriti mereka yang ditahan merupakan golongan muda iaitu antara 18 hingga 30 tahun yang dipercayai mudah terjebak kerana tertarik dengan pendapatan lumayan secara mudah manakala suspek paling tua berusia 61 tahun.

    “Polis juga telah membuka 20 fail di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, 10 individu dikenakan sekatan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelupusan barang kes kecurian elektrik bagi kegiatan bitcoin oleh Polis Kontinjen Pahang di Rompin hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua JSJ Pahang SAC Mohd Yusri Othman, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood dan Majistret Rompin Wahidah Zainal Abidin.

    Berdasarkan statistik, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang merekodkan jumlah kes melombong bitcoin haram paling tinggi, kerana dapat berselindung di sebalik jumlah kawasan perindustrian yang banyak memandangan kegiatan itu banyak menggunakan tenaga elektrik.

    “Kebanyakan suspek menggunakan premis perniagaan terpencil atau tersorok kerana kegiatan itu akan mengeluarkan bunyi bising dan haba panas selain akan kerap menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan penggunaan arus elektrik yang tinggi,” katanya.

    Abd Jalil berkata polis juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara supaya pendakwaan terhadap kesalahan bitcoin haram lebih dibuat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara berbanding Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Wan Nazmy berkata sebanyak 7,209 kes kecurian elektrik melibatkan premis bitcoin direkodkan selama tiga tahun bermula 2018 selain menyebabkan banyak kebakaran memandangkan aktiviti itu tidak mematuhi spesifikasi Suruhanjaya Tenaga dan TNB.

    “TNB juga kini menggunakan dron yang berkeupayaan mengesan haba panas dari udara di premis yang disyaki mejalankan aktiviti mencuri elektrik bagi melombong bitcoin secara haram selain memantau kawasan yang merekodkan penggunaan elektrik terlalu banyak namun bacaan meter adalah rendah,” katanya.

    Pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB yang ditubuhkan sejak 10 tahun lepas juga menurut Wan Nazmy lebih diperkasakan sejak tiga tahun lepas, untuk membanteras kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan bitcoin haram.

    — BERNAMA

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.