Category: Semasa

  • Bintara Kanan Maritim Malaysia berdepan 80 tuduhan rasuah

    Bintara Kanan Maritim Malaysia berdepan 80 tuduhan rasuah

    SEORANG penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 80 pertuduhan menerima suapan bernilai RM21,750 sekitar tahun 2017 hingga 2019.

    Tertuduh, Azmawi Zakaria, 47, yang merupakan Bintara Kanan Maritim yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah membuat pengakuan itu ketika semua 80 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Menurut kertas pertuduhan, Azmawi didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM21,750 daripada seorang individu bernama Neo Siang Joo.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019 yang mana tertuduh mengetahui Siang Joo mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya sebagai Bintara Kanan Maritim.

    Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memohon tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah.

    Ini kerana menurut Mohamad Fauzee, kes itu melibatkan saksi pendakwaan yang sama dengan satu lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah negeri tersebut.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, P. Taneswaran dan Yuvanes Taruman memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan alasan isteri tertuduh yang merupakan seorang suri rumah hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin dan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik.

    Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Hakim turut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah dengan tarikh sebutan semula pada 24 Februari ini.

  • Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Najib, 69, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Tetuan Shafee & Co, Jumaat lepas.

    Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

    Peguam dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

    Pada 8 Feb, Atan Mustaffa membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa orang lagi.

    Injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Bagaimanapun, sekiranya beliau memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau dikehendaki memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah itu juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah, dan mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA

  • Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    PASCANILAI perlu dilakukan untuk mencari punca kekalahan pasukan Bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Laos pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlu mengkaji bagaimana pasukan yang sebelum ini kurang menyerlah dalam arena bola sepak Asia Tenggara, boleh mengejutkan Malaysia kali ini.

    “Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

    Skuad bimbingan Brad Maloney tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan itu, selepas dua kali tewas kepada Laos, iaitu kekalahan 2-1 pada Jumaat lepas dan 2-0 pada malam tadi.

    Format kejohanan terpaksa diubah apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri susulan pandemik COVID-19, menyaksikan Malaysia perlu bertemu Laos sebanyak dua kali, dengan hanya satu pasukan mara ke separuh akhir.

    Ahmad Faizal berkata semua pihak yang terlibat, termasuk pemain dan penyokong, perlu melihat perkara itu secara holistik untuk memulihkan keadaan bola sepak di negara ini.

    “Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berharap agar skuad yang beraksi dengan baik di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, meneruskan momentum kemenangan tersebut pada kejohanan-kejohanan akan datang.

    “Saya melihat dalam sukan badminton, ketahanan mental amat penting, jadi perkara-perkara yang melilbatkan isu luar daripada sukan itu tidak perlu disensasikan agar ketahanan mental para pemain kita sentiasa berada pada tahap terbaik bagi mengatasi mana-mana pemain di dunia ini.

    “Semua pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penyokong telah bekerjasama dengan baik, kita ada pasukan baik yang boleh diangkat ke kejohanan-kejohanan lain akan datang, insya-Allah kita akan menjadi antara terbaik dunia,” katanya.

    Pada kejohanan yang berlangsung 15-20 Feb itu, skuad lelaki negara muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada final, manakala skuad wanita tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada pusingan separuh akhir.

    Kejayaan itu juga memastikan skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan Mei ini di Bangkok, Thailand. – Bernama

  • Polis nafi tutup kes lelaki simbah minyak panas pada isteri

    Polis nafi tutup kes lelaki simbah minyak panas pada isteri

    POLIS Melaka menafikan menutup kes lelaki menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayinya awal bulan ini.

    Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kes itu tidak pernah ditutup dan pihaknya kini sedang melengkapkan siasatan kes itu bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

    Kertas siasatan katanya, sudah dihantar kepada pejabat pendakwa raya sebelum ini dan dikembalikan semula kepada polis untuk dilengkapkan beberapa lagi keperluan daripada segi undang-undang dan fakta kes, lapor Sinar Harian.

    “Saya jangkakan ia dalam disiapkan dalam minggu ini sebelum diserahkan kembali kepada pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bemban, Melaka, hari ini.

    Beliau berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun terbabit kini dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya tamat.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka pada 11 Februari lalu.

    Kejadian berlaku pukul 5.50 petang di Semabok Dalam, Semabok, Melaka, menyebakan mangsa berusia 21 tahun serta bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan.

  • Suspek bakar jengkaut di tapak pembinaan diburu

    Suspek bakar jengkaut di tapak pembinaan diburu

    POLIS sedang memburu suspek yang bertindak membakar sebuah jengkaut di tapak projek pembinaan pencawang di Jalan Ubi Kampung Seri Chodoi, Kuala Langat, pada 14 Februari lalu.

    Pihak polis yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan pukul 2.09 petang mendapati jengkaut milik syarikat kontraktor itu terbakar.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, susulan itu, tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

    “Bagaimanapun, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah direkod keterangan.

    “Siasatan awal tiga individu ini juga tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. Punca kejadian belum dikenal pasti dan polis sedang mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang melakukan jenayah ini.

    Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman pembukaan semula sempadan negara akan dibuat dalam masa terdekat.

    Memetik laporan FMT, beliau memaklumkan perkara itu selepas mendengar taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan berada dalam proses akhir.

    “Majlis juga mengambil maklum pihak KKM dalam proses akhir untuk memuktamad SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.

    “Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN.

    Muhyiddin berkata, jika sempadan negara lambat dibuka semula, ia akan memberi kesan besar dan negara akan menanggung kos kerugian amat besar.

    Katanya, cadangan awal MPN supaya sempadan dibuka 1 Mac sebelum ini juga tidak dibantah agensi lain termasuk KKM apabila mereka mengatakan pintu sempadan negara boleh dibuka.

    “Mereka (kerajaan) maklum telah mengambil kira apa yang telah diputuskan MPN dan sememangnya wajar dipercepat buka sempadan.

    “Jangan lambat sebab sehari lambat, kos kerugian bagi negara amat besar terpaksa ditanggung, cepat buka untung kepada Malaysia amat banyak,” katanya.

    Sementara itu, katanya, pihak MPN menyokong supaya aktiviti gelembung pelancongan ke Langkawi ditambah baik dengan mengambil kira penelitian semula saringan secara harian.

    Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 akan disiapkan sebelum dikemukakan kepada kerajaan bagi membawa negara kepada keadaan seperti sedia kala sepertimana sebelum penularan pandemik Covid-19.

  • Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya, minggu lepas.

    Abdul Aziz Abdullah, 33, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Abdul Aziz didakwa membunuh Rahana Abd Razak, 55, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan leher terputus di dalam bilik sebuah rumah di Jerek.

    Suspek bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Bertam selepas kejadian dan memberitahu telah membunuh ibu tirinya dengan parang. – BERNAMA

  • Tiada kes bayi pramatang atau cacat selepas ibu ambil vaksin Covid-19

    Tiada kes bayi pramatang atau cacat selepas ibu ambil vaksin Covid-19

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencatatkan kematian tahunan ibu hamil meningkat kepada 41 peratus pada tahun lalu akibat jangkitan Covid-19.

    Berdasarkan rekod, kebiasaannya setiap tahun kematian ibu hamil sebanyak 200 hingga 270 kes, namun ia telah meningkat kepada 462 kes pada tahun lepas.

    Menurut Timbalan Ketua Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) KKM, Dr. Wan Ahmad Hazim Wan Ghazali, daripada 462 kes kematian ibu hamil, 83 peratus daripada mempunyai komorbiditi, manakala 79 peratus tidak mengambil vaksinasi.

    “Sebenarnya mereka inilah yang memerlukan dos penggalak kerana berisiko tinggi dan kerana apabila wanita itu hamil ia telah membuatkan perubahan fisiologi kepada diri mereka, yang akan meningkatkan kemudaratan serangan COVID-19, apatah lagi jika mereka ini mempunyai komorbiditi.

    “Jadi jika kita lihat daripada kematian ibu yang berlaku tahun lepas dan kita lakukan kajian, peningkatannya adalah 41 peratus akibat COVID-19. Biasanya kita mendapat kematian ibu dalam 200 hingga 270 kes setiap tahun tetapi telah meningkat sampai 462 kes pada tahun lalu dimana 191 adaah di sebabkan oleh COVID-19. Ini adalah 41 jumlah daripada seluruh jumlah kematian ibu.

    “Daripada kajian KKM lebih 83 peratus disebabkan oleh mereka mempunyai komorbiditi, sama ada mereka ada obesiti, kencing manis,darah tinggi dan penyakit-penyakit lain. Justeru sangat penting untuk mereka ini mendapat dos penggalak,” katanya

    Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI dalam Program AWANI Pagi bertajuk
    ‘Ibu hamil dan dos penggalak’, hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr. Wan Ahmad Hazim yang juga Pakar Perunding Kanan, Ketua Jabatan O&G Hospital Putrajaya berkata, dos penggalak vaksin Covid-19 adalah selamat untuk ibu mengandung dan tiada kesan kepada kandungan.

    “Vaksin bukan sahaja memberikan perlindungan kepada ibu tetapi ia juga memberi perlindungan kepada bayi dan memberi imuniti pasif kepada bayi antara tiga hingga enam bulan.

    “Jika kita lihat kajian di luar negara melibatkan 135,000 ibu hamil menunjukkan tidak ada peningkatan dalam keguguran, kelahiran pra matang, kematian atau kecacatan.

    “Malah jika kita lihat apa yang kita alami sejak pemberian vaksin dos kedua selesai diberikan pada bulan Oktober lepas merangkumi 94 peratus populasi negara, kita lihat kelahiran-kelahiran yang berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan tidak menunjukkan peningkatan daripada semua isu tersebut,” jelasnya.

    Dr. Wan Ahmad Hazim turut menyeru rakyat Malaysia agar mempercayai sepenuhnya kepada data dan maklumat dikeluarkan oleh KKM berkaitan vaksin COVID-19.

    “Rakyat harus ingat bahawa KKM memastikan kesihatan rakyat terjaga dan harus memberikan kepercayaan yang penuh kepada kita untuk memastikan kesihatan ini sentiasa dipantau dan memberikan informasi yang benar dan telus kepada masyarakat,” tambah beliau.

  • Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    MISI kemanusiaan ke Kabul, Afghanistan bukan untuk mengiktiraf kerajaan di sana tetapi hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Kita memantau perkembangannya dengan rapat, ada parameter ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga Kerajaan Malaysia sebelum kita mengiktiraf kerajaan Afghanistan.

    “Tetapi sementara kerajaan itu belum diiktiraf, rakyatnya menderita dan perlu dibantu, itulah yang sedang kita lakukan,” katanya pada sidang media misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini.

    Misi yang berlepas hari ini terdiri daripada 12 anggota delegasi termasuk media itu akan berhenti di Hyderabad dan Islamabad bagi tujuan pengisian minyak serta logistik dan dijangka memasuki Kabul pada 23 Feb dan akan keluar setelah bantuan selesai disampaikan.

    Misi bantuan kemanusiaan itu melibatkan sumbangan seberat lima tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan, bernilai lebih RM1 juta selain bantuan berbentuk kepakaran dalam membantu membina dan membangun semula negara itu.

    Sebelum ini, Afghanistan berada dalam keadaan bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. – BERNAMA

  • Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    SEORANG wanita ditemukan dalam keadaan rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Tikolod di Tambunan, tengah malam tadi.

    Mayat mangsa, Norhabibah Awang, 30, ditemukan anggota bomba di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

    Memetik laporan FMT, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky@ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah malam tadi.

    Menurut beliau, seramai sembilan anggota dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan.

    “Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 90 peratus dan operasi memadamkan segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.

    “Terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemukan rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

    Desmond menambah, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Beliau memberitahu, operasi ditamatkan pada pukul 1.45 pagi selepas api dipadamkan sepenuhnya.

    “Punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” jelasnya.