Category: Semasa

  • 1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah pengarah bayangan dalam syarikat pelaburan strategik itu kerana beliau proksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memberi arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

    1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif menyatakan demikian menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Jho Low, yang difailkan Tetuan Skrine di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Feb lepas.

    1MDB mendakwa, Jho Low mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif-plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset-aset kesemua plaintif.

    “Pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, kesemuanya adalah tidak relevan,” dakwa 1MDB dalam pernyataan jawapan itu.

    1MDB mendakwa Jho Low telah mendapatkan proksi-proksinya untuk bekerja dalam 1MDB termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

    “Proksi-proksi tersebut memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam plaintif pertama (1MDB) antara lainnya untuk memantau pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB, melaksanakan keputusan penting menurut kehendak Jho Low dan Najib bagi memudahkan penggunaan dana plaintif-plaintif dengan niat penipuan Jho Low dan Najib,” dakwa 1MDB dan menambah Najib juga pengarah bayangan 1MDB.

    Menurut 1MDB, Jho Low telah menerima dana milik plaintif-plaintif yang mana beliau mengetahui bahawa dana tersebut milik kesemua plaintif dan wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.

    “Tindakan (saman) terhadap Jho Low antaranya untuk pemulihan wang amanah kepunyaan kesemua plaintif yang telah diterima Jho Low yang beliau mengetahui bahawa wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah antara lainnya oleh Najib.

    “Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) juga adalah pemegang amanah konstruktif plaintif-plaintif berkenaan dengan wang yang diterima olehnya,” kata 1MDB.

    Selain itu, 1MDB mendakwa, setelah dimaklumkan tentang Memorandum Ernst & Young bertarikh 26 Mac 2010, Najib, ketika itu sebagai pihak pemegang saham tunggal 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama dengan penglibatan Jho Low, mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit bagi 1MDB melalui surat bertarikh 16 Ogos 2020.

    Menurut 1MDB, tindakan itu untuk menyembunyikan kerugian syarikat itu akibat pelesapan dana secara penipuan dan menghalang siasatan serta penemuan fakta-fakta dan bukti material berkenaan dengan penipuan tersebut.

    “Selain daripada AS$700 juta yang telah diterima oleh Jho Low pada 2009, semua wang telah dibayar kepada Jho Low selepas Mac 2010, oleh itu, ia adalah tidak dapat diterima bahawa kausa-kausa tindakan hanya terakru pada Mac 2010 seperti yang didakwa.

    “Dalam apa jua keadaan, tuntutan plaintif-plaintif adalah termasuk pecah amanah secara penipuan oleh Jho Low dan untuk mendapatkan semula daripadanya harta yang dipegang secara pecah amanah bagi pihak plaintif-plaintif yang telah ditukarkan untuk kegunaannya sendiri,” menurut 1MDB,

    Pada 7 Mei tahun lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

    Jho Low dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1MDB serta empat anak syarikatnya dan saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

    Dakwa Jho Low, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif. – BERNAMA

  • Pekerja pembersihan jumpa bom lama dalam Sungai Tupai

    Pekerja pembersihan jumpa bom lama dalam Sungai Tupai

    SEBUTIR bom lama sepanjang kira-kira 42 sentimeter ditemukan seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sungai Tupai, Taiping, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, buruh berusia 46 tahun itu, menemukan bom dipercayai jenis mortar itu ketika sedang menjalankan kerja pembersihan bersama tiga lagi pekerja di atas tanah, dalam kawasan sungai pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

    “Pihak polis dari Balai Polis Pokok Assam telah sampai di tempat kejadian dan mendapati sebutir bom yang tidak dapat dipastikan jenisnya berada di atas tanah di lokasi kejadian.

    “Anggota telah membuat kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan oleh Pasukan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping,” katanya dalam kenyataan di Taiping, hari ini.

    Menurutnya, bom itu kemudian dimusnahkan oleh Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dengan bantuan anggota Cawangan Persenjataan IPD Taiping.

    Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan berlaku semasa tugas pemusnahan dijalankan. – Bernama
     

  • Gegaran gempa bumi: Ramai penghuni diarah kosongkan bangunan tinggi

    Gegaran gempa bumi: Ramai penghuni diarah kosongkan bangunan tinggi

    GEMPA bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini dirasai sehingga pantai barat Semenanjung Malaysia menyebabkan ramai petugas dan penghuni di bangunan tinggi diarah mengosongkan bangunan.

    Antara negeri dilapor merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor.

    Kejadian pada 9.39 pagi itu menyebabkan rata-rata petugas swasta dan awam serta penghuni di bangunan tinggi di negeri-negeri terlibat yang berasa bangunan beralun atau bergegar, mengambil langkah keluar untuk berkumpul di kawasan lapang, sehingga keadaan benar-benar selamat.

    Lebih 30 panggilan kecemasan bangunan susulan gegaran itu diterima oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di sekitar Lembah Klang, melibatkan antaranya kawasan Taman Miharja, Menara Glomac, Wisma BSN, Menara AmBank dan Apartment Pantai Indah di Kuala Lumpur.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, panggilan kecemasan bangunan diterima pihaknya melibatkan Shah Alam, Cyberjaya, Sepang, Kapar, Banting, Puchong, Kajang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.

    Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

    Gegaran yang sama turut dirasai di Kuantan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bangunan bergegar melibatkan tiga premis iaitu Menara Zenith, Bangunan Tabung Haji dan Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    “Semua kakitangan di bangunan terlibat didapati telah mengosongkan premis dan berkumpul di lokasi selamat. Pemeriksaan mendapati tiada yang mengalami kecederaan,” menurut kenyataan jabatan itu.

    Di PUTRAJAYA, tinjauan Bernama mendapati penjawat awam di beberapa lokasi antaranya di Kementerian Pengangkutan, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara berada di luar bangunan sebagai langkah keselamatan susulan gegaran itu.

    Operasi pejabat kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Audit Negara dilihat berjalan seperti biasa kira-kira tiga jam selepas gegaran dirasai.

    Di SEREMBAN, tinjauan mendapati beberapa pejabat kerajaan dan swasta di daerah itu keluar dari premis masing-masing selepas pengumuman pengosongan bangunan oleh organisasi masing-masing, manakala di JOHOR, beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru turut merasai gegaran susulan gempa bumi melanda utara Sumatera itu.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazly Yahya berkata pihaknya menerima satu panggilan kecemasan daripada penduduk di Pangsapuri Amari Larkin melibatkan penghuni sebuah rumah di tingkat 10 dan dua rumah di tingkat 20.

    Kesemua penghuni terbabit telah berkumpul di kawasan lapang sebelum pihak bomba tiba, katanya sambil memberitahu kejadian itu tidak melibatkan kerosakan harta benda dan kecederaan.

    Di MELAKA, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima tujuh panggilan berkaitan gegaran antaranya melibatkan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Seri Negeri, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, bangunan Hang Tuah Jaya dan Bangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Tengah. – BERNAMA

  • MAEPS diaktifkan semula untuk ringankan beban hospital – KJ

    MAEPS diaktifkan semula untuk ringankan beban hospital – KJ

    PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang yang diaktifkan semula hari ini bagi meringankan beban di hospital daripada menjadi sesak dengan kes melibatkan pesakit COVID-19 bergejala ringan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini didapati banyak pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan intensif.

    “Contohnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudahpun meningkatkan perkhidmatan untuk (kes) bukan COVID-19, jadi kita tak nak nanti semua (kes COVID-19) dirujuk semula ke HKL dan akhirnya jadi sesak.

    “Kedua, kita telah melihat sekarang ini banyak kes yang masuk ke hospital yang mempunyai sampingan Covid-19, dia datang sebab rawatan lain, tetapi apabila buat ujian di hospital, didapati dia positif Covid-19,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan lawatan ke Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh dekat Kuala Lumpur pada Jumaat.

    Khairy berkata, perkara itu merumitkan sedikit pengurusan di hospital kerana pesakit tersebut terpaksa diasingkan di wad COVID-19 dan pengasingan pesakit di MAEPS akan memastikan hospital tidak sesak serta mempunyai fleksibiliti untuk mengurus katil.

    Sementara itu, menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy berkata, pembukaan semula MAEPS adalah satu langkah awalan sekiranya memerlukan.

    Menurutnya, hal itu kerana ketika ini pesakit COVID-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah awal.

    “Langkah ini dibuat kerana jumlah kes tinggi dan jika keadaan mendesak, pesakit COVID-19 berisiko tinggi boleh terus diberikan intervensi awal. Hospital pula boleh fokus kepada pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima dan dalam masa yang sama tidak perlu menjejaskan operasi kes bukan Covid-19,” katanya.

    Semalam, Khairy pada sidang media berkata PKRC di MAEPS akan diaktifkan semula bermula hari ini bagi merawat kes berisiko rendah.
    Selain itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata hanya 10 hingga 15 peratus bekas pesakit Covid-19 mempunyai komplikasi ‘Long Covid’ atau jangka panjang dengan kebanyakannya adalah golongan berisiko.

    “Kita mempunyai protokol merawat ‘Long Covid’, terutamanya melalui penjagaan rehabilitatif. Saya telah meminta supaya kita meningkatkan lagi rawatan rehabilitasi untuk Covid-19 yang berpanjangan. Jadi kita memberi perhatian kepada kes Long Covid ini terutamanya mereka yang dalam kategori berisiko tinggi,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata kontak rapat pesakit Covid-19 hanya perlu menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19, kerana ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) akan mengesan virus itu walaupun kadar kebolehjangkitan sangat rendah.

    “Sebab itu kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan, RTK mencukupi kerana ia dapat kesan mereka yang mempunyai viral load yang tinggi.

    “Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu, kontrak rapat, kalau dah booster (dos pengalak), hanya perlu buat RTK sebab itu dapat saring mereka yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

    Semalam, Khairy mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac.

    Dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM)  membuat analisis menyeluruh terhadap isu kekurangan jururawat di hospital.

    “Saya nak selesaikan betul-betul (isu) kekurangan jururawat kita, semalam pun saya ada dialog dengan kesatuan-kesatuan, pekerja, staf kumpulan pelaksana di KKM, mereka pun cakap benda yang sama. Saya mahu mencari punca dan mungkin selepas selesai isu doktor kontrak saya nak lihat pula kepada kumpulan pelaksana,” katanya. – Bernama
     

  • Kes positif MRSM Batu Pahat melonjak selepas Karnival Keluarga Malaysia

    Kes positif MRSM Batu Pahat melonjak selepas Karnival Keluarga Malaysia

    MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat melaporkan kes positif COVID-19 dan diarah menutup asrama dalam masa beberapa hari selepas ibu bapa menyuarakan kritikan terhadap penganjuran Karnival Keluarga Malaysia di institusi pendidikan itu ketika anak-anak mereka bersedia untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Memetik laporan FMT, ibu bapa yang dihubungi menyatakan bahawa seramai 13 pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan disahkan positif selepas menjalani ujian RTK-Antigen.

    FMT turut melaporkan, hampir 50 pelajar mengadu tidak sihat, demam, dan muntah-muntah setakat ini, selepas empat kes positif pertama dilaporkan semalam.

    Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan penularan terbaharu ini mempunyai kaitan dengan Karnival Keluarga Malaysia, yang berlangsung di MRSM Batu Pahat selama tiga hari dari 17 hingga 19 Februari.

    FMT sedang mendapatkan penjelasan ibu pejabat MRSM dan setakat ini, tiada pengesahan mana-mana pihak bahawa kes terbaharu ini berpunca daripada karnival berkenaan.

    FMT sebelum ini melaporkan keresahan ibu bapa terhadap tindakan kementerian membenarkan penganjuran karnival itu meskipun dibantah kerana risiko penularan Covid-19.

    Karnival tiga hari itu turut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dalam media sosial, para netizen berkongsi notis perintah tutup premis oleh Kementerian Kesihatan, memaklumkan asrama perempuan MRSM Batu Pahat ditutup bermula 24 Februari hingga 2 Mac.

    Seorang ibu, yang tidak mahu dinamakan atas faktor keselamatan anak, berkata, dia diberitahu jangkitan berpunca daripada dua guru dan merebak ke pelajar lain sejak beberapa hari lalu.

    Notis perintah tutup premis juga diletakkan di asrama lelaki, tambahnya.

    Katanya, apa yang dikesalkan ibu bapa hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak masing-masing.

    “Sehingga sekarang pihak sekolah hanya mendiamkan diri. Kami ibu bapa sendiri terpaksa hubungi Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengetahui status sebenar keadaan anak kami,” katanya dalam nada kecewa.

    Kata wanita itu, empat pelajar positif semasa Kementerian Kesihatan pergi untuk menampal notis menutup asrama tetapi angka bertambah sejak petang semalam.

    “Kita ibu bapa sangat risau sebab angka positif meningkat dua kali ganda dalam tempoh 24 jam,” katanya.

    Sementara itu, seorang ibu memberitahu FMT, dia bimbang memikirkan bagaimana situasi di asrama akan menjejaskan persiapan anak menghadapi SPM.

    “Calon SPM di sekolah lain sedang berlumba-lumba hadir kelas intensif, anak kami boleh buat apa?” katanya.

    “Duduk di dalam bilik masing-masing hanya baca buku sendirian, tengok luar tingkap. Lama-lama boleh ‘mental down’.”

    Dalam pada itu, ibu bapa memberitahu FMT bahawa Pusat Kesihatan Daerah memaklumkan acara penamaan calon sempena PRN Johor esok di dewan sekolah akan diteruskan.

    Mereka diberitahu urusan penamaan calon tidak akan mengganggu para pelajar kerana kedudukan dewan dan asrama agak jauh.

    “Mana boleh mereka kata begitu. Sudah terang notis penutupan sehingga 2 Mac tetapi dewan sekolah masih boleh digunakan untuk orang luar, sepatutnya seluruh premis maktab ditutup kepada orang ramai,” katanya.

    “Tolonglah tukar ke lokasi lain. Besar kemungkinan SPM pun tak boleh dijalankan kalau tiada tindakan tegas diambil.”

    Menurut senarai pusat penamaan calon SPR, dewan MRSM Batu Pahat dijadikan lokasi penamaan calon untuk DUN Semerah.

    SPM dijadualkan pada 2 hingga 20 Mac.

    Sementara itu, MRSM Batu Pahat dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook menjelaskan bahawa para pelajarnya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti semasa penganjuran Karnival Keluarga Malaysia.

    Menurutnya, penutupan asrama pelajar mulai 24 Februari juga tidak berkaitan dengan karnival tersebut.

    “Sebagai langkah proaktif, pihak maktab sentiasa membuat saringan berkala dan bersasar serta ujian pengesanan dilaksanakan mengikut garis panduan dan SOP berkuat kuasa.

    “Aktiviti sanitasi pembersihan dan kawalan pencegahan di asrama juga turut dilaksanakan dari semasa ke semasa,” jelas MRSM Batu Pahat.

  • Terengganu dilanda banjir, 383 mangsa dipindahkan di 8 PPS

    Terengganu dilanda banjir, 383 mangsa dipindahkan di 8 PPS

    HUJAN lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Terengganu mula dilanda banjir.

    Memetik laporan Sinar Harian, seramai 383 mangsa banjir daripada 114 buah keluarga mula dipindahkan di lapan buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman dan Setiu pada hari ini.

    Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga pukul 2 petang, seramai 345 mangsa daripada 100 buah keluarga ditempatkan di tujuh buah PPS di Kemaman yang mula diaktifkan pukul 8.45 pagi.

    “Antara PPS terlibat ialah di Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balai Raya Padang Kubu, Masjid Kampung Dadong, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Balai Raya Padang Kemunting.

    “Sebuah lagi PPS iaitu di PPS SK Air Putih menempatkan tujuh mangsa daripada dua buah keluarga yang menjalani tempoh kuarantin Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Menurut kenyataan itu, sebuah PPS di daerah Setiu iaitu di Balai Raya Kampung Hulu Seladang dibuka pukul 11.30 pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa banjir membabitkan 14 keluarga.

    Jelas kenyataan itu, sehingga ini keadaan semasa cuaca di Terengganu hujan lebat masih berterusan di kebanyakan kawasan.

    Sementara itu, menurut laman web infobanjir, sehingga pukul 1.30 petang, 10 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya.

    Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.

  • Pesara rugi lebih setengah juta diperangkap ‘Mastura’

    Pesara rugi lebih setengah juta diperangkap ‘Mastura’

    SEORANG pesara kerajaan dari Kuala Terengganu mengalami kerugian sejumlah RM532,800 apabila wang persaraan serta gadaian barangan kemas milik isterinya lesap setelah menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam.

    Kejadian dikatakan bermula apabila lelaki berusia 65 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mastura’ pada Oktober tahun lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud, suspek pada mulanya menghubungi mangsa, memaklumkan nama lelaki itu berada dalam senarai perhatian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurut beliau, selain itu suspek turut mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram sebelum mengarahkannya membuka satu akaun baharu dengan memberikan semua maklumat peribadi dan akaun kepadanya, lapor Berita Harian.

    Menurut M Zambri, mangsa yang ketakutan akur dengan arahan diberikan apabila bertindak mengeluarkan semua wang simpanannya selain turut menggadai barangan kemas isterinya sebelum wang diperoleh dimasukkan ke dalam akaun yang baharu dibuat.

    Katanya, pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa namun menyedari ditipu apabila mendapati duit yang ada dalam akaun berkenaan dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

    Beliau berkata, cubaan mangsa menghubungi suspek juga gagal sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Selasa lalu.

    Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu.

    Sehubungan itu, M. Zambri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada penguat kuasa, bank atau mana-mana agensi kerajaan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan seperti ini selain tidak sewenang-wenang memberi maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali,” ujar beliau.

  • Muhyiddin minta kerajaan pandang serius kenaikan harga barang

    Muhyiddin minta kerajaan pandang serius kenaikan harga barang

    TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan memandang serius kenaikan harga barang pengguna dan bahan yang bukan sahaja membebankan peniaga tetapi juga orang ramai.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, beliau mengetengahkan perkara itu selepas mendengar keluhan ketika bersarapan pagi dengan 23 pengerusi pertubuhan bukan kerajaan dan ketua komuniti Cina Bukit Pasir di Louis Woo Cafe.

    ‘’ Dalam majlis tersebut saya dapat berjumpa secara bersemuka dan mendengar pandangan dan masalah mereka. Kebanyakannya mengeluh mengenai kenaikan harga barang pengguna dan bahan mentah untuk perniagaan.

    ‘’Peningkatan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelanggan tetapi juga di pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan,’’ katanya.

    Muhyiddi berkata,  Louis Woo, 32, yang membuka kafe tersebut sejak tiga tahun lalu mengeluh mengenai harga barang mentah untuk perniagaan kafe yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.

    ‘’Keadaan ini kata Louis bukan sahaja tidak baik untuk perniagaan malah membebankan pengguna dan para pelanggannya,’’ katanya.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Louis bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional kerana memperkenalkan Program Subsidi Upah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengusaha kafe kecil sepertinya.

    ‘’Saya kemudiannya menjelaskan usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Majlis Pemulihan Negara bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi negara. Segala usaha ini bertujuan untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan setelah terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.

    ‘’Saya juga memberi jaminan jika diberi peluang di Johor kerajaan negeri Perikatan Nasional akan berusaha memulih dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri ini bagi memastikan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap rakyat Johor,’’ katanya.

    Pada majlis itu Muhyiddin menyampaikan bantuan tahunan bernilai RM10,000 setiap satu kepada 23 tokong dan pertubuhan bukan kerajaan di kawasan Bukit Pasir.

  • Tak hadir majlis umum calon BN, Mohamad positif COVID-19

    Tak hadir majlis umum calon BN, Mohamad positif COVID-19

    RAMAI yang tertanya-tanya mengapa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir pada majlis pengumuman calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Johor Bahru, semalam.

    Rupa-rupanya beliau yang juga Pengarah PRN Johor BN positif COVID-19.

    Timbalan Pengerusi BN itu memaklumkan perkara tersebut dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

    “Alhamdulillah, hari ini dah sampai hari ketujuh saya menjalani isolasi kendiri.

    “Di dalam saya sangat berhati-hati menjaga SOP, terkena juga dengan jangkitan virus COVID-19.. Berhati-hatilah, virus COVID-19 dah merata-rata di dalam masyarakat.

    “Tak sabar nak turun ke Johor,” katanya.

  • Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    Bomba Selangor terima 15 laporan gegaran selepas gempa

    SEBANYAK 15 laporan gegaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di sekitar negeri tersebut susulan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia pagi tadi.

    Memetik laporan BH, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, panggilan pertama diterima pada jam 9.48 pagi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting susulan gegaran berlaku di Mahkamah Telok Datok.

    “Kes kedua diterima BBP Puchong pada jam 9.48 pagi juga membabitkan gegaran di Taman Perindustrian Sime UEP, manakala BBP Penchala menerima panggilan dari Jalan Zamrud PJS 5/27 Taman Medan.

    “BBP Kajang menerima panggilan dari Jalan Zamrud 1 juga pada jam 9.48 pagi, manakala BBP Subang Jaya menerima dua laporan dari lokasi USJ 10/1 lokasi PJ Hilton.

    “BBP Shah Alam menerima laporan dari lokasi Jalan Cangkut 19/3 dan sekitar Taman Sri Muda, manakala BBP Kota Anggerik menerima laporan dari Seksyen U8, U1 & U2 dan BBP Sungai Pinang menerima panggilan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Meru.

    “Selain itu, BBP Cyberjaya menerima panggilan dari lokasi Jalan Impact, BBP Rawang pula dari Taman Tun Teja, BBP Damansara menerima panggilan dari Jalan TG Bandar Utama 8, BBP Sepang pula di Bagan Lalang dan BBP KLIA dari Pejabat Korporat Malaysia Airport BHD,” katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau menambah, 14 lokasi berkenaan dipantau balai bomba terbabit.

    “Sehingga kini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak bomba sentiasa bersedia dan membuat pemantauan di lokasi kejadian,” jelasnya.

    Terdahulu, bomba menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi berhubung kesan gempa bumi di Bukit Tinggi Sumatera pada jam 9.40 pagi tadi.