Category: Semasa

  • Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini dalam saman yang difailkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap beliau berhubung isu vaksin COVID-19.

    Peguam, Norfazilah Jaafar, yang mewakili Lokman, ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah juga mengarahkan Khairy memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

    “Selain itu, kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutari (jika ada) pada 21 Mac,” katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Puteri Nursheila Rahimi hari ini.

    Pada 17 Feb lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 3 Feb 2022 dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan.

    Khairy, 46, yang menfailkan saman terhadap Lokman pada 25 Jan lepas, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

    Beliau juga memohon perintah mahkamah agar defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

    Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

    Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

    Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras. – BERNAMA

  • ‘’Sokong Ismail Sabri jadi PM keputusan luar biasa’’ – Muhyiddin

    ‘’Sokong Ismail Sabri jadi PM keputusan luar biasa’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan beliau menyokong Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah keputusan luar biasa.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia memandangkan beliau mengangkat inidividu daripada parti yang menjatuhkannya daripada jawatan Perdana Menteri.

    ‘’Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO. Mana pernah Naib Presiden UMNO diangkat jadi Perdana Menteri. Timbalan Presiden UMNO pun tak pernah jadi Perdana Menteri. Tetapi kerana apa? Kerana situasi dan keadaan yang luar biasa.

    ‘’Keduanya, kebimbangan saya kalau tak buat sebegitu, mungkin akan ada orang lain yang sebahagian besar rakyat tak suka menjadi Perdana Menteri atas kesilapan kita. Saya tak payah sebut siapa,’’ katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

    Muhyiddin menegaskan, bagi mengelakkan keadaan itu, beliau telah memanggil kesemua pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan mencadangkan supaya Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

    ‘’Sebabnya beliau ini tidak bersekongkol dengan orang yang dikatakan kluster mahkamah. Saya lantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    ‘’Ini soal negara.Jadi oleh sebab itu bagi tujuan mengekalkan setidak-tidaknya hampir 95 peratus Kabinet kerajaan yang dahulu saya pimpin itu dalam bentuk kerajaan baru walaupun BN mengetuai, PN sanggup membantu,’’ katanya.

    Mengenai kemungkinan pemimpin BN mendesak Perdana Menteri mengadakan PRU-15 jika menang di PRN Johor, Muhyiddin berkata, antara perjanjian PN dengan Ismail Sabri ialah beliau mesti berunding dengan gabungan itu untuk menentukan tarikh pilihan raya tersebut, walaupun kuasa preprogatif adalah Perdana Menteri jika ikut Perlembagaan.

    ‘’Tetapi kalau beliau berada di sini kerana sokongan kami, maka sewajarnya ada perbincangan bilakah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya secara bersama. Namun beliau berkemungkinan berhadapan dengan masalah dalaman parti. Ini antara perkara yang mungkin orang tidak tahu,’’ katanya.

  • ”Saya ada maruah, ada harga diri…saya bukan bacul” – Muhyiddin

    ”Saya ada maruah, ada harga diri…saya bukan bacul” – Muhyiddin

    *Muhyiddin jelas kenapa beliau ‘serang’ Najib, Zahid

    ‘’Jangan main-main denga saya tuduh tentu arah.Saya ada maruah, saya ada harga diri, saya bukan bacul.’’

    Itulah kenyataan tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjelaskan kenapa baru sekarang beliau bertindak ‘menyerang’ pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Dalam wawancara bersama Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika memegang jawatan tersebut, beliau lebih memahami kehendak dan keutamaan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan atas sebab itu, tidak banyak kenyataan politik dikeluarkan beliau ketika itu.

    ‘’Saya tidak bodoh. Saya sudah lebih 40 tahun berkhidmat dalam politik dan kerajaan serta memahami pada saat itu (krisis pandemik), keutamaan perlu diberikan kepada rakyat yang sedang menderita.  Jadi inilah apa yang saya buat, saya tumpu untuk bekerja pada waktu itu tapi saya tunggu (untuk serang balas).

    ‘’Sekarang saya tidak ada apa-apa jawatan. Dalam Majlis Pemulihan Negara (PN) pun saya hanya seorang pengerusi yang beri nasihat dan mengesyorkan cadangan kepada kerajaan. Jadi jangan main-main dengan saya, tuduh tidak tentu arah. Saya ada maruah, saya ada harga diri, saya bukan bacul,’’ tegasnya.

    Muhyiddin berkata, walaupun tidak selesa namun beliau terpaksa menjawab setiap dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana tidak boleh lagi berdiam diri apabila ada pihak menuduhnya sebagai pengkhianat dan melakukan perkara tidak betul.

    ‘’Saya kata ini tak boleh jadi, kerana saya ada maruah dan harga diri. Saya tidak buat macam Najib. Beliau sudah melakukan banyak kesalahan tetapi cara Najib cakap itu macam beliau tidak buat apa-apa kesalahan.

    ‘’Sebab itu saya ambil kesempatan untuk menjelaskan sekarang. Bukan saya kata sengaja hendak berbuat begitu tetapi masanya sudah tiba untuk respons kepada tuduhan-tuduhan, fitnah dan macam-macam perkara palsu terhadap saya. Saya bukan begitu. Ramai orang tahu saya tidak rasuah, tetapi kamu (Najib) rasuah,’’ tegas beliau lagi.

    Bagaimanapun Muhyiddin mengakui beliau kadang kala terfikir, tindakan memberi reaksi balas terhadap setiap dakwaan Najib dan Ahmad Zahid hanya membazirkan masa.

    Ujarnya lagi, tindakan sebegitu mungkin sekadar menarik minta pihak tertentu termasuk media untuk melihat beliau terus ‘bergaduh’ dengan segelintir pemimpin ‘kluster mahkamah’.

    ‘’Saya tidak fikir tindakan saya itu luar biasa.Kalau ada tuduhan dan fitnah terhadap saya yang tidak berasas, saya kena jelaskan. Itu yang saya buat sekarang,’’ katanya.

    Mengimbau kembali cabaran ketika menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau kerap menghadap Yang di-Pertuan Agong dan meluahkan rasa tidak selesa dipilih tanpa menerima mandat rakyat.

    ‘’Bagaimanapun Seri Paduk menjelaskan keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk pilihan raya (umum) diadakan kerana masalah Covid-19 dan saya harus bertanggugjawab membela nasib rakyat terkesan,’’ katanya.

    Muhyiddin menjelaskan, proses pembentukan Kerajaan PN melalui sokongan majoriti ahli Parlimen terpaksa dilakukann disebabkan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan secara mengejut.

    ‘’Untuk menyelamatkan negara daripada krisis (politik dan pandemik Covid-19), kita (UMNO-Pas-Bersatu) bersetuju membentuk kerajaan. Sewajarnya pentadbiran Kerajaan PN terus berjalan dan tidak terganggu.

    ‘’Malangnya kerana saya tidak tunduk kepada tuntutan mereka (sebilangan pemimpin kluster mahkamah), saya dijatuhkan. Ini saya dah sebut berbulan-bulan,’’ katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin mendedahkan beliau tidak boleh berkompromi untuk campur tangan dalam kes pendakwaan ke atas Ahmad Zahid dan Najib Tun Razak walaupun berasa ‘kasihan dan simpati’ kerana jika beliau campur tangan akhirnya rakyat akan tahu Kerajaan PN ada ‘buat kerja di belakang’ dalam mengetepikan kes mereka.

  • Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    SEORANG penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lepas.

    Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

    “Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi,” katanya.

    Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA

  • Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    BARISAN Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Mereka berkata, dalam rakaman percakapan beliau kepada EAIC, beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam PDRM.

    “Selain itu , beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali dan pesuruhjaya-pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’ Hara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

    EAIC merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid Bador dilaporkan dalam media yang mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah “cetek dan tidak betul”.

    Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati bahawa:

    (a) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media;

    (b) beliau selaku Ketua Polis Negara sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media;

    (c) sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan; dan

    (d) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Mereka menambah, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

    “Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini,” jelas mereka.

  • Peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati – Agong

    Peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati – Agong

    PERALIHAN Malaysia menuju ke fasa endemik COVID-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Seri Paduka bertitah, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan COVID-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

    Titah Seri Paduka, sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.

    “Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

    “Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

    Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

    “Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.

    Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

    Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

    “Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

    “Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

  • Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    JUMLAH mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 11,137 orang berbanding 6,963 orang pada pukul 8 malam tadi.

    Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak 3,177 keluarga terjejas ditempatkan di 157 PPS yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, lapor Sinar Harian.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya memaklumkan, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas apabila seramai 3,026 mangsa dari 827 keluarga sudah dipindahkan ke 22 PPS yang telah diaktifkan di derah tersebut.

    Menurut kenyataan itu, mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu pula kini seramai 2,946 orang membabitkan 950 keluarga dan semua mereka ditempatkan di 27 PPS yang diaktifkan.

    Katanya, bagi daerah Besut, sebanyak 44 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 2,187 mangsa yang terjejas banjir diikuti Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang),” katanya.

    “Jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus juga bertambah dengan 407 penduduk daripada 116 keluarga terjejas kini dipindahkan di lapan
    PPS susulan kenaikan air di kawasan kediaman masing-masing.

    “Sebanyak dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 53 mangsa yang terjejas manakala di Marang, keadaan banjir di daerah itu tidak berubah dengan satu PPS kekal dibuka di sana bagi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga,” jelas kenyataan itu.

    Sementara itu, keadaan cuaca di Hulu Terengganu sekarang masih hujan manakala Setiu, Marang dan Besut hujan renyai, di Dungun dan Kemaman pula mendung manakala Kuala Terengganu pula cuaca kelihatan cerah.

  • Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    BANJIR di Kelantan yang berlaku di penghujung musim tengkujuh kini sudah meragut dua nyawa, apabila seorang remaja menjadi korban bencana itu malam tadi.

    Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, yang dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, ditemukan pada pukul 10 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),50 meter daripada lokasi terakhir, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris Jumaat lalu, ditemui lemas pukul 7 petang semalam.

    Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta air.

    Menurut Zainal, ketika banjir melanda, orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat air selain ada yang bermain air yang dikhuatiri boleh mengundang padah.

    “Setiap kali berlakunya banjir, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan tidak bermain air yang boleh menyebabkan berlaku tragedi.

    “Ini kerana beberapa daerah kita lihat arus banjir sangat deras dan situasi itu sangat membahayakan sekiranya orang ramai bersikap berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan biasa,” katanya.

    Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,439 orang pagi ini, berbanding 6,316 mangsa petang semalam.

    Kesemua mangsa membabitkan 2,745 keluarga itu ditempatkan di 70 pusat pemindahan di tujuh daerah.

  • Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang menaiki trak membawa bantuan mangsa banjir bersama-sama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu terbalik dan hampir tenggelam kerana dibadai arus deras.

    Semasa kejadian pada pukul 2.15 petang tadi, wakil rakyat Pas itu bersama-sama 13 anggota APM menyertai operasi menghantar bantuan makanan mangsa banjir di Kampung Bukit Biah, di sini.

    Maliaman ketika dihubungi mengakui masih terkejut dengan insiden itu namun tidak mematahkan semangat untuk terus bersama rakyat yang kini ditimpa kesusahan.

    “Saya merasai pengalaman yang mendebarkan kerana lori yang saya dinaiki bersama anggota APM dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan betul-betul di sungai Kampung Lembah.

    “Waktu tu saya hanya mampu berdoa agar dimudahkan urusan kerana ketika itu arus air cukup laju dan hampir menenggelamkan lori yang kami naiki,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Maliaman bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan mereka berjaya diselamatkan anggota penyelamat yang tiba bersama bot 15 minit kemudian.

    “Saya bersyukur semuanya selamat namun agak terkilan kerana barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semuanya dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

    “Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi,” ujarnya.

    Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Ahad berkata, mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 6,963 orang sehingga jam 8 malam ini.

  • Pegawai polis maut dipercayai tembak diri sendiri

    Pegawai polis maut dipercayai tembak diri sendiri

    SEORANG pegawai polis yang bertugas di Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul maut dipercayai menembak diri di kepala dengan menggunakan pistol di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis selepas Pusat Kawalan IPD Sentul menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 kira-kira pukul 3.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki yang berumur 35 tahun merupakan seorang pegawai kanan yang kini sedang berkhidmat di IPD Dang Wangi.

    “Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri di bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol.

    “Pihak ambulans telah sampai ke tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206,” katanya.