Category: Semasa

  • Calon SPM positif Covid-19, boleh duduki sidang kedua April ini

    Calon SPM positif Covid-19, boleh duduki sidang kedua April ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang didapati positif Covid-19 atau sedang menjalani tempoh kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan itu pada sidang kedua April ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, mereka tidak perlu bimbang dan hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada sekolah masing-masing.

    “Ini harus jelas. Sekiranya murid ini didapati positif maka mereka perlu buat surat deklarasi kepada pengetua atau pihak sekolah menulis bahawa mereka positif.

    “Pengetua akan sahkan sama ada benar murid itu positif atau tunjukkan bukti MySejahtera dia, selain ada tiga borang deklarasi MySejahtera dan surat kepada pengetua,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di
    di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    Beliau berkata, bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah baru mendapat maklumat ada calon positif, pelajar berkenaan akan diletakkan dalam bilik khas di sekolah berkenaan.

    Begitu juga katanya, bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan.

    “Bagaimanapun calon perlu mengemukakan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM). Sama seperti mereka yang positif,” katanya.

    Dr Radzi memberitahu, seramai 407,097 pelajar yang menduduki SPM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 50,317 calon menduduki SPM di Johor.

    Sementara itu, beliau berkata, SPM 2021 berlangsung dalam skala lebih besar dan dilaksanakan dengan menggunakan hampir semua kelas di sekolah terbabit.

    “Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM berlangsung dengan teratur dan selamat,” katanya.

  • Kerajaan jamin guna semua agensi berkaitan siasat kes 1MDB

    Kerajaan jamin guna semua agensi berkaitan siasat kes 1MDB

    KERAJAAN memberi jaminan untuk menyiasat sedalam-dalamnya kes penyelewengan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui semua agensi berkaitan.

    Jaminan itu diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkata perlunya ‘political will’ atau tekad politik untuk melaksanakan siasatan kes tersebut.

    “Seperti kata YB Port Dickson tadi (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tadi perlu adanya tekad politik, bukan hanya di pihak pembangkang tetapi juga di pihak kerajaan. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga berkata, kita tidak boleh ragu, kalau betul memang bersalah kita akan pastikan mereka diheret ke kehakiman,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan institusi Malaysia khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1MDB di sesi Kamar Khas, persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Mas Ermieyati berkata dengan pendedahan siasatan dan perbicaraan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), ia dapat membantu kerajaan dalam usaha memberikan lagi jawapan atau penemuan lain berkaitan siasatan 1MDB. 

    Malah katanya, sebaik sahaja pendedahan oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dalam perbicaraan di New York baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tindakan segera dengan memanggil seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit  pada 24 Feb lepas untuk mendapatkan keterangan mengenai dakwaan wanita itu telah menerima pemberian dengan menggunakan dana yang mungkin berkaitan dengan 1MDB.

    “Kita masih lagi dalam siasatan, malah kita juga akan memanggil beberapa individu lagi untuk kita siasat sedalamnya, seperti kita tahu kes 1MDB ini telah menghantui rakyat Malaysia, menghantui seluruh negara, kerana ia melibatkan kuasa dunia yang agak besar, sebab itulah kita nyatakan sini kita harus serius dalam memastikan keadilan ini dapat dipertahankan,” katanya.

    Mengenai kekangan mendapatkan maklumat di luar negara, Mas Ermieyati berkata menjadi dasar pihak DOJ Amerika Syarikat untuk tidak berkongsi maklumat mengenai siasatan 1MDB dengan Malaysia.

    Justeru Mas Ermieyati berkata kerajaan komited untuk menggunakan segenap mekanisme melalui saluran diplomatik dan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk mendapatkan maklumat untuk diguna pakai menyiasat mendapatkan bukti-bukti tambahan untuk membantu siasatan skandal syarikat pelaburan strategik itu.

    Sementara itu, Mas Ermieyati berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlibat dalam skandal tersebut tidak pernah dihentikan.

    Beliau juga berkata pada November lepas, SPRM telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pemulangan sejumlah US$15.4 juta berkaitan kes 1MDB yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman dan Samuel Goh pada 14 Sept 2021.

    Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap Tawfiq dan satu kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14 Okt 2021 dan 07 Okt 2021.

    “Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada PDRM pada 21 Dis 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.  

    “Memandangkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara,” katanya.

    SPRM juga katanya, memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang ketika ini memberi tumpuan aset di negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.

    Terdahulu, Anwar ketika membahaskan usul itu mendesak siasatan secara menyeluruh melibatkan institusi kewangan serta semua agensi penyiasatan terlibat dilakukan segera berikutan pendedahan terbaharu oleh Tim Leissner itu.

    Ketua Pembangkang itu turut menuntut penjelasan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM dan PDRM mengenai pendedahan itu.

    “Kita minta pertamanya lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini. Kita juga mahu penjelasan, tindakan, maklumat yang diperoleh serta tindakan terkini berkaitan kes 1MDB oleh kesemua agensi tadi,” katanya ketika membahaskan usul itu.

    Usul berkenaan turut dibahas berapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Mohamad Sabu (PH-Kota Raja),  Lim Guang Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jerlun), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Pantai Dalam) dan Sivarasa K Rasiah (PH-Sungai Buloh). – Bernama

  • Polis tahan penganggur, rampas dadah RM1.2 juta

    Polis tahan penganggur, rampas dadah RM1.2 juta

    POLIS menahan seorang penganggur dan merampas sejumlah bungkusan beras berisi dadah jenis syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan, Sabtu lalu.

    Dadah itu dirampas hasil operasi dilancarkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

    Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki terbabit yang berusia 27 tahun disyaki pengedar dadah ditahan.

    Katanya, serbuan pertama dilakukan pukul 1.30 tengah hari di kaki lima sebuah kafe di Jalan Penrissen, Kuching.

    “Hasil pemeriksaan dijalankan terhadap suspek, membawa kepada penemuan enam bungkusan beras yang setiap satu mengandungi plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,098 gram (g).

    “Susulan itu, polis dibawa suspek ke sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi pada pukul 2 petang hari sama sebelum menemui sebuah kotak mengandungi enam lagi beg plastik putih dan hijau.

    “Setiap beg plastik itu mengandungi peket plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,096g,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

    Seterusnya, Mancha berkata, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang, pukul 3 petang hari sama.

    “Di lokasi ketiga itu, polis menemui sebuah kotak mengandungi 13 peket plastik lut sinar berisi dadah dipercayai ketamin seberat 13.4g serta syabu 664g di dalam bilik tidur.

    “Secara keseluruhan, polis merampas sejumlah 25.5 kilogram dadah, sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai RM30,000 dan sebuah motosikal bernilai RM8,000 dalam tiga serbuan itu,” katanya.

    Beliau berkata, dadah dirampas itu dikenal pasti dihantar dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier, dan polis sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan, termasuk sindiket disyaki terbabit.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan sekurang-kurang 15 sebatan,” katanya.

  • Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepi perintah penggantungan bersyarat

    Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepi perintah penggantungan bersyarat

    IBU Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya yang antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara membenarkan rayuan Aminah Abdullah, 87, untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat yang diberikan Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu kepada Nur Anis Jamaludin dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

    Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah membuat perintah itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd dan lain-lain menentang Koperasi Serbausaha Makmur Bhd yang memutuskan pemohon perlu membuktikan terdapat keadaan khas sebelum penggantungan dibenarkan.

    “Kami berpandangan tiada keadaan khas mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang dengan Datuk Supang Lian dan Datuk Nazlan Mohd Ghazali.

    Yaacob berkata, terdapat merit dalam rayuan Aminah, justeru mahkamah membenarkannya dengan kos RM10,000 terhadap Nur Anis dan Ikwan Hafiz.

    Dalam saman difailkan pada 3 Januari 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, gagal memasukkan saham Rantai Wawasan, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Sdn Bhd sebagai harta pusaka dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

    Penyataan tuntutan Aminah mendakwa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

    Pada 13 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah mendapatkan deklarasi bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai harta pusaka peninggalan arwah.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan enam juta saham Alpine Motion dan dua juta saham Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

    Pada 20 September tahun lalu, Nur Anis and Ikwan Hafiz memperoleh perintah penggantungan bersyarat daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu pelupusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai sebahagian harta pusaka Jamaludin.

    Perintah penggantungan bersyarat itu antara lain melarang Aminah atau peguamnya daripada menunjukkan atau mendedahkan dan menyediakan afidavit berkaitan akaun terbabit atau mana-mana bahagian daripadanya kepada pihak ketiga serta mengehadkan afidavit berkaitan akaun terbabit kepada Aminah atau peguamnya, Tetuan Wan Merican Hamzah & Sheikh sahaja.

    Aminah turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan deklarasi saham dua lagi syarikat dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

    Rayuan berhubung isu itu dijadualkan didengar Mahkamah Rayuan pada 14 Mac depan.

    Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas pada 4 April 2015.

    Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, manakala peguam S Suhendran mewakili Nur Anis serta peguam Frank Wong mewakili Ikhwan Hafiz.– Bernama

  • Rasuah pegawai TNB:Enam anggota sindiket perlombongan bitcoin direman

    Rasuah pegawai TNB:Enam anggota sindiket perlombongan bitcoin direman

    ENAM anggota satu sindiket direman empat hari bermula Selasa kerana disyaki memberi rasuah secara bulanan antara RM500 hingga RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara dan Zon Selatan.

    Sumber berkata, pemberian itu dipercayai sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana melakukan aktiviti mencuri elektrik.

    “Ia dipercayai membabitkan lima suspek bagi perlombongan bitcoin dan seorang operasi kilang kayu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Kesemua mereka yang berumur antara 29 tahun hingga 67 tahun diberkas di beberapa lokasi di sekitar Perak, dalam Ops Power yang dijalankan SPRM pada Isnin.

    Difahamkan jumlah keseluruhan wang rasuah yang telah diberikan kepada pegawai TNB itu ialah RM 153,500.

    Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan kesemua suspek berkenaan.

  • Akaun dibekukan: 9 individu, 3 syarikat saman CIMB

    Akaun dibekukan: 9 individu, 3 syarikat saman CIMB

    SEMBILAN individu dan tiga syarikat yang merupakan pemegang akaun CIMB Bank memfailkan saman terhadap bank itu berhubung pembekuan akaun simpanan dan akaun semasa mereka pada Januari lepas atas alasan disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan melibatkan akaun-akaun tersebut.

    Kesemua plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Nazmi Zaini Chambers di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dengan menamakan CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama dan kedua.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif-plaintif yang merupakan pendeposit akaun simpanan dan akaun semasa yang disediakan oleh defendan-defendan itu mendakwa mereka mengetahui akaun-akaun tersebut dibekukan oleh kedua-dua defendan pada 26 Jan hingga 28 Jan 2022.

    Mereka mendakwa, setelah mengetahui hal tersebut, pada 31 Jan hingga 4 Feb 2022, mereka telah menghubungi cawangan kedua-dua defendan bagi mendapatkan penjelasan dan telah dimaklumkan bahawa mereka disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan yang melibatkan akaun-akaun tersebut.

    “Plaintif-plaintif juga dimaklumkan bahawa jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi tersebut dan kesemua plaintif dimaklumkan sistem perbankan atas talian defendan-defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal,” dakwa kesemua plaintif.

    Plaintif-plaintif pada setiap masa yang material mendakwa mereka tidak pernah terlibat atau menjalankan transaksi yang membenarkan defendan-defendan untuk membekukan atau menahan akaun-akaun tersebut.

    “Tindakan defendan-defendan membeku atau menahan akaun-akaun tersebut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat Akaun Simpanan dan Terma dan Syarat Akaun Semasa adalah suatu kemungkiran kontrak antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan.

    “Tindakan pembekuan atau penahanan akaun-akaun tersebut oleh defendan-defendan, menyebabkan kesemua plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh mengguna pakai akaun-akaun tersebut,” dakwa mereka.

    Selain itu, kesemua plaintif mendakwa defendan-defendan mempunyai tanggungjawab dan tugas berhati-hati untuk memastikan sebarang tindakan pihak ketiga tidak menjejaskan hak serta kedudukan mereka sebagai pendeposit kepada institusi kewangan itu.

    Dakwa plaintif, defendan-defendan telah mengabaikan tugasnya apabila membenarkan kecuaian pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang yang menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan dan pendeposit.

    Kesemua plaintif memohon antaranya deklarasi bahawa defendan-defendan telah memungkiri terma dan syarat akaun simpanan serta akaun semasa apabila tindakan defendan-defendan membekukan akaun-akaun tersebut tanpa sebab yang dibenarkan di sisi undang-undang.

    Sementara itu, peguam Nazmi Mohd Zaini yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi pemberita berkata, pengurusan kes itu ditetapkan 15 Mac ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi S. Malarselvi. – BERNAMA

  • Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    Adik Anwar Ibrahim meninggal dunia hari ini

    ADIK kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rusli meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang, hari ini.

    Presiden PKR yang juga ketua pembangkang itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi laman Twitter hari ini.

    “Adik saya Rusli Ibrahim baru sahaja menyahut panggilan ilahi di Hospital Selayang sebentar tadi. Mohon teman-teman mendoakan rohnya diberikan tempat terbaik oleh Yang Maha Esa,” katanya.

    Difahamkan, Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 2.20 petang tadi selepas berada di Hospital Selayang sejak beberapa minggu yang lepas dan jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang, malam ini. – BERNAMA

  • 1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

    1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu, dua setiausaha sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam urusan penerbitan bon ketiga di bawah Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 1MDB.

    Leissner yang mendedahkan perkara itumenjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu yang berdepan tuduhan melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

    Dia menjelaskan bon ketiga itu bergantung kepada surat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan bukan berdasarkan jaminan daripada International Petroleum Investment Companya (IPIC) seperti dua bon yang pertama yang dirujuk sebagai Projek Magnolia dan Projek Maximus.

    Leissner memaklumkan dia mengadakan beberapa pertemuan dengan Azlin Alias ​​dan seorang lagi setiausaha sulit bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Nazaruddin selain Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan untuk tujuan mendapatkan surat sokongan tersebut.

    Menurutnya, satu pertemuan turut diadakan bersama-sama Najib di pejabat rasminya di Putrajaya untuk memperoleh surat sokongan yang ditandatangani oleh beliau.

    Jelasnya, Low Taek Jho atau Jho Low juga memaklumkan kepadanya dan Roger Ng bahawa mereka tidak akan menerima sebarang ‘imbuhan’ seperti dua projek pertama atas alasan dana dikumpulkan Projek Catalyze akan digunakan untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

    “Jho Low mendakwa dana yang dikumpulkan Projek Catalyze perlu digunakan untuk membiayai pilihan raya tersebut. Dia juga nyatakan memberi ‘sumbangan’ kepada pengundi sebagai ‘amalan biasa’ di Malaysia.

    “Saya tidak tahu ke mana aliran sebenar wang tersebut atau sama ada ia diterima secara peribadi oleh Najib,” ujarnya sambil menambah tentang penglibatan Azlin apabila Goldman Sachs berusaha melupuskan bon AS$700 juta (RM3 bilion) yang tidak dapat dijual firma itu selepas transaksi Projek Catalyze.

    Leissner dan Roger Ng turut menghubungi Jho Low untuk melihat sama ada dia boleh membantu menjual beberapa bon tersebut kepada institusi berkaitan kerajaan di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

    Difahamkan, salah satu bukti yang dikemukakan dalam kes itu ialah bebenang e-mel yang dipanjangkan Leissner kepada Roger Ng pada 6 November 2013 yang turut mengandungi e-mel pertama yang telah dihantar oleh Jho Low kepada Azlin.

    Leissner turut mendedahkan bahawa dia dan Roger Ng masing-masing menerima ‘imbuhan’ berjumlah AS$17.5 juta (RM73.4 juta) untuk penglibatan mereka dalam terbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion).

    Dia turut berkata mereka telah menerima ‘imbuhan’ untuk bon kedua di bawah Projek Maximus, juga bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion) walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar yang diterima oleh mereka.

    Ketika terlibat urus niaga ‘skim haram’ itu, Leissner mengakui dia bimbang dengan persepsi negatif media, namun berada sedikit lega selepas Najib menang pada PRU13. – Agensi

  • Saman Najib terhadap kerajaan serangan sampingan dalam kes jenayahnya

    Saman Najib terhadap kerajaan serangan sampingan dalam kes jenayahnya

    KERAJAAN Malaysia mendakwa saman RM1.9 juta yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kerajaan dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah satu tindakan yang menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar dibatalkan.

    Saman terbabit berkaitan dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya di mahkamah dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Dalam afidavit jawapan difailkan kerajaan bagi membatalkan saman Najib yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan bahawa tuntutan saman sivil Najib itu adalah satu serangan sampingan terhadap perbicaraannya di mahkamah jenayah.

    “Saya sesungguhnya percaya tindakan plaintif (Najib) ini menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan sebagai serangan sampingan terhadap pertuduhan jenayah terhadapnya, yang dibuat dalam bidang kuasa berbeza (mahkamah sivil),” kata Ahmad Akram dalam afidavit itu yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan.

    Menurutnya, dakwaan Najib bahawa terdapat perkembangan baharu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, perlu dibangkitkan dalam perbicaraan jenayah dan bukannya melalui saman.

    Pada 22 Okt tahun lepas, Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

    Sementara itu, Thomas dalam afidavit jawapannya pada 3 Feb lepas, menegaskan beliau menetapkan pertuduhan berkaitan 1MDB terhadap Najib selepas yakin bahawa ada kes yang kukuh.

    Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan mengikut undang-undang dan amalan sedia ada.

    “Itulah sahaja pertimbangannya… Dakwaan bahawa saya membentuk pendapat mengenai Najib sudah bersalah sebelum saya memegang jawatan sebagai Peguam Negara lagi, adalah tidak benar.

    Beliau berkata, dalam apa jua keadaan, ia juga tidak relevan dengan kuasa budi bicaranya (untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai suatu kesalahan) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    “Begitu juga dalam apa jua keadaan, pendapat peribadi saya tidak relevan dengan penggunaan budi bicara saya untuk menetapkan pertuduhan terhadap beliau, salah satunya di mana beliau sudah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” dakwa Thomas.

    Mahkamah Tinggi menetapkan 15 April untuk pengurusan kes itu. – BERNAMA

  • SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset di dalam dan luar negara bernilai kira-kira AS$10 juta milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat televisyen bersatelit susulan pendedahan terbaharu dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan meneruskan usaha untuk mengesan dan membantu mengembalikan wang-wang yang berkaitan kepada negara.

    “Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi nama-nama lain yang terlibat. Perkara lain yang akan terlibat dalam hal ini ialah kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media khas Op Power di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

    Isu berkaitan sebuah rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu disebut oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner pada perbicaraan di Amerika Syarikat dan mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Selain itu, Azam berkata, SPRM akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat televisyen bersatelit itu untuk memberi keterangan jika terdapat elemen dan perkembangan baharu.

    “Kami akan memanggilnya jika terdapat keperluan dan akan memanggil individu-individu lain yang berkaitan,” katanya.

    Pada Khamis, SPRM mengambil keterangan wanita terbabit selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan dia sekali lagi dipanggil semalam dan proses mengambil keterangan berlangsung selama tiga jam.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang didakwa terlibat dalam isu integriti, Azam berkata kertas siasatan telah siap dan dalam peringkat perbincangan bersama Pejabat Peguam Negera.

    “Tindakan akan diambil terhadap kesemua mereka minggu hadapan,” katanya.

    Pada 5 Feb, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Feb. – BERNAMA