Category: Semasa

  • Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

    “Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

    “Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my,” kata Radzi. – BERNAMA

  • PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    CUACA di seluruh negeri pada waktu pagi pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini diramalkan cerah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, ribut petir pula dijangka berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

    Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 33 darjah Celsius.

    Seramai 239 calon bertanding pada PRN Johor di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya turut menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti tertera dalam aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA

  • Pemandu lori didakwa atas tuduhan memandu secara bahaya sebabkan kematian

    Pemandu lori didakwa atas tuduhan memandu secara bahaya sebabkan kematian

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu lori berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret 1 dan 2 di Sungai Petani hari ini, kerana memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal, tiga hari lalu.

    Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik
    pertuduhan dibacakan terhadapnya di kedua-dua mahkamah tersebut.

    Di Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa memandu lori secara merbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

    Pertuduhan dihadapinya itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Khairul Azreem Mamat di depan Majistret, Fazlina Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Haslina Hasbullah.

    Tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Majistret 2 bagi berdepan pertuduhan memandu lori secara merbahaya hingga menyebabkan kematian Mohamad Amirul Ismail, 28.

    Pertuduhan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Hamizah Mat Shah di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam sama.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dalam daerah Kuala Muda, Kedah kira-kira pukul 2.40 petang, 7 Mac lalu.

    Kesemua pertuduhan itu dibuat dibuat mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan tertuduh boleh dipenjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan didenda antara RM20,000 hingga RM50,000.

    Terdahulu, Majistret Fazlina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

    Majistret Nadhirah pula kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM8,000 dan tertuduh diarahkan untuk melapor diri di balai polisterdekat, sekali setiap bulan.

    Kedua-dua majistret tersebut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 Mac depan sementara menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Pupakom) serta laporan bedah siasat kedua-dua individu yang meninggal dunia.

    Pada Isnin lalu, sembilan motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat akibat hujan lebat dirempuh sebuah lori yang dipercayai dalam perjalan dari Kelantan ke Kedah dan Pulau Pinang bagi membuat penghantaran barang.

    Kemalangan itu mengakibatkan dua penunggang motosikal maut manaka tujuh yang lain cedera.

  • 14 PATI Indonesia cuba masuk masuk Malaysia ikut jalan laut ditahan

    14 PATI Indonesia cuba masuk masuk Malaysia ikut jalan laut ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara ini pagi semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Pertiwi menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 pagi.

    Menurut beliau, hasil maklumat tersebut anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menahan bot kayu terbabit yang dipercayai dari Indonesia bersama 14  penumpang di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang.

    “Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, empat individu dalam bot berkenaan telah bertindak terjun laut  untuk melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas diselamatkan dan kemudian ditahan bersama PATI yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati bot yang dinaiki oleh 14 lelaki dipercayai warga Indonesia berumur antara 21 hingga 51 tahun termasuk tekong itu dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh dan cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

    Sehubungan itu jelasnya, kesemua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada komuniti maritim yang prihatin dalam menyalurkan maklumat atau aduan segera yang melibatkan aktiviti jenayah di persekitaran mereka dan berharap dapat dikekalkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut  atau sebarang kecemasan boleh disalurkan di talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    BEKAS rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku menerima sogokan AS$60 juta, menipu bank mengenai transaksi rasuahnya, dan dua kali memalsukan dokumen perceraian untuk mengahwini wanita lain.

    Memetik laporan MalaysiaNow, beliauialah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Roger Ng, bekas rakan sekerjanya di Goldman yang didakwa membantu dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 hingga 2014.

    Pada 2018, beliau mengaku bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

    Beliau juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya dalam perbicaraan mengenai kes melibatkan syarikat itu.

    Roger, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dan kini sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan Brooklyn.

    Sepanjang seminggu memberi keterangan di mahkamah, Leissner menyifatkan gaya hidupnya yang mewah selepas urus niaga melibatkan 1MDB telah menjadikannya sebagai seorang “bintang” di bank itu.

    Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kepada mahkamah langkah-langkah yang diambilnya bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa atas jenayah yang dilakukannya.

    Beliau juga berharap dapat menebus kesalahan yang dilakukannya.

    “Ia bukanlah masa yang membanggakan dalam hidup saya, pada masa itu saya mahu dapatkan lebih banyak wang, walaupun saya sudah dibayar dengan baik,” katanya.

    Pertuduhan terhadap Ng dijalankan selepas siasatan dilakukan terhadap kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang dijual oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

    Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion daripada jumlah jualan itu telah diselewengkan oleh pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan subahat mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

    Pada 2020, Goldman bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengaku bersalah di mahkamah AS.

    Bank pelaburan antarabangsa itu berkata, pada masa penyelewengan berlaku ia tidak “meneliti dengan cermat pasukan pegawainya dalam rundingan urus niaga yang dijalankan.”

    Leissner berkata, Roger yang merupakan pegawai Goldman di Malaysia, secara rahsia menjalin hubungan dengan dalang penyelewengan dana itu di luar Goldman, dan menerima sogokan.

    Bagaimanapun, peguam Roger, Marc Agnifilo mengatakan Leissner berbohong dalam mengaitkan anak guamnya dengan jenayah itu bagi mengurangkan sabitan hukuman.

    Namun, pihak pendakwaan berkata dakwaan Leissner disokong oleh bukti lain.

    Leissner berkata, beliau membelanjakan wang sogokan itu membeli kapal layar bernilai AS$15 juta, pangsapuri di London dan New York, dan membuat pelaburan dalam pasukan bola sepak Itali, Inter Milan.

    Pada 2013, beliau bertemu Kimora Lee Simmons, seorang model AS dan bekas isteri penerbit muzik Russell Simmons.

    Mereka berdua menetapkan tarikh perkahwinan sebelum Leissner memuktamadkan perceraiannya dengan seorang lagi wanita.

    Bagi membolehkan perkahwinan itu dijalankan, Leissner memalsukan dokumen perceraiannya – kali kedua dia melakukan tindakan sedemikian.

    Leissner berkata, akibat perbuatannya, beliau bimbang dirinya akan ditangkap.

    Semasa menyiapkan rundingan urus niaga bon 1MDB terakhir beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013, Leissner berkata beliau bimbang pembangkang memenanginya dan akan menyiasat perkara itu.

    Walaupun Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU-13 itu, Leissner berkata liputan akhbar yang kritikal mengenai 1MDB telah menyebabkan dirinya terus bimbang jika ditangkap.

    Pada Februari 2016, ejen FBI telah menghantar perintah sepina kepadanya.

    Berharap dapat memperolehi permit untuk tinggal di Los Angeles bersama keluarga barunya, Leissner berkata, beliau mengupah seorang peguam untuk memulakan kerjasama dengan kerajaan.

    Leissner bagaimanapun telah ditangkap pada Jun 2018.

    Menurutnya, pengakuan bersalah yang dilakukannya adalah untuk meringankan hukuman dan sedar peluangnya untuk tinggal di AS tidak dapat dilakukan.

    Kini, peguamnya berkata, Leissner dan Lee Simmons tinggal berjauhan.

    “Saya harap saya tidak perlu pergi menjalani hukuman penjara,” kata Leissner.

  • Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tebing sungai dipercayai tergelincir semasa membasuh motosikalnya di Estet Gemas Baru, Gemas, Segamat, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 6.56 petang sebelum 16 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak, operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki tersebut, G. Hematharshan, 19, digerakkan malam tadi.

    “Hasil pencarian secara ‘surface searching’ oleh pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), mangsa berjaya ditemui pada pukul 2.27 pagi pada jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

    “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 3.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    SEORANG lelaki meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika mencari kerang di muara Sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, semalam.

    Bagaimanapun mayat mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan telah dibawa ahli keluarga ke Pulau Banggi, Kudat.

    Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pitas pada pukul 1.30 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, dimaklumkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mengutip kerang di muara sungai berkenaan.

    “Bagaimanapun, menurut maklumat polis juga, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 5 petang hari yang sama dan dibawa ke Pulau Sibugo, Banggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya lagi, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan operasi ditamatkan pada pukul 4.30 petang Rabu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, usaha mengesan semua saksi berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

    “Setakat ini kejadian belum dapat disahkan dan hanya sekadar dakwaan.

    “Dipercayai mangsa yang terlibat seorang Palauh dan usaha mengesan saksi-saksi sedang dilakukan bagi mengesan di mana mayat dibawa,” katanya.

  • Perinci semula SOP perjalanan harian Malaysia-Singapura

    Perinci semula SOP perjalanan harian Malaysia-Singapura

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menyarankan agar kerajaan memperinci semula garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang-alik harian Malaysia-Singapura susulan pengumuman pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaiknya individu yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja tidak perlu menjalani kuarantin namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.

    “Kita nak mudahkan pembukaan sempadan supaya ekonomi kita akan tumbuh tapi kalau ada sekatan dan terlalu banyak peraturan termasuk ujian calitan, itu mungkin menghalang (pertumbuhan ekonomi).

    “Seboleh mungkin, untuk Johor-Singapura tidak perlu kuarantin, (tetapi) ikut peraturan dan SOP, harap langkah sebegini diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Dialog Agro bersama MPN di Batu Pahat hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai SOP perjalanan harian ke negara itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

    Muhyiddin, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata blok politik itu berikrar untuk merancakkan semula ekonomi Johor dengan membangunkan sektor Pertanian Agromakanan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata PN akan berusaha membangunkan sektor pertanian yang moden memandangkan Johor merupakan antara pengeluar utama bekalan makanan di negara ini.

    “Setakat ini, Johor menjadi pengeluar utama bekalan makanan berbanding negeri lain dan sektor pertanian berpotensi dibangunkan tapi perlu dibangunkan secara teknologi moden.

    “Dalam ikrar ini, ada perkara utama termasuk bantuan infrastruktur di sektor pertanian sama ada jalan, perparitan dan sebagainya… yang lepas sudah dibuat tapi untuk tingkatkan hasil pengeluaran, kita perlu berusaha dalam bidang itu,” katanya.

    PN membariskan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi pada PRN Johor.

    Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini. – BERNAMA

  • Mekanik edar ganja dijatuhi hukuman gantung sampai mati

    Mekanik edar ganja dijatuhi hukuman gantung sampai mati

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang mekanik atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 449 gram pada 2017.

    Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang bersidang di Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Izzat Asnawe Noor Azami, 26, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan hari ini.

    Beliau berkata sebaliknya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, lapor Berita Harian.

    Antara lain beliau berkata, keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten dan bersifat ‘difikirkan semula’ termasuk dalam soal pemilikan dadah dirampas dan rumah sewa tempat kejadian boleh diakses ramai orang.

    Mengikut pertuduhan pertama Izzat Asnawie didakwa mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah, No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada 1 Jun 2017 kira-kira 8.30 malam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) kerana memiliki masing-masing 166.5 gram dan 116.46 gram kanabis di tempat, masa dan tarikh sama.

    Untuk dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) kerana memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun.

    Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Jun 2017.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad, manakala tertuduh diwakili peguam R. Subash.

    Sepanjang perbicaraan bermula 17 Jun 2019, lapan saksi pendakwaan memberi keterangan, manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.