Seramai 201 orang bekas ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang telah ditamatkan perkhidmatan selepas penggulungan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd pada 7 Oktober 2019 telah dinafikan hak mereka untuk menikmati pampasan penamatan mengikut Perjanjian Kolektif (CA).
Bekas Pengerusi NUJ Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak berkata, perkara itu turut disahkan melalui Borang Penolakan Bukti Hutang yang diterima pada 4 Mac 2022.
“Kami tidak akan berdiam diri dan berharap rintihan ini, akan didengar oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin tanah air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Untuk rekod, NUJ telah memeterai satu perjanjian kolektif bersama dengan Utusan Melayu pada 3 November 2011 dan antara lain manfaat-manfaat yang boleh dinikmati oleh ahli kesatuan adalah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian kolektif tersebut termasuklah manfaat penamatan.
Beliau menambah, walaupun CA yang telah dimeterai tersebut telah diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan pada 2 November 2018 namun ia kini seolah-olah sekadar satu perjanjian lusuh yang tidak memberi makna kepada pekerja pekerja Utusan Melayu.
Mohd Taufek memberitahu, rata-rata perkembangan itu amat mengecewakan bekas pekerja dan ahli-ahli kesatuan yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama puluhan tahun demi melihat wadah yang telah menjadi penyampai maklumat kepada segenap lapisan masyarakat semenjak sebelum merdeka lagi terus kekal unggul.
“Namun kini, tiada kelihatan mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan Melayu.
“Bekas ahli NUJ ini akan meneruskan perjuangannya bagi mendapatkan hak sebagai pekerja yang telah berbakti sejak sekian lama dan perjuangan ini tentunya memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing demi kelangsungan hidup tambahan di saat-saat kecelaruan ekonomi yang semakin mencabar,” jelasnya.
Lebih 800 kakitangan Utusan Melayu apabila pengurusan syarikat penerbitan akhbar tertua di Malaysia di bawah bekas Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir itu membuat keputusan mengejut menutup operasi syarikat.
Mereka diberi notis yang sangat singkat dan diminta mengosongkan pejabat pada hari yang sama.
Selain itu, kira-kira 800 lagi bekas kakitangan yang memilih skim pemisahan sukarela (VSS) juga hidup menderita apabila pampasan yang sepatutnya dibayar secara ansuran dalam tempoh setahun tidak dilunaskan sepenuhnya apabila Utusan Melayu gulung tikar.
MAHKAMAH Rayuan Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom 30 Mac ini.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata pasport itu yang akan diserahkan kepada Mohd Isa selaku pemohon pada 14 Mac perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 16 April ini.
Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan Mohd Isa selepas mendengar hujahan peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.
Terdahulu, Wan Azmir dalam hujahan berkata anak guamnya perlu berangkat ke United Kingdom pada 26 Mac ini untuk menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya dan akan pulang ke Malaysia pada 9 April ini.
“Saya mohon pasport diserahkan kepada pemohon secepat mungkin kerana ia perlu diperbaharui. Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 9 April dan saya mohon pasport dikembalikan selewat-lewatnya 16 April,” katanya dan menambah bahawa pemohon telah menjaga anak tirinya itu sejak kecil.
Pada 3 Februari tahun lepas, Mohd Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.
Rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menerusi sidang video pada 11 Mei ini.
KAJIAN di lapangan oleh pelbagai pihak mendapati walaupun pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan berlangsung esok, namun kesemua mereka merumuskan Barisan Nasional (BN) akan menang selesa.
Seperti juga PRN Melaka, kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah dan perpecahan antara parti lawan sekali lagi akan ‘membantu’ parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid mencapai kemenangan.
Lanjutan itu, BN yang dilihat begitu yakin akan kembali secara solo memerintah Johor sudah bercakap soal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada wartawan di Tampoi, Ahmad Zahid berkata, pilihan raya umum tidak seharusnya ditangguhkan lebih lama lagi dan sebaik-baiknya diadakan selepas berakhirnya PRN Johor, yang diyakini akan menang, supaya tidak kehilangan momentum.
Berikutan itu, Ahmad Zahid pada sidang media sama, menolak cadangan agar Putrajaya mengadakan satu lagi perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat bakal menggagalkan usahanya untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut.
Beliau berkata memorandum persefahaman kedua hanya akan memberi masa kepada PH untuk menyusun serta membaiki semula kelemahan mereka.
“Mereka ada masalah dalaman, ertinya mereka tak yakin, ertinya mereka rasa mereka ditolak rakyat. Pada hemat saya, jangan beri mereka peluang yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang yang secukupunya untuk mereka menyusun barisan mereka,’’ katanya.
Penulis bersetuju dari segi strategi ‘peperangan’, itulah cara terbaik bagi menumbangkan musuh yang dianggap tengah lemah, cuma apa yang menjadi persoalan kenapa Ahmad Zahid dilihat tidak mahu berterus terang apabila ditanya siapakah ‘poster boy’ BN bagi PRU-15?
Adakah ‘poster boy’ itu ialah beliau sendiri memandangkan beliau adalah Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau Pengerusi Jemaah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggap ‘wira’ BN jika parti menang selesa di Johor atau Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini adalah Perdana Menteri?
Menjawab soalan, jika Ismail Sabri akan menjadi pilihan sebagai ‘poster boy’, Ahmad Zahid menjawab; “Kita punyai sistem musyawarah dan kebersamaan barisan pembuat keputusan lazimnya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan bahawa parti harus berada di garisan hadapan dan ketika itu kita akan umumkan.’’
Penulis menghormati pendirian Ahmad Zahid yang menegaskan, “Hari ini hari Jumaat dan (esok) pilihan raya di Johor. Tidak sesuai saya umumkan siapakah ‘poster boy’ kita dalam PRU-15. Kita tunggu apabila parti membuat keputusan.’’
Bagaimanapun tidak salah untuk Ahmad Zahid menyatakan secara terbuka, siapa ‘ poster boy’ BN nanti kerana kali ini UMNO akan memasuki gelanggang PRU-15 dengan corak kepemimpinan agak berbeza berbanding sebelum ini. Ia memandangkan inilah kali pertama Perdana Menteri bukan Presiden UMNO atau Pengerusi BN.
Justeru siapa ‘poster boy’ perlu dinyatakan kepemimpinan UMNO bagi mengelakkan spekulasi bertebaran. Jika UMNO menang selesa di Johor, tiada siapa pun boleh menafikan Najib atau lebih popular dengan gelaran ‘bossku’ memainkan peranan penting menarik sokongan pengundi khususnya pengundi Cina kepada BN.
Dalam kempen yang dijalankan, ke mana sahaja Najib pergi, beliau akan disambut dengan meriah dan ada cakap-cakap BN terpaksa meminta Najib turut ke kawasan kelabu atau kawasan peluang BN 50/50 untuk meneutralkan keadaan. Jadi adakah Najib akan kembali menjadi ‘poster boy’ BN?
Bagaimanapun memandangkan Najib sudahpun didapati bersalah oleh dua mahkamah dalam kes SRC International dan kini dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan, mengikut Perlembagaan beliau hilang kelayakan untuk bertanding.
Ismail Sabri Yaakob
Namun begitu, ia tidak bermakna Najib tidak boleh memainkan peranan utama dalam memastikan kemenangan BN dalam PRU, mungkin juga beliau boleh menjadi Pengerusi BN bagi memilih calon-calon yang akan bertanding. Tetapi adakah Ahmad Zahid akan melepaskan jawatan itu kepada Najib memandang Ahmad Zahid adalah Presiden UMNO yang tradisinya juga menjadi Pengerusi BN?
Kalaulah Ahmad Zahid sendiri akan menjadi ‘poster boy’ adakah beliau akan berupaya atau mempunyai kekuatan dan aura untuk menarik sokogan rakyat kepada BN? Tambahan pula Ahmad Zahid sendiri masih mempunyai kes di mahkamah yang akan masuk ke peringkat membela diri?
Adakah mungkin Mohamad Hasan walaupun berada di kedudukan Timbalan Presiden UMNO akan dijadikan ‘poster boy’ memandangkan ramai yang berpendapat, beliau paling layak dan dilihat sesuai serta mampu menarik sokongan kepada BN.
Tambahan pula Mohamad Hasan memainkan peranan penting sebagai Pengarah Pilihan Raya di Melaka dan Johor. Biarpun tidak banyak publisiti namun beliau bergerak di belakang tabir termasuk menyelesaikan masalah di kawasan -kawasan ditandingi BN.
Malah sebelum itu dalam pilihan raya kecil, Tok Mat Hasan juga berjaya memimpin BN mencapai kemenangan ketika Ahmad Zahid bercuti menjalankan tugas Presiden UMNO dan Tok Mat Hasan sendiri menang selesa DUN Rantau?
Bagaimana pula dengan Ismail Sabri? Adakah beliau tidak akan dipilih sebagai poster boy walaupun Perdana Menteri? Adakah Ismail Sabri hanya akan menjadi Perdana Menteri caretaker ketika PRU berlangsung dan akan menyerahkan jawatan itu apabila sudah ada Perdana Menteri termasuk daripada UMNO jika BN menang? Betulkah ada yang berkata beliau tidak cukup ‘ramuan’ menjadi ‘poster boy’?
Ada juga cakap-cakap yang menyatakan Ismail Sabri telah diputuskan oleh Biro Politik UMNO sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRU-15, namun setakat ini semuanya ‘senyap sunyi’. Jika betul kenapa perkara ini tidak diumumkan? Apakah ‘ada permainan’? Tanya aje jangan marah..
Sememangnya terlalu banyak spekulasi yang akan bergentayangan. Dan sudah pastilah dengan BN dilihat berpeluang cerah untuk menang PRU-15, maka ‘persaingan’ dalam UMNO pun akan turut menjadi sengit di semua peringkat. Namun BN tidak perlu bimbang siapa pun ‘poster boy’, BN boleh menang dalam PRU-15, biarpun gelanggang pilihan raya umum berbeza dengan PRN.
SERAMAI 45 penumpang bas kilang selamat dengan hanya 10 mengalami cedera ringan, selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik berhampiran Bandar Datuk Onn, menuju ke lebuh raya arah Johor Bahru di Johor Bahru, Johor, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8.39 malam.
Katanya terdapat 45 penumpang bas kilang terbabit, namun 35 daripadanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, orang awam turut membantu mengeluarkan mangsa.
“Tujuh mangsa termasuk enam wanita dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), manakala tiga lagi mangsa dibawa ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selain BBP Tebrau, operasi turut dibantu BBP Larkin dan BBP Kempas yang keseluruhan membabitkan 24 anggota.
MANGSA keempat dan kelima tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur, ditemukan dan disahkan meninggal dunia.
Kedua-kedua lelaki itu merupakan korban ketiga dan keempat dalam insiden tanah runtuh.
Sebelum itu seorang wanita warga emas dan seorang lelaki turut maut manakala seorang lelaki cedera.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-dua mangsa merupakan lelaki warga tempatan dengan seorang daripada mangsa merupakan pekerja Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Beliau berkata mangsa keempat ditemukan pada pukul 12.46 tengah malam manakala mangsa kelima dijumpai pada pukul 1.59 awal pagi ini.
Identiti kesemua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti, katanya.
“Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada awal pagi ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Beliau berkata polis akan membuat kawalan keselamatan selama 24 jam bagi memastikan barang-barang milik penghuni terjejas tidak hilang dan rumah mereka tidak diceroboh.
Mohamad Farouk meminta jika ada penghuni-penghuni yang rumahnya diceroboh untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan menggunakan Unit Anjing Pengesan K-9 di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.
“Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati sebilangan ahli pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam dilihat mula bersurai dari lokasi kejadian susulan penemuan kesemua lima mangsa.
Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga mula mengemas khemah rawatan khas susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis kira-kira 2 pagi. – Bernama
MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan peletakan jawatan, Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi dan Pengarah syarikat berkuat kuasa daripada 7 Mac 2022.
“MRT Corp mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan tidak ternilai dibuat oleh Azhar sepanjang tempoh perkhidmatannya serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan lapor Berita Harian.
Peletakan jawatan Azhar itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp pada 11 Mei tahun lalu.
Pelantikannya pada masa itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama MRT Corp dari 2011 hingga 2014.
Sebelum pelantikan itu, Azhar adalah Pengerusi FGV Holdings Bhd dari 2017 hingga April 2021.
Selepas meninggalkan MRT Corp pada 2014 hingga 2017, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation dan Pengarah Prusan Presiden/Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.
SEORANG wanita warga emas berusia 85 tahun, mangsa kedua ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, disahkan meninggal dunia.
Berita Harian melaporkan, mangsa kedua yang ditemui itu adalah isteri kepada mangsa pertama yang diselamatkan pada pukul 6.54 petang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita warga emas terbabit dikeluarkan pada pukul 9.10 malam.
“Dia ditemui dalam rumah No 2, yang terletak bersebelahan lokasi tanah runtuh di Jalan T1/2J.
“Dia kemudian dibawa keluar oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 15 buah rumah mengalami kerosakan termasuk dua tertimbus selepas berlaku kejadian tanah runtuh di taman itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.54 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, sebanyak 15 buah rumah terkesan termasuk dua daripadanya tertimbus serta 10 buah kenderaan di lokasi kejadian turut dilaporkan terjejas.
“Mangsa terbabit melibatkan penghuni di dalam rumah dan pekerja binaan yang menjalankan kerja di kawasan berhampiran rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha menyelamat mangsa masih diteruskan dan maklumat mengenai kejadian akan dimaklumkan selepas usaha menyelamat mangsa selesai.
EMPAT mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di Ampang pada lewat petang ini.
Mangsa dipercayai membabitkan penghuni dalam rumah dan pekerja binaan berhampiran.
Bagaimanapun kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa terbabit sedang giat dijalankan.
“Kita menerima panggilan pada pukul 5.64 petang dan saya dimaklumkan ada beberapa orang dilaporkan cedera dan maklumat awal ada empat mangsa.
“Mangsa terbabit dipercayai melibatkan penghuni di dalam rumah dan pekerja binaan yang menjalankan kerja di kawasan berhampiran rumah tersebut.
“Maklumat lanjut kita akan maklumkan kemudian,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
SEORANG penghantar makanan mendakwa dirinya nyaris diterkam seekor harimau belang dalam kejadian di Taman Bersekutu dekat Dungun, malam tadi.
Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, Mohd Shafiq Mamat, 27, berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint Indah, sejurus selesai menghantar pesanan pelanggan di sekitar kawasan tersebut.
“Tiba-tiba saya ternampak kelibat harimau di sebelah kanan motosikal dan ia dilihat cuba menerkam ke arah saya, tak fikir panjang, saya terus pecut selaju yang mampu untuk selamatkan diri.
“Saya mengucap banyak-banyak dan berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu semula, jaraknya dengan saya lebih kurang lima meter sahaja, mujurlah akhirnya ia berhenti mengejar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dia yang hampir dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan menyifatkan insiden itu sebagai pengalaman paling ngeri pernah dilaluinya setakat ini dan mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.
Menurut Mohd Shafiq, pada anggarannya saiz harimau belang itu lebih besar daripada motosikalnya dan ketinggiannya pula lebih kurang paras paha lelaki dewasa.
Katanya lagi, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata kakitangan jabatan itu telah ke lokasi tersebut untuk menjalankan siasatan dan membuat pemantauan.
“Saya berharap kejadian seperti ini akan segera dilaporkan kepada Perhilitan, bukan sekadar dikongsi dan tular di media sosial semata-mata kerana lebih cepat laporan dibuat lebih memudahkan siasatan,” katanya. – Bernama
SEPASANG suami isteri ditemui maut dalam bilik air di rumahnya di Taman Puncak Teringkap, Cameron Highlands, Kuantan, hari ini.
Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 9.20 pagi sebelum tujuh pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, apabila tiba di lokasi kita mendapati pasangan terbabit telah jatuh di dalam bilik air.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan. Saya difahamkan pasangan itu antara berusia 35 dan 40 tahun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya