Category: Semasa

  • Bersatu tetap sokong kepemimpinan Muhyiddin

    Bersatu tetap sokong kepemimpinan Muhyiddin

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus memberi sokongan kepada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai parti tersebut.

    Sehubungan itu Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perjuangan Muhyiddin dalam memimpin Bersatu harus diteruskan.

    “Saya dan seluruh ahli parti di semua peringkat tetap menyokong dan mendukung kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan yang menyaksikan Bersatu hanya memenangi 3 kerusi daripada 56 kerusi yang mereka tandingi, Muhyidin berkata, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sekiranya dikehendaki kepimpinan dan ahlinya.

    Mengulas keputusan PRN Johor itu, Ahmad Faizal berkata, satu kajian menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti faktor-faktor prestasi Bersatu yang hanya memenangi tiga daripada 33 kerusi yang ditandingi, selain faktor peratusan rendah pengundi keluar mengundi.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan yang telah bertungkus lumus sepanjang kempen PRN Johor.

    “Semangat kebersamaan ini mesti kita teruskan demi memperkasakan perjuangan parti kita. Kepada Allah, kami berserah,” katanya.

    Barisan Nasional yang berjaya menawan 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undagan Negeri Johor yang ditandingi, manakala Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi, PN memenangi tiga dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta PKR masing-masing berjaya meraih satu kerusi.

    SEMENTARA itu, Pas menerima keputusan PRN Johor dengan hati yang lapang.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yang bersama-sama dengan PN akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

    Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.

    “Pas turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon Perikatan Nasional, khususnya yang dikemukakan oleh Pas.

    “Sokongan yang diberikan adalah amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslahatan negeri dan negara,” kata beliau dalam kenyataan yang dikongsi di halaman Facebooknya.

  • Pesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

    Pesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

    KERAJAAN digesa supaya lebih serius menangani isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini sama ada di peringkat sektor awam atau swasta.

    Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, langkah itu penting bagi memastikan sesiapa yang terlibat dengan rasuah perlu dihukum dengan sewajarnya termasuk individu yang mempunyai jawatan penting seperti pemimpin politik ataupun pegawai tinggi.

    “Jangan membiarkan ikan jerung terlepas dan ikan bilis sahaja yang terkena.

    “Dalam soal ini sesiapa pun yang terlibat dengan rasuah harus diberi hukuman sewajarnya. Ini termasuk orang yang mempunyai jawatan tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Khalid, desakan hidup menjadi punca seseorang individu itu sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.

    “Bagi mereka yang berada di peringkat bawahan dalam skala sosial, mungkin mereka benar-benar memerlukan wang tambahan.

    “Berbeza pula dengan golongan kaya, mereka tamak tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Mereka juga mahukan kuasa dan nama, jadi sanggup terjebak dengan rasuah demi mencapai segala cita-cita mereka,” katanya.

    Sebelum ini, Khalid turut menyertai misi pelancaran Ejen Meow #Rasuah Busters, anjuran pasukan Rasuah Busters yang dianggotai lebih daripada 500 rakan gabungan seluruh negara sebagai satu lagi usaha meningkatkan kesedaran agar masyarakat bertindak menolak rasuah.

    Katanya, semua pihak perlu menolak kepimpinan rasuah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dan juga ketirisan dalam sistem tadbir urus.

    “Pada masa sama, ia juga dapat menyumbang kepada pemulihan negara ke arah sistem demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat,” katanya.

  • Ibu tunggal hilang sejak 8 Mac

    Ibu tunggal hilang sejak 8 Mac

    SEORANG ibu tunggal dilaporkan hilang selepas menghantar ibunya ke sebuah klinik swasta di Bandar Kemaman, di Terengganu sejak 8 Mac lalu.

    Adik tirinya, Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin, 37, berkata, pada 8 Mac lalu, dia bersama Zaizura Mat Hussin, 45, menghantar ibu, Hamimah Latif, 67, ke klinik untuk rawatan dialisis kira-kira pukul 11 pagi.

    “Ketika di klinik, kakak menemani ibu sementara saya menunggu di dalam kereta. Tidak lama selepas itu kakak hantar mesej meminta saya pulang ke rumah terlebih dulu.

    “Dia juga memaklumkan mahu keluar selepas selesai menghantar ibu,” katanya memetik laporan Harian Metro, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang, Binjai, di Kemaman.

    Katanya, pada pukul 3.30 petang, dia pergi semula ke klinik dan mendapati hanya ibunya berada di klinik itu.

    “Saya beberapa kali menghubungi telefon kakak namun tidak aktif sehingga ke hari ini.

    “Saya dan keluarga buntu terutamanya ibu yang bimbangkan keselamatan kakak. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sentiasa ceria,” katanya.

    Cik Ku Noraini berkata, Zaizura sebelum ini tinggal di Pasir Putih, Kelantan dan selepas suaminya meninggal dunia dua tahun lalu, dia pulang ke Kemaman untuk menjaga ibu.

    “Empat anak kakak berusia antara 14 hingga 22 tahun tidak ikut ke Kemaman dan kakak berhajat pulang ke Kelantan bertemu dengan anak-anaknya.

    “Kakak sehingga kini gagal dihubungi dan saya membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Chukai, pada 9 Mac.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 016-5090689 atau menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

  • Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    SEORANG pengawal keselamatan dan jurusole maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 1.25 tengah hari itu mengakibatkan Mohammad Faiz Azmi Harun, 31 yang beralamat di Kampung Tanjung Sabtu, Manir dan Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, maut di lokasi kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah kereta Proton Waja dipandu Mohammad Faiz dari arah Jambatan Sultan Mahmud hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Menurutnya, kereta mangsa kemudian merempuh dua buah kenderaan lain termasuk Honda Civic yang dipandu Annur Izatul Dawiah.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohammad Faiz tercampak ke kawasan semak di seberang jalan dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pemandu Perodua Viva yang turut dirempuh tidak mengalami kecederaan manakala penumpangnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa yang maut dalam nahas itu dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa N. Ashvika, 11, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala adik perempuannya N.Yaashika, enam, disyaki mengalami patah kaki dan tangan kiri.

    “Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu bapanya berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor telah hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

    “Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar melalui cermin belakang kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

    Beliau berkata bagaimanapun bapa serta ibunya berusia 37 tahun dan seorang lagi adik perempuan mangsa berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat yang dijalankan esok selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh. – BERNAMA

  • Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    PENJENAYAH yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan di depan sebuah bank di Puchong Prima semalam dipercayai menggunakan senjata yang dicuri daripada anggota polis yang dibunuh lebih empat tahun lalu.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.

    Memetik laporan BH, beliau memberitahu, pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.

    “Siasatan mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.

    “Dengan tertangkapnya suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu, kita dapat merampas kembali pistol berkenaan.

    “Kita percaya suspek terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan dan dia dipercayai bergerak secara solo,” katanya.

    Valentino ditemukan meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.

    Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua pengawal syarikat keselamatan yang memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta dari bank berkenaan ke van keselamatan.

    Katanya, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang maut dalam kejadian itu.

    “Dua das tembakan lagi dilepaskan yang mana satu das mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini mendapat rawatan di Hospital Serdang.

    “Suspek melarikan wang dianggar berjumlah RM500,000 dan ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Seksyen 20, polis merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru,” jelasnya.

    Tambah beliau, suspek kini direman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.

  • Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    SUSPEK yang menembak mati seorang pengawal keselamatan dan mencederakan seorang lagi dalam kes rompakan bank di Puchong Prima, dekat ibu negara semalam, kini direman selama tujuh hari.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman ketika dihubungi Bernama pada Sabtu berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

    Semalam, susulan kejadian pada pukul 5.50 petang, Abd Khalid dilaporkan berkata polis menahan seorang suspek berumur 38 tahun di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada pukul 7 malam bersama karung berisi wang tunai. – Bernama

  • Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    DISEBABKAN berebut dan enggan berkongsi dadah, seorang lelaki tergamak membunuh adik kembarnya di kediaman mereka di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat semalam.

    Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang selepas dua beradik kembar itu bertengkar sesama mereka kerana dadah jenis syabu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, pertengkaran itu telah membawa kepada pergaduhan sebelum salah seorang daripada mereka iaitu abang telah menikam adik kembarnya di bahagian dada menggunakan sebilah pisau.

    “Majikan mangsa yang tiba ke rumah terbabit selepas dihubungi mangsa mendapati adik mangsa berada dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa yang ketika itu masih bernyawa telah dikejarkan ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian telah menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

    Katanya, suspek kemudian telah ditahan polis pada pukul 10.45 malam pada hari kejadian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas dibawa oleh majikan mangsa.

    “Siasatan mendapati dua beradik kembar itu adalah pekerja kebun sayur di mana mangsa memiliki rekod lampau bersabit satu kes jenayah dan 10 kes dadah manakala abangnya (suspek) mempunyai 12 rekod kes dadah.

    “Suspek yang positif dadah jenis ganja dan syabu itu telah direman tujuh hari sehingga 18 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    POLIS Selangor menahan 18 individu warga tempatan termasuk 12 wanita disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Khamis lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Azman Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang pada 10.20 pagi dan bertindak menahan kesemua individu yang berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu.

    Azman berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

    “Hasil pemeriksaan, pihak kami turut merampas dokumen dan barangan antaranya komputer; fail mengandungi dokumen peminjam; kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.

    Azman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak perompak bank

    POLIS mengesahkan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat van membawa wang tunai maut ditembak manakala seorang lagi cedera berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kedua-dua pengawal keselamatan berkenaan dipercayai sedang mengawal keselamatan van yang membawa sejumlah wang tunai.

    “Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada mereka hendak mengambil wang dari bank atau mengeluarkan wang dari van untuk di bawa ke bank berkenaan.

    “Suspek yang terlibat berjaya meloloskan diri,” katanya kepada Bernama.