KERAJAAN digesa supaya lebih serius menangani isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini sama ada di peringkat sektor awam atau swasta.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, langkah itu penting bagi memastikan sesiapa yang terlibat dengan rasuah perlu dihukum dengan sewajarnya termasuk individu yang mempunyai jawatan penting seperti pemimpin politik ataupun pegawai tinggi.

“Jangan membiarkan ikan jerung terlepas dan ikan bilis sahaja yang terkena.

“Dalam soal ini sesiapa pun yang terlibat dengan rasuah harus diberi hukuman sewajarnya. Ini termasuk orang yang mempunyai jawatan tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurut Khalid, desakan hidup menjadi punca seseorang individu itu sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.

“Bagi mereka yang berada di peringkat bawahan dalam skala sosial, mungkin mereka benar-benar memerlukan wang tambahan.

“Berbeza pula dengan golongan kaya, mereka tamak tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Mereka juga mahukan kuasa dan nama, jadi sanggup terjebak dengan rasuah demi mencapai segala cita-cita mereka,” katanya.

Sebelum ini, Khalid turut menyertai misi pelancaran Ejen Meow #Rasuah Busters, anjuran pasukan Rasuah Busters yang dianggotai lebih daripada 500 rakan gabungan seluruh negara sebagai satu lagi usaha meningkatkan kesedaran agar masyarakat bertindak menolak rasuah.

Katanya, semua pihak perlu menolak kepimpinan rasuah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dan juga ketirisan dalam sistem tadbir urus.

“Pada masa sama, ia juga dapat menyumbang kepada pemulihan negara ke arah sistem demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat,” katanya.

1 COMMENT

  1. Tp nmpak gy nya dieorg ni yg buat pecaturan negara.dh bersalah tp tanpa segan silu nk topple gomwn n ugut gomen.hebatkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here