Category: Semasa

  • Saudi Media Group tawar £2.7 bilion pembelian Chelsea

    Saudi Media Group tawar £2.7 bilion pembelian Chelsea

    SAUDI Media Group telah menawarkan sebanyak £2.7 billion untuk pembelian kelab juara Eropah, Chelsea.

    Selepas pemilik mereka Roman Abramovich dibekukan asetnya oleh kerajaan United Kingdom kerana penjajahan Rusia ke atas Ukraine, Chelsea kini terdesak mencari pemilik baharu bagi menampung kos kelab mereka.

    Sabtu lalu, Liga Perdana telah menyingkirkan oligarki Russia itu sebagai Pengarah Chelsea.

    Chelsea kini perlu membayar gaji mingguan mencecah £28 juta (RM153 juta) dan kerajaan menetapkan sekatan bajet maksimum £20,000 untuk kos pengangkutan dan penginapan.

    Sekatan tersebut akan ditarik balik jika kelab London barat melepasi Lille di dalam Champions League pada awal pagi esok.

    Sebanyak tiga daripada penaja Chelsea iaitu Hyundai, Three dan Zapp menarik balik urusan mereka dengan kelab tersebut dan sekali gus meninggalkan Chelsea dalam krisis kewangan yang lebih mendalam.

    Chelsea kini beroperasi dibawah lesen khas yang diberikan oleh kerajaan mereka sehingga hujung musim namun masa depan mereka selepas tempoh tersebut kurang jelas.

    Kelab tersebut perlu mencari pemilik baharu mencecah musim panas untuk mengelak pembubaran.

  • FBI dakwa Najib terima AS$756 juta dana 1MDB yang dicuri

    FBI dakwa Najib terima AS$756 juta dana 1MDB yang dicuri

    EJEN Biro Penyiasatan Persekutuan, Eric Van Dorn memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, menerima AS$756 juta (kira-kira RM3.2 bilion) melalui transaksi bon diuruskan Goldman Sachs untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    BH Online melaporkan Van Dorn turut menyebut beberapa nama lain sebagai penerima wang sama termasuk ahli perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low yang menerima AS$1.42 bilion (kira-kira RM5.97 bilion).

    Turut disebut penyiasat FBI itu dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng di mahkamah Amerika Syarikat (AS) di sini, ialah bekas Pengarah Urusan Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company, Khadem al-Qubaisi yang menerima AS$472.8 juta (kira-kira RM199 bilion), selain bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner serta anak tiri Najib, Riza Aziz, yang masing-masing menerima AUS$73.4 juta (kira-kira RM308.8 juta) dan AS$238 juta (kira-kira RM1 bilion).

    Van Dorn turut memberi keterangan bahawa Ng menerima AS$35.1 juta (kira-kira 147.68 juta) melalui dua daripada tiga bon transaksi.

    Beliau berkata, mereka yang dinamakannya itu antara 16 individu yang dikesan beliau ketika penyiasatan dilakukan terhadap dana 1MDB yang hilang.

    Ng berdepan tuduhan menerima sogokan jutaan dolar kerana membantu melarikan dana daripada 1MDB dan memohon dibicarakan atas dakwaan berkonspirasi terhadap pengubahan wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Tuduhan itu susulan satu daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS mengatakan AS$4.5 bilion (kira-kira 18.93 bilion) daripada AS$6.5 bilion (kira-kira 27.35 bilion) bon dikumpulkan Goldman Sachs untuk 1MDB dipindahkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka secara rasuah dan sogokan.

    Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didapati bersalah pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

    Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dengan panel hakim menyifatkan transaksi ke dalam akaun Najib sebagai ‘memalukan negara’.

    Najib kini dalam proses rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.

  • Polis kesan saksi kejadian 2 kanak-kanak maut motosikal rempuh tiang elektrik

    Polis kesan saksi kejadian 2 kanak-kanak maut motosikal rempuh tiang elektrik

    POLIS Pulau Pinang meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan yang menyebabkan dua kanak-kanak maut selepas motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik semalam tampil menyalurkan maklumat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad, dalam kejadian berhampiran kawasan sawah padi di Kampung Terus, Bukit Mertajam kira-kira pukul 2.49 petang itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit yang difahamkan berusia 11 dan 13 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan tercampak ke kawasan semak di bahagian kiri jalan.

    Dua kanak-kanak maut selepas motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik semalam

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik iaitu Inspektor Ami Syuqri di talian 013-4194072 atau 04-5382222.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kita turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, penduduk di Kampung Terus itu dikejutkan dengan kejadian kemalangan terbabit memandangkan melibatkan dua kanak-kanak, malah kejadian sama turut tular dalam media sosial sejak semalam.

    Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali dikatakan, kedua-dua mangsa didakwa bukan penduduk kampung itu namun masuk meronda dengan menunggang motosikal sebelum terbabit kemalangan.

  • Bekas ADUN Rembia meninggal dunia pagi tadi

    Bekas ADUN Rembia meninggal dunia pagi tadi

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Norpipah Abdol meninggal dunia pukul 3.42 pagi tadi di Putrajaya.

    Astro Awani melaporkan, Allahyarham berusia 68 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN).

    ADUN Asahan yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan mengesahkan perkara itu.

    Jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan.

    “Solat jenazah ghaib akan dibuat di Surau Al Huda Seri Pengkalan selepas selesai pengebumian. Jemput semua yang berkelapangan,” jelasnya.

    Difahamkan Allahyarham menghidap kanser dan turut disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

    Allahyarham sebelum ini merupakan Timbalan Exco Belia dan Warisan dan pernah menjadi ADUN Rembia bagi penggal 2008 sehingga 2018.

  • Polis tahan lelaki warga emas berkelakuan tidak senonoh

    Polis tahan lelaki warga emas berkelakuan tidak senonoh

    SEORANG lelaki warga emas telah ditahan selepas berkelakuan tidak senonoh di sebuah flat di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

    Pihak polis menerima aduan berkenaan lelaki berusia 62 tahun itu pada pukul 2.44 petang.

    Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berkenaan telah mengambil pakaian dalam yang telah dijemur serta mencium dan melakukan perbuatan tidak senonoh.

    “Aksi lelaki itu telah dilihat serta dirakam oleh jiran, sebelum menghubungi mangsa untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    “Hasil risikan, kita telah menahan suspek di Puchong untuk siasatan lanjut. Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil1955 telah dibuka,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

    “Sebarang maklumat mengenai kes jenayah laporkan segera pada polis di Hotline Polis Brickfields di talian 03- 2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

  • Pekerja kilang maut dalam mesin bancuh simen yang berputar

    Pekerja kilang maut dalam mesin bancuh simen yang berputar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja maut selepas termasuk dalam mesin bancuh simen yang sedang berputar di sebuah kilang mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang Industrial Park, Iskandar Puteri, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semasa kejadian pada pukul 11.30 pagi, mangsa, Fenddy Asim, 19, sebelum itu sedang membersihkan mesin tersebut.

    “Pada masa kejadian mangsa dikatakan tunduk semasa membersihkan mesin bancuh simen untuk membuat mozek tanpa terlebih dahulu menutup suis utama mesin tersebut, menyebabkan mesin tersebut tiba-tiba berpusing.

    “Keadaan berkenaan menyebabkan kepala dan bahu mangsa terkena mesin tersebut. Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut telah bergegas mematikan suis mesin.

    “Dia kemudian memanggil rakan sekerja yang lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian dikejarkan klinik berhampiran pada jam 11.35 pagi untuk mendapatkan rawatan awal di Taman Nusa Perintins.

    “Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala dan telinga telah disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.

    Hasil siasatan awal katanya, mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah berlaku dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat.

    Menurut beliau, difahamkan mangsa sudah enam bulan bekerja di kilang berkenaan.

  • Onn Hafiz bakal MB baharu Johor?

    Onn Hafiz bakal MB baharu Johor?

    KEPEMIMPINAN Kerajaan negeri Johor dijangka berubah wajah apabila Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

    Onn, 44 tahun dan merupakan bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor dikatakan akan mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh Datuk Hasni Mohammad.

    Sumber Barisan Nasional (BN) memberitahu Berita Harian, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

    “Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

    “Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.

    “Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Datuk Seri Hasni, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19,” katanya.

    Sebelum ura-ura pelantikan Onn yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan University of Hertfordshire, United Kingdom bertebaran, Hasni yang memimpin BN mencapai kemenangan besar dalam PRN Johor dalam satu kenyataan hari ini sudah memberi bayangan negeri itu bakal mendapat Menteri Besar baharu.

    Berita pelantikan Onn juga turut menarik perhatian kerana sebelum ini ketika pengumuman calon BN bagi PRN Johor pada 24 Februari lalu, Hasni dipilih sebagai ‘poster boy’ sekaligus membayangkan beliau akan terus menjadi Menteri Besar yang disandangnya sejak 28 Februari 2020 jika BN menang pilihan raya tersebut.

    Bagaimanapun Hasni 63 tahun dalam kenyataan tersebut menegaskan, melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, beliau mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri itu.

    Onn Hafiz yang Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam yang merupakan bapa kepada empat orang anak adalah anak saudara kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan cicit kepada pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar.

    Beliau yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan (2013 hingga 2018) sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Layang-Layang dan memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 364 undi.

    Bagaimanapun pada PRN Johor, Onn Hafiz diletakkan bertanding di DUN Machap .Beliau yang pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2012-2018 menang dengan majoriti 6,543 undi menewaskan tiga calon lain selepas mendapat 11,029 undi.

  • Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? – Ahmad Maslan

    Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? – Ahmad Maslan

    *Perlu terima keputusan mereka yang mengundi

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilihat seolah-olah ‘kurang senang’ dengan kenyataan mendakwa Barisan Nasional (BN) sebenarnya bukan pilihan rakyat Johor kerana undi popular tidak memihak kepada mereka.

    Tegas Ahmad, demokrasi di Malaysia berlandaskan sistem ‘first past the post’ dan bukan ‘presidential election’ seperti di Amerika Syarikat.

    Menurutnya, sejak beberapa hari lepas, ada beberapa pihak juga mempertikaikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malah mengaitkannya dengan jumlah peratusan mengundi yang rendah pula.

    “Dalam konteks demokrasi, orang yang tidak mengundi tak pernah dihalang untuk keluar. Siapa suruh dia tak keluar? Mereka yang tak keluar mengundi hendaklah terima keputusan mereka yang telah mengundi. Itu adalah sistem demokrasi di Malaysia.

    “Analisa kata kalau ramai keluar mengundi, tak mungkin BN menang. Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? Itu saja yang saya nak tanya mereka.

    “Tiada siapa halang mereka daripada tak keluar mengundi. Yalah…mereka dah kalah, mereka carilah alasan. Kalah tu kalahlah,” katanya lapor Astro Awani.

    Begitupun, tegas beliau, BN tidak mendabik dada dengan kemenangan di Johor sebaliknya akan sentiasa memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad berkata seramai 5,571 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri PAU2021 pada 16 Mac hingga 19 Mac ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menyampaikan ucapan dasar pada 18 Mac di hadapan 2,680 perwakilan.

    Tegas Ahmad, meskipun tidak dilakukan secara hibrid namun segala prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dipatuhi sebaiknya termasuk menggunakan beberapa dewan bagi mengamalkan penjarakan fizikal.

    “Kita juga akan mengadakan satu majlis penyampaian anugerah keapda Tokoh UMNO Negeri. Ini kali pertama diadakan selepas Ucapan Dasar Presiden,” katanya.

  • Gaya hidup Jho Low ‘tak ingat dunia’ jadi tumpuan perbicaraan kes Najib

    Gaya hidup Jho Low ‘tak ingat dunia’ jadi tumpuan perbicaraan kes Najib

    KEHIDUPAN mewah ahli perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang diibaratkan seolah-olah ‘tidak ingat dunia’ menjadi tumpuan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Dalam prosiding hari ini, peguam bela Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah mengemukakan kepada mahkamah yang kemudian menayangkan rakaman video memaparkan pesta arak yang dianjurkan oleh Jho Low.

    Pesta itu dihadiri oleh bintang serta selebriti Hollywood yang membabitkan perbelanjaan jutaan dolar.

    Muhammad Shafee yang menyoal balas saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir, turut menyentuh mengenai percutian mewah Jho Low di atas kapal layar mewah dan berpesta arak di sebuah kelab malam di St Tropez yang turut disertai selebriti Paris Hilton, selain membeli beberapa penthouse di Singapura.

    Muhammad Shafee yang bertalu-talu menyoal Azmi mempersoalkan mengapa tindakan Jho Low yang hidup dengan bermewah-mewahan dan menjalani kehidupan seperti seorang taikun itu tidak menimbulkan perasaan curiga atau sebarang kebimbangan langsung kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk segera bertindak.

    Peguam itu berkata, beliau mempersoalkan perkara itu kerana Azmi sendiri dalam keterangannya menyatakan bahawa Jho Low adalah individu yang menguruskan syarikat dari belakang tabir, dan adalah jelas ia sepatutnya menimbulkan kebimbangan syarikat kerana tindakannya itu menjerumuskan 1MDB ke arah kehancuran.

    Azmi yang menjawab persoalan itu berkata, kehidupan peribadi Jho Low dan hal ehwal mengenai syarikat adalah dua perkara berbeza.

    “Itu adalah kehidupan peribadi dia, kami tidak tahu dari mana datangnya sumber kekayaan dia dan kebimbangan kami adalah mengenai transaksi dalam syarikat, bukannya kehidupan peribadi dia.

    “Ia adalah dua perkara yang berbeza sebab kehidupan dia bukannya masalah, saya hanya bimbang mengenai transaksi penipuan dalam 1MDB. Gaya hidupnya tidak ada kaitan dengan syarikat.

    “Pada waktu itu saya tidak merasa curiga kerana jika dia mempunyai wang, dia boleh hidup mewah dan lembaga pengarah tidak mempersoalkannya” katanya.

    Sementara itu, Azmi menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa dia dan pihak pengurusan berdiam diri dan tidak membangkitkan kegusaran berhubung kehidupan mewah Jho Low serta tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah disebabkan beliau menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu.

    Muhammad Shafee juga mencadangkan bahawa Jho Low tidak akan menjalani hidup mewah jika Azmi tidak meluluskan transaksi pembayaran AS$790 juta daripada 1MDB Energy Langat Limited kepada Aabar Investments PJS Ltd (syarikat palsu), bagaimanapun dinafikan oleh saksi.

    Azmi berkata, beliau tidak mengetahui jika ada terdapat urusan lain di belakang, tetapi semua transaksi adalah berdasarkan perjanjian perniagaan.

    Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan selanjutnya.

  • Dakwaan Khairuddin ada rundingan PN-PH tidak benar – Saifuddin

    Dakwaan Khairuddin ada rundingan PN-PH tidak benar – Saifuddin

    SETIAUSAHA Agung gabungan Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang mendakwa terdapat cadangan sebelum ini agar Perikatan Nasional (PN) mengadakan rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menentang BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    “Saya mengikuti kenyataan Khairuddin yang mendakwa wujud rundingan kerusi di antara PH dan PN bagi menghadapi PRN Johor.

    “Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Faktanya adalah PH termasuk Muda bertanding di semua 56 kerusi di Johor, dan bertembung dengan PN di semua kerusi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Khairuddin yang hari ini mengumumkan keluar daripada Pas dan menjadi ahli parlimen Bebas.

    Terdahulu, Khairuddin mendakwa terdapat cadangan agar PH dan PN, yang dianggotai oleh Pas mengadakan rundingan kerusi di PRN Johor.

    Namun, katanya, Pas menolak cadangan itu atas dasar prinsip.

    Sabtu lalu, BN memenangi PRN Johor dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) itu.

    Sementara PH pula menang 13 termasuk satu kerusi oleh Muda manakala PN hanya berjaya menguasai tiga kerusi, iaitu Bersatu mendapat dua dan PAS satu kerusi sahaja.