Category: Semasa

  • Bincang lanjut sebelum beku akaun bekas suami tak bayar nafkah

    Bincang lanjut sebelum beku akaun bekas suami tak bayar nafkah

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan tindakan membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyambut baik pengumuman itu berkata, KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

    “Berdasarkan maklumat KPWKM, ramai bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri. Jadi melalui pengumuman ini mereka yang berhak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi di Kota Damansara hari ini.

    Beliau berkata, bekas isteri yang mendapati nafkah mereka tidak dibayar boleh mengadu di Talian Kasih 15999 atau platform KPWKM yang lain.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

    Selain itu, Ismail Sabri berkata, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.

    Mengulas mengenai kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah bagi isteri yang kematian suami, Rina berkata, kelonggaran itu disifatkan sebagai satu perkara yang baik dan golongan wanita harus menyambutnya.

    “Wanita yang baru kehilangan suami dan masih dalam idah, mempunyai banyak urusan rumah tangga, anak serta keluarga yang perlu diselesaikan.

    “Pandemik COVID-19 telah membuktikan kita boleh bekerja dari rumah. Kelonggaran yang diberikan ini merupakan satu pengumuman yang baik dan harus disambut oleh golongan wanita,” katanya.

    Mengenai penjenamaan semula wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi Kota Damansara, Rina berkata, beliau optimis pembaharuan itu menjadi platform kepada perkhidmatan rawatan kesihatan dengan kemudahan infrastruktur moden dan terbaik bagi ibu dan anak. – BERNAMA

  • Projek naik taraf LTSIP lewat kerana kurang buruh asing

    Projek naik taraf LTSIP lewat kerana kurang buruh asing

    KERJA-KERJA naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di Kota Bharu mengalami kelewatan selama 83 hari berikutan kekurangan buruh asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf dan pembesaran LTSIP ketika ini hanya mencapai kemajuan sebanyak sembilan peratus yang sepatutnya sudah mencecah 14 peratus, jika mengikut perancangan asal.

    Mustapa berkata, selain kekurangan buruh asing, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan untuk mendapatkan bekalan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembesaran.

    “Sekarang kita hanya mempunyai seramai 180 pekerja untuk melaksanakan proses menaik taraf dan pembesaran LTSIP, daripada jumlah itu 30 pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing. Apabila pembinaan sampai ke kemuncak (peringkat akhir) keperluan tenaga kerja akan mencapai sehingga 400 pekerja.

    “Bagaimanapun, isu kekurangan pekerja asing ini merupakan masalah yang dihadapi di peringkat nasional bukan sahaja di Kelantan terutamanya membabitkan kerja-kerja di tapak pembinaan dan juga sektor perlandangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan LTSIP di Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan buruh asing, pihak kontraktor yang menguruskan projek berkenaan telah memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan buruh asing.

    “Selain itu, Kementerian Pengangkutan juga sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja untuk membantu syarikat. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan kita hanya mempunyai sekitar dua tahun lagi untuk menyiapkan projek ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera memandangkan projek ikonik bernilai RM440 juta itu merupakan antara projek terbesar kerajaan dan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Kelantan.

    “Apabila projek ini siap, ia mampu mengendalikan sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta penumpang sekarang dengan kemudahan bertaraf antarabangsa ditawarkan selain mempunyai kemudahan 11 parkir pesawat berbanding 5 sebelum ini,” katanya.

    Menurut Mustapa, kadar pemulihan membabitkan bilangan penumpang yang mengggunakan LTSIP juga bergerak pantas dan ia menjadi antara lapangan terawal pulih seperti keadaan sebelum pandemik COVID-19 dengan jumlah penumpang menggunakan LTSIP mencecah sehingga 90 peratus kapasitinya. – BERNAMA

  • Edar syabu: Penguat kuasa, nelayan berdepan hukuman mati

    Edar syabu: Penguat kuasa, nelayan berdepan hukuman mati

    SEORANG anggota penguat kuasa dan seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 5.3 kilogram, pada awal bulan ini.

    Tertuduh, Ahmad Fadhil Ghazali, 34, dan rakannya, Mohamad Firdauz Ishak, 29, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

    Menurut kertas pertuduhan, Ahmad Fadhil dan Mohamad Firdauz didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 5,377.32 gram di Forest City, Iskandar Puteri pada jam 9 malam, 6 Mac lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Mei ini untuk menunggu keputusan laporan kimia.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.

    Difahamkan, kedua-dua tertuduh itu merupakan antara ahli sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan polis pada 15 Mac lalu, melibatkan penahanan sembilan penguat kuasa dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Putrajaya.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjual 50 kg dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.

  • Jumlah pelaburan ke Kedah diyakini terus tinggi

    Jumlah pelaburan ke Kedah diyakini terus tinggi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JUMLAH kemasukan pelaburan ke Kedah pada 2022 dan tahun-tahun seterusnya diyakini mampu mencapai sasaran melebihi RM10 bilion setahun, seperti ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun kejayaan mencatat rekod pelaburan sebanyak 68.3 bilion pada tahun lalu sukar diulangi, namun beliau yakin betapa negeri ini akan terus mampu mencatat jumlah kemasukan pelaburan yang tinggi.

    Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa usaha yang telah diambil dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

    “Antaranya kita telah mengambil langkah untuk menyediakan dua fasa baharu iaitu fasa 4A dan fasa 5 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). Di kedua-dua fasa ini, sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk ‘masuk’ malah pelabur sedia ada juga beri komitmen mahu perluaskan kawasan industri mereka di situ.

    “Selain itu kerajaan negeri dalam masa sama kini turut memiliki perancangan untuk membuka satu lagi kawasan industri di Gurun melibatkan tanah lebih 404 hektar. Sebab itu saya yakin, angka pelaburan sebanyak RM10 bilion pada 2022 dan tahun-tahun berikutnya bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah secara dalam talian bagi merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

    Dalam titah baginda itu, Sultan Al Aminul Karim menzahirkan rasa berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 bilion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.

    Muhammad Sanusi menambah, Kedah pada masa akan datang bakal berubah dengan tidak lagi bergelar negeri pertanian semata-mata sebaliknya bakal muncul sebagai kuasa industri di utara tanah air.

    “Di sini kita dapat melihat perkembangan baik di SBEZ, pembangunan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta perasmian KRC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “”Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai kuasa industri baharu. Cuma kita kena sediakan rakyat untuk menyambut pembangunan sektor industri ini melalui persediaan dari segi ilmu serta kemahiran, bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

  • Sultan Kedah bangga kejayaan catat rekod baharu pelaburan

    Sultan Kedah bangga kejayaan catat rekod baharu pelaburan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 billion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.

    Sultan Sallehuddin percaya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Invest Kedah Berhad, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain industri lain dalam menarik pelaburan ke Kedah.

    “Kejayaan itu membuktikan betapa Kedah sememangnya menjadi destinasi pilihan para pelabur. Pelaburan ini melebihi sasaran ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 billion setahun.

    “Namun begitu, kita janganlah terlalu selesa dan leka dengan angka ini. Usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk, dapat ditingkatkan di Bandaraya Getah Kedah (KRC), Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis.

    “Dengan jumlah pelaburan yang besar ini, beta berharap agar ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini agar setanding dengan negeri-negeri maju di negara ini,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian secara dalam talian sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

    Mengenai sidang DUN yang akan berlangsung hingga 23 Mac depan, Sultan Sallehuddin menasihatkan agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah bagi mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul.

    “Kematangan inilah yang diperlukan seluruh rakyat dan ambillah nasihat pepatah Melayu lama iaitu biduk berlalu, kiambang bertaut.

    “Perpaduan yang utuh merupakan asbab kekuatan kepada sesebuah ketamadunan. Melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan keluarga, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi,” titah baginda.

  • Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    SEBUAH rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Temiang di Seremban awal pagi ini.

    Ketua Balai Bomba Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.06 pagi, dan sebaik tiba api didapati sedang marak memusnahkan rumah papan itu.

    Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, kerana semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

    “Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bengkel besi berkeluasan 40×80 kaki persegi di sebelah rumah berkenaan, dan api berjaya dikawal setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama.

    Difahamkan rumah itu didiami tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pemandu pacuan empat roda kaki buli lebuh raya

    [VIDEO] Pemandu pacuan empat roda kaki buli lebuh raya

    POLIS Pulau Pinang meminta mana-mana pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian buli di jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tampil menyalurkan maklumat.

    Kejadian itu yang tular di dalam media sosial dipercayai berlaku di Kilometer 138.7 Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara berdekatan sebuah kilang di Perai pada Jumaat lalu.

    Rakaman video mengenai kejadian itu dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Jebat Maoc kira-kira pukul 2.49 petang semalam.

    Menerusi rakaman video berdurasi lebih satu minit itu menunjukkan pemandu kenderaan pacuan empat roda bewarna putih terbabit memandu secara berbahaya dan cuba menghimpit kenderaan lain.

    Akibatnya, kereta yang cuba dihimpit itu terlanggar kon yang diletakkan di tepi jalan dan hampir melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu lebuh raya.

    Ekoran itu menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk menyiasat kejadian tersebut.

    “Sehubungan itu, polis memohon mana-mana pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil untuk membantu siasatan.

    “Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04-5382222,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Honda Civic selamba redah masuk lorong motosikal

    Honda Civic selamba redah masuk lorong motosikal

    SEORANG pemandu kereta jenis Honda Civic dikesan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, semalam.

    Insiden tersebut yang tular melalui rakaman video dalam media sosial telah mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen dan mereka mahu tindakan diambil terhadap pemandu berkenaan.

    Lelaki yang memandu Honda Civic terbabit telah ditahan polis petang semalam.

    Memetik laporan FMT, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebelum itu pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan.

    Menurut beliau, video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias dalam halaman Facebook DashCam Owners Malaysia pada 2.41 petang semalam.

    “Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu.

    “Bertindak atas aduan itu, kami mengesan pemandu kereta berkenaan dan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sarifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

  • Kaji penyelesaian jangka panjang tangani isu kawasan Felda

    Kaji penyelesaian jangka panjang tangani isu kawasan Felda

    KERAJAAN melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) akan melaksanakan kajian secara komprehensif bagi penyelesaian jangka panjang menangani isu di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian itu akan dilaksanakan bagi mentransformasikan kawasan Felda yang moden dan progresif.

    “Kajian yang akan bermula tiga bulan lagi akan turut melibatkan libat urus EPU dengan pengurusan Felda serta semua golongan warga Felda termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) bagi memastikan hasrat dan cita-cita golongan ini, terutamanya generasi kedua Felda diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

    “Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada pemberita merasmikan Projek Infrastruktur Pelancongan di Bukit Salor, di Jeli hari ini.

    Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan berpandangan kesemua usaha ini perlu dilaksanakan dengan kaedah lebih holistik dan tersusun supaya warga Felda mendapat manfaatnya.

    “Antara isu yang sering dibangkitkan oleh warga Felda adalah isu berkaitan perumahan generasi baharu, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan Felda yang kurang memberangsangkan,” katanya.

    Beliau berkata, selain itu, Program Pembangunan Peneroka sedang rancak dilaksanakan yang berjaya memberi pendapatan tambahan sehingga RM1,000 sebulan kepada peserta.

    “Setakat ini, kira-kira 55,000 peserta, termasuk generasi kedua terlibat dalam pelaksanaan projek ini menerusi projek ternakan dan pertanian seperti ternakan lembu pedaging serta tanaman nanas MD2 dan halia muda.

    “Program ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan FGV Berhad yang akan bertindak sebagai rakan strategik,” katanya.

    Sementara itu, Mustapa berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manfaat kepada 55,000 peneroka Felda sebagai usahawan.

    “PPP telah dimulakan pada April 2019 dengan dana sebanyak RM1 bilion. Program ini melibatkan penyertaan para peneroka melalui penglibatan mereka secara plasma (individu) atau melalui koperasi.

    “Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 projek PPP Felda di seluruh negara dan 621 daripadanya adalah projek yang telah diluluskan di Felda Gua Musang yang melibatkan 3,114 peneroka di jajahan tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    PERSATUAN Sahabat Orang Kelainan Upaya (OKU) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa telah menghina golongan itu.

    Timbalan Presidennya, Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh pada 5.20 petang tadi bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita itu.

    “Tindakan ini (laporan) dibuat untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada beliau (Kak Long 7E) tetapi rakyat Malaysia, jadi kami harap masyarakat lebih sensitif dan hormat kepada golongan OKU.

    “Perbuatan mempersendakan dan menghina OKU bukan sesuatu yang boleh dijadikan permainan…kami ada perasaan, jadi ia perlu dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Muhamad Firdaus berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sekurang-kurangnya mengarahkan Kak Long 7E melakukan kerja amal sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang lain.

    Beliau berkata, persatuan itu yang memiliki 150 ahli juga mendesak Kak Long 7E mengakui kesilapannya kerana walaupun telah membuat permohonan maaf, tiada pengakuan bahawa beliau sengaja mempersendakan OKU.

    Wanita itu didakwa menghina dan memperlekeh golongan OKU apabila dengan sengaja memuat naik video yang mengajuk mimik muka serta gaya berjalan golongan berkenaan menerusi laman sosial baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. – BERNAMA