SEBANYAK enam laporan diterima oleh pihak polis berhubung tindakan Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long 7E, yang dikatakan menghina golongan orang kurang upaya (OKU) yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keenam-enam laporan dibuat oleh mereka yang tidak puas hati, khususnya golongan OKU yang terkesan dan rasa terhina ekoran perlakuan wanita terbabit mengajuk pergerakan dan mimik muka golongan itu.
Katanya, enam laporan itu masing-masing satu diterima polis Terengganu, Johor, Perak, dan Kuala Lumpur, manakala dua lagi diterima polis Selangor.
Menurut beliau, polis Terengganu akan memanggil wanita terbabit untuk merakam percakapan berhubung kes itu.
“Susulan daripada laporan yang dibuat Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu, Khamis lalu, kita akan memanggil wanita terbabit untuk mengambil rakaman percakapan di IPD Dungun dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perjumpaan Ketua Polis Terengganu Bersama Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu, hari ini.
Rohaimi berkata, kes itu dirujuk kepada polis Selangor memandangkan pihak berkenaan memulakan siasatan selepas menerima laporan dairpada seorang individu golongan OKU fizikal.
Individu berusia 42 tahun dari Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor itu terus membuat laporan polis selepas tidak puas hati dan berasa terhina ekoran tindakan wanita terbabit.
“Kita menyerahkan siasatan Wan Noor Baizura kepada polis Selangor dan kita sedia memberi bantuan termasuk akan mengambil rakaman percakapan wanita terbabit,” katanya.
SEORANG kanak-kanak Tahun Satu terpaksa melupakan hasratnya untuk memulakan sesi persekolahan baharu, selepas cedera akibat diserang seekor kera di Kampung Baru Kuala Abang di Dungun, pada Ahad lepas.
Akibat serangan itu Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, 7, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dan tangan kanan.
Ibunya Suzilawati Ismail, 39, berkata, anak bongsunya daripada dua beradik itu jelas sangat terkilan apabila kini terlantar di hospital menerima rawatan, sedangkan pada mulanya dia nampak cukup riang dan teruja untuk hadir hari pertama di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang.
“Doktor maklumkan anak saya mungkin tidak dapat berjalan dalam tempoh sebulan kerana kecederaan teruk di kakinya. Sepanjang tempoh itu, dia mungkin akan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sahaja.
“Meskipun agak trauma dan sedih, namun saya bersyukur kerana Muhammad Umar Ziyad semakin pulih serta ceria hari ini, dan jika tiada sebarang halangan, dia akan dibenarkan pulang ke rumah pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Dalam kejadian pada 6.55 petang Ahad lepas, Suzilawati berkata, beliau bersama dua anaknya berada di rumah kakaknya yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.
“Muhammad Umar Ziyad pulang dahulu ke rumah, saya dan anak sulung masih berada di beranda rumah kakak, tiba-tiba terdengar dia menjerit meminta tolong di halaman rumah saya.
“Nasib baik suami memang ada di rumah dan segera menyelamatkan dia. Kaki dan tangannya berlumuran darah dan koyakan pada kaki memang besar,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.
Suzilawati berkata, disebabkan luka anaknya yang serius, dia terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan semula kulitnya yang koyak. – Bernama
SERAMAI 10 individu yang juga pemandu kereta mewah akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung insiden konvoi yang menghalang laluan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan membuka tiga kertas siasatan iaitu membabitkan kesalahan merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu.
“Saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melakukan siasatan terperinci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati punca insiden terbabit disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.
Malah, kata beliau, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada pukul 6.10 petang.
Terdahulu, pemandu wanita berkenaan yang ditahan pada pukul 1 pagi semalam kini direman selama tiga hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi kereta mewah.
Pemandu Ford Ranger itu dipercayai cuba memotong konvoi secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri.
Disebabkan pelanggaran itu, peserta konvoi berkenaan tidak berpuas hati dan menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku selisih faham antara mereka.
KES saman Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar terhadap Datuk Lokman Noor Adam selesai secara baik pada Isnin selepas bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membuat permohonan maaf kepada Ketua Hakim Syarie berkenaan.
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata, pada prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff hari ini, beliau memaklumkan kepada mahkamah mengenai terma-terma dalam perintah persetujuan.
“Lokman menerima maklumat salah daripada pihak ketiga dan tidak menyemaknya terlebih dahulu dengan plaintif (Mohd Na’im) sebelum menyedari maklumat yang disampaikan itu adalah salah.
“Beliau (Lokman) kesal dan memohon maaf dengan apa yang terjadi serta berjanji tidak akan mengulanginya dan akan menurunkan kesemua penghantaran berunsur fitnah terhadap plaintif (Mohd Na’im),” katanya dan menambah Hakim Rozana merekodkan perintah persetujuan itu.
Prosiding itu turut disertai Na’im serta peguam Logen Eksander Abdullah dan Norfazilah Jaafar yang mewakili Lokman.
Logen Eksander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara itu dan berkata beberapa terma dalam perintah persetujuan tidak didedahkan atas persetujuan kedua-dua pihak.
Mohd Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.
Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Januari dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Januari dan 13 Januari lepas.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial. – Bernama
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengawalan wabak COVID-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi perkongsian di Twitter berkata kompaun berkenaan dikeluarkan pada 20 Mac dan beliau turut menyertakan bukti kertas saman terhadap Lim.
Khairy membuat perkongsian itu sebagai reaksi selepas Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa Lim tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang berlangsung Ahad lepas.
Kompaun yang dikeluarkan oleh Kementeri Kesihatan kepada Lim Kit Siang.
“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor yang masih belum settle (dijelaskan).
“KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS (Datuk Seri) enggan terima sebelum ini,” katanya lapor Bernama.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata KKM mengeluarkan lima kompaun kepada bekas perdana menteri itu atas kesalahan pelanggaran SOP pada PRN Johor.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan, Najib dalam reaksi segeranya mempersoalkan kenapa hanya Kit Siang sahaja yang dikompaun sedangkan ramai lagi berpelukan di kongres tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu juga berjanji akan membayar kompaun yang dikenakan ke atasnya.
BEKAS Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan memperdaya Ahli-ahli Lembaga Pengarah JCorp membabitkan pelaburan RM9.46 juta pada 2019.
Kamaruzzaman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.
Tertuduh yang berusia 58 tahun hanya mengangguk tanda faham dan memohon agar dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Kamaruzzaman didakwa menipu dengan memperdaya ahli lembaga tersebut untuk melabur sebanyak USD1 (RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited, manakala sebanyak USD1.25 juta (RM5.27 juta) pula dilaburkan dalam World Logistic Council Americas LLC.
Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui satu pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah USD5 juta (RM21.07 juta) untuk membuat pelaburan berkenaan.
Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar, Johor Baahru pada 8 Julai 2019.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.
Mahkamah kemudian membenarkan Kamaruzzaman dijamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah, perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun peguam tertuduh, K. Ragunath memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman bakal menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.
Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum bersara pada 12 Disember 2019.
PADAH melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, dua daripada tiga remaja yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis, semalam.
Mereka yang berusia 17 tahun bersama seorang lagi penunggang motosikal berumur 22 tahun terdahulu diekori Skuad 42 Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, skuad tersebut mengekori penunggang motosikal itu di Lebuhraya Linkedua dan di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru sebelum menahan ketiga-tiga mereka.
“Anggota polis melakukan risikan dan bertindak mengekori sekumpulan remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan zig zag di lokasi tersebut.
“Tindakan remaja terbabit amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 manakala tidak lebih daripada RM15,000.
“Selain itu, suspek juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan,” ujarnya.
Dzulkhairi turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan penting bagi memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam perkara yang mengundang bahaya kepada diri dan orang lain.
BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas rokok dan arak seludup berjumlah RM421,769 selepas melakukan serbuan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru semalam.
Menerusi serbuan pukul 4 petang itu, PGA merampas 20 kotak rokok, 1,548 botol arak dan sebuah Toyota Hiace yang dipercayai menjadi kenderaan pengangkutan barang tidak bercukai berkenaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Johor Bahru.
“Modus operandi sindiket menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan stok rokok atau arak tiada cukai. Aktiviti difahamkan sudah beroperasi lebih kurang lima bulan.
“Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KETIDAKPATUHAN terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur berjumlah RM1.299 bilion, kerugian wang awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan pada 2020.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan tahun lepas, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pematuhan terhadap lima agensi persekutuan dan mengemukakan 19 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.
“Setakat 31 Dis 2021, sebanyak 140 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara manakala tujuh penyata kewangan dalam proses pengauditan.
“Sebanyak 109 penyata kewangan telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, 14 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara dan 17 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Berteguran,” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), hari ini.
Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini melibatkan LKAN Tahun 2020 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2020.
Selain itu, laporan juga melibatkan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2020 Siri 1 bagi Aktiviti Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.
Nik Azman berkata pengauditan prestasi terhadap aktiviti kerajaan dijalankan selaras Seksyen 6 (d) Akta Audit 1957 serta berpandukan piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI).
Katanya, pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan menilai pencapaian objektif aktiviti, projek dan program kerajaan serta sama ada pelaksanaannya dilakukan dengan berhemat, cekap dan berkesan.
“Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat ‘nilai terbaik untuk wang’, katanya.
Sementara itu, sebanyak 10 pengauditan prestasi bernilai RM39.719 bilion telah dilaksanakan di lapan jabatan, tiga syarikat milik kerajaan dan empat badan berkanun Persekutuan dan agensi di bawah tujuh kementerian.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, enam pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, tiga kategori projek serta satu melibatkan sistem ICT manakala secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan adalah mengikut objektif yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan pencapaian keberhasilan yang ditetapkan tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai. Hal ini kerana sasaran kuantitatif, mekanisme dan indikator tidak ditetapkan, serta data berkaitan tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” katanya.
Nik Azman berkata sebanyak 33 syor dikemukakan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan yang diaudit.
Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 18 program, aktiviti dan projek melibatkan dua kementerian di Sabah dan Sarawak, 15 jabatan dan 12 agensi kerajaan negeri serta pengauditan pengurusan syarikat terhadap 11 syarikat kerajaan negeri.
Sebanyak 111 syor telah dikemukakan melibatkan 70 syor dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi negeri serta 41 syor untuk syarikat kerajaan negeri yang berkenaan, katanya.
Nik Azman berkata LKAN mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan 2020 Siri 1 mengandungi hasil pengauditan terhadap enam syarikat kerajaan Persekutuan.
“Secara keseluruhannya, empat syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat; dua syarikat menunjukkan tahap amalan tadbir urus korporat yang baik; dan tiga syarikat memperlihatkan kedudukan kewangan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 31 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk diambil tindakan bagi penambahbaikan perkara yang dilaporkan.
LKAN mengenai aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dan LKAN 2020 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara.
Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.
LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Isu-isu LKAN Tahun 2020 Siri 1 juga akan dimuat naik di Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) mulai pukul 10.30 pagi dan sebarang pertanyaan lanjut serta pandangan boleh dihantar kepada [email protected].
PERHIMPUNAN Agung UMNO berakhir pada Sabtu lalu. Pelbagai gelagat dapat dilihat dan pelbagai ucapan kita dengar. UMNO yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ternyata menjadikan perhimpunan tahunan itu sebagai ‘gelanggang’ untuk menunjukkan kepada ‘dunia’ bahawa mereka satu-satu parti pilihan rakyat Malaysia.
Tetapi mereka lupa kemenangan di PRN Melaka dan PRN Johor boleh dianggap bukanlah ‘kemenangan tulen’.BN/UMNO bernasib baik kerana ketika kedua-dua pilihan raya itu berlaku jumlah keluar mengundi adalah rendah dan pada masa sama parti lawan pula berpecah sehingga mewujudkan pertarungan lebih tiga penjuru yang sekaligus menguntungkan BN.
Strategi BN/UMNO menjadikan slogan ‘kestabilan’ sebagai bahan kempen sedikit sebanyak membantu parti itu untuk mencapai kemenangan, tetapi persoalannya adakah BN/UMNO sahaja mampu membawa kestabilan?
Bagaimana jika parti lawan mereka bergabung? Bagaimana jika berlaku pertarungan satu lawan satu? Bagaimana jika BN hanya perlu berhadapan dengan satu sahaja lawan di satu-satu kawasan?
Penganalisis-penganalisis politik awal-awal lagi sudah memberi amaran bahawa BN bukanlah kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Kelemahan inilah yang memberi kelebihan kepada BN untuk mencatatkan kemenangan.
Di PRN Johor membuktikan ‘pertarungan’ banyak penjuru memberi kelebihan kepada BN, bagaimana jika situasi sama berulang dalam PRU-15.
Semua parti yang melawan BN mengetahui dan memahami bahawa usaha mereka untuk menumbangkan atau berhasrat menghalang BN kembali berkuasa hanya impian kosong jika mereka tidak mencari jalan untuk mencapai persefahaman bagi memastikan BN hanya berhadapan dengan satu lawan sahaja.
Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, PKR, MUDA dan Pejuang antara parti yang boleh memberi saingan sengit kepada BN. Perikatan Nasional terutamanya sudah terbukti menjadi saingan utama kepada UMNO di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Statistik dalam PRN Melaka dan Johor sudah membuktikan jumlah sokongan diterima oleh Perikatan Nasional dalam kalangan pengundi Melayu semakin meningkat manakala pengundi Cina walaupun memberi kemenangan kepada MCA di satu dua kerusi tetapi realitinya majoriti mereka masih bersama DAP.
Apa yang berlaku di PRN Melaka dan Johor sekadar isyarat pengundi Cina kepada DAP supaya melakukan sesuatu untuk memperbaiki kelemahan dan jika itu dilaksanakan oleh DAP, dalam PRU-15 pengundi Cina akan kembali kepada DAP. PKR pula semakin merudum kekuatan mereka, tetapi kemunculan semula Rafizi Ramli dan penampilan Nurul Izzah yang dilihat mampu menarik sokongan pengundi muda kepada PKR.
Bagaimana dengan MUDA dan Pejuang. MUDA dilihat lebih selesa untuk bersama DAP manakala Pejuang pula masih dibelenggu dengan dendam politik terhadap Perikatan Nasional dan PKR, tetapi parti itu tidak mahu turut serta dalam pendekatan politik ‘Sekadar bermuafakat bukan bergabung’, tidak mengapa.
Apa yang penting ialah muafakat antara Perikatan Nasional, PKR dan DAP. Permuafakatan ini bukan maksud bergabung atau meninggalkan prinsip perjuangan masing-masing, sebaliknya ia bertujuan untuk memastikan tidak wujud pertarungan yang akan menguntungkan BN.
Tiada gunanya kerana berbeza fahaman politik masing-masing tetap bertanding di kawasan yang semua tahu hari penamaan calon pun dah kalah. Contohnya, di Johor Pejuang bertanding di 42 kerusi, semua kalah, Perikatan Nasional bertanding di 56 kerusi menang tiga. Prestasi Perikatan Nasional di kawasan Melayu memberangsangkan, di kawasan majoriti Cina calon Perikatan Nasional sekadar catat nama dalam kertas undi sahaja.
Begitu juga PKR yang menggunakan simbol sendiri, ia tak ke manapun. Sebenarnya dalam pilihan raya ia bukan soal simbol, kalau pakai simbol arnab pun, kalau pengundi nak.. menang jugak.
Mungkin ramai yang berpandangan bagaimana kesemua parti itu boleh mewujudkan kerjasama dalam merealisasikan pertarungan satu lawan satu dengan BN pada PRU-15.
Perlu difahami ia bukan bermakna mereka bergabung dalam satu pakatan atau perikatan tetapi sekadar ada MoU supaya pertembungan banyak penjuru tidak berlaku.
Memangla kalau ikut kan semua parti, masing-masing rasa boleh menang, kawasan yang mereka tandingi tetapi realitinya bila dicongak-conggak sesetengah kawasan tu sejak dulu,kini dan selamanya mereka tidak boleh menang, buat habis wang dan tenaga sahaja.
Oleh itu lebih baik, mereka beri laluan kepada parti yang boleh mencabar BN di kawasan berkenaan.
Nanti ada pula yang bertanya, apakah bentuk kerajaan yang mahu diwujudkan? Tidakkah ia menjadi caca marba? Penulis nak tanya, kesemua parti yang bertanding ini, bertanding atas dasar apa? Adakah semata-mata untuk merebut kuasa atau mahu berkhidmat kepada rakyat serta memajukan negara?
Kalau keuntungan politik tidak menjadi sandaran dan mereka tidak hipokrit atau retorik dalam bab membela rakyat, mereka tidak kisah mencari jalan untuk mewujudkan pendekatan politik ‘sekadar muafakat bukan bergabung’. Sama ada ia diterima atau tidak, biarlah rakyat tentukan dalam pilihan raya, apa yang penting cubalah dulu.
Penulis yakin jika kesemua parti yang menentang BN meletakkan calon yang betul, di kawasan yang betul, tidak mustahil mereka mampu memberi saingan sengit kepada BN, kalaupun tidak dapat menghalang BN menubuhkan kerajaan tetapi dapat menafikan dua pertiga majoriti dan mewujudkan pembangkang yang kuat sudah mencukupi.
Kalau tiada usaha dilakukan oleh parti-parti bagi mencari kesepakatan antara mereka dalam menentang BN dalam pertarungan satu lawan satu dalam pilihan raya, percayalah apa yang sedang dilakukan oleh parti-parti tersebut ia ibarat ‘mencurahkan air ke keladi’ tak ada faedah pun…dan BN pasti tersenyum dan terus ‘berkepak’, biarpun pemimpin mereka dibaluti pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa!