Category: Semasa

  • Penuntut Jepun didenda RM2,000 buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir lelaki Afrika

    Penuntut Jepun didenda RM2,000 buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir lelaki Afrika

    PADAH membuat laporan polis palsu konon disamun dan dirogol sekumpulan lelaki Afrika, seorang penuntut kolej swasta warga Jepun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

    Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Ageha Matsuzaki, 20, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan tertuduh diperintahkan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

    Matsuzaki membayar denda itu, lapor Bernama.

    Dia didakwa memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang polis yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan, pada 12.30 tengah hari 2 Feb lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

    Peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili Matsuzaki memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan dilakukan memberi pengajaran kepada anak guamnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Wafi Husain memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyusahkan banyak pihak terutama polis dan dia hanya mengaku membuat laporan palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat melakukan siasatan.

    Berdasarkan fakta kes, dalam laporan polis dibuatnya, wanita itu menyatakan ketika berjalan di depan sebuah apartmen pada 8 malam 1 Feb lalu, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang dan berhenti di tepinya.

    Laporan polis itu menyebut seramai lima atau enam lelaki warga Afrika turun dari kereta dan memaksa wanita berkenaan mengikut mereka dan salah seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau sebelum wanita itu dipukul serta dirogol oleh empat atau lima lelaki secara bergilir-gilir manakala kad kredit (Japanese Visa) dan wang RM100 turut diambil.

    Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan wanita itu mengaku memberikan laporan palsu dan tiada sebarang bukti atau kejadian rogol seperti dinyatakan.

  • 2 juta penerima Sinovac dijangka hilang status vaksinasi lengkap 1 April – KJ

    2 juta penerima Sinovac dijangka hilang status vaksinasi lengkap 1 April – KJ

    KIRA-kira dua juta penerima vaksin Sinovac diunjurkan berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, ketika ini sebanyak 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak.

    “Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan unjurkan bahawa mungkin akan ada dua juta penerima vaksin berisiko hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Sebelum ini, tempoh untuk mendapatkan dos penggalak bagi penerima vaksin itu sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap berakhir 28 Feb lepas, sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Mac ini.

    Khairy berkata bagi menggalakkan penerima vaksin jenis itu mendapatkan suntikan penggalak, perbincangan dengan Singapura juga turut dilakukan susulan persetujuan kedua-dua negara membenarkan pengembara lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19.

    “Saya bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, mereka (Singapura) juga menganggap divaksinasi sepenuhnya untuk Sinovac (penerima) sebagai tiga dos (termasuk penggalak), jadi jika anda ingin menikmati perjalanan ke Singapura, tanpa kuarantin, anda tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

    Pengecualian kuarantin dan ujian COVID-19 bagi perjalanan darat Malaysia-Singapura itu turut merangkumi ujian prapelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April ini.

    Sementara itu, Khairy berkata walaupun negara akan beralih ke fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini, namun mandat pemakaian pelitup muka adalah kekal.

    Dalam pada itu, Khairy berkata permohonan kuarantin di rumah dan pemakaian peranti pengesanan digital adalah antara prosedur untuk pengembara yang akan dimansuhkan bermula 1 April ini.

    Turut dimansuhkan ialah Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi, kaunter ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR oleh Kementerian Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan My TravelPass.

    — BERNAMA

  • Rasuah institusi automotif: 9 individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan

    Rasuah institusi automotif: 9 individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan

    SEMBILAN  individu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara.

    Menurut sumber SPRM, mereka yang berusia antara 34 dan 58 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam terdiri daripada empat pemilik syarikat, dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif serta ketua pegawai operasi.

    Dua daripada individu terbabit disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020, kata sumber itu.

    Kesemua individu terbabit kini direman antara tiga dan enam hari bermula hari ini, setelah perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) (A) Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • Pengembara udara Malaysia-Singapura tak perlu kuarantin tapi lakukan ujian Covid-19

    Pengembara udara Malaysia-Singapura tak perlu kuarantin tapi lakukan ujian Covid-19

    SEMUA pengembara antara Malaysia dan Singapura yang telah lengkap vaksinasi menggunakan pengangkutan udara tidak perlu lagi menjalani kuarantin dan melakukan pengujian Covid-19 semasa ketibaan.

    Sebaliknya, pengembara tersebut hanya perlu melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas sama ada dari Malaysia atau Singapura.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung protokol perjalanan sempadan udara bagi pengembara antara Malaysia dan Singapura.

    Menurut Khairy, pengembara yang merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura pula tidak perlu menjalani kuarantin serta melakukan ujian sebelum atau semasa ketibaan seperti diumumkan Perdana Menteri kedua-dua negara.

    “Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

    “Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

    “Dari segi kekerapan, tiada lagi kuota untuk jalan darat, semua kategori pengangkutan boleh menggunakan sempadan sama ada Tambak Johor atau Linkedua.

    “Bagi pesawat pula, kedua-dua kerajaan menyerahkan kepada syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan dari sudut komersial, tiada lagi sekatan, semua dibuka,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

    Sementara itu, Khairy turut mengumumkan protokol perjalanan sempadan darat bagi Thailand dengan hanya dua pintu sempadan dipersetujui dibuka mulai 1 April ini.

    Kata beliau, ia melibatkan sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

    “Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

    “Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand,” jelas beliau.

  • Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

    Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

    PENGEMBARA yang memasuki Malaysia mulai 1 April ini selepas pembukaan sempadan negara dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) profesional di fasiliti kesihatan swasta dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini.

    Itu merupakan antara protokol am disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya pada 1 April ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara juga dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.

    Menurut beliau, pengembara juga perlu melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera.

    Pada masa sama, katanya, pengembara harus melaporkan dan memuatnaik keputusan ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.

    Semasa tiba di pintu masuk antarabangsa, Khairy memaklumkan, pengembara akan melalui saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala manakala pengembara tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter Imigresen untuk semakan lanjut.

    “Keputusan ujian RTK-Ag yang dilakukan itu akan diperolehi dalam aplikasi MySejahtera, sekiranya keputusan positif, pengembara dengan vaksin lengkap diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 7 hari di tempat penginapan bagi kategori 1 dan 2.

    “Namun, bagi kategori 3 ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital swasta.

    “Bagi pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi pula, mereka akan diberikan (HSO) selama 10 hari.

    “Kalau pengembara tak melakukan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam, status mereka akan bertukar merah dan mereka tak boleh masuk ke kedai makan.

    “Paling penting mereka dah lakukan kesalahan dan boleh diusir keluar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat KKM pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi pengembara yang lengkap vaksin dengan keputusan ujian RTK-Ag profesional negatif tidak perlu menjalani kuarantin.

    Sebaliknya, pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi perlu melalui HSO selama lima hari di tempat penginapan.

    Malah, pengembara itu dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag profesional pada hari kelima.

    “Sekiranya ujian sampel kedua COVID-19 didapati positif, mereka akan diberikan HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil.

    “Jika keputusan negatif, mereka akan dilepaskan daripada HSO,” jelas beliau. 

  • [VIDEO] Mangsa kes pukul di Manjung ‘hilang’

    [VIDEO] Mangsa kes pukul di Manjung ‘hilang’

    POLIS meminta penunggang basikal yang dipukul menggunakan batang besi oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, pihaknya telah memperoleh perintah untuk siasat (OTI) daripada timbalan pendakwa raya hari ini bagi meneruskan siasatan, namun ia tidak dapat dilengkapkan berikutan mangsa dipercayai lelaki warga asing itu, tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

    “Suspek telah mengaku (ketika soal siasat) namun mangsa tidak tampil, jadi bagaimana kami hendak tahu kecederaan dialami dan sebagainya.

    “Siasatan mungkin akan tertangguh, jadi kami minta mangsa supaya tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

    https://twitter.com/i/status/1505325786093744128
    Kredit: Twitter Dzulfadzli Mohamad

    Beliau berkata, setakat ini polis telah menjalankan siasatan dengan memanggil suspek berusia 34 tahun itu, selain mengambil keterangan saksi kejadian termasuk rakannya yang merupakan pemilik kereta yang digunakan ketika kejadian.

    Katanya, orang awam di tempat kejadian yang menyaksikan insiden itu, turut diminta memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan termasuk bagi mengenal pasti identiti mangsa.

    Pada Selasa lepas, polis merekodkan keterangan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan mendapati punca kejadian adalah salah faham antara kedua-duanya hingga suspek bertindak memukul mangsa kerana mendakwa mangsa telah memaki hamun serta mencabarnya.

    Tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaannya lalu memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya AEON Mall Seri Manjung. – BERNAMA

  • Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG gadis yang sedang beriadah di Air Terjun Gunung Ledang, Jalan Sagil-Jementah di Tangkak ditemukan lemas pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba kira-kira sejam kemudian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Hairulnizam Ridhuan berkata, hasil maklumat daripada saksi awam memaklumkan mangsa dipercayai lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.

    “Anggota bomba telah mendaki ke lokasi yang dilaporkan. Hasil pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ menemukan mangsa pada pukul 11.38 pagi.

    Mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba

    “Pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa turun ke kaki gunung untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Menurut beliau, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Operasi tamat pada pukul 12.54 tengahari.

  • Tiba masa rombak silibus pendidikan – TMJ

    Tiba masa rombak silibus pendidikan – TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SUDAH tiba masanya untuk merombak silibus pendidikan, titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Baginda berpendapat, individu daripada semua peringkat umur tanpa mengira status atau latar belakang harus mempunyai akses yang mudah kepada peluang pendidikan untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

    Titah Tunku Ismail, adalah penting pendidikan berkualiti diberi kepada rakyat khususnya golongan belia bagi membantu mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup.

    “Akses kepada pendidikan merupakan perkara yang sentiasa dekat di hati saya. Pandemik Covid-19 telah menunjukkan kepentingan kepada seseorang individu agar menjadi celik teknologi dan kemahiran itu adalah sesuatu perkara yang amat penting.

    “Belia kita perlu memiliki kemahiran yang mencerminkan keperluan dunia dinamik yang sentiasa berubah. Kita perlu merapatkan jurang antara kualiti graduan kita dengan tuntutan pasaran kerja,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Tunku Ismail, untuk manfaat jangka panjang negeri Johor pula, pihak terlibat perlu meneroka idea untuk memastikan belia negeri itu serba lengkap dan terdidik untuk menyahut cabaran masa depan.

    “Selain pengetahuan, kita juga memerlukan inisiatif dalam pembangunan sahsiah dan mendidik belia kita menjadi individu yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berbelas kasihan.

    “Belia Johor layak belajar daripada yang terbaik untuk berkembang dan menjadi individu dewasa yang berjaya,” titah baginda.

    Tunku Ismail bertitah, baginda akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem pendidikan di Johor pada masa depan.

  • KDNKA rampas barang seludup RM10.6 juta

    KDNKA rampas barang seludup RM10.6 juta

    JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merampas RM10.6 juta menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK) pada 26 Februari sehingga 22 Mac lalu.

    Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rampasan tersebut melibatkan lapan siri serbuan membabitkan operasi sindiket penyeludupan kontraban, hidupan liar dan penyelewengan barangan kawalan.

    “Dalam operasi pertama pada 26 Februari polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Klang dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.

    “Serbuan kedua pada 8 Mac lalu menerusi Op Kontraban berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor dan menahan lelaki tempatan selain merampas 183,160 batang rokok bernilai RM383,265,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Menurutnya, operasi ketiga dijalankan pada 9 Mac menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas tiga ekor haiwan marmoset di Subang Jaya, Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM60,000.

    “Hasil operasi berkenaan membawa kepada serbuan di kedai milik suspek sekali gus merampas 70 burung pelbagai jenis dan warna dengan jumlah rampasan sebanyak RM260,000.

    “Susulan serbuan dan operasi ketiga membawa kepada satu lagi serbuan berasingan pada tarikh yang sama di Seri Kembangan dan menahan seorang wanita warga tempatan,” katanya.

    Menurutnya, serbuan kelima dijalankan pada 16 Mac menerusi Op Kontraban di mana sindiket menjual minuman keras bebas cukai berjaya ditumpaskan di Kepong, Kuala Lumpur.

    “Serbuan ini berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Turut dirampas adalah minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter dan minuman keras jenis liquor sebanyak 1,306.88 liter bernilai RM465,845.74, selain itu turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM736,658.99.

    “Sementara itu, serbuan keenam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Puchong, Selangor pada 17 Mac lalu dan merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

    Katanya, serbuan ketujuh yang dijalankan pada 18 Mac turut berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Temerloh, Pahang membabitkan nilai rampasan RM1 juta.

    “Sementara serbuan terakhir dijalankan pada 22 Mac lalu menerusi Operasi Penyelewengan barangan kawalan di Semporna, Sabah polis menumpaskan sindiket penyeludupan petrol membabitkan rampasan RM5.5 juta selain menahan tujuh lelaki tempatan.

    “Berdasarkan statistik keberhasilan berjaya melaksanakan 16 serbuan dan menahan seramai 26 individu,” katanya.

  • Dewan Rakyat lulus usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik

    Dewan Rakyat lulus usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik

    • Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dibentang 11 April

    RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebih 2/3 Ahli Parlimen bersetuju.

    Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama raja dan pasangan, Yang DIpertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersetujui semua 181 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang hadir ketika pengundian.

    “Oleh sebab mengikut peraturan persekutuan, RUU pindaan ini memerlukan sokongan undi tidak kurang 2/3 Ahli Parlimen, maka saya memerintah satu belah bahagian dilakukan, 2/3 undi iaitu bermaksud tidak kurang 148 undi daripada 222 Ahli Dewan Rakyat.

    “Keputusan belah bahagian seperti berikut, bersetuju 181, tidak hadir 39, tiada yang tidak bersetuju, RUU diluluskan,” kata Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu bertujuan meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A bagi mengecualikan golongan diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih, seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya, cadangan pindaan itu sudah dipersetujui secara bersama antara semua kerajaan negeri, dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu dan telah dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 8 hingga 12 Mac.

    Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan raja-raja Melayu dan kedudukan Yang Dipertua Negeri seperti termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri.

    SEMENTARA itu, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentang pada Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini.

    Wan Junaidi berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu.

    “Saya ada berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri dan kita telah bersetuju persidangan pada 11 April ini diadakan untuk kita membahaskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.

    Kuasa di bawah Peraturan 11(3) ini memang kuasa dan hak Perdana Menteri dan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) tapi tarikh itu ditetapkan dalam masa 14 hari,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangun mencelah dan bertanyakan bila Sidang Khas Parlimen itu akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak membuat persiapan.