Category: Semasa

  • Nelayan putus jari tarik pukat

    Nelayan putus jari tarik pukat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan putus jarinya ketika menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada pagi ini.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.20 pagi.

    “Nelayan tempatan memaklumkan rakan mereka terputus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat dan bot nelayan itu dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.

    “Mangsa, Azmi Arifin, 46, putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jari Azmi putus akibat tersepit ketika melakukan kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar

    Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengkoordinasikan bantuan dengan menghubungi komuniti maritim berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.

    “Mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada 1.45 tengah hari dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

  • Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

    PASANGAN beregu wanita profesional negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo meneruskan rentak kecemerlangan apabila mengejutkan pilihan keenam untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

    Pada aksi suku akhir berlangsung awal pagi tadi, gandingan itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pasangan dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N.Sikki 22-20, 23-21 dalam tempoh 54 minit.

    Chiew Sien-Vivian bermula baik di set pertama apabila mendahului 7-2, namun sebaik pihak lawan mendapat rentak aksi bertukar menjadi sengit hingga mata terikat 20-20 sebelum dua mata terakhir berjaya diraih wakil negara untuk kemenangan set pertama.

    Momentum itu diteruskan Chiew Sien-Vivian pada set kedua yang turut menyaksikan perlawanan berlangsung sengit sekali gus memaksa pasangan negara mengerah segala kudrat untuk menoktahkan kejayaan 23-21.

    Menanti mereka di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) adalah pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Stoeva Gabriela-Stoeva Stefani, yang merupakan pilihan ketiga.

    Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir selepas cemerlang mengatasi pasangan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.

  • ‘Seminggu lagi, masih sempat terima dos penggalak, kata Khairy

    ‘Seminggu lagi, masih sempat terima dos penggalak, kata Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menaruh harapan tinggi terhadap warga emas dan penerima vaksin Sinovac untuk segera mendapatkan dos penggalak dalam masa berbaki lima hari sahaja lagi sebelum kehilangan status lengkap vaksin.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun terdapat segelintir individu merungut dengan keputusan KKM membatalkan status tersebut, namun syarat yang diletakkan itu berdasarkan data bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara lain.

    “Ada masa lebih kurang seminggu lagi. Masih sempat untuk mereka menerima vaksin (dos penggalak).

    “Semalam kita sudah maklumkan cara-cara untuk mendapatkan link bagi membuat temu janji di MySejahtera,” katanya memetika laporan Sinar Harian, selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di Sepang, hari ini.

    Sebelum ini, Khairy Jamaluddin memaklumkan penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

    Katanya, jika gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

    Pada Jumaat, beliau turut memaklumkan lebih dua juta penerima vaksin Sinovacbakal kehilangan status vaksinasi tersebut dan itu bukan perkara baru tetapi sudah dimaklumkan sejak 16 Disember tahun lalu.

  • SPM 2021 sesi kedua 5 April ini

    SPM 2021 sesi kedua 5 April ini

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei ini.

    Beliau dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.

    Katanya, ia dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki kesemua ujian itu yang dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac ini.

    “Calon tersebut adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

    “LP ingin mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April ini,” katanya.

    KPM berkata, semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

    Katanya, jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my juga pada 1 April ini.

    “Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

    “Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM,” katanya.

    KPM memberitahu, ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 dan rujukan garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my.

    Dr. Radzi berkata, pastinya calon serta ibu bapa yang anak-anak mereka tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2021 akibat Covid-19 atau terkesan dengan bencana banjir ternanti-nanti pemakluman tarikh baharu untuk mereka menduduki peperiksaan tersebut

  • Juruteknik pendingin hawa mati akibat bergaduh

    Juruteknik pendingin hawa mati akibat bergaduh

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa ditemukan mati akibat bergaduh dengan beberapa kesan kecederaan pada badan di sebuah bangunan di Jalan Ampuan, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.54 malam itu, polis yang menerima maklumat melalui talian MERS 999 berkaitan pergaduhan itu bergegas ke tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, mangsa berusia 45 tahun dipercayai bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penjaga tokong.

    Katanya, motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana mangsa dan suspek sebelum ini dipercayai pernah bergaduh.

    “Sebaik tiba, polis menemukan seorang lelaki terbaring dan berlumuran darah di mana mangsa disahkan telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

    “Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang warganegara tempatan yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hang Seng berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

    “Selanjutnya pasukan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Tambah Hang Seng, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256.

  • 17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    SEORANG penyanyi dan komposer yang diberkas di kediamannya dalam satu serbuan di sebuah kondominum semalam kerana disyaki menanam pokok ganja dan memproses ganja direman tujuh hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama. 

    Beliau berkata ketika serbuan pada 5.30 petang semalam di kondominium di Kota Damanasara  berdasarkan maklumat dan risikan itu, polis menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.    

    “Selain itu, pasukan serbuan turut menemukan bekas plastik di atas kabinet dapur yang berisi dua plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan berat kira-kira 214 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

    Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah kereta jenis Toyota Wish, satu alat sauna yang diubah suai sebagai rumah hijau buatan (artificial green house) dan wang tunai RM700, dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.

    “Turut dirampas botol berisi cecair pemusnah serangga, alat pengukur (cecair) pemusnah serangga serta alat pengudaraan di rumah yang turut digunakan sebagai studio untuk menghasilkan lagu,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sumber suspek memperolehi ketulan ganja yang mampat itu dan sumber benih ganja yang ditanam namun percaya dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri lelaki itu.

    Katanya, ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ganja.

    “Rumah tersebut adalah milik suspek sendiri dan kita juga percaya suspek belajar untuk memproses pokok ganja dan membina artificial green house itu melalui media sosial,” tambahnya.

    — BERNAMA

  • Polis tumpaskan Geng Naidu Damansara

    Polis tumpaskan Geng Naidu Damansara

    GENG Naidu Damansara yang sebelum ini aktif melakukan samun tumpas selepas polis menahan enam lelaki termasuk tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, pada 3 Mac lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang memaklumkan disamun dua lelaki ketika berada rumah sewanya di Sri Damansara pada 27 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua suspek yang juga warga asing datang mengetuk pintu rumah dengan kuat dan mengarahkan mangsa membuka pintu kononnya untuk membuat pemeriksaan.

    “Semasa di dalam rumah, suspek mengambil pisau dari dapur dan mengacukannya kepada pengadu, manakala rakan suspek pula mengambil tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,050 milik penghuni rumah sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, susulan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Damansara yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 30 dan 41 tahun pada 3 Mac lalu.

    “Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan satu parang disyaki digunakan pada kejadian samun berkenaan.

    “Hasil soal siasat terhadap dua suspek terbabit, kami menahan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga asing dalam serbuan di sekitar daerah ini pada hari sama.

    “Pemeriksaan dilakukan dalam serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki hasil samun dan pecah rumah yang disimpan di dalam sebuah kereta diparkir di kawasan berhampiran,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, peralatan pertukangan dan sebuah Perodua Alza.

    “Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

    “Dengan tertangkapnya semua suspek berkenaan, kami yakin berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan pecah rumah di daerah ini bagi tempoh Januari lalu hingga Mac ini,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/457/379 Kanun Keseksaan selain Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

  • UniSHAMS anggap isu pembinaan asrama, konsultan minta duit RM4 juta tidak berasas

    UniSHAMS anggap isu pembinaan asrama, konsultan minta duit RM4 juta tidak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    UNIVERSITI Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menafikan persoalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said dari Parti Amanah Negara (Amanah) kononnya terdapat konsultan yang meminta wang berjumlah RM4 juta berhubung pembinaan asrama di universiti itu.

    Kenyataan dikeluarkan Pejabat Naib Canselornya memaklumkan, sebelum ini tiada mana-mana konsultan dilantik secara rasmi berhubung pembinaan universiti itu.

    Malah katanya, proses pemilihan konsultan juga hanya akan diiklankan pada Mei 2022.

    “Unishams tidak bertanggungjawab ke atas mana-mana konsultan kerana tiada lantikan rasmi dibuat sebelum ini.

    “Sebagai makluman, pembinaan asrama ini adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan UniSHAMS yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555).

    “Pihak pengurusan UniSHAMS kini masih dalam proses untuk mengemukakan permohonan kepada KPT untuk kelulusan Ketua Pendaftar dan kelulusan pembinaan asrama, di atas tanah yang telah digazetkan kepada pihak Universiti sebelum sebarang proses tawaran dapat diiklankan kepada konsultan,” katanya.

    Dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan universiti berkenaan, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Cabaran tersebut dikemukakan Muhammad Sanusi setelah Salmeen mendakwa dia menerima maklumat daripada kontraktor mengenai tindakan konsultan yang dikatakan meminta wang sehingga RM4 juta berkaitan pembinaan asrama tersebut.

    Kenyataan itu berkata, cadangan pembinaan asrama yang mampu menempatkan seramai 2,000 pelajar itu telah dibentang dan diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat, UniSHAMS Sdn. Bhd. Kali Ke-14 pada 17 Januari 2022 menerusi kaedah pembiayaan Build, Operate And Transfer (BOT) oleh pihak swasta.

    “Memandangkan UniSHAMS tidak mempunyai kepakaran, pelantikan konsultan pembangunan asrama UniSHAMS adalah satu keperluan bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan deraf perancangan reka bentuk dan konsep sehingga asrama tersebut disiapkan sepenuhnya menerusi kaedah Request For Proposal (RFP).

    “Kerja-kerja RFP Ini termasuk Preliminary Detail Abstract oleh pihak arkitek, perundingan kerja-kerja awam dan struktur, perundingan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal, perundingan kerja-kerja ukur bahan dan perundingan perancangan kewangan,” katanya.

    Menurutnya, konsultan akan membantu UniSHAMS menjayakan pembangunan asrama ini secara Build, Operate And Transfer (BOT) kerana ia memerlukan kepakaran pihak-pihak professional menurut peraturan yang berkuat kuasa dengan yuran perkhidmatan yang dikenakan juga akan dipastikan menurut amalan professional ditetapkan Perbendaharaan Malaysia.

    “Pihak pengurusan memandang serius isu ini dan berdasarkan justifikasi yang telah diberikan, ianya dianggap sangat tidak berasas,” katanya.

  • Rosmah, Najib dakwa tak tahu rantai berlian merah jambu AS$23 juta

    Rosmah, Najib dakwa tak tahu rantai berlian merah jambu AS$23 juta

    Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa mereka tidak pernah menuntut, meminta atau berhasrat untuk membeli rantai berlian merah jambu bernilai AS$23 juta.

    Memetik laporan Malaysiakini, pasangan itu berkata mereka hanya tahu bahawa seorang putera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour Zayed mahu menghadiahkan sebentuk barang kemas besar kepada Rosmah.

    Rosmah dan Najib mengulas pendedahan terbaru dalam perbicaraan bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng di New York itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan tiga peguamnya.

    Ketika prosiding dua hari lalu, tukang emas berprestij New York, Lorraine Schwartz memberitahu yang dia memperolehi perjanjian AS$23 juta untuk menjual kepada Rosmah Mansor seutas rantai berlian 22 karat.

    Juri hanya ditunjukkan invois untuk barang kemas itu, bukan barang kemas itu mahupun gambarnya.

    Bukti yang ditunjukkan Schwartz itu bertentangan dengan dakwaan Najib pada 2018 yang berlian itu adalah hadiah daripada putera UAE, Sheikh Mansour.

    Kenyataan media hari ini dikeluarkan oleh tiga peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent, Rajivan Nambiar dan Reza Rahim.

    “Pada setiap masa material, anak guam kami dan suaminya hanya tahu yang seorang putera UAE, bernama Sheikh Mansour Zayed, berhasrat memberikan rantai berlian merah jambu sebagai hadiah kepada anak guam kami.

    “Anak guam kami dan/atau suaminya pada mana-mana masa tidak menuntut, meminta dan/ atau berhasrat membelinya.

    “Nilai rantai itu juga tidak pernah diberitahu kepada anak guam kami dan/atau suaminya.

    “Anak guam kami tidak pernah menerima rantai berlian merah jambu dan ini jelas apabila walaupun diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa, rantai itu tidak pernah ditemui dalam milikan anak guam kami,” menurut tiga peguam itu.

    “Anak guam kami juga tiada pengetahuan berkenaan invois yang ditunjukkan kepada juri dalam perbicaraan Roger Ng.

    “Apa-apa pun, anak guam kami berpendirian pengeluaran invois sahaja tidak bersamaan dengan sebarang bentuk bukti konklusif membabitkan anak guam kami dalam pembelian rantai berlian merah jambu itu.

    “Akhir sekali, anak guam kami menyatakan tindakan mensensasikan isu ini adalah satu lagi usaha cabul untuk memfitnah anak guam kami dan suaminya secara politik dan memetik kata-kata Margaret Thatcher, ‘jika mereka serang anda secara peribadi, ini bermakna mereka tiada satu pun hujah politik yang tinggal’,” kata mereka.

    Rosmah kini berdepan dua perbicaraan jenayah di mahkamah, iaitu perbicaraan rasuah berkaitan projek tenaga solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion dan kes pengubahan wang haram dan elak cukai berjumlah RM7 juta.

    Suaminya pula telah disabit bersalah bagi pertuduhan rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Najib kini dalam proses rayuan untuk mengetepikan sabitan itu di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau juga berdepan beberapa lagi perbicaraan, anaranya kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pecah amanah jenayah bernilai RM6.6 bilion melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC).

  • Lelaki mabuk dipenjara, didenda sebabkan kematian anggota polis

    Lelaki mabuk dipenjara, didenda sebabkan kematian anggota polis

    SEORANG lelaki hari ini dipenjara empat tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mengakibatkan kecederaan parah ke atas rakan setugas polis itu, empat tahun lalu.

    Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas N Mohan Rao, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohan Rao dipenjara 10 bulan jika dia gagal membayar denda itu serta lesen memandunya digantung selama lima tahun.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Roshan Selvaratnam yang mewakili Mohan Rao untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara empat tahun itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Mohan Rao didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian terhadap Konstabel Mohd Zamiri Sinsian, 25, dan kecederaan parah ke atas Konstabel Osman Ibrahim, yang ketika kejadian berumur 23 tahun di Jalan Semantan menghala ke arah pusat bandar di sini pada 3.30 pagi, 5 Disember 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Che Awang dan tertuduh turut diwakili seorang lagi peguam iaitu Tay Yi Kuan.

    Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2019 itu.