Category: Semasa

  • JAIS mula gantung tugas guru KAFA tolak vaksin

    JAIS mula gantung tugas guru KAFA tolak vaksin

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mula melaksanakan tindakan menggantung guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memberitahu, mereka digantung tugas selama dua bulan.

    Jelasnya, tempoh penggantungan tersebut merupakan peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA tersebut untuk melengkapkan pengambilan dos vaksin Covid-19.

    Namun begitu, terdapat segelintir pihak enggan mematuhi ketetapan yang ditetapkan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikuti arahan daripada kerajaan Persekutuan secara terus.

    “Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini.

    “Kita boleh gantung (tugas guru KAFA) lebih lama, tapi kita tidak mahu kerana ia memberi kesan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP).

    “Jika pihak terbabit masih tidak melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tersebut, mereka juga boleh ditamatkan perkhidmatan serta-merta,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, tindakan tersebut dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

    “Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri.

    “Tapi mereka tidak mahu ikut, maka mereka digantung tugas selama dua bulan,” katanya lagi.

  • ‘Kantoi’ sorok jeruk dalam longkang dekat loji kumbahan

    ‘Kantoi’ sorok jeruk dalam longkang dekat loji kumbahan

    CUBAAN sekumpulan penjaja jeruk sanggup menyimpan dan menyorok produk berkenaan dalam longkang dan berhampiran kawasan loji kumbahan bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa tidak berhasil.

    Perbuatan tersebut terbongkar apabila pihaknya mengadakan Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada pukul 2.30 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor (KJSPT), Superintendan M. Kumarasan berkata, operasi itu susulan aduan yang diterima oleh masyarakat yang semakin berleluasa di sekitar kawasan Johor Bahru.

    Menurutnya, operasi yang diketuai PT Penguatkuasa JSPT Johor, Asisten Superintendan Mohd. Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis adalah operasi berkala yang dijalankan dalam menangani isu penjaja jalanan.

    “Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan di dalam negeri Johor dan tumpuan utama adalah di persimpangan lampu isyarat di laluan utama.

    “Hasil operasi yang mendapati bungkusan makanan pencuci mulut itu disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa.

    “Ia adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan memandang remeh berkaitan isu kebersihan makanan dan risiko penyakit bahaya disebarkan sekiranya ia tercemar.

    “Sikap individu yang mencari jalan mudah dengan meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang lain terutama boleh mengundang kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kumarasan berkata, aktiviti menjaja di jalan awam adalah kesalahan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

    “Mana-mana individu yang menjalankan urusan jual beli di jalan awam iaitu menjual dan membeli boleh diambil tindakan mengikut kaedah 10A (1) & kaedah 10A (2) LN 166/59 dan boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

    “Malah di bawah undang-undang kecil PBT, ia juga perbuatan melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja.

    “Kami mengingatkan supaya aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini khususnya kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat.

    “Selain itu, persepsi dan rasa simpati terhadap golongan ini perlu difikirkan kerana ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang dengan mengupah warga asing tanpa mempedulikan aspek kebersihan terhadap makanan bagi mengaut keuntungan dengan mudah dan cepat,” katanya.

  • Saksi utama sakit, perbicaraaan Shafee tangguh

    Saksi utama sakit, perbicaraaan Shafee tangguh

    PERBICARAAN kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke esok kerana saksi ketujuh pendakwaan tidak sihat.

    Pada prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pegawai cukai LHDN, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad memaklumkan keadaan kesihatannya pada pukul 8 pagi tadi.

    “Saksi masih dalam pemeriksaan balas. Saksi kami seterusnya ialah pegawai penyiasat. Justeru kami memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan ke esok,” katanya.

    Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan esok untuk menyambung perbicaraan.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014. – BERNAMA

  • KPDNHEP pantau kenaikan harga makanan bazar Ramadan

    KPDNHEP pantau kenaikan harga makanan bazar Ramadan

    KENAIKAN harga makanan mungkin tidak boleh dielak berikutan perubahan harga bahan mentah di pasaran.

    Bagaimanapun kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, menjadi satu kesalahan sekiranya keuntungan yang diambil terlampau tinggi.

    Susulan itu katanya, lebih 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP akan melakukan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara susulan jangkaan berlakunya kenaikan harga makanan.

    “Peniaga mungkin akan melakukan perubahan harga jual untuk menampung kos dan jika kita terima aduan harga makanan dijual melampau dan tidak munasabah, kita akan lakukan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Apresiasi Kepenggunaan bersama Media Terengganu di Hotel Paya Bunga, di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Rosol mengulas laporan mengenai harga makanan yang dijual di bazar Ramadan dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah.

    Menurut Rosol, kenaikan harga perlu setara dengan peningkatan kos di peringkat pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan ia tidak boleh melebihi daripada kadar sepatutnya, namun sekiranya berlaku KPDNHEP boleh melakukan siasatan secara menyeluruh.

    “Jika dari pemborong kepada peniaga peningkatan hanya 10 peratus, tidak patutlah peniaga kenakan kenaikan kepada pengguna sehingga 30 peratus,” katanya.

    Oleh itu beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh penguat kuasa dengan dibantu pegawai pemantau harga bagi memastikan harga makanan dijual di bazar Ramadan adalah munasabah dan berpatutan.

    “Peniaga boleh menentukan sendiri harga jualan makanan kepada pengguna. Namun, kita akan menjalankan siasatan sekiranya mendapat aduan harga jualannya melampau atau tidak munasabah.

    “Sekiranya siasatan kita mendapati kenaikan harga itu tidak munasabah dan berlaku pencatutan berdasarkan dokumen pembelian di setiap rantaian tadi, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya.

  • Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    DUA rakan maut apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan di Pekan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, insiden pada 3 petang itu menyaksikan Hasyim Amin, 29, dan Dolah Muhtar, 39, maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta.

    “Siasatan awal mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hasyim dari arah Chini menghala ke Kuantan terbabas ke jalan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux yang tidak dapat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux turut cedera dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan.

    Mayat kedua-dua mangsa, yang merupakan Orang Asli, dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Kerajaan tidak pernah jual aplikasi MySejahtera – Khairy

    Kerajaan tidak pernah jual aplikasi MySejahtera – Khairy

    KERAJAAN tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta dan ia adalah hak milik kerajaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, ini sepertimana diputuskan kerajaan pada 26 Nov tahun lepas, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dilantik sebagai pemilik utamanya untuk pengurusan kesihatan awam negara.

    “Data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan, dengan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab isu status pemilikan aplikasi MySejahtera yang dibangkitkan beberapa pihak sejak semalam, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang membangunkan aplikasi berkenaan sepanjang tempoh penggunaannya dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

    Ini menurutnya berdasarkan ketetapan syarikat berkenaan, yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi itu kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran, berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

    Setelah tamat tempoh CSR tersebut, Khairy berkata, kerajaan pada 31 Mac tahun lepas bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan, kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya dan telah melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan hari ini.

    Justeru pada 26 Nov 2021, menurutnya, kerajaan menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga, bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

    Perolehan itu, katanya, dipersetujui Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Feb lepas untuk dilaksanakan, dan kini proses rundingannya telah dimulakan, menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan ‘due diligence’ dilakukan dalam proses ini, bagi memelihara kepentingan kerajaan.

    Jelas Khairy, skop perolehan ini merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan disediakan pihak ketiga, termasuk langganan ke atas ‘Google Map and Places Application Programming Interface’ dan perkhidmatan ‘Short Messaging Service’.

    Khairy berkata, sejak dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan ‘perisian sebagai platform perkhidmatan’ (SaaS), di mana ia membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran diperlukan untuk membangunkan sesuatu perisian baharu.

    Menurut Khairy, penggunaan dan pengurusan datanya pula perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa, selain tidak boleh dikongsi KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

    “KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin, dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya.

    Jelasnya lagi, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera yang kini mempunyai lebih 10 modul serta 38 juta pengguna berdaftar, dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja. – BERNAMA

  • Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    MESKIPUN sudah berpisah hampir tujuh tahun, bekas isteri pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel tetap membantu anak-anak menjaga dan menguruskan Allahyarham sehingga akhir hayatnya di kediaman di Taman Matahari Height, Senawang, di sini.

    Anas Salmee Syed Mohamad, 53, berkata perasaan sayang, hormat dan rasa tanggungjawab mendorong dirinya untuk menjaga Allahyarham. 

    Beliau mula menjaga bekas suaminya itu pada Mac 2020 selepas Amran Tompel diserang angin ahmar kali ketiga yang menyebabkan dirinya terlantar selain mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.

    “Hubungan saya dengannya selepas berpisah pada Mei 2015 tetap baik malah kami sering bertanya khabar. Berakhirlah urusan arwah di dunia ini dan kami bersyukur dapat mengurus dan menjaga arwah sehingga akhir hayatnya. 

    “Melihat keadaan kesihatannya semakin merosot pada hujung tahun lepas, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anaknya di Seremban, hari ini. 

    Anas Salmee berkata jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang kira-kira pukul 10 malam tadi. 

    Dalam pada itu, beliau berkata Allahyarham tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang beliau sakit terlantar. 

    “Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh, saya akan tengok dia sekejap…bagi dia makan dan pastikan makan ubat mengikut masa namun sejak beberapa hari ini keadaan dia agak murung dan tidak memberikan respons seperti biasa serta tiada selera makan,” katanya. 

    Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun disebabkan sakit tua. 

    Allahyarham meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun dan Amran adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an. 

    — BERNAMA

  • Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    NUR Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.

    Anak pertama daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lepas, tular di media sosial terutama dalam kalangan warganet dari Sabah.

    Nur Liyana berkata beliau mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

    “Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

    Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

    Bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

    “Sebagai orang tua, saya  sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu.

    — BERNAMA

  • Bahang semakin terasa…Fahmi Zainol tanding Ketua Pemuda PKR

    Bahang semakin terasa…Fahmi Zainol tanding Ketua Pemuda PKR

    BEKAS aktivis pelajar, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda PKR dalam pemilihan parti Mei ini.

    Pada sidang media hari ini, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu turut memperkenalkan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan berkenaan.

    Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pemuda PKR Melaka, Prasanth Kumar yang masing-masing akan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua sayap itu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran juga menyertai barisan diketuai Fahmi dan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda PKR.

    Fahmi berkata, beliau yakin dengan barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ADUN, pelajar, aktivis politik dan profesional.

    “Saya yakin kepelbagaian ini mampu menambat hati akar umbi dan juga belia Malaysia daripada pelbagai latar belakang,’’ katanya lapor FMT.

    Katanya, beliau akan menumpukan tiga dasar utama – meraih sokongan pengundi muda dan pengundi kali pertama, meningkatkan penyertaan belia dan sayap Pemuda dalam pilihan raya umum ke-15 serta mengukuhkan Pemuda PKR.

    Berhubung calon lain yang mungkin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Fahmi berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan bekas aktivis pelajar, Adam Adli dan berharap persaingan sihat antara mereka.

  • Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    POLIS menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat 1.33 tan bernilai kira-kira RM3.33 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Selangor, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor sekitar 4.40 petang dan 11 malam di dua lokasi di Subang Jaya manakala masing-masing satu lokasi di Rawang dan Semenyih.

    “Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja gred dua di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

    “Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 2,576,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

    Ayob Khan berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah membawa masuk bekalan dadah dari Thailand melalui laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.

    “Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan Januari tahun ini,” katanya dengan menambah kesemua lelaki itu terdiri daripada dua penganggur, ahli perniagaan dan penghantar barang.

    Beliau berkata, seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk empat kenderaan dan wang tunai dianggar bernilai RM331,900. Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM3.7 juta,” katanya.

    Ayob Khan berkata, kesemua mereka direman tujuh hari hingga 31 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang.

    Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan beberapa penjawat awam yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementeran Dalam Negeri (KDN) berkenaan tindakan terhadap mereka yang diberkas pada 6 Mac lepas.

    Beliau berkata, lapan penjawat awam itu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN dan ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, sekatan atau dibebaskan. Bagi pihak polis, kita puas hati dengan maklumat yang ada berkenaan penglibatan mereka dengan sindiket ini,” katanya.

    Pada 15 Mac lepas, Ayob Khan dalam satu sidang media di Bukit Aman berkata pihaknya telah menahan 10 penjawat awam termasuk seorang nelayan disyaki terlibat pengedaran syabu yang dianggar bernilai RM193,590. – BERNAMA