Category: Semasa

  • Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak berbangga dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau telco yang mencatat keuntungan RM1 bilion tetapi masih menyediakan perkhidmatan tidak memuaskan untuk rakyat.

    Beliau berkata, kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi antaranya projek hab gentian optik titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) dengan kos hampir RM4 bilion untuk rakyat tanpa mengharap pulangan kewangan walau sesen.

    Justeru, katanya, beliau setuju telco mendapat keuntungan namun perlu bertanggungjawab dengan melabur sebahagian keuntungan diperoleh untuk teknologi bagi meningkatkan mutu capaian internet mereka sediakan, selari dengan pembangunan infrastruktur dilaksana kerajaan.

    “Infrastruktur itu disediakan kerajaan, TM dan sebagainya tetapi peringkat akhir itu disediakan operator (telco) bergantung perkakasan mereka pasang di menara, tetapi telco ini ada keutamaan mereka kalau pelanggan banyak di satu kawasan dia tertumpu di situ dan kawasan pinggiran, pekakasan tidak dinaik taraf.

    “Inilah menyebabkan internet 4G itu (kelajuan) boleh jadi 10mbps hingga 100mbps bergantung perkakasan peringkat akhir disediakan telco itu, justeru saya buat seruan kepada telco kita kini kena jalan berganding tangan beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kenderaan Digital Satellite News Gathering (DSNG) RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.

    Menurut Annuar, liputan 4G contohnya di Sabah adalah pada tahap 86 peratus untuk kawasan berpenduduk, namun kualiti Internet di sesetengah kawasan yang mempunyai liputan itu masih tidak mencapai kelajuan yang dikehendaki.

    “Ada tempat (4G) 10mbps, ada tempat belas-belas mbps, ada tempat sekitar 20mbps begitu, sedangkan matlamat kualiti minimum kita purata 4G LTE mesti 35mbps… kalau kita nak capai tahap itu tempat banyak penduduk kena capai 60, 70, 100mbps kerana Internet ini bila ramai penduduk kelajuan jatuh.

    “Liputan 4G itu, macam mana kita mahu perbaiki kelajuan itu kita lancar PoP tadi, kita dapatkan Internet lebih stabil… 4G itu hanya suatu teknologi yang membolehkan ia memberi keupayaan (Internet) lebih tinggi tetapi berapa tinggi bergantung kepada infrastruktur dan pekakasan disediakan,” katanya.

    Annuar berkata, selain menaik taraf perkakasan telekomunikasi di menara, pelaburan tambahan yang disaran dibuat telco adalah bersama-sama dengan pihak bertanggungjawab meningkatkan keupayaan menara itu sendiri antaranya daripada segi komponen bekalan kuasa elektrik sandaran.

    “Bila bekalan elektrik itu terputus secara automatik Internet akan terputus kerana menara ini bergantung kepada bekalan elektrik, jadi telco dan mereka diamanahkan boleh lihat untuk buat menara hibrid seperti ada bekalan kuasa dari panel solar dan generator, bukan beri khidmat sekadar ada sahaja,” katanya.

    Beliau berkata, usaha memberikan kemudahan Internet berkelajuan tinggi tidak akan ke mana tanpa telco menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama meningkatkan kemudahan telekomunikasi untuk rakyat. – BERNAMA

  • Permohonan pengeluaran khas RM10,000 melalui portal khas KWSP

    Permohonan pengeluaran khas RM10,000 melalui portal khas KWSP

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyediakan satu portal khas untuk pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada KWSP di bawah kemudahan pengeluaran khas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu.

    KWSP satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

    Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.

    “Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini.

    “Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

    “Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan,” kata KWSP, memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kenyataan itu memaklumkan, pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

    “Pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini. KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu,” katanya.

    KWSP memaklumkan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.

    Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.

  • Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes hina mahkamah ditolak

    Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes hina mahkamah ditolak

    PANEL tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Malaysiakini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati portal berita dalam talian itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

    Panel yang diketuai Hakim Puan Sri Zaleha Yusof memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini oleh peguam Malaysiakini, Datuk Malik Imtiaz Sarwar telah dikemukakan dalam prosiding komital di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan telah dipertimbangkan.

    Beliau berkata, hujahan yang dibangkitkan oleh peguam gagal untuk meyakinkan mahkamah berhubung isu berkaitan dakwaan pelanggaran keadilan asasi.

    Hakim Zaleha berkata, memandangkan perkara itu adalah kes kepentingan awam, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah mengenai kos.

    Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Prosiding itu dijalankan secara dalam talian.

    Pada 19 Feb 2021 dalam keputusan majoriti 6-1, Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca dan syarikat itu diarah membayar denda RM500,000.

    Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu.

    Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

    Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

    Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu. – BERNAMA

  • KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April

    KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin agar berbuat demikian menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dengan kadar segera sebelum negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini. 

    Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk dan komplikasi COVID-19. 

    Beliau berkata, terdapat dalam kalangan ibu bapa menganggap semasa fasa peralihan ini, kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan tidak perlu lagi diberi vaksinasi, namun pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun ini. 

    “Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak lima hingga bawah 12 tahun secara ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah diberitahu sebelum ini.

    “Pilihlah untuk vaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin,” katanya.

    Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang membawa anak mereka ke PPV COVID-19 pada hari bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk divaksin justeru, beliau berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam hal itu.

    Semalam, sebanyak 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37.1 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi PICKids. – Bernama

  • Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mempersoalkan tentang arahan kenaikan gaji minimum RM1,500 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, beliau meminta kerajaan menjelaskan bagaimana perniagaan akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.

    Secara dasarnya, beliau bersetuju dengan kenaikan gaji daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, namun tiada analisis yang tepat mengenai kesan limpahannya disediakan.

    “Kami tahu rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan. Jika rakyat tak dapat bertahan, maka perniagaan yang bergantung pada rakyat juga tak dapat bertahan.

    “Namun setakat ini, tiada penjelasan daripada kerajaan. Jika ada, lebih mudah untuk perniagaan menerimanya,” katanya.

    Ameer menambah, kos gaji Mydin akan meningkat sebanyak RM25 juta setahun ekoran peningkatan kadar gaji minimum.

    Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan faham bahawa kenaikan gaji akan mendorong peningkatan kos bagi perniagaan, seterusnya kenaikan harga barangan.

    Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 18 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan, pelaksanaan kenaikan gaji minimum tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.

    Beliau menambah, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan gaji minimum yang baharu itu hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

  • Empat rumah musnah dijilat api

    Empat rumah musnah dijilat api

    EMPAT buah rumah di Kampung Motou, Jalan Masak, di Keningau, Sabah musnah dalam kebakaran pada pukul 7.45 malam tadi.

    Semua penghuni empat rumah itu selamat, tetapi tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 malam dan 16 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan sebahagian besar daripada empat rumah berkenaan dan operasi dimulakan segera bagi mengelakkan api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, api dikawal daripada terus merebak ke 13 lagi rumah berhampiran.

    Katanya, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal pada 9 malam sebelum .

    “Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 1.47 pagi,” katanya.

  • Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    SATU gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter berlaku di Beluran, Sabah pada 8.39 malam tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman tujuh kilometer (km) itu berlaku pada jarak 47km Timur dari Pitas, Sabah.

    Menurut kenyataan itu, gegaran mungkin dirasai di Beluran dan kawasan sekitarnya. – BERNAMA

  • Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    SEORANG pemandu lori cedera selepas lori tangki membawa muatan asid sulfurik yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Pondok Labu, Jalan Sungai Labu, di Bukit Mertajam hari ini.

    Lori yang membawa tujuh buah tong bahan kimia, setiap satu berisi padu 1,500 liter itu, terbalik di bahu jalan dan menyebabkan berlakunya tumpahan asid sulfurik.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Mohd Shariff Md Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4 petang tadi.

    “Sebaik pihak bomba tiba, (kami) mendapati sebuah lori lima tan terbalik dan pemandunya berjaya keluar dari kenderaan itu menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Prai turut berada di lokasi kejadian untuk membantu kerana ia melibatkan bahan kimia yang merbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd Shariff berkata, pemeriksaan awal mendapati dua buah tong mengandungi asid sulfurik telah bocor dan tumpah di tepi jalan dan pihaknya ketika ini sedang memeriksa tong-tong lain sama ada terdapat kebocoran.

    Beliau berkata, sehingga pukul 6.30 petang tadi, operasi membersih dan memindahkan semua tong itu giat dijalankan dengan dibantu syarikat bahan kimia tersebut.

    Katanya, pemandu lori lelaki berusia 50an itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    BEBERAPA kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

    Salah satu insiden terbabit, yang turut tular di media sosial, ialah di kawasan parkir restoran makanan segera di Medan Gopeng yang melibatkan beberapa kenderaan pelbagai jenis.

    Tinjauan Bernama di lokasi tersebut mendapati sebahagian kenderaan telah ditunda ke bengkel dengan trak tunda.

    Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Husna, 30an, berkata bumbung serta cermin kereta Proton Saga miliknya rosak teruk akibat dihempap pokok.

    Beliau yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi hanya disedari selepas dimaklumkan oleh majikannya.

    “Saya sangat terkejut apabila melihat kenderaan saya telah rosak, apa boleh buat perkara sudah berlaku, saya reda sahaja,” katanya.

    Kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu, beberapa buah khemah peniaga ranap di hadapan sebuah stesen minyak di Desa Aman, Pengkalan di sini, setelah dilanda angin kuat dan hujan lebat.

    Dilaporkan beberapa batang pokok turut tumbang di kawasan itu.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di Gunung Rapat pada pukul 3.53 petang tadi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebatang pokok besar telah menimpa lima buah kenderaan, namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

    Beliau berkata, anggota bomba telah melakukan kerja-kerja memotong dahan pokok menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan potongan pokok itu ke tempat yang lebih selamat.

    Operasi yang turut dibantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh itu tamat sepenuhnya 5 petang tadi. – BERNAMA

  • Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam buku, The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak permohonan Rewcastle-Brown dengan kos RM5,000.

    “Mahkamah menetapkan 4 April untuk pengurusan kes seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian.

    Sementara itu, peguam Mervyn Lai yang mewakili Rewcastle-Brown, berkata mahkamah menolak permohonan anak guamnya selepas mendapati permohonan itu akan melucutkan hak plaintif (Sultanah Nur Zahirah) daripada mendengar dan memutuskan kesnya.

    Menurut peguam itu, mahkamah juga memutuskan bahawa tiada keadaan khusus yang mewajarkan penangguhan dan isu utama adalah perkara jenayah masih di peringkat permulaan dan tidak diketahui berapa lama ia akan mengambil masa.

    Berdasarkan notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 13 Dis 2021, Rewcastle-Brown memohon perintah supaya prosiding kes saman itu ditangguhkan, sementara menunggu penyelesaian kes jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan terdapat persamaan membabitkan isu dan fakta berhubung kedua-dua kes kerana ia berkaitan dengan penerbitan buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, menamakan Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin; dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd; selaku defendan pertama hingga ketiga.

    Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

    Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan juga memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

    Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

    Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. – BERNAMA