Category: Semasa

  • UiTM akan ambil tindakan ke atas pensyarah

    UiTM akan ambil tindakan ke atas pensyarah

    UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarahnya yang tular mengherdik pelajar dipercayai semasa sesi pembelajaran dalam talian yang tidak mempunyai komputer dan memperlekehkan golongan B40.

    Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor berkata, pensyarah berkenaan telah dikenalpasti sebagai seorang pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar yang mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

    Katanya, pihak universiti sedang meneliti tindakan sewajarnya ekoran video tular itu, manakala pelajar berkenaan sudah dibantu dari segi peralatan.

    “Saya difahamkan, insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuat naik semalam. Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba).

    “[…] Tindakan akan diambil, tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil. Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam perkembangan berkaitan, UiTM mengesahkan telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

    “UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak,” kata UiTM dalam satu kenyataan hari ini.

    Menerusi kenyataan itu, Roziah dipetik berkata bahawa UiTM ada menyediakan pelbagai dana buat pelajar kurang berkemampuan, kerana memahami kekangan dan kesulitan dihadapi pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

    Bekiau turut menyeru pelajar yang berdepan masalah untuk berhubung dengan pihak fakulti dan universiti bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

  • MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa perlekeh B40

    MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa perlekeh B40

    MAJLIS Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia mendesak pengurusan tertinggi universiti itu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarah yang didakwa menghina golongan B40.

    Dalam klip video yang tular di media sosial, pensyarah wanita terbabit dilihat memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan seolah-olah memperlekeh golongan berpendapatan rendah.

    Malaysiakini melaporkan, Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, tindakan pensyarah itu tidak wajar, bahkan UiTM sendiri dibina atas dasar membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

    “Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B-40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak.

    “Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti ini,” katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, video klip berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan seorang pensyarah bertaraf profesor memarahi seorang mahasiwa kerana menggunakan telefon bimbit dan bukan komputer riba ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.

    Pensyarah wanita itu dilihat bertanya mengenai ibu bapa pelajar itu, di mana pelajar tersebut menjawab bapanya tidak bekerja dan ibunya sudah tiada.

    “Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Harga lapan ratus saja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” kata pensyarah tersebut.

    Mengulas lanjut, Rasydan berkata, pensyarah berkenaan sepatutnya memahami keadaan negara yang masih dilanda pandemik menyebabkan hampir semua rakyat Malaysia berhadapan kesulitan ekonomi.

    “Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya sedia maklum mengenai rakaman video berkenaan dan telah berhubung dengan pihak UiTM untuk mendapatkan penjelasan.

    “Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya telah berhubung dengan pihak @uitmofficial untuk meminta penjelasan mereka,” katanya.

  • Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    KERAJAAN negeri Kelantan tidak pernah menjual tanah kepada rakyat sebagaimana yang didakwa, sebaliknya melupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat.

    Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah berbuat sedemikian.

    Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri lupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat dengan mengenakan bayaran premium tertentu. Jika rasa mahal, mereka boleh membuat rayuan untuk pengurangan.

    “Apa yang pasti, kita tidak jual tanah kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) berhubung dasar kerajaan dalam soal pemberian tanah berikutan terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri Kelantan menjual tanah kepada rakyat.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pengurangan bayaran premium tanah kepada rakyat di negeri itu.

    Menurut beliau, mana-mana penduduk yang merasakan bayaran premium perlu dibayar itu tinggi, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan.

    “Boleh buat cadangan mengikut keadaan orang yang membuat rayuan. Kadang-kadang kita terkena dengan mereka yang sudah berduit.

    “Namun mereka yang kurang berkemampuan boleh membuat dengan mengemukakan sebab tertentu sebelum rayuan terbabit diangkat untuk perbincangan.

    “Menerusi perbincangan itu, kita akan membuat keputusan berapa banyak pengurangan yang dikenakan kepada pemohon,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri).

  • ASB 2: PNB umum dividen 4.3 sen seunit

    ASB 2: PNB umum dividen 4.3 sen seunit

    PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mengumumkan dividen 4.30 sen seunit untuk skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2).

    Bernama melaporkan, langkah itu melibatkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM514.5 juta kepada 481,030 pemegang unit ASB 2.

    PNB turut mengumumkan dividen 4.0 sen untuk Amanah Saham Malaysia (ASM), dengan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM883.5 juta kepada 567,904 pemegang unit.

    Berita lanjut menyusul.

  • Dakwaan ‘Husam Musa’ tidak bertanggungjawab, bermotif politik – Kerajaan Kelantan

    Dakwaan ‘Husam Musa’ tidak bertanggungjawab, bermotif politik – Kerajaan Kelantan

    KERAJAAN Negeri Kelantan menyifatkan dakwaan berhubung aktiviti penanaman spesis durian di Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian oleh Li Yongbo seluas 2,200 ekar sangat tidak bertanggungjawab dan bermotif politik.

    Sehubungan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, Kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan dakwaan yang dibuat amat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap kerajaan neger itu.

    Berikut kenyataan penuh beliau;

    YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar mengambil maklum mengenai persoalan-persoalan yang dikeluarkan melalui saluran laman sesawang “facebook” di bawah akaun pengguna yang bernama ‘Husam Musa’ berkaitan aktiviti penanaman spesis durian di Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian oleh Li Yongbo seluas 2,200 ekar.

    Dakwaan yang dikeluarkan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam suasana politik masa kini.

    Isu yang dilontarkan oleh Datuk Husam Musa adalah melibatkan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian yang berkeluasan 17,420 hektar. Untuk makluman, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian merupakan Zon Pembangunan Ladang Hutan. Kerajaan Negeri sebelum ini telah memberi kelulusan kepada dua syarikat masing-masing bertarikh pada 07 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak (TLC).

    Pada 21 Mei 2020, Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian. Kelulusan tersebut adalah dengan menetapkan keluasan penanaman spesis durian yang dibenarkan hanya 30% daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.

    Syarikat berkenaan telah melantik kontraktor yang telah mengusaha penanaman Musang king dan Li Yongbo hanyalah membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut. Begitu juga sebagaimana berita tular berkaitan Li Yongbo pada tahun 2018 adalah melibatkan pelaburan yang dibuat pada ketika itu melalui kontraktor yang sama. Dengan itu, penglibatan Li Yongbo adalah tiada kaitan sama sekali dengan keputusan kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk projek tersebut.

    Manakala, persoalan yang melibatkan Ladang Musang King seluas 7,500 ekar sebagaimana tulisan Datuk Husam adalah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bahawa Ladang Musang King tersebut melibatkan tanah persendirian bukannya Hutan Simpan Kekal ataupun tanah kerajaan.

    Rakyat Kelantan sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan telus dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama hutan. Sehingga kini, kawasan berhutan di Kelantan adalah 51% yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah Negeri Kelantan.

    Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan adalah 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42% dari keluasan tanah negeri sekaligus menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara.

  • 7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik membabitkan tujuh premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuantan, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, tindakan drastik itu dilakukan selepas risikan dijalankan mendapati beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi secara dalam talian.

    Katanya, Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan operasi itu bagi membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah ini., lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, kegiatan tersebut berselindung di sebalik kedai perniagaan runcit dan kolam memancing udang.

    Ujarnya, bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini, tujuh premis diambil tindakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

    “Dalam kes ini, polis memohon tindakan pemotongan elektrik terhadap premis dijadikan tempat penjualan nombor loteri awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi dalam talian,” katanya selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, lima lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dianggarkan RM200 hingga RM500 jualan loteri awam dikutip sehari manakala judi dalam talian pula antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

    “Antara rampasan dilakukan ialah 22 komputer riba, lapan unit telefon bimbit, satu tablet, 14 kerusi, 16 meja, tiga sofa dan wang tunai.

    “Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing,” jelasnya.

  • Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    ISTERI bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu juri di mahkamah Amerika Syarikat bahawa seorang pakar feng shui memberi amaran kepada bos suaminya tentang ‘karma buruk’ – tilikan yang nampaknya menjadi kenyataan.

    FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, isteri Roger Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihak suaminya semalam pada perbicaraan Roger yang berdepan tuduhan konspirasi berkait penyelewengan dana 1MDB.

    Hwee Bin memberitahu juri bahawa beliau dan suaminya mengatur bacaan fengshui dengan ‘Master Pang’ untuk bos Roger, Tim Leissner, pada 2015 dan 2016.

    Leissner, yang mengaku bersalah dan kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kes terhadap Roger, memberi keterangan bahawa pakar tersebut memberitahunya, seorang ‘perempuan’ akan ‘membantunya pada masa hadapan’.

    Katanya, apabila dia bertemu dengan Hwee Bin dan Roger untuk membincangkan salah satu bacaan feng shui itu, ketiga-tiga mereka bersetuju untuk memberitahu pihak berkuasa ‘cerita rekaan’ bagi menjelaskan sogokan AS$35 juta untuk Roger.

    Walau bagaimanapun, Hwee Bin semalam memberitahu panel persekutuan di Brooklyn, New York, bahawa wanita berkenaan adalah anak perempuan Leissner.

    Pertemuan itu hanya untuk membincangkan bacaan feng shui, katanya.

    Feng shui adalah amalan lazim dalam masyarakat Cina di Asia dan digunakan untuk membaca tanda-tanda dan aliran tenaga yang baik mahupun buruk.

    Hwee Bin memberitahu juri, beliau dan suaminya menerima nasihat pakar feng shui tersebut setiap tahun menjelang Tahun Baharu dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu.

    “Jangan undang karma buruk,” beritahu Pang kepada Leissner, menurut keterangan Hwee Bin.

    “Sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan datang dari mulut kamu sendiri.”

  • Beberapa lokasi di Ipoh dilanda hujan batu

    Beberapa lokasi di Ipoh dilanda hujan batu

    BEBERAPA lokasi di sekitar Ipoh dilanda hujan lebat serta angin kencang disertai kejadian hujan batu petang tadi.

    Kejadian berkenaan dikongsikan di media sosial menerusi rakaman video oleh penduduk di sekitar Medan Gopeng dan Simpang Pulai.

    Hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 4 petang turut mengakibatkan pokok tumbang di sekitar Jalan Lapangan Terbang-Maju Rapat serta Gunung Rapat sehingga menghalang lalu lintas.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati, beberapa khemah di bazar Ramadan di Medan Gopeng turut mengalami kerosakan akibat dipukul ribut selain atap rumah di sekitar Sungai Rokam diterbangkan angin dan terdapat sebuah rumah di sekitar Greentown mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pokok tumbang berlaku di sekitar Ipoh, Gopeng, Kampar dan Bidor sehingga merintangi jalan, serta mengakibatkan beberapa buah rumah dan kereta rosak.

    Beliau berkata bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kesemua kejadian itu.

    — BERNAMA

  • Nik Nazmi umum tanding Naib Presiden, sokong gandingan Anwar-Rafizi

    Nik Nazmi umum tanding Naib Presiden, sokong gandingan Anwar-Rafizi

    PEREBUTAN jawatan Naib Presiden dijangka sengit apabila Ketua Setiausaha Pengelola parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan turut bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Mei ini.

    Sebelum ini beberapa nama dikatakan akan turut merebut jawatan itu iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.

    Nik Nazmi yang mengumumkan keputusan di saluran YouTubenya, hari ini berkata, keputusan itu diambil susulan “detik-detik kekecewaan” yang dilalui PKR sejak dua tahun lalu termasuk “Langkah Sheraton” dan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Katanya, PKR perlu diperkukuhkan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Pengumuman sahabat saya Rafizi Ramli yang bawa saya masuk parti pada usia 19 tahun untuk kembali aktif bertanding timbalan presiden telah disambut dengan sangat positif. Bukan hanya anggota parti tapi orang ramai yang mahu alternatif politik BN dan PN.

    “Saya berhasrat untuk bantu usaha tersebut dan dengan ini saya mahu tawarkan diri bertanding naib presiden parti,” katanya lapor FMT.

    Nik Nazmi berkata, beliau juga mahu ahli PKR menawan semula pengundi bagi mendepani PRU15.

    “Saya yakin ini gandingan terbaik, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, dengan gandingan pasukan pelbagai kaum dari Perlis hingga Sabah, lelaki dan wanita, saya yakin kita mampu untuk terus buktikan Keadilan bukan sahaja relevan hari ini tapi relevan masa depan,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

    Pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung dari 13-18 Mei.

    Bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka dicabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

  • MOF lulus pelaburan Felcra RM150j selepas Bung Moktar kemuka kertas cadangan

    MOF lulus pelaburan Felcra RM150j selepas Bung Moktar kemuka kertas cadangan

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad, Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif agensi berkenaan mengemukakan tiga kertas cadangan tersebut masing-masing melibatkan pelaburan RM50 juta, RM100 juta dan RM150 juta untuk pertimbangan kementerian.

    Mohd Azmy berkata, pada asalnya Bung Moktar bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang ketika itu Menteri Kewangan II di Parlimen dan menyerahkan satu kertas cadangan berhubung pelaburan RM50 juta dalam unit amanah.

    “Namun, Menteri Kewangan II bertanya kepada Bung Moktar mengapa tidak laburkan kesemuanya yang merujuk kepada dana pencen dalam Felcra,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

    Menurut saksi pendakwaan ke-26 itu, beliau kemudian memberitahu Bung Moktar, ia terpulang kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang juga pemegang saham dan menasihati Bung Moktar supaya tidak melaburkan kesemuanya.

    Saksi itu berkata MKD bagaimanapun meluluskan pelaburan RM150 juta melalui surat bertarikh pada 23 April 2015.

    Disoal Mohd Sophian mengenai sama ada RM150 juta dalam pelaburan unit amanah Public Mutual dibentangkan dahulu kepada ahli lembaga pengarah Felcra, Mohd Azmy menjawab, “Tiada keperluan, namun sebarang pelaburan perlu dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah”.

    Bagaimanapun, saksi itu berkata pemindahan wang RM150 juta untuk pelaburan unit amanah itu tidak dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah sebelum pemindahan wang dibuat.

    “Wang RM150 juta itu dimasukkan ke dalam akaun unit amanah Public Mutual dan saya telah memaklumkan perkara itu secara bertulis kepada Bung Moktar,” kata Mohd Azmy.

    Prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 6 April ini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA