Category: Semasa

  • Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    SEORANG doktor swasta di Tawau mengalami kerugian RM747,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil sebuah kementerian dan pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 27 Jan menyatakan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa pada mulanya sangsi dengan panggilan telefon berkenaan, namun sindiket terbabit turut menyamar sebagai anggota polis.

    “Polis palsu ini kemudian meyakinkan kononnya mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, selain kegiatan penyeludupan dadah dan selepas itu meminta mangsa memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian bagi tujuan semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata akibat terpedaya dengan helah sindiket itu mangsa kemudian membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada beberapa akaun milik penyamar antara Febuari hingga awal Mac lepas.

    “Mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Jasmin dalam pada itu menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk memudahkan semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan kewangan.

    “Dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan sama,” tegasnya.

    — BERNAMA

  • Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    KEKURANGAN bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran sejak sebulan lepas disebabkan pembelian oleh golongan ‘kayangan’ khususnya T20 dan M20.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, minyak paket berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk golongan berpendapatan rendah iaitu B40.

    Katanya, kerajaan perlu berbelanja besar dengan memperuntukkan 60,000 tan minyak paket sebulan dengan subsidi yang diberikan setiap kilogram (kg) minyak adalah antara RM2.50 sehingga melebihi RM3 bergantung kepada harga semasa.

    “Kerajaan perlu berbelanja besar untuk barangan bersubsidi contohnya minyak paket bagi 1kg dijual pada harga RM2.50, harga semasa adalah RM5 atau RM6. Untuk 1kg kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM3,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya turut mengenal pasti, peniaga kedai makan dan restoran yang menggunakan minyak berkenaan hingga menyebabkan kekurangan bekalan minyak bersubsidi itu.

    “Kebanyakan peniaga dikesan menggunakan minyak paket ini. Sekiranya pihak kami ingin menjalankan siasatan dan melaksanakan penguatkuasaan mereka akan menggunakan minyak mahal dan secara tidak langsung akan menjual barangan niaga lebih mahal.

    “Isu ini bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya. Kalau tahun lepas isu ini didakwa berkait dengan kelewatan bayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang lambat menyebabkan aliran tunai bermasalah tetapi kita sudah bayar jadi tiada isu lagi,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada kekurangan minyak paket berkenaan turut berpunca daripada Program Jualan Keluarga Malaysia, Rosol berkata untuk program berkenaan ia hanya melibatkan satu atau dua syarikat pembungkusan semula.

    “Sedangkan setiap negeri ada lima sehingga enam syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi, jadi itu tidak ada isu. Apa yang kita tidak mahu, minyak berkenaan dibawa ke negara jiran,” katanya menambah penguatkuasaan dengan pasukan keselamatan terus dipergiatkan bagi mencegah barangan bersudsidi diseludup ke negara jiran. – BERNAMA

  • Saman AS$1.18 bilion: Mahkamah Tinggi arah Najib fail pernyataan pembelaan

    Saman AS$1.18 bilion: Mahkamah Tinggi arah Najib fail pernyataan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

    Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC ketika dihubungi pemberita berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini manakala bahasa Melayu pada 4 April.

    “Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei,” katanya dan menambah pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

     Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama individu itu daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    — BERNAMA

  • Video penyanyi lelaki menyerupai wanita tular, kerajaan Terengganu minta penjelasan penganjur

    Video penyanyi lelaki menyerupai wanita tular, kerajaan Terengganu minta penjelasan penganjur

    PIHAK berkuasa Terengganu akan membuat lawatan mahabbah (siasatan awal) ke lokasi yang diadakan satu majlis bertemakan ‘Arabian Dangdut Night’ yang video nyanyian seorang individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi pada majlis itu tular dalam media sosial.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata siasatan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada penganjur mengenai video nyanyian itu.

    “Kita bersedia mendengar penjelasan mereka…takut ada kelemahan tertentu sehingga berlakunya perkara tersebut,” katanya mengulas mengenai video berdurasi 25 saat yang memaparkan nyanyian individu terbabit di sebuah hotel di Kuala Terengganu pada 25 Mac lepas yang tular sejak semalam.

    Beliau berkata setiap penganjur program perlu mengikut peraturan termaktub dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti yang dijalankan adalah mengikut syariat Islam.

    Mohd Nor berkata garis panduan yang mula diperkenalkan pada 2020 itu mempunyai perincian yang lengkap dalam penganjuran acara hiburan, kebudayaan, pelancongan dan sukan hasil perbincangan pelbagai pihak termasuk mufti, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

    “Kita beri ruang untuk mereka dengar penjelasan (mengenai garis panduan)…lawatan (siasatan awal) itu nanti adalah sebagai penilaian sama ada perbuatan tersebut memang disebabkan kesilapan penganjur yang terlepas pandang mengenai garis panduan itu atau mempunyai niat lain untuk melakukan tindakan provokasi.

    “Terengganu memang ada garis panduan kecuali ia berlaku disebabkan tindakan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana apabila kerajaan negeri ambil tindakan akan dikatakan Terengganu ini bertindak ‘kasar dan keras’ sedangkan kita hanya mahu memelihara keharmonian di Terengganu.

    “Dalam hal seperti ini (hiburan yang tidak mematuhi garis panduan), rakyat Terengganu pun marah bukan pemimpin sahaja, jangan cetuskan kemarahan rakyat Terengganu kerana sentimen agama sangat tinggi di negeri ini. Apa pun, kita akan dengar dulu penjelasan pihak yang terlibat,” katanya.

    Terdahulu, beliau merasmikan  program Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu FM sempena Hari RTM ke-76 di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu Sabri Mansor berkata program tersebut diharap dapat merapatkan lagi hubungan kakitangan RTM Terengganu dan masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya demonstrasi kebakaran, demonstrasi ular, pertandingan mewarna, pameran agensi-agensi dan persembahan artis.

    — BERNAMA

  • Remaja dituduh bunuh kanak-kanak 11 tahun di surau

    Remaja dituduh bunuh kanak-kanak 11 tahun di surau

    SEORANG remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada bulan lepas.

    Remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di surau An-Nadwah Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat di sini, antara 3.45 petang dan 4.15 petang, 20 Mac lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon manakala remaja terbabit diwakili peguam Datuk Mohd Najid Husain.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh seorang individu dalam kejadian yang didakwa melibatkan wang RM4.

    Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepala. – BERNAMA

  • Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    SEORANG pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan autisme sehingga menyebabkan kematiannya, Oktober lepas.

    Mohd Nazree Uzir, 35, didakwa melakukan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dalam sebuah van miliknya sehingga mendatangkan kematian antara pukul 2.45 petang dan 5.30 petang pada 12 Okt 2021.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan di sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Ong manakala Mohd Nazree diwakili peguam Noliana Ali Othman.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Sukar digambar kegembiraan pengembara bila sempadan KLIA dibuka

    Sukar digambar kegembiraan pengembara bila sempadan KLIA dibuka

    UMPAMA memenangi tiket loteri, kata seorang pemuda dari Klang, Selangor, yang berkongsi perasaannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne, Australia pagi tadi.

    Ng Hou Jun, 26, yang bekerja sebagai jurutera perisian di negara itu berkata selepas hampir dua tahun tidak pulang ke Malaysia lantaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia, perasaan gembira itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

    Beliau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan Malaysia membenarkan warga tempatan yang berada di luar negara untuk pulang ketika sempadan negara ditutup bermula Mac 2020, keperluan menjalani kuarantin bagi tempoh lama dirasakan agak membebankannya, lantaran itu Ng membuat keputusan untuk tidak balik ke tanah air.

    “Apabila saya akhirnya bersedia untuk menjalani kuarantin (sebaik tiba di Malaysia), pada 1 Mac lepas saya dan rakan wanita membeli tiket bertarikh 1 April 2022.

    “Pada 8 Mac saya baca dalam media sosial kerajaan bersetuju membuka sempadan negara dan memansuhkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) antaranya keperluan kuarantin, saya rasa sangat gembira. Rasa macam menang loteri,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Ng berkata, beliau dan rakannya akan bercuti selama sebulan di Malaysia sebelum kembali semula ke Australia.

    “Perancangan kami di Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Kami juga tak sabar nak ke (restoran) mamak makan roti telur dan nasi lemak yang kami rindukan,” katanya.

    Bagi pengusaha restoran nasi kandar, Mohamed Shafiq Riswan Waris, 25, kerinduan terhadap datuk, nenek, emak dan pak cik saudara yang dipendam selama hampir setahun, terlerai sudah.

    Sebaik datuknya, Datuk Mohamed Salibu, melangkah keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Mohamed Shafiq bersama empat sepupunya terus meluru ke sana dan memeluk lelaki itu yang baru tiba dari Chennai, India kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

    “Datuk pergi ke India untuk berubat masalah buah pinggangnya dan sejak itu kami terpisah, hanya telefon menjadi penghubung kami.

    “Sepanjang ketiadaan datuk, saya bersama ahli keluarga yang lain berusaha sedaya upaya menguruskan beberapa restoran datuk yang ada di Johor Bahru dan Melaka,” katanya yang tidak sabar untuk menyambut Ramadan bersama-sama datuknya nanti.

    Sementara itu, guru sekolah antarabangsa di Malaysia, Gary Crick, 46, mendapati proses ketibaan lebih mudah dan cepat, hanya mengambil masa sejam berbanding sebelum ini yang memakan masa lebih dua jam.

    Manuel Villada, 29, dari Mexico pula berkata, beliau menaiki penerbangan Oman Air dari Dubai ke KLIA untuk menghadiri mesyuarat perniagaan dengan syarikatnya yang berpangkalan di Malaysia.

    “Saya memilih hari ini, tarikh 1 April bersebab kerana saya mahu elakkan kuarantin. Selain mesyuarat dan kerja, saya merancang untuk melawat tempat tarikan pelancong di sini,” katanya dan menambah akan berada di Malaysia selama 10 hari.

    Seorang lagi pengembara, Radu Lazar, 44, warganegara Romania berkata, beliau merancang untuk berkunjung ke Malaysia pada Disember tahun lepas, bagaimanapun tertangguh berikutan kenaikan kes COVID-19 pada masa itu.

    Lazar yang menaiki penerbangan Qatar Airways dari Doha berkata, beliau merancang untuk menubuhkan satu cawangan syarikat di Malaysia, justeru beliau akan menginap beberapa minggu di sini untuk bertemu bakal rakan kongsi.

    Lazar turut memuji proses yang lancar sebaik turun dari pesawat sehingga tiba ke Ketibaan Antarabangsa.

    Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik. – BERNAMA

  • Pesawat bawa jemaah umrah pertama tiba di KLIA selepas sempadan dibuka

    Pesawat bawa jemaah umrah pertama tiba di KLIA selepas sempadan dibuka

    PESAWAT Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena pembukaan sempadan negara secara rasmi hari ini.

    Pesawat yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan itu tiba kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Sementara itu, sebuah pesawat sewa khas dari Yangon, Myanmar yang membawa 21 penumpang tiba kira-kira 3.15 pagi di KLIA.

    Seorang penumpang, Mohd Akram Amri, 35, berkata, urusan kepulangannya dari Myanmar ke Malaysia kali ini lebih mudah dan cepat dengan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding lebih dua jam sebelum ini.

    “Sebelum sempadan dibuka, masa itu ketat, ada ujian RT-PCR dan kena kuarantin 14 hari tapi sekarang proses lebih senang apabila sempadan dah buka,” kata bapa kepada empat anak yang bekerja selama tiga bulan di luar negara.

    Berdasarkan paparan jadual penerbangan di KLIA, sekurang-kurangnya 17 penerbangan antarabangsa akan tiba di KLIA antaranya dari Jeddah, Arab Saudi; Yangon, Myanmar; Kathmandu, Nepal; Dhaka, Bangladesh; Melbourne, Australia; Chennai dan Hyderabad, India; London-Heathrow; Jakarta, Indonesia; Muscat, Oman; Singapura dan Doha, Qatar sehingga 9.30 pagi ini.

    Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April selari dengan perancangan negara untuk memasuki fasa peralihan ke endemik. – BERNAMA

  • Tambak Johor kembali meriah dengan nyanyian Negaraku, sorakan, tangisan

    Tambak Johor kembali meriah dengan nyanyian Negaraku, sorakan, tangisan

    PELBAGAI cerita rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura mewarnai dan menghidupkan semula Tambak Johor yang ‘sepi’ sejak dua tahun lamanya apabila sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020.

    Solidariti terpancar dalam kalangan warga tempatan apabila ada yang menyanyikan lagu Negaraku dan ada bersorak kegembiraan menyambut kepulangan mereka sebaik sahaja detik 12 tengah malam.

    Bagi R.Suresh, seorang bapa tunggal berusia 49 tahun, pertemuan semula dengan empat orang anaknya adalah detik paling dinantikannya selama ini.

    Drama ‘jejak kasih’ bersama anak bongsunya John Damscene Rau, 20, di sebuah stesen minyak berdekatan laluan keluar Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar, mencuri perhatian orang ramai yang turut berkumpul di situ.

    “Saya sangat gembira. Saya sudah kembali ke pangkuan keluarga. Saya menghargai usaha kerajaan – polis, kastam, kerana menjalankan tugas dengan sangat baik (malam ini). Mereka membantu dan melayan kami dengan baik sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen minyak, dekat sini, selepas tiba di kastam Malaysia dari republik itu dengan berjalan kaki.

    Menurut Suresh yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia berkata kehidupan selama dua tahun dengan kos sara hidup amat tinggi menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang dan bercadang untuk meluangkan masa bersama keluarga untuk makan bersama dan mengunjungi tempat yang sudah lama tidak dilawati.

    Sementara itu, Fajrul Rizal Abu Bakar yang sudah dua tahun tidak pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, mahu mendakap ibu dan bapa, serta merasa air tangan ibunya yang sangat dirindui.

    Pemuda berusia 28 tahun itu antara kumpulan pertama yang terkandas di Singapura apabila PKP dilaksanakan.

    Dia yang juga berjalan kaki dari Singapura, sempat membuat Facebook Live bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat Malaysia ke Singapura yang didakwanya masih teragak-agak untuk pulang kerana bimbang mengenai prosedur operasi standard (SOP).

    “… kerajaan dah buat yang terbaik untuk kita semua, untuk balik. Alhamdulillah, hari ini kami semua balik dan proses untuk balik sama macam dulu. Kalau orang cakap jangan dengar, dah lalui semua proses…lancar,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang.

    Warga Singapura, Rosnah Din, 62, tidak dapat menahan sebak setelah akhirnya berpeluang berjumpa ahli keluarganya di Bukit Pasir, Muar selepas kali terakhir bertemu dengan ahli keluarganya pada Aidilfitri 2019.

    “Sebelum ini ada kematian ahli keluarga di Singapura, yang di Malaysia tidak dapat datang, kemudian ada yang sakit di Malaysia, di Singapura tidak dapat nak ziarah. Apabila dapat peluang macam ini, kita tidak mahu lepaskan peluang baik. Alhamdulillah, kedua-dua pintu masuk lancar,” katanya yang telah kehilangan tiga ahli keluarga sepanjang dua tahun ini.

    Rindu dengan suasana di Johor yang disifatkan tidak dapat dirasai di Singapura, dia bercadang untuk menyambut awal Ramadan bersama ahli keluarganya di sini.

    “Suasanalah…sebab kita selalu (ke sini) kebanyakan adik-beradik saya separuh di sini… daripada sini.. mak saya pun daripada sini, Muar. Jadi, apabila kita dapat bertemu, macam dapat melepaskan rindulah,” katanya yang turut ditemani abang dan anak perempuannya.

    Pada 25 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama mengumumkan bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara telah lengkap vaksinasi mulai hari ini, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

    Selain itu, juga membenarkan pengembara telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

  • PDRM Kedah tubuh pasukan kawalan khas sempadan

    PDRM Kedah tubuh pasukan kawalan khas sempadan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BAGI memastikan kegiatan jenayah di sempadan tidak berleluasa menjelang pembukaan sempadan esok, Polis Kedah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah pasukan khas kawalan sempadan yang disertai oleh pegawai serta anggota unit-unit khas dalam badan beruniform itu.

    Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukah khas tersebut akan disertai antara 70 hingga 100 pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), unit kereta peronda polis (MPV), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), sekatan jalan raya (SJR) serta unit Unit Anjing Pengesan (K9).

    Menurutnya, pasukan khas kawalan sempadan itu bakal memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang lebih dekat dengan komuniti di wilayah tanah air berbanding Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menumpukan kepada kawasan di garis sempadan tanah air.

    “Pasukan khas ini akan turut menggunakan keanggotaan dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Changlun bagi membantu Pasukan PGA yang ketika ini sememangnya melaksanakan tugas mengawal pintu masuk negara.

    “Selain rondaan berkala secara berjalan kaki, menunggang motosikal serta menaiki kenderaan pacuan empat roda, pasukan khas kawalan sempadan ditubuhkan ini juga akan melaksanakan rondaan di kawasan khas serta melakukan pemeriksaan di SJR,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penugasan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Malaysia Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu, hari ini.

    Wan Hassan dalam sidang akhbar selepas itu menambah, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap pasukan tersebut dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk menambah pegawai serta anggota selepas ini.

    “Jika dicampurkan cengan jumlah pegawai serta anggota PGA sedia ada, kita akan ada kira-kira 300 anggota polis yang akan bertugas mengawal sempadan selepas ini.

    “Pasukan khas ini tidak hanya akan memberi fokus kepada Bukit Kayu Hitam atau Kubang Pasu sebaliknya rondaan akan turut dilaksanakan hingga ke Durian Burung di Padang Terap melibatkan radius antara 30 hingga 40 kilimeter (KM) katanya.