Category: Semasa

  • Pelitup muka bukan perubatan mesti dapatkan perakuan SIRIM

    Pelitup muka bukan perubatan mesti dapatkan perakuan SIRIM

    BERKUAT kuasa 4 Julai depan, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hari ini.

    Menurut KPDNHEP, pewartaan tersebut bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan menerusi perintah itu.

    “Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

    “Penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan,” menurut kementerian itu.

    KPDNHEP berkata, pewartaan berlandaskan prinsip semangat Keluarga Malaysia itu dapat menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

    Justeru kementerian berharap dapat mengatasi isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti di pasaran Malaysia dengan adanya perintah terbabit.

    Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan mana-mana syarikat dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

    Bagi individu pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • 12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    SEBANYAK 12 kontena berisi pelbagai barangan musnah dalam kebakaran, di Pelabuhan Barat, semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 5.37 petang.

    Katanya, sepasukan 34 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    BBP terbabit adalah Pelabuhan Barat, Andalas, Kota Anggerik, Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Puchong, Subang, Serdang dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

    “Laporan awal, kebakaran membabitkan lapan unit kontena yang disusun secara empat tingkat.

    “Sehingga 9.30 malam tadi, 12 unit kontena dengan lapan muatan telah dikenalpasti iaitu alat ganti, alatan muzik, kapas, baby walker, minyak pelincir, benang, amionik dan sistem pemasangan bumbung.

    “Muatan empat lagi unit kontena masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Norazam berkata, kerja-kerja mengalihkan kontena yang belum terbakar sedang dilakukan.

    Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa.

  • Tiada siasatan baharu ke atas Dr.Mahathir – Bukit Aman

    Tiada siasatan baharu ke atas Dr.Mahathir – Bukit Aman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada siasatan baharu dibuat ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kali terakhir  Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu dipanggil PDRM ialah pada 23 Mac lepas bagi membantu siasatan membabitkan buku memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

    “Rakaman percakapan beliau diambil hanya sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Terdahulu, Dr Mahathir dalam hantaran di laman sosial Facebooknya mendakwa beliau akan dipanggil untuk disoal siasat namun tidak menyatakan sebab siasatan itu.

    — BERNAMA

  • Empat juruteknik maut dalam nahas empat kenderaan di Kuala Nerus

    Empat juruteknik maut dalam nahas empat kenderaan di Kuala Nerus

    EMPAT juruteknik syarikat swasta maut apabila van dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Terengganu, terlibat dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan, di Kuala Nerus petang semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata kemalangan yang berlaku pada 6.22 petang itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan Proton Persona dari arah yang sama, serta sebuah bas ekspres dari arah Temerloh, Pahang menuju ke Jertih.

    “Ketika sampai di tempat kejadian kami mendapati seorang mangsa yang menaiki van telah dikeluarkan orang awam manakala tiga lagi mangsa yang maut masih berada di dalam van tersebut.

    “Kejadian itu turut menyebabkan pemandu Proton Wira dan penumpang Proton Persona mengalami kecederaan, manakala 13 penumpang bas ekspres termasuk pemandu, serta pemandu Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi insiden.

    Mangsa yang maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd Shahlan, 37, dan pemandu van yang masih belum dikenal pasti identitinya.

    Azmi berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila van tersebut gagal memotong kereta Proton Wira sebelum bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.

    Katanya, perlanggaran itu menyebabkan kereta Proton Wira berkenaan merempuh kereta Proton Persona yang berada di laluan sama.

    Menurut Azmi, seramai 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan BBP Kuala Terengganu bersama tiga jentera terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa.

    Beliau berkata keseluruhan operasi selesai sepenuhnya pada 9.20 malam tadi dan keempat-empat mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Kosmetik seludup dari Thailand dirampas

    Kosmetik seludup dari Thailand dirampas

    PELBAGAI kosmetik dari Thailand yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini dalam serbuan di pangkalan haram Kuala Jambu di Tumpat, pada pukul 11.15 malam kelmarin.

    Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu itu dilakukan menerusi rondaan rutin menggunakan motosikal.

    Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas melihat kelibat seorang lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari dalam perahu ke tebing sungai,

    “Melihat kehadiran anggota PGA, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu.

    “Pemeriksaan di lokasi menjumpai 586 kotak dan 100 peket barangan kosmetik seludup bernilai RM40,170,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azhari berkata, rampasan itu akan diserahkan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

    “PGA tidak menolak kemungkinan kosmetik tersebut disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

    “Hal ini kerana terdapat tulisan siam pada kotak dan peket kosmetik berkenaan,” katanya.

  • Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    Lelaki warga Malaysia dipercayai dibunuh kartel dadah di Australia

    MAYAT seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai dibunuh, ditemui polis berdekatan Bathurst di New South Wales, Australia.

    Mayat lelaki itu yang dipercayai Jacky Chong, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam selepas polis memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

    Menurut laporan news.com.au, polis berkata, mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan ujian DNA untuk koroner menyediakan laporan.

    Penemuan mayat itu menyusul tiga lelaki berusia 22, 28 dan 33 tahun yang didakwa pada hujung bulan lalu berhubung kematian Chong.

    Chong, 24, menetap di Sydney sejak 2016, namun dilaporkan tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Dis lalu, lapor FMT.

    Keluarganya memberitahu polis, mereka percaya Chong mungkin bekerja di New South Wales sebelum dia hilang.

    Minggu lalu, Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, John Watson berkata, Chong didakwa terbabit dalam sindiket jenayah terancang sebelum dia “dibunuh dengan kejam”.

    “Kami tahu Jacky bekerja untuk satu perusahaan jenayah membabitkan penanaman ganja di wilayah NSW (New South Wales) sekitar masa didakwa dia dibunuh. Keadaan kematiannya amat mengerikan.

    “Kumpulan penjenayah ini terkenal menyasarkan individu muda dengan janji wang mudah, yang sering menyebabkan mereka bekerja di rumah penanaman haram di hartanah terpencil.”

  • 29 pengawal keselamatan tiada rekod tapisan keselamatan

    29 pengawal keselamatan tiada rekod tapisan keselamatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) Johor mendapati 50 peratus pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah hospital pakar di Muar tiada rekod tapisan keselamatan Pengurusan Industri Keselamatan (eSIMS).

    Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, perkara tersebut terdedah selepas pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 49 pengawal keselamatan di daerah itu baru-baru ini.

    “Daripada 49 pengawal keselamatan yang diperiksa, 29 daripadanya didapati tiada rekod eSIMS. Menerusi operasi berkenaan kita mendapati majikan pengawal keselamatan berkenaan gagal mematuhi peraturan ditetapkan iaitu gagal mendaftarkan pengawal keselamatan di eSIMS.

    “Mereka akan diambil tindakan dan siasatan lanjut akan dilakukan. Pada masa sama, proses mengesahkan status tapisan keselamatan juga akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nashuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat keselamatan yang gagal mendaftar pekerja di eSIMS.

    Pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di lebih banyak premis secara berperingkat-peringkat selepas ini.

    Katanya, pemeriksaan itu dibantu pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Muar dan Ketua Pengawal Keselamatan Hospital (CGSO) serta menerima kerjasama daripada pengurusan hospital.

    Jelasnya, tujuan operasi itu supaya syarikat kawalan keselamatan mematuhi Akta Agensi Persendirian 1971 serta arahan tapisan keselamatan dan pengawal keselamatan tidak terbabit dengan kesalahan seperti penyalahgunaan dadah serta jenayah.

    Menurutnya, selain memeriksa pendaftaran pengawal keselamatan di eSIMS, mereka juga menjalani ujian saringan air kencing.

    Beliau berkata, seorang pengawal keselamatan disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dirujuk ke makmal patologi hospital untuk tindakan lanjut.

    “Ini bagi memastikan seseorang pengawal keselamatan bebas daripada sebarang rekod jenayah mahupun dadah kerana mereka memikul tanggungjawab menjaga keselamatan premis, pengunjung dan sebagainya,” katanya.

  • MP Labuan gagal batal tuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

    MP Labuan gagal batal tuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

    AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli hari ini gagal dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang dihadapinya.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob menolak permohonan itu selepas memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian tanpa menjalankan perbicaraan.

    Beliau kemudian menetapkan 27, 28 dan 29 Jun, 7 Julai, 11 serta 12 Ogos sebagai tarikh perbicaraan dan 15 Jun untuk pengurusan kes.

    Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan sebelum ini yang ditetapkan pada 9 Mei depan.

    Pada 7 Feb lepas, Rozman memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadapnya adalah tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

    Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman.

    Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    DUA beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

    “Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

    “Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

    Mayat mangsa dua beranak yang maut itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

    Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. – BERNAMA

  • Zahid patut ‘cermin dulu’ sebelum cakap soal Muhyiddin

    Zahid patut ‘cermin dulu’ sebelum cakap soal Muhyiddin

    Analisis

    Oleh Mikail Firdaus

    BILA Zahid Hamidi mula bersuara susulan pertemuan Muhyiddin Yassin dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengkritik Presiden BERSATU itu, maka jelaslah bahawa sebenarnya UMNO dan BN dalam keadaan cuak. Zahid cukup takut jika kerjasama politik antara PN dengan parti pembangkang menjadi kenyataan.

    Ini kerana Zahid tahu UMNO dan BN bakal tewas dalam PRU-15 nanti jika undi untuk pembangkang tidak terpecah. Zahid sedar bahawa senario di PRN Melaka dan PRN Johor yang sebelum ini menguntungkan BN tidak akan berulang, jika usaha penyatuan yang digerakkan oleh Muhyiddin menjadi kenyataan.

    Lebih menjadi mimpi ngeri buat Presiden UMNO itu ialah jika BN tewas dia tidak akan kembali berkuasa. Namun, bila Zahid menuduh Muhyiddin tidak berprinsip susulan pertemuan Presiden BERSATU itu dengan Tun Mahathir – ini kelakar.

    ‘Tubuh’ Zahid sendiri sebenarnya penuh dengan calar, parut serta ‘dosa politik’. Zahid ini barangkali lupa agaknya bahawa Muhyiddin tidak salah untuk merintis kerjasama politik bagi berdepan PRU-15 kerana faktanya UMNO dan BN sendiri bermati-matian menolak PN.

    Jadi kenapa Zahid perlu melenting jika benar sekalipun Muhyiddin mahu kembali jadi Perdana Menteri? Muhyiddin bukan ada kes mahkamah seperti Zahid – yang tidak patut dan tidak boleh dibenarkan menjadi Perdana Menteri adalah orang yang ada kes mahkamah seperti yang berlaku pada Zahid sekarang.

    Dalam hal ini sebenarnya, Zahid perlu malu dengan Muhyiddin. Muhyiddin tidak menafikan beliau bertemu Tun Mahathir dan Anwar serta ada berbincang dengan Shafie Apdal. Sebaliknya, mengakui perkara itu demi merintis kerjasama – bukan untuk mengguling kerajaan tetapi bagi menghadapi PRU-15.

    Berbeza dengan Zahid – walaupun tersebar audio perbualan telefon bersama gurunya – walaupun tular surat akuan bersumpah sokongannya untuk Anwar menjadi Perdana Menteri – Zahid tetap menafikan perkara tersebut.

    Dia hanya mengakui perkara itu dalam mesyuarat tertutup bersama Ismail Sabri. Itu pun setelah didesak beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi UMNO tetapi Zahid sampai sekarang tidak pernah membuat pengakuan terbuka bagi mengesahkan hal itu.

    Sebab itu, bijak pandai Melayu selalu memberi nasihat sebelum mengata orang elok cermin diri dulu kerana ketika satu jari menuding kepada orang lain, empat lagi jari ‘menembak’ diri sendiri.

    Lebih teruk, dibimbang nanti orang melabelkan kita ibarat ayam jantan – berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulid dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.