Category: Semasa

  • Aidilfitri: 4.7 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya – Bukit Aman

    Aidilfitri: 4.7 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya – Bukit Aman

    SEBANYAK 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim.

    Beliau berkata ekoran jangkaan pertambahan kenderaan, JSPT akan mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik.

    “Cuti raya pada tahun ini agak panjang dan dijangka masyarakat akan mengambil peluang untuk beraya di kampung setelah dua tahun kita tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mat Kasim berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, Op Selamat 18 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ turut akan dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

    Menurutnya, ia akan memberi fokus kepada pencegahan jenayah pecah rumah dan meminimumkan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

    “Dalam Op Selamat 18 ini, JSPT akan memberi fokus terhadap Op Motosikal, Op Had Laju dan Op Perdagangan yang akan dijalankan secara penguatkuasaan menyeluruh dengan tiada sebarang rayuan akan diterima bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

     Mat Kasim berkata JSPT telah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan diminimumkan ke paras sekurang-kurangnya 50 peratus penurunan.

    “Aset-aset JSPT seperti motosikal dan kereta peronda juga akan dioptimumkan penggunaannya bagi tugas penguatkuasaan dan rondaan ‘omnipresent’ di lokasi panas seluruh negara,” katanya.

    — BERNAMA

  • Bayi 5 bulan maut, empat parah dalam kemalangan

    Bayi 5 bulan maut, empat parah dalam kemalangan

    SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51 Jalan Sungai Lerek, Setiu, semalam.

    Mangsa, Nur Al Ammara Mohamad Budiman berusia lima bulan dari Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, selain itu, empat termasuk ibu dan kakaknya parah dalam kemalangan itu.

    Katanya, polis menerima panggilan pukul 9.55 malam tadi memaklumkan seorang mangsa kemalangan meninggal dunia di hospital.

    “Hasil siasatan mendapati, kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dengan Perodua Viva, pukul 6.15 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Alphard dipandu dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu bertembung dengan Perodua Viva yang datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan.

    “Pemandu Perodua Viva dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya, namun gagal sebelum bertembung dengan Toyota Alphard berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, pemandu dan empat penumpang Toyota Alphard itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.

    Katanya, pemandu Perodua Viva serta empat penumpang, termasuk seorang bayi juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan dan bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital.

    “Pemandu Toyota Alphard, Aiza Romainor, 40, mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penumpang, Sharifah Amanda Zuhaira Syed Zuanda berusia setahun patah di bahagian peha sebelah kiri.

    “Dua lagi penumpang Perodua Via yang parah Siti Fatimah Abdullah, 34, dan anaknya, Nur Al Jannah Mohamad Budiman berusia lima tahun.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Didakwa edar 1.6 kg kanabis: Lelaki terlepas tali gantung

    Didakwa edar 1.6 kg kanabis: Lelaki terlepas tali gantung

    SEORANG lelaki hari ini terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram, empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan bekas pekerja bengkel membaiki sofa, Ahmad Kamil Anuar, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika mensabitkannya dengan kesalahan mengedar dadah.

    “Kami berpuas hati sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

    Kelihatan isteri kepada perayu, yang hadir pada prosiding hari ini menangis teresak-esak semasa panel hakim memberi keputusan dan sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil yang turut dilihat menangis mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi ke arah menantunya dan menenangkan wanita tersebut.

    Ahmad Kamil merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept 2020 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 3.45 petang, 7 Okt 2018.

    Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Bisyri Abdul Razak, mewakili Ahmad Kamil.

    — BERNAMA

  • Buruh maut ditikam, suspek ditahan di Pulau Pinang

    Buruh maut ditikam, suspek ditahan di Pulau Pinang

    SEORANG buruh warga Rohingya ditemukan maut dengan kesan tikaman di perut dipercayai dibunuh rakan serumahnya di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok, Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dikatakan menumpang di rumah berkenaan bersama rakan senegaranya yang berusia 40 tahun itu sejak seminggu lepas.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di laluan menuju dapur rumah itu. Mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia dalam tempoh lima hingga enam jam sebelum itu dan dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam namun belum dipastikan berapa tikaman dan di mana senjata itu berada.

    “Polis juga dimaklumkan suspek yang juga buruh menyewa di rumah berkenaan sejak setahun lepas. Malam tadi, jiran ada dengar pergaduhan berlaku selain majikan suspek ada datang mencarinya di rumah selepas dia tidak hadir ke tempat kerja pagi tadi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Nanda berkata tiada pengesahan sama ada terdapat barang mangsa yang hilang setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata suspek yang melarikan diri sejurus kejadian itu bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di sebuah kedai pakaian di Jalan Aston, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dipercayai bersembunyi di lokasi terbabit selepas menyedari dirinya diburu.

    Menurut Nanda, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan mendatangkan kecederaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dibawa balik ke Seremban untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya.

  • Tiga ‘Geng Kitty’ edar dadah ditahan polis

    Tiga ‘Geng Kitty’ edar dadah ditahan polis

    KEGIATAN pengedaran dadah didalangi ‘Geng Kitty’ lumpuh selepas polis menahan tiga anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita di Batu 3, Paya Pulai, Temerloh, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Azmi Awang Lah berkata, suspek berkenaan berusia 23 hingga 39 tahun itu ditahan pada pukul 10.20 malam.

    “Polis turut menemui dan merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dalam kereta yang dinaiki mereka.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 1,552.43 gram dan erimin 5 (16.43 gram).

    “Hasil siasatan mendapati, seorang suspek berperanan sebagai pengedar manakala dua lagi sebagai pemandu dan penyimpan bekalan dadah.

    “Sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah heroin dan erimin 5 daripada pembekal di Puchong, Selangor untuk diedarkan kepada penagih sekitar Temerloh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azmi berkata, dadah heroin yang dirampas dipercayai mampu untuk dibekalkan kepada 3,105 penagih sehari mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkait dadah.

    “Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

  • Empat penyelam warga asing termasuk dua remaja hilang

    Empat penyelam warga asing termasuk dua remaja hilang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    EMPAT penyelam warga asing dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua warga Britain, Perancis dan Norway.

    Beliau berkata, dua lelaki warga Britain itu berumur 14 dan 46 tahun, seorang wanita warga Perancis pula berumur 18 tahun dan seorang wanita Norway berusia 35 tahun.

    “Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 2.35 petang mengenai kejadian itu.

    “Keempat-empat penyelam warga asing itu dipercayai tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

    “Laporan kehilangan penyelam tersebut dibuat oleh tekong bot yang membawa mereka,” katanya di sini, hari ini.

    Susulan itu, Nurul Hizam berkata, Op Carilamat telah diaktifkan pada pukul 2.45 petang dengan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

    Beliau berkata, keluasan pencarian dianggarkan seluas 21.45 batu nautika persegi setakat ini.

    Sehingga kini masih tiada sebarang penemuan termasuk mangsa berhampiran kawasan mereka menyelam.

  • Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

    Pegawai bank rugi lebih RM200,000 terpedaya pinjaman tak wujud

    GARA-gara hendak membuat pinjaman peribadi sebanyak RM80,000, seorang pegawai bank kerugian RM234,000 selepas terpedaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud di laman sesawang.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Mohamad Musa Marsidi, berkata mangsa berusia 54 tahun membuat laporan pada 1 April lalu selepas menyedari ditipu.

    Beliau berkata, sebelum itu, mangsa berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang daripada syarikat dikatakan menawarkan kadar faedah rendah.

    “Mangsa kemudian dihubungi pekerja syarikat pinjaman wang berkenaan dan memintanya untuk membuat bayaran bagi memproses pinjaman itu.

    “Semasa proses kelulusan, mangsa diminta membuat pembayaran dengan memindahkan wang secara berperingkat ke sembilan akaun sejak 28 Feb sehingga akhir Mac lalu berjumlah RM243,000,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Musa turut mengingatkan orang ramai tidak percaya dengan iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah dan proses permohonan pantas tanpa syarat ketat untuk mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman tidak wujud.

    Beliau turut menyarankan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03 26101559 dan 03 26101599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Infoline di CCID Scam Response Center di talian 03 2610 1559/1599 atau balai polis berdekatan jika mendapati sebarang jenayah atau aktiviti mencurig

  • Rasuah: Bekas pengarah  ICU JPM P.Pinang dipenjara 15 bulan

    Rasuah: Bekas pengarah ICU JPM P.Pinang dipenjara 15 bulan

    BEKAS Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang kekal dipenjara dan didenda selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50, sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada tiga tahun kepada 15 bulan terhadap Mohd Noor Rejab selepas mempertimbangkan beberapa faktor terutamanya umur perayu yang kini berusia 60 tahun.

    Dalam keputusan sebulat suara, Kamaludin berkata mahkamah berpandangan tiada alasan kukuh untuk campur tangan dapatan mahkamah-mahkamah sebelum ini yang mendapati perayu bersalah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

    “Kami telah melihat penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dan kami dapati kedua-dua mahkamah itu membuat dapatan yang konsisten. Dapatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kita tidak boleh ganggu fakta tanpa alasan. Kami minta maaf Encik Mohd Noor, kami tidak boleh buat apa-apa.

    “Namun, peguam perayu (Mohd Noor) telah merayu terhadap hukuman dan setelah mempertimbangkan latar belakang, umur dan faktor lain dalam kes ini, mahkamah mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada 15 bulan serta denda RM130,812.50 dikekalkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukuman penjara satu tahun dikurangkan kepada enam bulan untuk kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    “Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula hari ini,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

    Bekas penjawat awam itu telah membayar denda tersebut.

    Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, Mohd Noor dilihat berpelukan dengan seorang wanita dipercayai anaknya dan cuba menenangkan ahli keluarganya itu.

    Mohd Noor merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Julai 2019 yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM130,812.50 terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Georgetown pada 18 Mei 2018.

    Mohd Noor sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa telah menggunakan jawatannya itu bagi mendapatkan suapan iaitu dengan memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Okt 2013 bagi pembayaran membekalkan ‘Lab Coat’ untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

    Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada 17 Okt 2013, mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Mohd Noor juga didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM24,656 melalui cek Maybank daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya di Maybank Cawangan Penang Road, Pulau Pinang pada 24 Okt 2013, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim dan Mohd Fairuz Johari manakala perayu diwakili peguam Ashok Athimulan.

    — BERNAMA

  • KKM alu-alukan kajian berkaitan penggunaan ganja untuk perubatan

    KKM alu-alukan kajian berkaitan penggunaan ganja untuk perubatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih belum menerima laporan penuh mengenai kegunaan ‘cannabidiol’ (CBD) yang merupakan antara kandungan aktif dalam pokok kanabis untuk tujuan perubatan.

    Namu kata Menterinya, Khairy Jamaluddin, pihak KKM mengalu-alukan kerjasama industri atau ahli akademik dalam penyelidikan klinikal penggunaan kanabis atau ganja dalam perubatan.

    “Banyak perbincangan mengenai penggunaan ganja dalam perubatan.

    “KKM konsisten dalam mengamalkan dasar berasaskan bukti. Itulah sebabnya kami mengalu-alukan kajian klinikal untuk penggunaan CBD untuk tujuan perubatan,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

    Jelasnya, kerjasama membabitkan industri atau ahli akademik itu boleh diselaraskan dengan Institut Penyelidikan Klinikal dan Clinical Research Malaysia (CRM) yang diwujudkan KKM, sejak 2012.

    Khairy sebelum ini pernah memaklumkan, undang-undang negara tidak akan menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan jika mematuhi beberapa peraturan.

    Undang-undang berkaitan adalah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

  • Kakitangan awam Kedah terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000

    Kakitangan awam Kedah terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri berjumlah RM1,000 seorang kepada semua kakitangan awam di negeri ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian itu yang akan memanfaatkan lebih 5,300 kakitangan awam negeri bakal membabitkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

    “Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Awam Negeri Kedah sebanyak RM1000 seorang.

    “Kelulusan ini melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan membabitkan peruntukan RM5.35 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pembayaran tersebut difahamkan akan dilaksanakan pada 28 April depan membabitkan keseua penjawat awam termasuk mereka yang berstatus lantikan kontrak.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan, mesyuarat Exco dipengerusikannya itu turut meluluskan bantuan khas hari raya kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kedah melibatkan 2,050 penerima dengan peruntukan keseluruhan RM307,500.

    “Bantuan tersebut akan disalurkan melalui Pusat Khidmat Adun masing-masing,” katanya.