Oleh RAHIMI MOHAMAD

EMPAT penyelam warga asing dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua warga Britain, Perancis dan Norway.

Beliau berkata, dua lelaki warga Britain itu berumur 14 dan 46 tahun, seorang wanita warga Perancis pula berumur 18 tahun dan seorang wanita Norway berusia 35 tahun.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 2.35 petang mengenai kejadian itu.

“Keempat-empat penyelam warga asing itu dipercayai tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

“Laporan kehilangan penyelam tersebut dibuat oleh tekong bot yang membawa mereka,” katanya di sini, hari ini.

Susulan itu, Nurul Hizam berkata, Op Carilamat telah diaktifkan pada pukul 2.45 petang dengan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau berkata, keluasan pencarian dianggarkan seluas 21.45 batu nautika persegi setakat ini.

Sehingga kini masih tiada sebarang penemuan termasuk mangsa berhampiran kawasan mereka menyelam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here