Category: Semasa

  • PN sokong cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan antilompat parti – Hamzah

    PN sokong cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan antilompat parti – Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan antilompat parti, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata perkara itu hasil daripada satu sesi libat urus berhubung cadangan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan antilompat parti yang diadakan antara PN dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 5 April lepas.

    Sungguhpun begitu, Hamzah berkata bagi memastikan pindaan Perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan kerajaan kelak.

    Menurut Hamzah pada 6 April lepas, Jemaah Menteri bersetuju Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada Ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan antilompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima semua pihak.

    “Perikatan Nasional mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022. Keputusan itu adalah satu keputusan kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu hari ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan memaklumkan gabungan itu akan menyokong Pindaan Perlembagaan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini selain memaklumkan syarat utama ialah draf Rang Undang-undang Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

    Media sebelum ini melaporkan Wan Junaidi berkata Rang Undang-Undang itu tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

    Bagaimanapun Wan Junaidi dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata sidang khas itu diteruskan untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

    RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

    — BERNAMA

  • Draf akhir RUU Anti Lompat Parti perlu segera dikongsi dengan umum – Wan Saiful

    Draf akhir RUU Anti Lompat Parti perlu segera dikongsi dengan umum – Wan Saiful

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Draf akhir Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti seharusnya segera dikongsikan kepada umum agar semua pihak terutamanya mereka yang memiliki kepakaran, dapat turut memberi pandangan mengenainya.

    Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, langkah tersebut perlu dilaksanakan sebagai usaha untuk mendapatkan input dari semua pihak, bagi memastikan undang-undang yang dilaksanakan nanti merupakan yang terbaik.

    “Tak kisahlah bila hendak kongsikannya kepada umum tetapi buatlah demikian sebelum pembentangan dibuat di Parlimen. Lebih cepat draf itu dikongsikan kepada umum, lebih baik.

    “Pertubuhan Bukan kerajaan serta ahli akademik kita juga banyak kepakaran dan mereka perlu diberi peluan untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada dalam draf tersebut. Kalau bincang dengan ahli politik saja, nanti banyak kepentingan nak dijaga dan mungkin juga ada yang nak ambil kesempatan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam Program Serahan Bakul Ramadan Sempena Ramadan di Kampung Binjal, Mukim Jeram di sini, hari ini.

    Wan Saiful dalam pada itu turut menafikan laporan sebuah akhbar kononnya Bersatu membantah syarat kerusi dikosongkan yang merupakan antara kriteria terkandung dalam RUU Anti Lompat Parti.

    Katanya, ketika ini tiada pihak yang tahu mengenai draf akhir RUU tersebut dengan sesi konsultasi dijalankan pula, sentiasa mendapat pelbagai pandangan dari kalangan ahli politik dalam semua parti.

    “Tidak timbul isu terima atau tolak RUU berkenaan kerana kita sentiasa terlibat dengan sesi konsultasi tersebut dengan menghantar wakil setiap kali ia diadakan. Kalau kita tak komited ke arah itu, takkan kita mahu terlibat dengan sesi konsultasi tersebut?

    “Dalam keadaan sekarang, saya lihat semua parti sangat komited ke arah merealisasikan RUU berkenaan. Memanglah dalam sesi konsultasi, ada yang menyatakan rasa tidak setuju terhadap beberapa perkara tetapi pandangan diberikan bukan bermakna penolakan terhadap RUU tersebut sebaliknya masing-masing menyuarakan pandangan untuk melakukan penambah baikan,” katanya.

    Tambahnya, Bersatu sentiasa komited dalam memastikan perkara yang baik dapat dilaksanakan di negara ini.

    “Di pihak Bersatu pun, kami tak pernah menyatakan tidak setuju untuk realisasikan RUU itu malah dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) baru-baru ini, terdapat perbincangan tentang bagaimana mahu membaiki RUU terbabit untuk pastikan RUU berkenaan dapat diluluskan,” katanya.

  • Tiga individu termasuk wanita ditahan bantu siasatan cuba rempuh polis

    Tiga individu termasuk wanita ditahan bantu siasatan cuba rempuh polis

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing serta seorang lelaki dan wanita tempatan selepas disyaki terlibat dalam insiden cubaan merempuh anggota polis di Sungai Long dekat Kajang, Selangor, Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata ketiga-tiganya yang berusia antara 34 dan 38 tahun ditahan di Bandar Sungai Long kira-kira 12.30 tengah hari semalam hasil pemantauan dan pemeriksaan.

    Beliau berkata dalam kejadian 2.14 pagi itu, tiga anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Polis kemudian cuba menghentikan kereta itu namun suspek memecut dan memandu secara melulu yang menyebabkan polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer.

    “Ketika dikejar, suspek beberapa kali cuba menghimpit polis yang menaiki motosikal dan apabila tiba di sebatang jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U serta cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tindakan agresif suspek telah menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta tersebut namun suspek berjaya meloloskan diri.

    Mohd Zaid berkata selain penahanan ketiga-tiga individu itu, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi yang mempunyai kesan tembakan disyaki terlibat dalam kes itu.

    Beliau berkata kesemuanya akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam bertugas dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan bunuh selain polis sedang mengesan beberapa individu lain yang disyaki turut terlibat kes itu.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • ’Saya tak akan bersembunyi, sedia beri kerjasama bantu siasatan’’ – Peja

    ’Saya tak akan bersembunyi, sedia beri kerjasama bantu siasatan’’ – Peja

    BEKAS Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja tidak akan bersembunyi jika dipanggil pihak berkuasa untuk membantu siasatan penjualan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

    “Sudah pasti saya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa (sekiranya dipanggil berhubung isu penjualan tanah). Ketika ini, biarlah (beri ruang) pihak berkuasa melakukan kerja dan siasatan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

    Hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapatkan dokumen berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang berkenaan daripada beberapa jabatan berkaitan.

    Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penahanan atau memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.

    Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Amanah Perak Asmuni Awi bahawa penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

    Asmuni, yang juga seorang daripada exco kerajaan negeri bawah kepimpinan Faizal ketika itu, mendakwa sepanjang menyandang jawatan berkenaan, penjualan tanah terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi itu turut mendakwa tindakan berkenaan langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Adun Aulong, Nga Kor Ming.

  • Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap dapat menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi meningkatkan digitalisasi dan capaian Internet di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun perkara itu di bawah bidang kuasa K-KOMM, kolaborasi antara kedua-dua kementerian akan lebih efektif dalam usaha meningkatkan keupayaan Internet di Tabika Kemas.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di kawasan pedalaman sebagai usaha memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak di negara ini.

    “Dengan inisiatif ini, proses memahami dunia digital akan menjadi lebih mudah kerana kanak-kanak diberi pendedahan awal,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama kakitangan Kemas Pulau Pinang hari ini.

    Mahdzir berkata tahun ini KPLB menyasarkan untuk menyediakan kemudahan Internet dan komputer di 700 Tabika Kemas seluruh negara.

    Katanya transformasi ke arah digital itu akhirnya akan meliputi semua 11,000 Tabika Kemas seluruh negara. – BERNAMA

  • CEO antara lapan individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion

    CEO antara lapan individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion

    KETUA  Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat dan pemilik syarikat adalah antara lapan individu yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek-projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki  terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.

    Sumber itu berkata CEO itu bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM di sini manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

    SPRM hari ini membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

    CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

    Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • Lembaga Pengarah Felcra sedar risiko labur RM150 juta dalam unit amanah

    Lembaga Pengarah Felcra sedar risiko labur RM150 juta dalam unit amanah

    BEKAS Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa Lembaga Pengarah Felcra menyedari keputusan untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad mempunyai risiko.

    Mohd Azmy Abu Samah, 54, bagaimanapun berkata, beliau memohon cadangan pelaburan itu dipertimbangkan sewaktu membentangkannya pada mesyuarat lembaga pengarah.

    “Namun, keputusan mengenai pelaburan itu tidak dibentangkan atau dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT),” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata semasa sesi pembentangan, beliau ada memaklumkan Felcra mempunyai wang tunai RM300 juta untuk dilaburkan dan memohon lembaga pengarah mempertimbangkannya.

    Disoal Kumaraendran adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar membangkitkan apa-apa isu semasa pembentangan cadangan pelaburan itu, saksi itu berkata CEO cuma bertanya mengapa pelaburan unit amanah ini tidak dibawa kepada MPT.

    Bagaimanapun, Mohd Azmy berkata tiada bantahan atau perbincangan daripada lembaga pengarah (Felcra) berkaitan pelaburan itu.

    Kumaraendran: Adakah lembaga pengarah meneruskan pelaburan (RM150 juta) itu.

    Mohd Azmy: Ya.

    Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa pelaburan RM150 juta itu dibuat oleh Felcra pada 18 Mei 2015.

    Mohd Azmy juga bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa lembaga pengarah tidak pernah meluluskan sebarang jumlah untuk dilaburkan oleh Felcra.

    Dalam prosiding sebelum ini, Mohd Azmy memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Bung Moktar.

    Prosiding bersambung pada 12 April ini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • CEO Cradle Fund dibunuh, bukan mati sebab kebakaran

    CEO Cradle Fund dibunuh, bukan mati sebab kebakaran

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan adalah dibunuh dan bukan disebabkan kejadian kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, pada 2018.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, kebakaran yang berlaku itu, bukanlah disebabkan satu kemalangan sebaliknya ia adalah satu kebakaran yang dirancang.

    “Tempat kejadian juga adalah merupakan satu ‘staged crime scene’ yang dicipta tertuduh (Samirah Muzaffar) dan dua remaja lain yang dituduh bersamanya,” katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

    Samirah, 47, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

    Mohd Asnawi berhujah kebakaran itu bukanlah satu kemalangan tetapi merupakan kebakaran yang disengajakan, kerana kebakaran yang berlaku tidak sekata dan kewujudan ‘irregular pattern’ pada dinding bilik serta tiga tempat ‘fire of origin’.

    “Merujuk kepada keterangan pegawai penyiasat, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli yang merupakan Saksi Pendakwaan ke-15 (SP15), tiga tempat di mana bermulanya kebakaran iaitu di bahagian kepala si mati, bahagian atas katil di mana telefon Blackberry S2 dijumpai dan di dinding di bahagian kanan kepala katil.

    “Hanya tempat ini saja yang mengalami kebakaran manakala tempat lain hanya kesan ‘soot’ (jelaga) serta mencair (melting). Hasil siasatan SP15 juga, kebakaran yang berlaku di bahagian kepala si mati dan di atas katil menunjukkan dua kebakaran yang berbeza.

    “SP15 dalam keterangannya juga menyatakan bahawa bentuk kebakaran pada dinding menunjukkan satu ‘pattern’ berbeza daripada bentuk-bentuk lain, disebabkan itu (pattern), SP15 telah mengambil sampel di dinding tersebut yang ternyata mempunyai sisa petrol setelah dianalisa Aznor Sheda Samsudin, pegawai sains, JBPM (SP14),” katanya.

    Beliau juga berhujah telefon bimbit milik si mati iaitu Blackberry S2 tidak meletup atau ‘overcharging’.

    “Meskipun telefon bimbit boleh menyebabkan letupan, berdasarkan pengalaman Pegawai Turus StaRT (Persenjataan/Komander UPB) Ibu Pejabat Polis Selangor ASP Mohd Sa’ad Mat Nasib (SP35), ia tidak memberi kesan pada badan telefon itu dan bateri hanya akan menendang casing telefon tersebut.

    “Di dalam kes ini, sekiranya telefon Blackberry S2 meletup sekalipun, SP35 menyatakan bahawa ia tidak kuat kerana bateri telefon masih dalam tempatnya, berdasarkan kepada kesan kilat di tapak bateri tersebut yang menunjukkan ia tidak terkena api,” katanya.

    Tambahnya, pihak pendakwaan juga menghujahkan bahawa tidak terdapat kemungkinan terdapat letupan daripada ‘powerbank’.

    “Ini kerana, SP35 menyatakan bahawa sekiranya ‘powerbank’ meletup, semestinya akan terdapat rangka ‘powerbank’ tersebut di tempat kejadian, bagaimanapun di dalam kes ini, SP15 tidak menjumpai sebarang bentuk ‘powerbank’ di tempat kejadian. Jadi, tidak terdapat kemungkinan bahawa yang meletup adalah ‘powerbank’,” ujarnya.

    Justeru, beliau berhujah bahawa punca kematian si mati adalah disebabkan kecederaan dan bukannya kerana kebakaran, berdasarkan keterangan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng (SP46) menyatakan bahawa satu bedah siasat dijalankan ke atas mayat si mati pada 14 Jun 2018, mendapati terdapat beberapa kecederaan di bahagian kepala.

    “Kecederaan yang membawa kepada kematian adalah kecederaan pertama di bahagian kiri kepala si mati iaitu ‘penetrating wound, measuring 5 x 4 cm a left parietal region’. Berdasarkan keterangan SP46, ia adalah kecederaan fatal (disebabkan objek tumpul) yang menyebabkan kecederaan otak dan pendarahan teruk,” katanya.

    Hujahnya lagi, terdapat ‘conduct’ (kelakuan) oleh tertuduh (Samirah) yang releven di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1964, yang menunjukkan kaitan di antara kejadian yang menimpa si mati dengan Samirah.

    “Keterangan pengawal keselamatan Raju Kumar Pandit (SP4) menyatakan, pada 14 Jun 2018 lebih kurang jam 12.24 tengah hari, SP4 terima panggilan dari pemilik sebuah rumah terdapat sedikit masalah.

    “SP4 terus ke rumah tersebut dan nampak asap keluar dari rumah itu. SP4 kemudian bertanya kepada tertuduh (Samirah) sama ada telah menelefon bomba atau tidak dan Samirah menjawab, masih belum.

    “Isu yang ingin ditekan di sini adalah kelakuan tertuduh yang tidak membuat panggilan kecemasan, walaupun sudah mengetahui mengenai kewujudan asap di tingkap bilik atas rumahnya,” katanya.

    Hujahan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim bersambung 13 April depan. – BERNAMA

  • 15 PATI Rohingya berhimpit dalam Toyota Alphard

    15 PATI Rohingya berhimpit dalam Toyota Alphard

    TINDAKAN 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya termasuk dua wanita berhimpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard membawa padah, apabila mereka ditahan dalam operasi di pangkalan haram sekitar Bakong, Pasir Mas, Kelantan awal pagi tadi.

    Penahanan dibuat melalui serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas selepas menerima maklumat.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai sebagai ‘transporter’ yang mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap PATI.

    Katanya, sebelum ditahan, pihaknya membuat rondaan dan menahan Toyota Alphard berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

    “Ketika proses penahanan, kenderaan itu terbabas dan mengalami sedikit kerosakan dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada ditahan.

    “Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati 15 Pati warga Myanmar termasuk 13 lelaki berusia 14 hingga 43 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Azhari, hasil pemeriksaan terhadap penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Bakong.

    Menurutnya, kesemua Pati berkenaan dalam perjalanan ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan bangunan.

    Ujarnya, Toyota Alphard dan telefon bimbit masing-masing bernilai RM70,000 serta RM1,000 dirampas.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

  • Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    Didakwa hina polis, pemilik Facebook ‘Ain Singa’ ditahan

    GARA-GARA membuat hantaran berbaur hinaan melalui ruangan komen di Facebook terhadap seorang anggota polis trafik, seorang wanita yang dikenali sebagai Ain Singa ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, wanita berusia 19 yang sudah berkahwin itu meninggalkan komen menghina melalui Facebook ‘Kuala Krai Kini’ selain memuat naik gambar seorang polis trafik sedang menjalankan tugas dengan kapsyen ‘Salam Jumaat.Duk memukat duit BKM ke tu? area wisma koya’.

    Menurut beliau, pemilik akaun Facebook itu dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej polis.

    Justeru katanya, selepas menerima satu laporan, polis bertindak menahan pemilik akaun Facebook Ain Singa itu untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

    Suzaimi berkata, anggota polis trafik yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada kekuatan penugasan Snap Check Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Krai yang sedang bertugas di Jalan Ah Sang, Kuala Krai pada 1 April lalu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat salah, tidak beretika dan berhemah melalui aplikasi media sosial demi kesejahteraan semua pihak.

    “Orang ramai boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.