Category: Semasa

  • Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar, tapi tertakluk negeri – MKI

    Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar, tapi tertakluk negeri – MKI

    TAREKAT Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenarkan diamalkan di Malaysia.

    Ini seperti yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 pada tahun 2020.

    Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, tarekat tersebut dibenar diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat selepas kajian semula dibuat.

    “Oleh itu, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah ini tidak lagi terpakai.

    “Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan keputusan ini, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 3 April 2000 memutuskan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

    Baru-baru ini, isu mengenai tarekat tersebut kembali diperkatakan apabila dibangkitkan beberapa pendakwah dari kelompok tertentu.

    Mereka mempersoalkan bagaimana ada negeri membenarkan amalan tarekat tersebut sedangkan sudah ada ketetapan di peringkat kebangsaan sebelum ini.

    Sehubungan itu, kenyataan terbaru MKI berhubung status tarekat berkenaan dilihat mampu memberi pencerahan dalam isu ini.

  • Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 150 kilogram daun ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Labu Kubong, Chederong Balai, Teluk Intan, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas menerima maklumat awam sekitar jam 1 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai pesawah itu mendapatkan bekalan daun ketum dengan memetiknya sendiri dalam hutan di belakang rumahnya.

    “Daun ketum terbabit dikatakan sedia ada di hutan berhampiran rumah suspek disyaki ditanam orang lain sebelum ini.

    “Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai 30 bungkus beg plastik hitam yang di dalamnya terdapat daun ketum dianggarkan seberat 150 kilogram dalam stor belakang rumah.

    “Suspek mengaku daun ketum itu adalah miliknya dan bekalan itu untuk dijual kepada pembeli yang berminat,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan, suspek turut mengaku menjadi orang tengah yang mengutip dan mengumpulkan bekalan daun ketum daripada orang kampung.

    Katanya, tindakan itu dibuat kerana bekalan daun yang dipetik sendiri tidak cukup untuk menampung permintaan pembeli terutama dari sekitar Teluk Intan.

    “Suspek terlibat dalam perniagaan ini sejak enam bulan lalu. Dia ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki daun ketum,” katanya.

  • Penyelam warga Eropah disahkan maut

    Penyelam warga Eropah disahkan maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini, Rabu lalu disahkan sudah meninggal dunia hari ini.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, mangsa, Nathen Renze, 14, difahamkan sudah hanyut ke perairan Indonesia.

    Jelas beliau, bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, yang juga seorang daripada empat penyelam yang hilang dan ditemukan pukul 1 pagi ini, memberitahu dan mengesahkan perkara itu.

    “Menurut bapanya, anaknya itu sudah meninggal dunia akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

    Mangsa pertama iaitu jurulatih penyelam dari Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam.

    Sementara dua lagi mangsa, Adrian yang merupakan warga British dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan pada jam 1 pagi tadi.

  • Kementerian Luar nafi dakwaan 10,000 rakyat Malaysia berada di Thailand secara tidak sah

    Kementerian Luar nafi dakwaan 10,000 rakyat Malaysia berada di Thailand secara tidak sah

    KEMENTERIAN Luar Negeri hari ini menegaskan dakwaan terdapat 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas sama sekali dan jika pun ada yakin jumlah itu adalah jauh lebih kecil.

    Kementerian berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 orang warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air.

    “Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

    “Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral,” jelas kenyataan itu.

    Kenyataan itu mengulas laporan media tempatan yang mendakwa lebih 10,000 rakyat Malaysia terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.

    Media melaporkan keadaan itu berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup. 

    Kementerian berkata, Kerajaan Thailand pada Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memegang visa pelancong/jangka pendek untuk meninggalkan negara itu atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

    “Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu daripada segi pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand.

    “Manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia,” katanya.

    Warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput dinasihatkan untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi membolehkan pihak konsulat menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

    Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian (6674) 311 062 / 316 274 ataupun Email [email protected] Bernama

  • Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG terkorban manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan pemandu MPV jenis Perodua Alza, Mohamad Fikri Mohd. Zuki, 27, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya yang menerima panggilan pukul 12.09 tengah hari bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan MPV berkenaan dengan sebuah lori tanpa muatan.

    “Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Alza iaitu Perodua Alza iaitu pemandu yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua penumpang lelaki dan wanita yang cedera.

    Selepas kemalangan pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba

    “Bagaimanapun, pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat.

    Jelasnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 40 minit kemudian sebelum diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans.

    Jelasnya, operasi itu yang dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor tamat sepenuhnya pukul 1.37 petang.

  • Lelaki rentung terperangkap dalam bilik

    Lelaki rentung terperangkap dalam bilik

    SEORANG lelaki rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan bilik di sebuah rumah di Jalan Utara Taman King Fook. Tawau, pada pukul 11 pagi tadi.

    Mangsa, S. Yogeswaran yagn berusia 35 tahun ditemui rentung oleh pasukan bomba di biliknya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.17 pagi.

    “Seramai 14 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP Tawau.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik yang terbakar 100 peratus dan berjaya dipadam sebelum jentera tiba. Pasukan bomba bertindak membuka pintu utama rumah berkenaan untuk pengudaraan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat seorang mangsa lelaki ditemui dalam bilik berkenaan dalam keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Jakim tidak boleh keluar kenyataan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, titah Sultan Sharafuddin

    Jakim tidak boleh keluar kenyataan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, titah Sultan Sharafuddin

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

    Baginda bertitah, ini kerana perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

    Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah, Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

    “Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

    “Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya juga bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Klang, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sebaliknya baginda bertitah, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

    “Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri.

    “Berhubung dengan isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al- Haqqani, keputusan muzakarah sudah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

    “Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April lalu,” titah baginda.

  • Malaysia semakin rosak kerana rasuah berskala besar

    Malaysia semakin rosak kerana rasuah berskala besar

    SURUHANJAYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melaksanakan langkah lebih tegas dalam menangani isu rasuah yang semakin berleluasa dalam kalangan penjawat awam.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat gesaaan itu berkata, pendedahan beberapa kes rasuah kebelakangan ini menunjukkan Malaysia semakin rosak akibat budaya rasuah berskala besar.

    “Ketika kes melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kes rampasan ratusan juta di Kota Kinabalu masih belum terungkai, kini muncul pula kes rasuah melibatkan lapan individu yang direman berhubung projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernilai lebih RM2.3 bilion.

    “Ia ternyata satu tragedi yang menimpa negara tatkala rompakan oleh pemimpin dan golongan elit mencecah puluhan bilion tanpa titik noktah dan rakyat miskin serta golongan yang terpinggir hampir pasti tidak akan mendapat pembelaan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu media melaporkan, lapan individu direman di dua mahkamah berasingan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat GLC bernilai lebih RM2.3 bilion.

    Enam daripadanya menjalani prosiding permohonan tahanan reman semalam.

    Mengulas lanjut Anwar berkata, kes-kes tersebut dilihat semakin rancak dan tiada ketegasan dari segi tindakan dan undang-undang oleh pihak berwajib.

  • Tumpu cari seorang lagi penyelam warga Eropah yang hilang

    Tumpu cari seorang lagi penyelam warga Eropah yang hilang

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) akan memberikan tumpuan sepenuhnya bagi mengesan seorang lagi warga Eropah yang masih hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada Rabu.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysian (Maritim Malaysia) Zon Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, operasi pencarian juga akan diubah berdasarkan penemuan dua mangsa terbaru.

    “Mangsa yang masih hilang ialah warga Britain dikenali Nathen Renze, 14, yang juga anak kepada mangsa yang ditemui awal pagi Sabtu.

    “Pencarian juga akan melibatkan jumlah anggota dan aset pencarian yang sama sejak operasi menyelamat itu dilaksanakan pada Rabu.

    “Sepatutnya hari ini kawasan pencarian ditumpukan di bahagian Tenggara Johor tetapi diubah ke Selatan Pengerang.

    “Kita turut membuat hebahan kepada kapal dagang dan bot nelayan jika ada sebarang penemuan,” katanya kepada pemberita di bandar Mersing, lapor Sinar Harian.

    Onn Haifz (tengah) berbincang dengan seorang daripada penyelam warga asing di Mersing, hari ini

    Dua mangsa ditemui kira-kira pukul 1 pagi tadi iaitu lelaki warga Britain, Adrian Peter Chester, 46 dan wanita Perancis, Alexandra Molina, 18 yang diselamatkan oleh nelayan tempatan di perairan selatan Pengerang.

    Sebelum itu, pada Khamis mangsa pertama diselamatkan ialah seorang wanita warga Norway dikenali Kristine Grodem, 35, ditemui kira-kira 30 batu nautika oleh kru bot tunda dalam perjalanan ke Indonesia.

    Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Facebook miliknya, mendoakan seorang lagi penyelam berkenaan ditemui dalam masa terdekat.

    Beliau berkata, dua penyelam yang ditemukan pagi ini ditemukan selamat tetapi lemah sebelum dihantar ke hospital.

    “Bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mereka, insyaAllah kos rawatan akan dibiayai kerajaan negeri Johor,” katanya.

  • Kanak-kanak sembilan tahun maut, 3 cedera dalam kemalangan

    Kanak-kanak sembilan tahun maut, 3 cedera dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut, manakala ibu dan dua adik-beradiknya cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 79 Jalan Gua Musang- Lojing, tengah hari semalam.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Tuan Nur Amani Tuan Khairul Azhar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Pos Brooke, Gua Musang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku ketika ibu mangsa yang berusia 32 tahun memandu kereta Perodua Alza dari arah Tanah Rata, Cameron Highlands menghala ke Kengkong Pos Brooke.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu ibu mangsa terbabas ke dalam longkang menyebabkan mangsa tercampak keluar.

    Beliau berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan kepalanya di dalam longkang yang bertakung air dan kesemua mereka dibawa ke Klinik Pos Brooke untuk rawatan awal.

    “Ketika menerima rawatan, mangsa meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Foo, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkan kenderaan itu terbabas.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.