Category: Semasa

  • RUU Anti Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

    RUU Anti Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

    KERAJAAN menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata kerajaan tidak ada niat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti, namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan dibentangkan esok.

    “Ada pihak yang terkeliru cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam soal membentang Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, di sini hari ini.

    Turut hadir dalam taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

    Ismail Sabri berkata sebaik sahaja RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan dengan majoriti dua pertiga atau lebih 148 undi, kerajaan akan membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan ahli akademik untuk meneliti dan mengubal RUU Akta Anti Lompat Parti.

    “Saya harap perkara ini dapat dipercepatkan kerana sasaran kerajaan adalah untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini pada sesi Parlimen Julai.

    “Bagaimanapun ia tergantung kepada jawatankuasa khas nanti, secepat mana mereka boleh mencadangkan untuk dibentangkan ke dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas Kabinet bersetuju maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen,” katanya.

    Ismail Sabri berkata beliau yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diluluskan.

    “Setakat hari ini daripada kenyataan media kita baca, dari parti-parti kerajaan semuanya menyokong. Pembangkang, Pakatan Harapan pun dah buat kenyataan, berjanji sewaktu berjumpa dengan saya, mereka juga akan menyokong.

    “Jadi saya rasa tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya.

    — BERNAMA

  • Chin Tong dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

    Chin Tong dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

    MAJLIS  Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling yang juga Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.

    PH Johor dalam satu kenyataan menyebut surat pemakluman berhubung perkara itu dihantar ke Pejabat Jurutulis Negeri hari ini.

    “Beliau akan menggembleng komitmen wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam dewan demi kebaikan negeri Johor,” menurut kenyataan itu di Johor Bahru hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Parti Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

    Dalam pada itu, PH Johor berharap reformasi DUN Johor dapat diteruskan antaranya mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang dan mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan.

    Selain itu, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri serta pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

    — BERNAMA

  • Remaja bersalah bunuh suami terlepas hukuman gantung

    Remaja bersalah bunuh suami terlepas hukuman gantung

    SEORANG remaja perempuan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Muar mengarahkannya dipenjara pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan Sultan Johor selepas didapati bersalah membunuh suaminya, lima tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Awang Armadajaya Awang Mahmud membuat keputusan ke atas remaja yang kini berusia 22 tahun tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, remaja yang ketika itu berusia 17 tahun didakwa membunuh suaminya, Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah di Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 14 Okt 2017.

    Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Bagaimanapun, Awang Armadajaya dalam penghakimannya berkata, seseorang di bawah umur tidak boleh dikenakan hukuman mati, tetapi boleh dipenjara sehingga mendapat perkenan Sultan Johor.

    “Oleh kerana pada tarikh kejadian kamu berusia 17 tahun 11 bulan dan 10 hari maka kamu ditakrifkan sebagai kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kamu tidak boleh dijatuhkan hukuman mati. Kamu dijatuhkan hukuman di atas kehendak dan ihsan Sultan Johor sehingga satu masa yang ditetapkan. Kamu boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan Sultan Johor untuk sebarang peringanan hukuman.

    “Jika kamu dewasa saya terpaksa jatuhkan hukuman mati. Bersyukur kepada Allah kamu terselamat daripada hukuman mati. Saya doakan supaya kehidupan kamu selepas ini menjadi lebih baik, jadi orang bermanfaat, berguna kepada masyarakat dan keluarga. Saya sudah mendengar rayuan peguam kamu yang mana kehidupan kamu penuh dengan dukacita,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, pesalah menikam suaminya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian dada di kediaman milik majikan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam di sebuah pasar dan kejadian itu berlaku selepas kira-kira lima bulan mereka mendirikan rumah tangga.

    Sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2017, tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu pesalah serta bapa angkat dipanggil memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod dan Mustaqim Sukarno manakala peguam Yoong How Kiat mewakili tertuduh. – BERNAMA

  • Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    SEORANG lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang juga bapa kepada mangsa itu telah memberikan susu kepada bayi lelaki tersebut pada 2 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.

    “Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudiannya dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira 4.20 petang namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.

    Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanan-Kanak 2001 dan lelaki berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 13 April ini. – BERNAMA

  • Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    SEORANG lelaki ditahan susulan penemuan sebanyak 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumahnya di Kampung Bunut Payung di Kota Bharu, malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu, dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkaitan penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku pemilik rumah tersebut, ditahan untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan dan kotak yang mengandungi mercun.

    “Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata, penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

    Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau berkata PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat.

    “Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • 3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menggunakan aplikasi TikTok di premis berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

    “Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

    “Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – BERNAMA

  • Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menangkap seekor ular sawa yang beratnya dianggarkan 50 kilogram di Sungai Ulu Lenggong, Kampung Ulu Lenggong, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, hari ini.

    Jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong menerima panggilan telefon mengenai reptilia itu yang berada di pintu empangan sungai berkenaan pada 9.30 pagi tadi.

    Beliau berkata, dengan kekuatan anggota bomba seramai lima orang, penjerut ular digunakan untuk menangkap haiwan itu yang dianggarkan berukuran sepanjang enam meter.

    “Ular sawa tersebut diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah operasi itu tamat pada 10.10 pagi tadi. – BERNAMA

  • Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    SEORANG kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia tiga tahun dikatakan turun bersama ibu bapanya menggunakan eskalator dari tingkat dua sebelum kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari.

    “Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seorang saksi ingin dikenali sebagai Nurul berkata dia terdengar jeritan yang amat kuat sebelum melihat seorang kanak-kanak tersepit di eskalator itu.

    “Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit,” katanya.

    Tinjuan Bernama di lokasi kejadian mendapati pihak pengurusan pusat beli belah terbabit telah menutup operasi eskalator itu buat sementara waktu. – BERNAMA

  • ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    GOLONGAN belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak, boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai esok.

    Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kredit e-tunai tersebut adalah melalui satu daripada empat penyedia perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

    “Selain RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula akan bermula esok hingga 1 Jun ini, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

    Menurut MOF, ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April.

    Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar, selain data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

    Menurut MOF, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula untuk belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak menerusi Belanjawan 2022.

    Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html manakala bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html – BERNAMA

  • Peniaga boleh kena tindakan jika puding buih punca keracunan

    Peniaga boleh kena tindakan jika puding buih punca keracunan

    JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak (lelaki dan perempuan) sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan Rabu lepas.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

    “Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik di Kuala Terengganu, telah mengalami cirit-birit dan muntah pada pukul 4 pagi dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh pada 6 petang, Rabu lepas.

    Kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.

    Dalam pada itu Dr Kasemani menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa membeli juadah sepanjang Ramadan bagi mengelak perkara seumpama itu berulang.

    “Amalkan kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan terutama juadah yang menggunakan telur kerana telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan kerana boleh mengandungi bakteria salmonella,” katanya. – BERNAMA