Category: Semasa

  • Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    SEORANG lagi banduan daripada lima yang masih bebas selepas melarikan diri dari Penjara Jelebu dua hari lepas ditahan di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki berkenaan, Shazuan Md Sharif, 32, ditahan kira-kira 4 pagi dan Mahkamah Majistret Bahau kemudian membenarkan dia direman empat hari bermula esok.

    “Penahanan lelaki itu menjadikan tiga daripada keseluruhan tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara dua hari lepas, berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, polis berjaya menahan lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, kira-kira 5.15 pagi di Kampung Petasih Tengah, Pertang dan menahan Sohaimi Khalid, 50, di kawasan kebun sawit, Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu pada 7 malam sehari sebelumnya.

    Maslan berkata, polis bersama Jabatan Penjara sedang giat mengesan empat lagi banduan yang masih bebas iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak tepat yang akan menganggu gugat ketenteraman awam dan siasatan polis,” katanya.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju ke semak di belakang penjara itu. – BERNAMA

  • Macau scam: Suri rumah, pelajar IPTA rugi lebih RM200,000

    Macau scam: Suri rumah, pelajar IPTA rugi lebih RM200,000

    SEORANG suri rumah dan seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Melaka kerugian RM259,642 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt E.Sundra Rajan berkata, suri rumah berusia 60 tahun yang tinggal di Alor Gajah itu kerugian RM247,642 manakala pelajar berusia 21 tahun dari Batu Berendam pula kerugian RM12,000.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penipuan itu daripada mangsa, masing-masing di Balai Simpang Ampat dan Batu Berendam pada 8 April lepas.

    “Kedua-duanya mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari KKM yang memaklumkan butiran peribadi mereka telah digunakan individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19.

    “Mangsa kemudian diarahkan memberi kerjasama kepada suspek untuk menyiasat perkara itu dan kemudian dihubungkan dengan panggilan daripada pihak polis untuk pengesahan lanjut sebelum dimaklumkan butiran peribadi mereka terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa diugut akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka gagal memberikan kerjasama kepada sindiket tersebut.

    Katanya, sindiket berkenaan kemudian mengarahkan mangsa memberikan segala maklumat akaun bank kononnya bagi tujuan semakan audit tetapi setelah mangsa memberikan maklumat nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian, wang mangsa dipindahkan ke akaun yang digunakan suspek.

    Sundra Rajan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Melaka menerima 93 laporan berkaitan sindiket Macau Scam melibatkan kerugian kira-kira RM3.12 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan mencurigakan dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang diberikan suspek melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ di Play Store sebelum melakukan apa-apa transaksi. – BERNAMA

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    MARITIM Malaysia Pulau Pinang mengkoordinasikan operasi pemindahan perubatan (Medevac) melibatkan seorang kru kapal Pacific Dove yang disyaki mengalami tekanan darah tinggi dalam pelayaran dari Singapura ke Pelabuhan Kalinada India, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada ejen kapal tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Menurut beliau, berdasarkan koordinat kapal pada masa itu berada dalam kawasan maritim Kedah/Perlis.

    “Maka, Maritim Negeri Pulau Pinang memohon bantuan aset dari Zon Maritim Kuala Kedah untuk diatur gerak ke lokasi kira-kira 6.9 batu nautika utara Mukah Head bagi membantu memindahkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot Perkasa 1226 dari Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak dan tiba di lokasi kapal kira-kira pukul 8 pagi.

    “Mangsa, Santosh Kumar, 47, yang merupakan warga India kemudian dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke Jeti Swettenham Pier sebelum dikejarkan ke Hospital Gleneagles Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Lans Koperal mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan rasuah

    Lans Koperal mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua lelaki yang disyaki terbabit kes rogol tahun lepas.

    Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang berasal dari Dungun memohon supaya dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Balai Polis Dungun telah memperoleh wang tunai RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua individu yang terlibat dengan kes rogol, di Kedai Makan Hjh Hanisah Bt Taib di Jalan Baru Pak Sabah, Kampung Sura di Dungun pada 3.15 petang 30 Mei 2021.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh RM2,000 daripada seorang lagi lelaki untuk tujuan sama di Tapak Pasar Malam Sura Gate di Dungun pada 9.40 malam 23 Mei 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama bagi kedua-dua pertuduhan.

    Norazmi Afiq juga berhadapan dakwaan meminta suapan berjumlah RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit kes rogol di dalam daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

    Bagi tuduhan itu, anggota yang masih belum berkahwin itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

    Hakim Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Najmi Adila Mat Nasir. Mahkamah menetapkan 17 Mei untuk sebutan kes. – BERNAMA

  • 12 rakyat Malaysia mangsa scammer Kemboja sudah pulang

    12 rakyat Malaysia mangsa scammer Kemboja sudah pulang

    DUA belas rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air hari ini manakala empat lagi masih berada di negara itu bagi menjalani kuarantin kerana positif COVID-19.

    Kejayaan membawa pulang 12 lelaki yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini kira-kira 8.10 pagi itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.

    Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin berkata, pihak berkuasa Kemboja telah menerima maklumat mengenai penglibatan 16 rakyat Malaysia dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berkenaan dan menahan kesemua mereka pada 4 April lepas.

    “Walaupun kerajaan Kemboja mendapati mereka (mangsa) melaksanakan aktiviti menyalahi undang-undang negara mereka, tindakan undang-undang pada masa ini diketepikan supaya kita dapat membawa balik rakyat kita yang terkandas di negara tersebut,” katanya kepada pemberita di klia2 hari ini.

    Amran berkata, pihak kedutaan Malaysia di Kemboja kini sedang memantau keadaan empat lagi mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dan akan menguruskan kepulangan mereka sejurus disahkan negatif daripada COVID-19.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan sebelum ini dilapor berkata, 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh satu sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan.

    Menurutnya, mereka diperdaya melalui iklan di laman Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja dan setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat.

    Amran dalam pada itu menasihatkan mana-mana pihak yang tertarik dengan tawaran peluang pekerjaan di luar negara supaya menyemak dahulu kesahihan pekerjaan berkenaan.

    “Kalau ada kemusykilan, semak dengan kedutaan kita di luar negara iaitu di negara tuan rumah yang menawarkan pekerjaan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua mangsa, Heng Zhi Li berkata mangsa telah pergi ke Kemboja secara berperingkat mulai September 2021 hingga Februari lepas.

    Menurut Heng, mangsa dijanjikan gaji RM7,000 pada awalnya dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ namun tiada gaji dibayar kepada mereka selain turut dipukul, ditampar dan didera dengan kejutan elektrik.

    Katanya, mangsa mula menghubungi MCA untuk membuat aduan bermula Januari lepas dan hasil maklumat yang diterima diserahkan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang kemudiannya meminta Aseanapol dan Interpol untuk menyelamatkan mangsa. – BERNAMA

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA

  • Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    NICKY Liow, yang disyaki mengetuai kumpulan jenayah terancang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 26 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

    Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut terhadap semua tuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Helina Sulaiman.

    Dia didakwa mengubah secara haram RM36 juta daripada pelbagai transaksi yang dijalankan di beberapa bank di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 dan 2021.

    Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Liow berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika didapati bersalah, lapor FMT

    Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin. Hakim membenarkan ikat jamin itu dibayar dalam dua ansuran, dengan yang terakhir mesti dibayar esok.

    Liow turut diarah menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dua kali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozaliana Zakaria dan Syafinas Shabudin, manakala Liow diwakili peguam Rajpal Singh.

    Liow menyerah diri kepada JSJK Bukit Aman semalam selepas melarikan diri daripada polis berkait dakwaan sindiket Macau Scam tahun lepas.

    Tindakan keras polis membawa kepada penahanan puluhan individu yang disyaki menjadi anggota sindiket tersebut.

    Dua pegawai SPRM dan sekurang-kurangnya sembilan pegawai polis yang dikatakan bersubahat turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

  • [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke arah Bandar Saujana Putra, petang semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas dia mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di bahagian kepala di Hospital Banting sekitar pukul 4 petang semalam.

    Ahmad Ridhwan berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2 petang semalam, pemandu Perodua Bezza itu terlebih dahulu melanggar seorang penunggang motosikal yang berhenti di lorong kecemasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 SKVE.

    “Selepas itu, pemandu kereta itu terus bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC 135,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera di kaki dan tangan dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

    Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular aksi lawan arus sebuah kereta Perodua Bezza menerusi video berdurasi 2.30 minit di laman sosial Facebook. – BERNAMA

  • Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    SEORANG pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 51, meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur, Saujana Utama, dekat sini, malam tadi.

    Beliau yang berasal dari Melaka sebelum itu rebah dalam rakaat pertama solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia oleh kumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.

    Abang Allahyarham, Mat Isa Taib, 56, berkata adiknya bersara daripada TUDM kira-kira sembilan tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.

    Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun.

    “Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Timbalan Nazir Masjid An-Nur, Azman Omar, pula berkata jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid An-Nur pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah kira-kira jam 11 pagi.

    Pemergian jemaah yang sungguh dicemburui iaitu ketika solat Isyak pada Ramadan itu turut mendapat perhatian pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi yang turut berjemaah di masjid berkenaan ketika kejadian.

    Dalam tulisannya di Facebook, beliau berkata, ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.

    Usai solat, beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan kebaikan untuk beliau.

    “Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat Tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah berkenaan telah meninggal dunia.

    “Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulisnya.

  • [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    POLIS sedang mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa, di Bukit Mertajam selepas video mereka tular menerusi media sosial sejak semalam dan menerima kecaman netizen kerana berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad berkata rakaman video berdurasi dua minit dan 20 saat itu mendapati mereka bermain meriam berkenaan di tepi jalan raya dan membuat gangguan bising kepada penduduk.

    “Semalam pihak polis telah mengesan sebuah video membabitkan sekumpulan lelaki sedang bermain meriam yang tular menerusi laman sosial Twitter. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai video itu termasuk mengesan beberapa lelaki yang yang terlibat dalam video itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain meriam karbaid sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ia kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Video yang tular itu memaparkan sekumpulan lelaki sedang seronok bermain meriam karbaid yang diperbuat daripada paip polivinil klorida (PVC) di hadapan deretan rumah kedai.

    https://twitter.com/i/status/1513333500753358850

    Ia menunjukkan meriam berkenaan dihalakan ke arah jalan raya yang dilalui banyak kenderaan tanpa menghiraukan keselamatan orang ramai.

    Perbuatan itu mendapat kecaman netizen kerana bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan malah memberi ancaman kepada pengguna jalan raya terutama warga emas yang mungkin akan terkejut selepas mendengar dentuman kuat. – BERNAMA