Category: Semasa

  • Apa status siasatan penyelewengan projek ‘Jiwa Murni’ RM800 juta?

    Apa status siasatan penyelewengan projek ‘Jiwa Murni’ RM800 juta?

    PADA 30 Januari 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu memaklumkan kementerian tersebut tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam projek Jiwa Murni di Sarawak.

    Lanjutan itu pada 8 September 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah sebuah syarikat berusia 42 tahun dan 44 tahun. Mereka ditangkap bagi membantu siasatan dakwaan melakukan tuntutan palsu  berjumlah RM800 juta berkaitan satu projek menaiktaraf jalan di pedalaman negeri tersebut. Bagaimanapun mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM100,000 seorang dengan seorang penjamin.

    Pada 19 September 2020, dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

    Selain suspek bergelar Datuk itu, seorang lagi individu yang ditahan ialah pengarah sebuah syarikat pembekal. Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 63 tahun dan 56 tahun ditahan.

    Berita Harian ketika itu melaporkan, tuntutan itu membabitkan pelaksanaan 10 jalan negeri di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai RM800 juta.

    ‘’Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai ‘Projek Jiwa Murni’ di bawah kementerian berkenaan dan dianugerahkan kepada syarikat itu pada 2010 dan 2016. Daerah serta kawasan yang terlibat adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga,’’ kata sumber lapor Bernama.

    Mereka merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.

    Selain itu, sumber berkenaan mendakwa perkara paling mengejutkan ialah salah satu daripada syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan berkenaan, disyaki dimiliki pengarah syarikat tersebut, yang membina jalan raya berkenaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

    Sumber berkata seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan kementerian berkenaan disenarai hitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakan projek terdahulu namun apa yang berlaku ialah mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

    Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan biarpun sudah berlanjutan hampir dua tahun namun hasil siasatan kes itu masih menjadi tanda tanya.  Sehingga hari ini SPRM tidak memaklumkan apa hasil siasatan kes tersebut kepada umum.

    ‘’Sepatutnya SPRM beritahulah apa kesudahan kes ini…adakah yang ditahan itu ada kes atau tidak? Bukannya diam begitu sahaja. Lagi pula ia bukannya melibatkan penyelewengan kecil tetapi RM800 juta. Satu jumlah yang cukup besar,’’ kata satu sumber.

     Sumber itu menegaskan, jika SPRM tidak menjejaskan kedudukan sebenar kes tersebut, ia boleh memberi persepsi yang tidak baik kepada kerajaan dalam memerangi gejala rasuah dan menjejaskan imej agensi serta tidak adil kepada mereka yang ditahan sebelum ini.

    ‘’Nanti orang akan kata bila kes kecil…satu dunia heboh, bila kes besar walaupun ada tangkapan…kesudahannya kita tak tahu. Jadi diharapkan SPRM akan memaklumkan apakah status siasatan kes tersebut dan adakah mereka yang terlibat akan didakwa atau siasatan menunjukkan mereka tidak bersalah. Langkah ini juga demi keadilan kepada mereka yang ditahan,’’ kata sumber itu.

    WartaRakyat sedang berusaha mendapatkan komen SPRM berhubung perkembangan kes ini.

  • Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki yang merupakan rakan seorang Youtuber terkenal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya.

    Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, antara 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala Abdul Jamal tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan seorang Youtuber lelaki dan tiga rakan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia dalam kejadian di Teluk Kumbar.

    Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau yang memaklumkan seorang wanita dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

    Pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan. – BERNAMA

  • Elon Musk tawar beli Twitter AS$43 bilion

    Elon Musk tawar beli Twitter AS$43 bilion

    MAKLUMAN kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menunjukkan Elon Musk membuat tawaran untuk membeli Twitter.

    Jutawan itu berkata, beliau sanggup membayar AS$54.20 setiap saham untuk membeli 100 peratus syarikat itu. Tawaran tunai keseluruhan menjadikan nilai syarikat rangkaian sosial itu mencecah AS$43.4 bilion, kata Xinhua.

    “Saya melabur dalam Twitter kerana percaya potensinya untuk menjadi platform untuk bebas bersuara di seluruh dunia,” tulis Musk dalam e-mel kepada Bret Taylor, Pengerusi Lembaga Pengarah Twitter.

    E-mel itu diterbitkan semula dalam pemfailan SEC, sambil menambah bahawa “Twitter perlu ditransformasi sebagai syarikat persendirian.”

    “Tawaran saya adalah tawaran terbaik dan terakhir, dan jika ia tidak diterima, saya perlu pertimbangkan semula kedudukan saya sebagai pemegang saham,” kata Musk.

    Tawaran itu adalah premium 54 peratus sehari sebelum beliau mula melabur dalam Twitter dan premium 38 peratus sehari sebelum pelaburannya diumumkan secara terbuka.

    Twitter mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan penerimaan tawaran Musk dan berkata lembaganya akan “meneliti cadangan itu untuk tindakan”.

    Pada 4 April, Twitter mengesahkan bahawa Musk memperoleh 9.2 peratus saham syarikat itu untuk menjadi pemegang saham terbesar. Namun Musk kemudiannya enggan menyertai barisan lembaga pengarah.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, Musk tidak dibenarkan memiliki lebih daripada 14.9 peratus saham syarikat.

    Musk kini merupakan orang terkaya di dunia. Menurut Forbes, nilai kekayaannya kini adalah AS$273.6 bilion. – BERNAMA

  • Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    LIMA individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam membawa 21 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat Semporna, lewat malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 14 penumpang bot pam itu berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit dekat sini, masih hilang.

    Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.

    Katanya, bot tersebut dipercayai membawa beban lebih muatan.

    “Semua 21 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Norrimi berkata, operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.

    Katanya, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.

    Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu.

    Sementara itu, polis akan menyiasat kejadian bot pam karam berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata malam tadi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan melibatkan semua aspek insiden tersebut yang mengakibatkan kematian lima penumpang terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

    Dalam kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 7 dan 14 tahun masih hilang, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bot dinaiki kesemua penumpang ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Insp Khadijah di talian 019-8718002 atau di balai polis berdekatan.

    Mohd Farhan turut menasihatkan pengusaha bot serta pengguna laut lain agar berwaspada dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful

    Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful

    KERAJAAN diminta mempercepat proses memberi kelulusan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melakukan pelaburan bagi memastikan pendepositnya mendapat pulangan dividen yang baik.

    Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu yang juga agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi memerlukan keputusan pantas kerajaan berkaitan perkara itu bagi mengelakkannya terlepas tawaran menarik daripada pengurus dana.

    “Cabaran yang kita hadapi iaitu birokrasi dalam kerajaan di peringkat yang lebih tinggi daripada PTPTN menyebabkan kadangkala kita terlepas tawaran pulangan yang tinggi oleh pengurus dana kita.

    “Katakanlah kalau dia tawarkan kadar pulangan 4.75 peratus tetapi kalau ambil masa sampai lima atau enam bulan (untuk diluluskan), maka suasana ekonomi semasa sudah berubah, jadi komitmen 4.75 peratus itu mungkin sudah tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Kelab Media Elit Kedah di Jitra malam tadi.

    Beliau berkata, sekiranya kelulusan lambat diberikan, PTPTN mungkin terpaksa menerima tawaran pulangan lebih rendah sekali gus boleh menjejaskan kadar dividen yang akan diterima pendepositnya.

    Wan Saiful berkata, setiap cadangan pelaburan PTPTN yang dikemukakan kepada kerajaan telah dirangka dengan teliti termasuk mengenal pasti institusi pelaburan yang mampu mendatangkan pulangan tinggi kepada agensi itu.

    Menurutnya, adalah amat penting untuk PTPTN mengambil peluang yang lebih menguntungkan bagi memastikan pendeposit mendapat pulangan yang baik dan kekal menabung dengan perbadanan itu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini PTPTN mencatatkan prestasi yang baik dalam memberikan pulangan dividen kepada pendeposit di bawah dua produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

    “Komitmen saya adalah untuk memastikan semua pendeposit diberikan pulangan yang sewajarnya. Sebelum ini dividen kita sekitar empat peratus. Ia berkurang sedikit dalam pengumuman yang saya buat pada awal tahun ini (tiga peratus), tetapi itu adalah disebabkan oleh situasi pasaran dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

    Wan Saiful berkata, PTPTN akan terus mempromosi produk simpanannya terutama di kawasan luar bandar dan universiti bagi menggalakkan lebih ramai mendeposit di bawah SSPN dan mendapat manfaat daripadanya. – BERNAMA

  • Kontak rapat tidak lagi perlu kuarantin – Khairy Jamaluddin

    Kontak rapat tidak lagi perlu kuarantin – Khairy Jamaluddin

    INDIVIDU yang menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif Covid-19 tidak lagi perlu menjalani kuarantin kendiri bermula 22 April ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu hanya terpakai sekiranya kontak rapat itu tidak mempunyai sebarang gejala.

    “Sekarang kontak rapat tidak perlu menjalani kuarantin seperti sebelum ini.

    “Sebelum ini hanya kontak rapat yang lengkap vaksinasi saja tidak perlu kuarantin, sekarang semua kontak rapat dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau hari ini, lapor Satu Berita.

    Sementara itu, Khairy berkata, data maklumat pengguna aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak.

    Ujar beliau, simpanan data maklumat aplikasi itu mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

    “Setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kebocoran dari MySejahtera setakat ini.

    “Kita beri jaminan aplikasi ini mematuhi semua keperluan yang diperlukan kepada akta PDPA,” katanya.

  • Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    Bapa lapor polis dakwa anak dipukul guru

    POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid perempuan Tahun Empat dipukul oleh seorang guru lelaki sehingga mengalami kecederaan tisu lembut.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa pada 9.59 malam, Isnin lepas mendakwa guru lelaki berusia 50 tahun telah memukul belakang badan anaknya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan tangan dan pemeriksaan doktor di Hospital Bentong telah mengesahkan kecederaan akibat dipukul tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    MAYAT lelaki yang hanya mengenakan tuala ditemukan dipercayai digilis kenderaan di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipercayai digilis kenderaan berat dan mayatnya ditemui orang awam
    dengan kesan kecederaan parah.

    “Keputusan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati, tiada kesan tusukan senjata ke badan mangsa sekali gus menafikan terdapat unsur jenayah dalam kes ini.

    “Hasil bedah siasat juga mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah akibat dilanggar,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurut beliau, tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain tiada laporan polis diterima membabitkan kehilangan mangsa.

    “Kami masih mengenal-pasti identiti mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    POLIS menahan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza dan melakukan soal siasat berkenaan lakaran satira yang dipercayai menghina institusi diraja.

    Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu ciapan di Twitter miliknya hari ini.

    Katanya, kertas siasatan tersebut akan dibuka di bawah Akta Hasutan dan perkara tersebut diketahui apabila beliau mendapat satu panggilan telefon dari pejabat polis Bukit Aman.

    “Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam, polis dah buka kertas siasatan bawah #AktaHasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira #beruk yang aku post malam tadi.

    “Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ini juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Semalam, Fahmi sekali lagi hangat diperkatakan di media sosial apabila melakar satira yang dipercayai bertujuan menghina institusi diraja.

    Hantaran itu telah mencetus pelbagai persepsi terutama pengguna media sosial.

    Majoriti netizen di ruangan komen meluahkan rasa marah dengan menganggap bahawa perkara tersebut keterlaluan.

  • Bella dipaksa makan 80 cili seminggu

    Bella dipaksa makan 80 cili seminggu

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Selain itu mahkamah mendengar keterangan bahawa remaja itu tidak dibenarkan minum air selama beberapa hari kerana tidak mendengar cakap Siti Bainun, lapor Harian Metro, hari ini.

    Menurut keterangan saksi pendakwaan kelima yang juga penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

    Menceritakan lanjut kejadian itu, saksi berkata, beliau atau seorang lagi penghuni rumah terbabit dikenali sebagai Aida mengira jumlah cili padi berkenaan.

    Yasmin menjawab soalan balas peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf bersetuju bahawa cili padi itu diberi kepada Bella beberapa kali seminggu.

    SITI Bainun (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes yang dihadapinya. FOTO Bernama

    Farhan bertanyakan sama ada Siti Bainun mengeluarkan arahan untuk mengira jumlah cili itu secara spesifik dan Yasmin Nahar menjawab ‘ya’.

    Peguam itu mempersoalkan adakah mangsa tidak mengalami sakit perut akibat memakan 80 cili jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.

    “Katakan Bella didera empat bulan, kiranya 1,280 cili padi disumbat dalam mulut Bella,” soal peguam itu.

    Semalam, dalam keterangannya Yasmin berkata, Siti Bainun mendera remaja itu setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

    Ditanya sama ada mulut Bella menunjukkan tanda melecet dan kemerah-merahan akibat makan cili padi itu, Yasmin berkata, terdapat kesan merah dan cili padi itu dibuang mangsa.

    Mengenai isu Bella tidak dibenarkan minum air, saksi berkata, remaja itu curi-curi minum dan beliau pun memberikan Bella minum secara curi-curi.

    “Siti Bainun juga arahkan saya pegang bahu Bella ketika berdiri dan menyuruh remaja itu untuk melutut dan diugut bagi air panas.

    “Bella juga ada dihentak kepala di dinding, diejek dan diperbodohkan,” katanya.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.